Thursday, March 24, 2011

Wow!

Keputusan yang boleh dianggap membuahkan hasil yang lumayan bagi Maktab Sabah iaitu 98.68% oleh matan pelajar Maktab Sabah lulus mata pelajaran Bahasa Melayu. Dalam hal ini hanya tiga orang calon sahaja yang gagal bahasa Melayu daripada 229 calon SPM 2010.

Syabas dan tahniah kepada mereka yang mencatat keputusan yang cemerlang dan lulus dalam peperiksaan SPM 2010. Anda telah membuktikan bahawa anda hebat dan juara memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia atas usaha anda selama anda bersekolah 13 tahun.

Sehubungan dengan itu,satu cabaran yang hebat bagi para pelajar Maktab sabah yang bakal menduduki peperiksaan SPM bermula 14 November 2011 hingga 14 Disember 2011. Bangkitlah dan buktikan wahai anak didikku bahawa anda lebih hebat daripada abang-abang dan kakak-kakak anda yang telah berjaya sebelum anda. kejayaan ada dalam diri anda. Cuma anda sahaja yang tidak tahu akan kehebatan dalam diri anda selama ini.

Selamat belajar dengan bijaksana dan jaga diri anda walau di mana-mana anda berada.

Salam dari saya,

juliana09...

Wednesday, March 23, 2011

Keputusan SPM 2010 Maktab Sabah

Syukur alhamdulillah...keputusan SPM Maktab Sabah bagi tahun 2010 bertambah baik hanya tiga orang saja yang gagal Bahasa Melayu daripada 10 calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada tahun 2009.

Tahniah kepada mereka yang lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan SPM 2010. Perjuangan anda belum selesai...teruskan langkah ke arah kejayaan pabila anda berada di IPTA atau IPTS.....Cabaran anda baharu bermula.....

Monday, March 21, 2011

Prosa Tradisonal (Hikayat Siak) Tingkatan 5

Sinopsis
Kisah bermula dengan pelayaran Tuan Bujang setelah mendapat perkenan daripada Sultan Palembang. Tuan Bujang dibekalkan oleh Sultan Palembang dengan pakaian keemasan dan keris kebesaran. Tuan Bujang sampai ke Rawas dan berkahwin dengan anak Dipati Batu Kuching. Tuan Bujang mendapat seorang anak lelaki dan dinamakan Raja Alang. Di Pagar Ruyung, Tuan Bujang telah ditabalkan sebagai Yamtuan Sakti. Tuan Bujang juga telah diuji bagi membuktikan bahawa baginda ialah daripada keturunan kesultanan Johor. Tuan Bujang telah diberi gelaran Yang Dipertuan Raja Kecik. Yang Dipertuan Raja Kecik telah pergi ke Siak namun tiada sesiapa yang mengenali baginda malah baginda terpaksa bekerja sebagai Nakhoda Penangguk . Kemudian baginda pergi ke Mengkalis dan di sana telah digelar oleh orang Minangkabau sebagai Yang Dipertuan. Baginda berhajat hendak menyerang negeri Johor. Pada masa yang sama, Raja Bugis iaitu Daheng Parani, Daheng Calak dan Raja Tuha telah datang ke Mengkalis. Mereka ingin membantu menyerang Johor. Daheng Parani telah membuat perjanjian sekiranya baginda berjaya menawan Johor, maka baginda akan menjadi Yang Dipertuan Besar dan Daheng Parani dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda. Sepucuk surat telah dihantar kepada Yang Dipertuan Johor memaklumkan bahawa paduka anakanda Marhum Mangkat Dijulang ingin menuntut bela atas kematian ayandanya. Berita kedatangan Yang Dipertuan Raja Kecik anakanda Marhum Mangkat Dijulang di negari Johor menjadi perbualan rakyat. Bagi membuktikan bahawa baginda ialah anakanda Marhum Mangkat Dijulang , rakyat Johor telah meminta supaya baginda menawarkan air masin menjadi air tawar. Dengan izin-Nya, maka air masin telah bertukar menjadi air tawar. Rakyat Johor terus bersorak dan menyebut Yang Dipertuan Raja Kecik sebagai Tuanku Yang Maha Mulia. Baginda juga bertitah kepada rakyat Johor agar menyembah dengan ucapan “daulat”. Baginda kemudian menyerang Johor. Yang Dipertuan Johor bersama anakanda baginda telah pulang ke kampung lama Bendahara. Sesampai Yang Dipertuan Raja Kecik ke dalam Kota Johor, baginda telah masuk ke istana. Baginda hairan kerana tidak ada Bendahara di dalam Istana. Baginda dimaklumkan bahawa Bendahara sudah melarikan diri. Yang Dipertuan Raja Kecik dimaklumkan bahawa bondanya Encik Apung telah meninggal dunia. Baginda berasa sugul dengan berita tersebut. Baginda telah bertunang dengan anak Bendahara yang bernama Tengku Tengah tetapi telah memutuskan pertunangan tersebut kerana terpikat dengan anak bongsu Bendahara iaitu Tengku Kamariah. Akhirnya baginda berkahwin dengan Tengku Kamariah dan ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.

Tema
Pengembaraan anak raja.

Yang Dipertuan Raja Kecik telah mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang sehinggalah baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor.


Persoalan
1. Persoalan kesabaran akan membuahkan kejayaan.

2. Persoalan kebenaran tetap terbukti apabila tiba masanya.


WATAK DAN PERWATAKAN

1. Yang Dipertuan Raja Kecik.

• Keturunan Raja Johor
• Nama asalnya Tuan Bujang.
• Berkahwin dengan Tengku Kamariah
• Ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.
• Berani
Contoh: Yang Dipertuan Raja Kecik berani memutuskan pertunangannya dengan Tengku Tengah.
• Gigih
Contoh: Yang dipertuan Raja Kecik gigih mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang.

LATAR

Latar Masyarakat

1. Golongan masyarakat feudal
Contoh: Masyarakat yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja.

2. Golongan masyarakat istana.
Contoh: Masyarakat yang tinggal di istana .

Latar Masa

1. Latar masa tidak dinyatakan dengan terperinci namun peristiwa berlaku pada zaman Kesultanan pemerintahan Raja Siak.

Latar Tempat

1. Rawas
Contoh:
Tempat Tuan Bujang berkahwin dengan anak Dipati Batu Kuching.

2. Siak
Contoh:
Tempat Yang Dipertuan Raja Kecik tetapi tiada siapa mengenali baginda malah baginda terpaksa bekerja sebagai Nahkhoda Penangguk.

3. Johor
Contoh:
Yang dipertuan Raja Kecik telah ditabalkan menjadi Raja Johor dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Syah.

Gaya bahasa

1. Penggunaan bahasa Arab
Contoh:
Allah Ta’ala,

2. Penggunaan bahasa istana
Contoh:
Patik, baginda,hulubalang, titah

3. Penggunaan kata ganda
Contoh:
Kaya-kaya, besar-besar,masing-masing

NILAI

1. Nilai kegigihan
Contoh:
Yang dipertuan Raja Kecik gigih mengembara dari satu tempat ke satu tempat bagi membuktikan bahawa baginda merupakan keturunan raja iaitu anakanda Marhum Mangkat Dijulang.

2. Nilai keberanian
Contoh:
Yang Dipertuan Raja Kecik berani memutuskan pertunangannya dengan Tengku Tengah.


3. Nilai ketaatan
Contoh: Rakyat negeri Johor menunjukkan taat setia kepada Yang Dipertuan Raja
Kecik setelah mengetahuai baginda ialah keturunan raja.


PENGAJARAN

1. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan.


2.Kita janganlah cepat berputus asa sekiranya gagal dalam sesuatu hal.


3. Kita hendaklah patuh akan perintah ketua.



LATIHAN


1. Nyatakan perkara sakti yang perlu dilakukan bagi membuktikan bahawa Tuan Bujang ialah keturunan
Sultan Johor.

2. Sebutkan tiga keturunan raja Bugis yang ingin menyerang Johor.




JAWAPAN

1.Perkara sakti yang telah perlu dilakukan bagi membuktikan bahawa Tuan Bujang ialah keturunan
Sultan Johor ialah baginda dapat mennawarkan air air masin.

2.Tiga keturunan raja Bugis yang ingin menyerang Johor ialah Daheng parani, Daheng Calak dan
Raja Tuha.

Sunday, March 20, 2011

Cuti...Hrmmm,'happy plus sad'..

Salam kemaafan buat para pelawat blog zuliana09...Seminggu bercuti sekolah,langsung saya tidak ziarah blog saya sendiri. Dalam erti kata lain agak lama sudah saya tidak 'publish post' buat tatapan para pelawat blog zuliana09. Entah kenapa pil 'M' yang saya telan membuatkan hati saya malas 'upload' bahan untuk kalian semua. Hrmmm,rasa enak bercuti di kampung saya sambil ziarah pusarah emak saya di kg Sim-Sim Sandakan, Sabah membuatkan saya lupa dengan 'lappy' saya seketika..

Terima kasih yang tidak terhingga kepada para pelawat saya yang berada di luar sana di mana-mana sahaja anda berada dengan rasa hati bercampur baur melayari blog zuliana09 yang tidak seberapa ini sebagai hidangan mata kalian. Dalam hal ini,yang baik jadikan teladan dan yang tidak baik itu jadikan sempadan. Namun yang ketidakbaikan itu merupakan kealpaan saya.

Besarlah harapan saya agar kalian semua dapat mengaplikasikan segala maklumat yang ada dalam blog saya seadanya.....

Salam dari saya

Juliah Hj Matnoor
@ zuliana09....

Thursday, March 10, 2011

Kata Hikmah

“Carilah ilmu itu sehingga jangan lupa beribadat dan beribadatlah sehingga jangan lupa mencari ilmu.”

"KeRINDUan pada ALLAH melahirkan jiwa yang rela berkorban; KeCINTAan pada ALLAH melahirkan jiwa yang penuh kesungguhan; KeTAATan pada ALLAH melahirkan jiwa yang penuh ketenangan..”

“Disiplin adalah ramuan tersembunyi di mana menukar seseorang yang biasa kepada orang yang penting.”

"Perjalanan yang jauh itu, dimulai dengan langkah pertama.”

"Sebesar-besar atau seberat-berat urusan, jangan dihadapi dengan muka berkerut, kerut muka itu dengan sendirinya menambahkan lagi kerut pekerjaan itu. - HAMKA”

“Kejayaan yang diperoleh dapat membantu: keluarga seseorang, kawan-kawan karib dan diri seseorang, jadi hendaklah kita berusaha dari sekarang untuk mencapai apa yang diingini...”

MAKLUMAN BERKAITAN FORMAT KERTAS SOALAN BAHASA MELAYU SPM (1103) 2011

Dimaklumkan bahawa teks komponen sastera Bahasa Melayu Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima telah ditukar mulai tahun 2010. Perubahan ini merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2009 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Teks komponen sastera ini mula diguna pakai oleh murid-murid Tingkatan Empat pada tahun 2010.

Teks berkenaan akan digunakan untuk kertas Bahasa Melayu mulai peperiksaan SPM 2011. Walau bagaimanapun, Kertas Bahasa Melayu SPM(U) 2011 masih menggunakan teks komponen sastera yang lama.
Dimaklumkan juga bahawa pertukaran teks komponen sastera ini tidak melibatkan perubahan format kertas soalan Bahasa Melayu SPM.

Senarai teks komponen sastera yang baharu adalah seperti yang berikut:
1. Antologi Harga Remaja (Ting. 4)
Kementerian Pelajaran Malaysia
Dewan Bahasa dan Pustaka

2. Antologi Dirgahayu Bahasaku (Ting. 5)
Kementerian Pelajaran Malaysia
Dewan Bahasa Dan Pustaka

3. NOVEL
i. Papa…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
ii. Azfa Hanani karya Azhan Mohamad Hanafiah
iii. Renyah karya Gunawan Mahmood
iv. Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
v. Interlok karya Abdullah Hussain
vi. Kembara Amira karya Amer Hamzah L. Kadir
vii. Sutera dalam Lukisan karya Abd Talib Hassan
viii.Kabus di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah

Pengarah Peperiksaan
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pelajaran Malaysia

Tuesday, March 8, 2011

Cerpen Hutan Rimba ( Sasjira) Tingkatan 5

Sinopsis
Pak Tua sebagai pemandu traktor menyesali pekerjaannya yang mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Harapannya agar kawasan hutan kembali merimbun. Hasil pekerjaannya dia berjaya membesarkan anak-anaknya dengan kerjaya masing-masing. Atas nasihat anak-anaknya Pak Tua dapat dipujuk agar reda dengan pekerjaannya yang banyak membantu menyara keluarga dan pendidikan anak-anaknya. Akhirnya Pak Tua dan anak-anaknya berjaya menceburi bidang pelancongan dengan membuat resort keluarga di hutan simpan miliknya.

Tema
Kemusnahan alam semulajadi untuk pembangunan. Kawasan bekas aktiviti pembalakan akhirnya telah menjadi kawasan perladangan. Estet-estet kelapa sawit luas saujana mata memandang..

Persoalan
1. Persoalan kemusnahan flora dan fauna alam. Aktiviti pembalakan yang dilakukan telah memusnahkan kehidupan flora dan fauna.
2. Persoalan kekesalan atas kemusnahan khazanah alam. Pak Tua menyesal kerana pekerjaannya sebagai pemandu jentolak dengan syarikat pembalakan menyebabkan khazanah hutan musnah,
3. Persoalan kepentingan pendidikan anak-anak. Empat orang anak Pak Tua telah berjaya dalam bidang pendidikan dan kerjaya masing-masing..
4. Persoalan kepentingan pembangunan dalam memajukan negara.Pembangunan dalam bidang pertanian dapat memberi sumber pendapatan kepada negara.

Plot
Secara keseluruhannya plot drama digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
(i) Permulaan
Pada peringkat ini watak Pak Tua digambarkan sedang memandu jentolak Caterpillar yang mengeluaran asap hitam dan bunyi bising di dalam hutan dara. Jentolak tersebut menumbangkan pokok-pokok dan mengakibatkan binatang-binatang hilang habitat semulajadi. Kawasan hutan dara menjadi gondol dalam sekelip mata.
(ii) Perkembangan
Pada bahagian ini watak Pak Tua dipenuhi perasaan kesal sehingga menitiskan air mata ketika mengimbas kembali pekerjaannya selaku pemandu jentolak 30 tahun yang lalu telah mengakibatkan kemusnahan alam sekitar. Pak Tua berazam untuk mengembalikan kehijauan hutan dara dan flora serta faunanya. Mak Tua pula cuba memujuk Pak Tua dengan menjelaskan bahawa pekerjaan yang dia lakukan dahulu telah membuahkan hasil kerana keempat-empat orang anaknya telah bekerjaya. Sepanjang membesarkan anak-anak juga dia tidak membuat sebarang pinjaman untuk anak-anaknya melanjutkan pelajaran di universiti. Pak Tua terkenangkan zaman mudanya sewaktu dia meninggalkan kampung halamannya untuk mencari pekerjaan. Semasa di kampungnya dia menggunakan bom buatan sendiri untuk menangkap ikan walaupun perbuatan tersebut memusnahkan terumbu karang. Mak Tua terus memujuk Pak Tua agar jangan terlalu menyesali kemusnahan hutan kerana mereka bertemu jodoh dan hidup bahagia sehingga kini kerana dia bekerja di dalam hutan itu.
(iii) Konflik
Peringkat ini bermula setelah Pak Tua mewarisi tanah pusaka ibu bapa mentuanya. Pada waktu ini Pak Tua masih lagi dengan rutinnya pada setiap malam Jumaat menghantar juadah ke masjid sambil terus melakukan solat fardhu dan membaca surah Yasin. Tanah pusaka itu dipenuhi buah-buahan tempatan dan buah-buah itu dipungut oleh Pak Tua untuk anak cucunya, namun begitu untuk mendapatkan buah-buahan hutan dia terpaksa meredah belantara. Digambarkan juga dusun Pak Tua didatangi pelawat yang menaiki bas mini dan kereta kerana jalan yang sudah berturap. Konflik timbul apabila Ajam mempersoalkan tindakan bapanya yang menjadikan tanah dusun itu menjadi hutan simpan di samping ada tanah untuk tapak rumah dan dusun buah-buahan. Melati pula mempertahankan tindakan bapanya yang sebenarnya menolong negara melaksanakan pembangunan dan hal ini disokong oleh Budi.
(iv) Klimaks
Apabila Bakar mencari pekerja untuk menjaga dusun dan hutan daripada pencuri kayu balak yang semakin menjadi-jadi. Melati menyatakan rnacangan mereka adik beradik untuk menjadikan dusun dan hutan itu sebagai kawasan pelancongan.
(v) Peleraian
Pak Tua tidur di ruang utama dengan dikelilingi cucu-cunya sambil bercerita tentang kehidupan sebuah hutan rimba yang indah dan damai. Pada ketika itu juga dia sudah bergelar haji dan berasa lega dengan keputusannya melestarikan harta warisan alam.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Pak Tua
• Pemandu jentolak jenama Caterpillar.
• Seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga. Bertanggungjawab membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anaknya.
• Berjaya membesarkan anak-anak dengan pendidikan tinggi. Anaknya yang sulung Ajam berjaya dalam bidang perniagaan pengangkutan bas antarkota. Anaknya yang kedua, Bakar bekerja sebagaipengurus ladang sebuah estet kelapa sawit. Anaknya yang ketiga, Melati menjadi seorang pensyarah di sebuah IPT dan anaknya yang bongsu seorang guru yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.
• Bangga dengan kejayaan anak-anak.Dia bangga kerana kesemua anaknya sudah Berjaya dalam bidang akademik dan mempunyai kerjaya yang baik.
• Bersyukur dengan pembangunan. Pembangunan yang telah dilakukan telah menyebabkan anak-anaknya dapat menikmati kehidupan yang sempurna.
• Kesal atas pencerobohan hutan.Pak Tua kesal kerana ketika mudanya dia telah terlibat dengan aktiviti pembalakan.
Watak Sampingan
1. Mak Tua
• Isteri Pak Tua.
• Tinggal di tepi sungai berdekatan hutan dara..
• Pandai memasak.Menyediakan makanan yang enak untuk keluarganya.
• Pandai mendidik anak-anak. Anak-anaknya saling menyayangi dan menghormati kedua orang tua mereka..

2. Ajam
• Anak sulung Pak Tua
• Seorang pengusaha pengangkutan bas antarkota..
• Pakar dalam dunia perniagaan.
• Gigih. Kegigihannya menyebabkan dia telah menjadi ahli perniagaan yang berjaya..
• Berfikiran terbuka. Menerima cadangan adik-adiknya yang mahu membuka kawasan pelancongan

3. Bakar
• Anak kedua Pak Tua.
• Berkelulusan Sarjana Pertanian.
• Pengurus ladang estet kelapa sawit.

4. Melati
• Anak ketiga Pak Tua.
• Pensyarah IPT.
5. Budi
• Anak bongsu Pak Tua.
• Seorang guru ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Latar
Latar Masa
1. 30 tahun yang lalu sepanjang usia Pak Tua membesarkan anak-anak.
2. Malam Jumaat . Majlis bacaan Yasin diadakan.
Latar Tempat
1. Hutan tempat diteroka oleh Pak Tua
2. Sungai tempat Mak Tua mencari ikan
3. Sungai Kinabatangan, Sabah
Latar Masyarakat
1. Masyarakat penyayang keluarga masing-masing Contohnya Pak Tua menyayangi semua ahli keluarganya.
2. Masyarakat beriman.., Contohnya Pak Tua yang rajin bersolat di masjid.
3. Masyarakat inginkan pendidikan bagi mencorakkan kehidupan baru, Contohnya anak-anak Pak Tua yang semuanya berpendidikan tinggi..
4. Masyarakat yang inginkan pembangunan bagi memajukan kawasan penempatan, Contohnya Pak Tua yang tidak menghalang hasrat anak-anaknya yang ingin menjadikan kawasan dusun mereka sebagai kawasan pelancongan.

Teknik Plot
1. Pemerian
Contoh :
Kera dan monyet melompat bergayutan lari meninggalkan habitatnya. Begitu juga dengan gajah, babi hutan, payau dan kijang, namun ada yang tak sempat menyelamatkan diri…

2. Dialog
Contoh:
“Bapa telah melestarikan harta warisan alam.” Bakar mencelah kagum.
“Hanya dengan cara inilah bapa dapat menebus kesalahan bapa kerana pernah terlibat dalam pemusnahan hutan suatu masa dahulu.”…
3. Imbas Kembali
Contoh:
Pak Tua cuba meraih kembali ingatannya sewaktu tiga puluh tahun yang lalu.Jari jemarinya terketar-ketar mengurut kerut di dahinya yang menyimpan begitu banyak memori…

4. Suspens
Contoh:
“Tapi kenapa semua kesenangan ini harus terhasil dari sebuah kehancuran. Kehancuran hutan rimba.” Akhirnya kesesakan di dada Pak Tua ikut terluah bersama linangan air matanya. Dia menangis kini. Dia menangis setelah menyedari bahawa tanpa sedar, dia sekali lagi ikut terlibat dalam pemusnahan alam…

Gaya Bahasa
1. Kata ganda Contohnya pohon-pohon
2. Metafora Contohnya ;hutan dara, busana hijau
3. Hiperbola Contohnya…jentolak yang dipandu oleh Pak tua telah merobek dan mengoyak hasil busana hutan…
4. Personifikasi Contohnya ; bunyi mengaum keras mendengung, membingitkan suasana
5. Repetisi Contohnya : Dia menangis kini. Dia menangis setelah…
6. Paradoks Contohnya : …kesenangan ini harus terhasil dari sebuah kehancuran…

Nilai
1. Nilai tanggungjawab. Contohnya Pak Tua yang bertanggungjawab membesarkan keempat-empat orang anaknya sehingga mereka berjaya dengan kerjaya masing-masing..
2. Nilai kasih sayang sesama ahli keluarga. Contohnya anak-anak Pak Tua yang saling menyayangi antara satu sama lain dan berbincang dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
3. Nilai kegigihan. Contohnya Pak Tua yang gigih mencari rezeki untuk menyara kehidupan keluarganya.
4. Nilai kerajinan. Contohnya Pak Tua rajin berusaha untuk meningkatkan diri dengan berhijrah meninggalkan kampung halamannya.

Pengajaran
1. Kita hendaklah menjadi seorang bapa yang bertanggungjawab. Pak Tua bertanggungjawab untuk membesarkan dan member pendidikan yang sempurna kepada anak-anaknya..
2. Kita hendaklah saling berkasih sayang antara adik-beradik.Ini yang ditonjolkan oleh anak-anak Pak Tua yang sama-sama berbincang sebelum mengambil keputusan untuk menjadikan dusun buah-buahan bapa mereka sebagai kawasan pelancongan.
3. Kita mestilah menjadi ketua keluarga yang memiliki sifat gigih bekerja. Hal ini dapat dilihat menerusi watak Pak Tua yang begitu gigih bekerja untuk menyara anak-anak dan isterinya.
4. Kita hendaklah rajin berusaha untuk membaiki taraf hidup.Contohnya Pak Tua yang rajin bekerja sejak zaman mudanya lagi.


Latihan
1. Berikan dua kepentingan hutan kepada manusia.

2. Nyatakan dua langkah lain selain menjadikan tanah pusakanya sebagai hutan simpan yang boleh diambil oleh Pak Tua untuk melestarikan warisan alam.


Jawapan
1. Dua kepentingan hutan ialah sebagai sumber makanan dan sumber herba dan akar kayu untuk perubatan.

2. Memberi penerangan tentang kepentingan khazanah alam kepada para pengunjung dusunnya dan bekerjasama dengan Jabatan Hutan agar hasil hutan simpannya tidak dieksploitasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Cerpen Pahlawan Buntung (S. Othman Kelantan) tingkatan 5

Cerpen Pahlawan Buntung
(S. Othman Kelantan)
Sinopsis
Pertemuan semula Khalid (aku) anak Pak Hassan dengan Pak Hussain selepas berpisah selama 30 tahun mengimbas kembali peristiwa peperangan pada zaman Jepun sehingga menyebabkan kesengsaraan hidup orang Kampung Pulau Pak Amat. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa berpindah apabila kampung mereka diserang tentera Jepun. Sekembali semula dia di kampung halaman selepas tamat perang, orang kampung kembali memulakan kehidupan sebagai nelayan. Selepas itu, Pak Husain terkena serpihan bom tentera Jepun yang mengakibatkan kakinya dipotong. Walau bagaimanapun Pak Hussain dianggap sebagai wira atau pahlawan kerana telah menggadai nyawa demi keselamatan penduduk Kampung Pulau Pak Amat.

Tema
Kesengsaraan hidup akibat peperangan terhadap penduduk kampung serta mengakibatkan kecacatan anggota tubuh badan dan juga kematian.

Peersoalan
1. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara ahli keluarga terutama semasa kesusahan hidup.
2. Persoalan keberanian dan kecekalan dalam mempertahankan hak dan menentang musuh.
3. Persoalan kerjasama anggota masyarakat dalam menghadapi kesulitan.
4. Persoalan mengenang jasa tokoh yang telah berjasa.
5. Persoalan berusaha membina semula kehidupan selepas kesengsaraan hidup.
6. Persoalan hormat kepada warga tua atau warga emas

Plot
Secara keseluruhannya plot cerpen ini mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu;
(i) Permulaan
Watak Pak Husain diperkenalkan melalui imbas kembali Khalid akibat peperangan yang telah berlaku berdasarkan fizikal.

(ii) Perkembangan
Dialog antara Pak Husain dengan Khalid dan imbas kembali Khalid terhadap peperangan yang menyebabkan keluarganya berpindah. Pada ketika itu Pak Husain berusia 30 tahun dan dia telah membantu orang-orang kampung Pulau Pak Amat yang diserang oleh tentera Jepun.

(iii) Konflik
Adik beradik Khalid memeluk ibu mereka kerana perasaan takut yang amat sangat. Pak Husain hilang semasa mengetuai perpindahan orang-orang kampung. Pak Husain ditahan askar Jepun untuk menggali kubur ketika dalam perjalanan memeriksa barang-barang di rumahnya.

(iv) Klimaks

Sewaktu Pak Husain melarikan diri dari tahanan askar Jepun dan semangat Pak Husain hilang dan sentiasa meracau apabila teringat kembali tentang mayat-mayat yang dikebumikannya. Ketika pendaratan perompak di kampung Pak Amat, dia telah membedil para perompak dengan senapang yang diambil dari askar Punjabi dan menyebabkan rumah Pak Ngah Isa terselamat termasuklah penduduk kampung.

(v) Peleraian

Setahun selepas Jepun menyerah kalah, Pak Husain terkena saki baki bom yang ditanam dan mengakibatkan kaki Pak Husain dipotong. Khalid mengimbas kembali segala peristiwa yang menimpa Pak Husain dan keberaniannya menentang musuh serta berharap hubungannya dengan Pak Husain terus terjalin.


Teknik Plot
1. Pemerian

ketika kami melangkah ke pintu tadi, cahaya Subuh sudah terpancar dari sebelah timur. Kemerah-merahan. Keheningan malam selalunya masa begini telah membawa langkah para nelayan ke gigi ombak…


2. Dialog

“Jemputlah ke rumah kami, kataku. “ kami tinggal di Jalan ayam. Abang dan Adik kebetulan ada.”
“Terima kasih Khalid!” Pak Hussain menanamkan matanya ke dalam mataku.

3. Suspens

Dia jugalah mengumpulkan ke pengkalan. Dia segala-galanya. Dan dia tetinggal dalam saat akhir bila Pak Ngah memerintahkan kami meninggalkan pengkalan. Tidak seorang pun di antara kami yang sedar bahawa Pak Husain belum turun ke pengkalan. Dan ketika perahu kami melewati Tuk Lukup, Pulau Tukang Dolah, Pulau Panjang dan Sungai Gali, kami belum sedar akan kehilangan Pak Husain. Mak Bidah, isterinya juga tidak sedar. Dan sekarang. Mak Bidah pula meraung…

4. Imbas kembali
…usianya baru kira-kira tiga puluh tahun. Aku berusia lebih sedikit empat belas tahun. Pak Husain tegap sasa. Dia berani. Dia banyak dicintai oleh gadis-gadis kampungnya…


Latar Masa
• 30 tahun lalu (situasi perang)
• Tahun 1941 – 1973
• Semasa sambutan ulang tahun kemerdekaan
• Semasa zaman penjajahan Jepun
Latar Tempat
• Kampung Pulau Pak Amat
• Kampung Tok Lukup
• Sungai Gali
• Kampung Dal
• Jalan Bayam
Latar Masyarakat
• Masyarakat kampung iaitu Kampung Pulau Pak Amat
• Masyarakat nelayan yang bekerja menangkap ikan
• Masyarakat yang hormat menghormati sesama jiran tetangga
• Masyarakat yang setiakawan dalam memberi pertolongan


Watak Utama
Pak Hussain
• Berusia 60 tahun
• Dahinya berparut dan kaki kudung (terkena serpihan bom)
• Berpakaian sederhana (keperibadian desa – suci murni)
• Mengetuai orang kampung semasa peperangan dengan Jepun. Pak Hussain telah mengetuai penduduk kampung berpindah ketika Jepun menyerang Kampong Pulau Pak Amat.
• Berpengalaman dan pernah diseksa oleh tentera Jepun. Pak Hussain dipaksa menggali kubur besar dan menguburkan mayat orang kampung sehari suntuk oleh pihak Jepun sehingga semangat beliau hilang dan dia meracau – racau.
• Berjasa kepada orang –orang kampong. Pak Hussain dengan berani telah memberitahu pihak jepun bahawa semua penduduk telah melarikan diri. Pak hussain juga pernah membedil kawanan perompak bagi menyelamatkan orang kampong.

Watak Sampingan
1. Khalid (aku)

• Anak Pak Hasan
• Menghormati pak Husain. Khalid bergitu mengagumi keberanian dan sikap Pak Hussain yang sanggup membohongi tentera Jepun untuk menyelamatkan penduduk kampong

2. Fatimah

• Ibu Khalid
• Seorang yang penyayang. Semua anak Fatimah memeluk ibu mereka kerana ketakutan apabila Jepun menyerang kampung mereka.

Gaya Bahasa
1. Kata ganda
Contoh: berjabu-jabu

2. Metafora
Contoh : gebar kebingungan

3. Hiperbola
Contoh : diselubungi oleh raksasa ketakutan dan putus asa

4. Personifikasi
Contoh : ombak pagi yang malas

Nilai
1. Nilai keberanian contohnya Pak Husain berani menghadapi tentera Jepun
2. Nilai kebijaksanaan, contohnya Pak Husain bijak menggunakan tipu daya untuk menyelamatkan diri daripada askar Jepun.
3. Nilai kasih sayang, contohnya Mak Da yang menangisi kehilangan Pak Husain ketika mereka berpindah.
4. Nilai patriotisme, contohnya Pak Husain yang sanggup menggadai nyawa untuk mempertahankan tanah air.

Pengajaran
1. Kita hendaklah berani mempertahankan hak di tanah air sendiri.
2. Kita hendaklah bijak memebuat keputusan bagi menyelesaikan masalah.
3. Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga dan jiran tetangga.
4. Kita hendaklah mematuhi arahan ketua semasa menjalankan sesuatu tugas.

Latihan
1. Apakah kecacatan Pak Husain?
2. Berapakah usia Pak Husain ketika bertemu dengan Khalid?

Jawapan
1. Kaki Pak Husain buntung dan parut yang memanjang pada dahinya.
2. Umur Pak Husain ketika itu lebih daripada 60 tahun.

SAJAK ANAK PENGGUNTING RAMBUT ( NOR HIDAYAH ASARI) TINGKATAN 2

Sinposis
Cerpen “Anak Penggunting Rambut” mengisahkan seorang ayah yang mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Manisah. Manisah merupakan seorang anak yang berambut pendek seperti kanak-kanak lelaki dan mempunyai nama panggilan, Manis. Wajahnya comel dan suka tersenyum walaupun sedang sakit. Ayah berasa Manis lebih baik berambut pendek kerana dia selalu pening dan pitam.

Manis bangga mempunyai ayah yang bekerja sebagai tukang gunting rambut walaupun ayah sudah berusia enam puluh lima tahun. Kerana kebanggaan itu, rambut Manis akan digunting oleh ayah sehingga mencecah usia remaja. Ayah Manis terkenal dengan panggilan Mat Gunting di Kampung Batu 25, Bagan Datoh. Apabila ayah diterima menjadi peneroka FELDA, beliau mengambil upah menggunting rambut setelah pulang dari ladang.

Ketika Manis berada di tadika, kawan-kawannya sering mentertawakan pekerjaan ayahnya sebagai penggunting rambut. Namun demikian, ayah akan menceritakan kesusahannya mencari rezeki di kampung dengan melakukan banyak pekerjaan termasuk menggunting rambut meskipun pendapatannya tidak seberapa. Ayah juga menceritakan rezeki sebagai penggunting rambut sudah sebati dengan hidupnya sejak kali pertama belajar menggunting rambut.

Manis sangat suka berambut pendek. Bagi Manis, rambut pendek telah membawa kemenangan yang bermakna dalam hidupnya ketika berada di tadika. Sejak itu, Manis selesa dengan berambut pendek dan ayah terpaksa menuruti kemahuannya. Kebanyakan orang berpendapat bahawa ayah telah membentuk peribadi Manis berperwatakan lelaki disebabkan rambutnya yang pendek. Namun begitu, ayah menyenanginya apatah lagi Manis menghargai titik peluh ayah sebagai tukang gunting. Selepas kematian isterinya, ayah sibuk mengambil alih tugas di dapur dan menjaga anak-anaknya hingga terlupa menggunting rambut Manis.

Ayah akan mengenakan upah menggunting rambut sebanyak lima puluh sen untuk kanak-kanak dan seringgit untuk orang dewasa. Wang upah tersebut dikelakkan dalam bekas kelengkapan gunting rambut dan disangkut pada dinding. Ayah tahu Manis selalu mengambil antara dua puluh sen atau tiga puluh sen wang upah tersebut tetapi tidak memarahinya apabila mengetahui wang tersebut digunakan untuk membeli keropok lekor di kantin. Setelah menyedari wang belanja sekolah Manis tidak mencukupi, ayah telah menambahnya dengan syarat Manis tidak boleh lagi mengambil wang upah gunting tanpa kebenarannya.

Manis akan menunggu ayah pulang dari ladang sambil mengaturkan masa pelanggan yang datang. Apabila ayah pulang dari ladang, biasanya terdapat dua atau tiga orang pelanggan yang menanti kepulangannya. Manis akan membantu tugas-tugas lain seperti menyapu dan mengumpulkan rambut serta menyediakan cangkul untuk menggali lubang bagi menanam rambut-rambut yang digunting.

Di alam sekolah menengah, Manis masih berambut pendek walaupun dicemburui oleh ramai pelajar senior. Pada waktu cuti hujung bulan, Manis akan meminta ayahnya menggunting rambutnya mengikut gaya yang baru. Akhirnya, imej Manis berambut pendek telah menjadi ikutan rakan-rakannya tetapi tidak disenangi oleh warden asramanya.

Apabila meningkat dewasa, Manis menyambung pelajarannya di Kuala Lumpur. Sepanjang pengajiannya di universiti, Manis jarang-jarang pulang ke kampung. Manis cuma menelefon ayahnya dengan memberikan pelbagai alasan untuk tidak pulang ke kampung.

Pada suatu hari, ayah mendapat panggilan telefon kecemasan daripada kawan Manis yang menyatakan Manis sakit dan berada di hospital. Manis disahkan menghidap leukemia sama seperti penyakit ibunya. Hati ayah menjadi sebak apabila mengusap helaian dan gumpalan rambut Manis yang gugur daripada kulit kepalanya. Kepala Manis kini sudah separuh botak.

Doktor memberikan harapan tipis untuk Manis hidup dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Namun begitu, Allah lebih sayangkan Manis. Dia menghembuskan nafas terakhirnya di atas ribaan ayah. Pada akhir kalimat yang diucapkan oleh Manis kepada, ayahnya, masih terngiang-ngiang di telinga ayahnya betapa sehelai rambut Manis amat bermakna dan Manis tidak mampu menyimpannya lagi.


Tema
Kasih sayang ayah terhadap anaknya. Ayah yang bekerja sebagai tukang gunting menyayangi anaknya, Manis dengan memenuhi kehendak anaknya untuk bergunting rambut hingga ke akhir hayat anaknya.


Persoalan
1. Persoalan berdikari untuk meneruskan kehidupan.
Contoh: Ayah meneruskan kehidupan menjaga Manisah setelah kematian isterinya.

2. Persoalan prihatin dengan masalah.anak.
Contoh: Ayah menambah wang saku anaknya setelah wang saku yang diberi tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian di sekolah.

3. Persoalan menerima takdir Tuhan dengan tabah dan tenang.
Contoh: Ayah dan anak-anaknya redha menerima kematian Manisah akibat penyakit Leukemia.

4. Persoalan mementingkan ilmu pengetahuan sebagai penyuluh hidup.
Contoh: Manisah sanggup meninggalkan keluarga di kampung untuk menyambung pelajaran di bandar.

Plot
Permulaan
Pengarang memulakan cerita dengan memperkenalkan watak ayah sebagai tukang gunting yang dikagumi oleh anak perempuannya, Manis. Pekerjaan ayah sebagai tukang gunting bermula dengan kerja sampingan tetapi akhirnya menjadi tersohor di Bagan Datoh. Manis pula menjadi pelanggan ayahnya dengan gaya guntingan rambut pendek.

Perkembangan
Manis berbangga dengan kerjaya ayahnya, sebagai tukang gunting walaupun diketawakan oleh kawan-kawannya. Kesetiaan Manis menemani ayahnya waktu bergunting rambut telah dikagumi oleh ayahnya. Manis mempunyai prinsip untuk mempertahankan rambut pendeknya walaupun sudah bersekolah menengah dan ditegur oleh warden asramanya. Setelah melanjutkan pelajarannya di peringkat universiti, Manis tidak pulang ke kampungnya dan hanya sekadar menelefon ayahnya sahaja.

Klimaks
Manis disahkan menghidap penyakit leukemia oleh doktor. Dia hanya boleh hidup selama beberapa bulan sahaja. Ayah tersentuh hatinya apabila menerima perkhabaran itu

Peleraian
Penyakit leukemia Manis bertambah parah. Manis akhirnya meninggal dunia. Ayah menerima suratan takdir Allah dengan mengenang kembali makna sehelai rambut Manis yang gugur akibat penyakit leukemia.

Teknik Penceritaan
Cerita disusun mengikut kronologi urutan masa.

1. Dialog
Contoh: “Mengapa abah teruskan juga menjadi pengunting rambut bila dah sampai ke sini?”

2. Imbas kembali
Contoh: Aku masih ingat kali pertama dia ke tadika. Dia menangis.

3. Monolog Dalaman
Contoh: Kau tak rindukan pisau cukur yang pernah tergores di leher jinjangmu. Manis sudah lapan bulan abah tidak menggunting rambutmu.

Watak dan Perwatakan
Ayah
 Sudah berusia lewat 60-an.
 Seorang bapa tunggal.
 Rajin bekerja untuk menyara keluarganya.
 Tabah menjalankan tugasnya sebagai tukang gunting.
 Memiliki bakat dan kepandaian menggunting rambut.
 Hidup menduda setelah kematian isteri.

Manisah (Manis)
 Memiliki raut wajah yang comel.
 Berpendirian tegas dan sanggup menghadapi risiko.
 Berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam bidang pelajaran.
 Rajin membantu orang lain.
 Gemar berambut pendek.


Latar
Masa
 Petang – Ayah menanam rambut Manis di dalam satu lubang kecil selepas kematian Manis.
 Subuh – waktu Manis meninggal dunia kerana penyakit leukemia.
 Waktu siang – waktu ayah bekerja di ladang, di kedai gunting rambut, dan Manis pergi ke sekolah.

Tempat
 Kampung Batu 25, Bagan Datoh – kampung asal ayah sebelum berpindah ke tanah rancangan FELDA.
 Tanah rancangan FELDA – tempat ayah merantau untuk mencari penghidupan yang lebih baik.
 Tadika – Manis dan kumpulannya mengambil bahagian dalam acara membawa bakul kacang di atas kepala dan memenangi acara tersebut.
 Asrama – Manis tinggal di asrama semasa bersekolah menengah.
 Hospital – tempat Manis dirawat kerana penyakit leukemia.

Masyarakat

 Masyarakat yang mementingkan sikap berdikari untuk kelangsungan hidup.
Contoh: Ayah yang berdikari mendidik anak-anaknya setelah kematian isterinya.

 Masyarakat peneroka FELDA yang dapat mengusahakan kerja sampingan.
Contoh: Ayah menjadi peneroka dan meninggalkan kampung halamannya.

 Masyarakat yang berani mempertahankan risiko.
Contoh: Ayah mempertahankan tindakannya memotong rambut Manisah hingga
pendek walaupun dikritik orang kampung.

 Masyarakat yang menerima takdir Tuhan dengan tabah
Contoh: Ayah dan abang menerima takdir kematian Manisah dengan redha.

Gaya Bahasa
1. Sinkope
Contoh: Kau degil tetapi cepat menangis.

2. Kata Ganda
Contoh: Sampah-sarap, rakan-rakan, awal-awal,

3. Simile
Contoh: Seperti Busut Hitam

4. Personifikasi
Contoh: Jari-jemari abah ini seperti menari-nari sendiri

Nilai
1. Nilai keberanian.
Contoh: Manisah berani berambut pendek walaupun telah dipanggil dan ditegur oleh guru.

2. Nilai berdikari
Contoh: Ayah berdikari dalam mendidik anak-anak selepas kematian isterinya.

3. Nilai semangat bermasyarakat
Contoh: Ayah sanggup meneruskan kerja menggunting rambut kepada peneroka dan anak peneroka walaupun bayarannya rendah.

4. Nilai kasih sayang
Contoh: Ayah sangat menyayangi Manisah sejak dari kecil hingga dewasa.

5. Nilai kerajinan
Contoh: Ayah rajin bekerja di ladang dan juga sebagai tukang gunting rambut pada sebelah petangnya. Manisah juga rajin menolong ayahnya membersihkan tempat menggunting rambut.

Pengajaran
1. Kita hendaklah menerima ketentuan Allah
Ayah menerima ketentuan Allah yang mengambil nyawa isterinya dan juga nyawa anaknya Manisah lebih awal.

2. Kita hendaklah mendidik anak dengan sempurna.
Ayah mendidik anak-anaknya dengan baik walaupun tanpa isteri yang telah meninggal dunia.

3. Kita hendaklah bersangka baik terhadap jiran.
Orang kampung memahami mengapa ayah memotong rambut Manisah hingga pendek.

4. Kita hendaklah rajin belajar walaupun berjauhan dengan keluarga.
Manisah rajin belajar sehingga masuk universiti walaupun berjauhan dengan keluarganya.


Latihan

1. Apakah pengajaran yang terdapat dalam petikan di bawah?
“ Bagaimanapun ajal dan maut kuasa Allah. Allah lebih sayangkan Manis. Subuh itu Manis menghembuskan nafasnya yang terakhir di ribaanku.”

2. Nyatakan gaya bahasa yang terdapat dalam petikan di bawah?
“Abah hanya mahu merindumu, Manis.”

3. Nyatakan 3 perwatakan abah dalam petikan di atas?
“Abah saya tukang gunting rambut. Masa muda, orang kampung panggil abah Mat Gunting. Abah saya cukup terkenal di kampung Batu 25, Bagan Datoh.”

Jawapan
1. Kita haruslah menerima takdir Ilahi.
2. Gaya bahasa sinkope, contoh merindumu.
3. Tukang gunting rambut, nama gelaran Mat Gunting, Pernah tinggal di Kampung Batu 25, Bagan Datoh, dan terkenal di Kampung Batu 25.

Thanks my Audience pageviews by countries

From: Malaysia 4,054
United States 108
Indonesia 55
Moldova 47
Brunei 37
Singapore 19
South Korea 14
Germeny 8
Thailand 7
Japan 6

Terima kasih ziarah blog saya. :)

Monday, March 7, 2011

Di Perpustakaan (Shafie Abu Bakar) Tingkatan 4

Maksud
Rangkap 1

Penyajak menggambarkan suasana di dalam perpustakaan sangat berbeza daripada tempat-tempat lain. Perpustakaan amat kaya dengan pelbagai ilmu. Para pengunjungnya pula tekun menelaah.

Rangkap 2

Penyajak berasakan bahawa dirinya terlalu kerdil apabila berada di rak buku yang mengandungi pelbagai jenis buku. Penyajak berasakan ilmu yang dimilikinya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu yang terdapat di perpustakaan dan dirinya tidak mugkin dapat menguasai semua ilmu yang ada di dunia.

Rangkap 3

Penyajak berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun dia mengetahui ilmu yang ada tidak akan habis diterokainya.

Tema
Perpustakaan merupakan gedung ilmu yang menjadi kunjungan pencinta ilmu.

Persoalan
1. Persoalan pelbagai khazanah ilmu yang terdapat di perpustakaan dan perlu dimanfaatkan.
2. Persoalan tentang pencarian ilmu pengetahuan yang terlalu luas bidangnya.
3. Persoalan cinta akan ilmu pengetahun.

Bentuk
1. Terdiri daripada tiga rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada sepuluh baris, rangkap kedua ada lima belas baris dan rangkap ketiga terdiri daripada enam baris.
3. Mengandungi antara dua hingga lima patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas abccdddddd, abacdbbefegehcc,, abbaba.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Sinis


Gaya Bahasa
1. Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : Gua pendeta bersamadi.

2. Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa (rangkap 1 baris 4)
Pengulangan konsonan t
Contoh : satu pertukaran yang kontras

3. Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :Dahaga tak pernah langsai (rangkap 3, baris 6)
Pengulangan vokal i
Contoh : hanya sebiji dari mutiara (rangkap 2, baris 12)

4. Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : Di puncak sepi
Di sana sini (rangkap 1, baris 7-8)

5. Metafora
Contoh : Di dada samudera (rangkap 3, baris 3)
Bahtera ilmu (rangkap 2, baris 7)
6. Sinkope
Contoh : Melangkah ke ruangmu
Yang akan kucatat

7. Personifikasi
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa

8. Imejan
Contoh : Gua pendeta bersemadi. (rangkap 1, baris 6)

Nilai
1. Nilai kerajinan, contohnya rajin menuntut ilmu.
2. Nilai ketekunan, contohnya tekun dalam mempelajari ilmu pengetahuan.
3. Nilai bertanggungjawab contohnya berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan.

Pengajaran
1. Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
2. Kita hendaklah meneliti minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
3. Kita hendaklah memiliki kegigihan dalam usaha mngejar ilmu.
4. Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.

Latihan
Soalan

1. Mengapakah penyajak berasa kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan?

2. Nyatakan dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat.

Jawapan:

1. Penyajak kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan kerana dipenuhi pelbagai buku ilmiah yang membezakan perpustakaan daripada tempat-tempat lain.

2. Dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat ialah tempat rujukan kepada pencinta ilmu dan sumber ilmu dalam pelbagai bidang.

Sajak Mengintai Ruang Insaf (Shukri Abdullah) Tingkatan 4

Maksud
Rangkap 1
Penyajak berasakan bahawa semakin banyak dosa yang dilakukannya telah menjauhkan dirinya dari rahmat Allah s.w.t.

Rangkap 2
Penyajak merupakan insan biasa yang seringkali melakukan kesilapan dalam hidup sehinggakan sukar untuk dirinya mendapat cahaya kebenaran dari Ilahi.

Rangkap 3
Penyajak tidak yakin sekiranya ruang keinsafan akan wujud dalam dirinya.

Rangkap 4
Penyajak berharap agar pintu taubat masih terbuka dan dirinya terhindar dari api neraka.


Tema
Perasaan insaf seseorang atas kesilapan yang dilakukan dan bertekad untuk bertaubat.

Persoalan
1. Persoalan fitrah manusia yang sering melakukan kesilapan dalam hidup..
2. Persoalan keinsafan yang wujud dalam diri manusia apabila menyedari kesilapan masa lalu.
3. Persoalan keinginan untuk kembali mendapat keampunan dan rahmat Allah.
4. Persoalan kesukaran mendapat rahmat Allah akibat berterusan melakukan dosa dalam hidup.



Bentuk
1. Terdiri daripada empat rangkap

2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada empat baris, rangkap kedua ada enam baris, rangkap ketiga terdiri daripada lima baris manakala rangkap keempat terdiri daripada tiga baris.

3. Mengandungi antara satu hingga enam patah kata sebaris.

4. Rima akhirnya bebas abab,abcdbe,aabcd dan abb.

5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Melankolik.

Gaya Bahasa
1. Pemilihan kata atau diksinya indah.
Contoh : tubuhku tercalar duri pidana.

2. Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Tanpa kembali ke tunjang makna (rangkap 3 baris 2)

3. Pengulangan konsonan k
Contoh : kerap kakiku tersadung selirat akar (rangkap 2, baris 2)

4. Dialog
Contoh : “Apakah dalam sarat khilaf masih terbuka ruang untuk dianugerahkan keinsafan?”

5. Asonansi :pengulangan vokal i
Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup. (rangkap 2, baris 1)

6. Pengulangan vokal u
Contoh : masih terbuka ruang untuk (rangkap 3, baris 4)

7. Metafora
Contoh : Sewaktu berlari di padang hidup (rangkap 2, baris 1)

8. Hiperbola
Contoh : Tubuhku tercalar duri pidana (rangkap 2, baris 3)

9. Penggunaan bahasa asing.
Contoh : Rabb (bahasa arab)

10. Sinkope
Contoh : Kerap kakiku tersadung selirat akar.


Nilai
1. Nilai keinsafan, contohnya timbulnya perasaan insaf yang mendalam untuk bertaubat akibat kesalahan masa lampaunya.
2. Nilai rasional, contohnya penyajak mengakui segala kesilapan yang pernah dilakukannya.
3. Nilai kesedaran, contohnya penyajak sedar dirinya telah melakukan banyak kesalahan.


Pengajaran
1. Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
2. Kita hendaklah meneliti minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
3. Kita hendaklah memiliki kegigihan dalam usaha mngejar ilmu.
4. Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.



Latihan

Soalan

1. Nyatakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini.

2. Nyatakan dua faktor yang boleh mendorong seseorang itu insaf.


Jawapan :

1. Dua gaya bahasa yang terdapat dalam sajak ini ialah penggunaan bahasa asing iaitu Rabb (bahasa arab) dan sinkope ,contohnya, Kerap kakiku tersadung selirat akar.

2. Dua faktor yang mendorong seseorang itu insaf ialah sedar akan kesilapan yang lampau dan mempunyai keinginan untuk bertaubat.

Sajak Harga Remaja (Rahman Shaari) Tingkatan 4

Maksud
Rangkap 1

Pengajak menerangkan tentang kepentingan usia remaja yang tinggi nilainya dalam meniti kehidupan.

Rangkap 2

Penyajak mencetuskan persoalan tentang pengisian kehidupan remaja sama ada dipenuhi kelalaian atau digunakan untuk menuntut ilmu.

Rangkap 3

Usia remaja amat bernilai dan tidak boleh dibeli dengan perjanjian. Remaja perlu teguh pendirian, berani menghadapi cabaran dan gigih menuntut ilmu.

Rangkap 4

Remaja perlu mempunyai matlamat hidup untuk menjadi insan yang berguna.


Tema
Ketinggian nilai usia remaja berdasarkan pengisian usia muda.
Zaman remaja ialah zaman paling berharga dan para remaja mesti mengisinya dengan sesuatu yang baik. Remaja juga mesti berani berpendirian dan berilmu pengetahuan serta mempunyai hala tuju.

Persoalan
1. Persoalan tentang kehidupan remaja yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

2. Persoalan jati diri remaja.

3. Persoalan keberanian remaja dalam menempuh liku-liku kehidupan.Tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.

4. Persoalan hala tuju hidup dalam diri remaja.
Zaman remaja dapat diisi dengan sebaik-baiknya dengan adanya hala tuju dan matlamat hidup.


Bentuk
1. Terdiri daripada empat rangkap
2. Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama, kedua dan ketiga terdiri daripada enam baris, manakala rangkap keempat terdiri daripada dua baris.
3. Mengandungi antara satu hingga empat patah kata sebaris.
4. Rima akhirnya bebas abaccd,abcdcd, abcdce dan aa.
5. Sajak ini berbentuk bebas.

Nada
Sinis


Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek.
Contoh: pendirian (rangkap 3, baris 5)

2. Diksinya mudah difahami.
Contoh: dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)

3. Aliterasi :pengulangan konsonan m
Contoh : remaja amat mahal (rangkap 3, baris 1)

4. Pengulangan konsonan t
Contoh : dengan ketentuan tuju (rangkap 4, baris 2)

5. Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :dengan apakah akan kaupenuhi (rangkap 2, baris 1)
Pengulangan vokal i
Contoh : di pinggir perjalanan ini? (rangkap 1, baris 6)

6. Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : bagai kehijauan daun
bagai kesegaran pohon (rangkap 1, baris 4-5)


7. Metafora
Contoh : piala remajamu (rangkap 2, baris 2)
cuka kesangsian (rangkap 2, baris 3)
madu ajaran (rangkap 2, baris 5)
8. Simile
Contoh : bagai kehijauan daun (rangkap 1, baris 4)

9. Sinkope
Contoh : Penuhilah remajamu
Dengan apakah akan kau penuhi



Nilai
1. Nilai keberanian. Remaja perlu berani untuk menegakkan kebenaran.
2. Nilai kegigihan. Remaja mestilah berusaha untuk menuntut ilmu.
3. Nilai kebijaksanaan. Remaja perlu bijak menentukan hala tuju diri dalam hidup mereka.


Pengajaran
1. Kita hendaklah mengisi masa remaja dengan perkara-perkara yang bermanfaat.
2. Kita mestilah rajin berusaha dan menuntut ilmu demi masa depan yang cerah.
3. Kita hendaklah berani menempuh dugaan hidup.Remaja mestilah mempunyai keberanian kerana tanpa keberanian, remaja susah menghadapi zaman remaja yang penuh masalah dan pengaruh.
4. Kita perlu mempunyai pendirian yang tetap dan yakin akan diri sendiri.








Latihan

Soalan

1. Nyatakan dua nilai yang terdapat dalam sajak Harga Remaja.

2. Nyatakan dua pengajaran yang diperoleh daripada sajak Harga Remaja.

Puisi Tradisional (Syair Definisi Orang Berakal) Tingkatan 4

Maksud
Rangkap 1
Manusia yang berakal dipandang mulia,malahan golongan anbia dan aulia amat mementingkan ilmu. Seseorang yang mencontohi golongan anbia dan aulia akan memperoleh kebahagian.
Rangkap 2
Golongan anbia dan aulia yang berilmu pengetahuan menyebabkan mereka dipilih sebagai ketua dan menegakkan keadilan. Sesiapa yang mentafsirkan golongan tersebut kejam maka dia bakal mendapat balasan.
Rangkap 3
Orang yang berakal mempunyai pandangan yang jauh. Dia akan bersahabat dengan orang yang baik sahaja, sebaliknya mengenepikan orang yang jahat kerana takut terpengaruh dengan sikap negatif mereka.
Rangkap 4
Orang yang berakal juga patuh kepada perintah Allah dan mengikut hukum syarak. Selain berserah kepada Allah, mereka juga tidak tamak haloba kerana menyedari bahawa dunia ini tidak kekal.
Rangkap 5
Orang yang berakal disayangi oleh golongan atasan, namun mereka tidak mengada-ngada, tidak sombong dan menganggap status mereka sama sahaja dengan rakan taulan.
Rangkap 6
Jika pihak atasan memberikan perhatian yang lebih kepadanya, mereka sentiasa berwaspada. Malahan mereka berusaha merapatkan hubungan dengan rakan-rakan, merendah diri dan sedia berkhidmat.
Rangkap 7
Orang yang berakal tidak bosan dalam mengejar ilmu pengetahuan dan sentiasa membuat penelitian untuk mencari jawapan agar tidak terpedaya.

Tema
Ciri-ciri orang yang berakal.

Persoalan
1. Persoalan ketinggian status orang yang berilmu (rangkap 1)
2. Persoalan kebijaksanaan orang yang berakal menyelesaikan masalah (rangkap 2)
3. Persoalan keinsafan seseorang akan kuasa Tuhan (rangkap 4)
4. Persoalan kepatuhan kepada hukum syarak (rangkap 4)
5. Persoalan keikhlasan dalam persahabatan (rangkap 6)

Bentuk
1. Terdiri daripada tujuh rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5.
• Tiadalah ia melanja-lanja (3 perkataan)
• Sangatlah mengasihi tuan dan sahabat (5 perkataan)
4. Terdiri daripada sembilan hingga tiga belas suku kata.
• Jika ia dikasihi raja (9 suku kata)
• Sangatlah mengasihi orang yang jahat (11 suku kata)
5. Rima akhir syair ini ialah aaaa
6. Syair ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Menjadi kepala bela bermacam - pengulangan vokal e
2. Aliterasi - Menjauhkan tamak hendak tawakal - pengulangan konsonan k
3. Sinkope – Ibanya tahu dunia tak kekal
4. Anafora - Tiadalah ia melanja-lanja
Tiadalah menyombong pada bekerja
5. Penggunaan kata klasik - tersunjam, ibanya, melanja-lanja, tersemu

Nilai
1. Nilai kebijaksanaan.
Orang yang bijaksana akan dilantik sebagai pemimpin dan dipandang mulia.

2. Nilai kasih sayang
Seseorang yang berakal sangat mengasihi ketua dan rakan-rakannya.

3. Nilai ketaatan.
Seseorang yang berakal akan taat kepada hukum syarak.

4. Nilai kerajinan.
Orang yang berakal sentiasa menelaah untuk mendalami ilmu pengetahuan tanpa rasa jemu.

Pengajaran
1. Kita haruslah mencontohi ciri-ciri orang yang berakal seperti para anbia dan aulia agar kehidupan akan lebih bahagia.
2. Kita mestilah menyayangi sahabat yang baik dan menjauhi orang-orang yang bersikap negatif agar tidak terpengaruh.
3. Kita haruslah merendah diri walaupun berilmu dan disayangi ramai agar terhindar daripada sifat riak dan takbur.
4. Kita hendaklah patuh pada hukum syarak agar terhindar daripada kemungkaran.
Latihan
1. Nyatakan tema Syair Definisi Orang Berakal.
2. Berikan dua gaya bahasa yang terdapat dalam Syair Definisi Orang Berakal.

Jawapan
1. Tema Syair Definisi Orang Berakal ialah ciri-ciri orang yang berakal.

2. Dua gaya bahasa yang terdapat dalam Syair Definisi Orang Berakal ialah sinkope iaitu penggunaan perkataan tak dalam rangkai kata ibanya tahu dunia tak kekal dan penggunaan kata klasik, contohnya tersunjam, ibanya, melanja-lanja dan tersemu.

Puisi Tradisional Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran) Tingkatan 4

Maksud
Rangkap 1
Seseorang isteri dianggap tidak sempurna walaupun memiliki kecantikan jika dia tidak tahu melakukan kerja-kerja dapur.
Rangkap 2
Jika seseorang yang tidak berilmu cuba menunjukkan kepandaian, sudah pasti dia akan ditertawakan.
Rangkap 3
Seseorang pemimpin tidak akan dapat berbuat apa-apa setelah kuasanya telah hilang
Rangkap 4
Perasaan bimbang apabila seseorang yang melakukan sesuatu di luar berkemampuan.
Rangkap 5
Perasaa hairan yang timbul apabila orang bawahan berjaya mengambil alih kuasa daripada seseorang pemimpin yang berpengaruh.

Tema
Sindiran terhadap masyarakat yang bersikap luar biasa.


Persoalan
1. Persoalan tanggungjawab seorang isteri terhadap urusan rumah tangga.
2. Persoalan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan.
3. Persoalan pemimpin yang kehilangan kuasa.
4. Persoalan kebimbangan melihat sesuatu perkara yang luar biasa .
5. Persoalan musibah yang berlaku akibat kelalaian.

Bentuk
1. Terdiri daripada lima rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5.
• kupu-kupu terbang melintang (3 perkataan)
• kalau tak pandai menumbuk sambal (5 perkataan)
4. Terdiri daripada 9 hingga 11 suku kata.
Apa guna berkain batik (9 suku kata)
Apalah guna beristeri cantik (11 suku kata)
5. Rima akhir pantun ini ialah abab kecuali rangkap kedua, abac
6. Pantun ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Kalau tidak memakai capal – pengulangan vokal a
2. Aliterasi - Melihat ikan memanjat kayu – pengulangan konsonan m
3. Sinkope - Kalau tak pandai menumbuk sambal
4. Personikasi
• Ikan kering lagi ketawa
• Mendengar tupai membaca kitab
5. Unsur alam
• Haiwan – ikan, tupai, harimau, kambing, burung, kupu-kupu
• Tumbuhan – rotan,saga

Nilai
1. Nilai bertanggungjawab
Seseorang isteri bertanggungjawab menguruskan rumah tangga dengan baik.

2. Nilai kegigihan
Seseorang yang gigih berusaha bagi mencapai matlamatnya.

3. Nilai rasional
Seseorang yang rasional dalam melakukan sesuatu perkara.

Pengajaran
1. Kita haruslah bertanggungjawab menguruskan rumah tangga agar kehidupan lebih harmoni.
2. Kita mestilah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah.
3. Kita haruslah berfikir dan bertindak secara rasional agar tidak mendatangkan masalah kepada orang lain.

Latihan
1. Berikan dua persoalan yang dikemukakan dalam Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran).

2. Nyatakan tiga pengajaran berdasarkan Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran).

Jawapan
1. Dua persoalan yang terdapat dalam Pantun Empat Kerat ialah tanggungjawab seorang isteri terhadap urusan rumah tangga dan persoalan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan.

2. Antara pengajaran yang terdapat dalam Pantun Empat Kerat ialah kita haruslah bertanggungjawab menguruskan rumah tangga agar kehidupan lebih harmoni dan
kita mestilah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah. Selain itu,kita haruslah berfikir dan bertindak secara rasional agar tidak mendatangkan masalah kepada orang lain.

Puisi Tradisional (Pantun Empat Kerat (Budi))

Maksud
Rangkap 1
Seseorang yang berbudi, namanya pasti akan disebut-sebut.
Rangkap 2
Seseorang yang berbudi akan terus menjadi sebutan walaupun telah meninggal dunia.
Rangkap 3
Walaupun hanya sedikit budi yang ditaburkan akan tetap dikenang.
Rangkap 4
Perasaan kasih sayang yang wujud dalam diri seseorang akan menyebabkan hubungan mereka berterusan ke akhir hayat.

Tema
Kelebihan mempunyai budi pekerti yang baik

Persoalan
1. Persoalan budi yang sentiasa dikenang walaupun telah meninggal dunia.
2. Persoalan ketinggian nilai budi.
3. Persoalan kasih sayang yang wujud sesama insan hasil daripada budi yang ditaburkan.

Bentuk
1. Terdiri daripada empat rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara tiga hingga lima.
• Anak itik terenang-renang (tiga perkataan)
• Jika tak kenang kepada saya (lima perkataan)
4. Terdiri daripada 9 hingga 11 suku kata.
• Terang bulan terang di paya (9 suku kata)
• Orang yang mati meninggalkan nama (11 suku kata)
5. Rima akhir pantun ini ialah abab
6. Bentuk pantun ini terikat dengan puisi tradisional.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Terang bulan terang di paya - pengulangan vokal a
2. Aliterasi – Orang yang mati meninggalkan nama. –pengulangan konsonan g
3. Kata ganda - Anak ikan terenang-renang
4. Sinkope – Jika tak kenang kepada saya
5. Repitasi - Terang bulan terang di paya

Nilai
1. Nilai menghargai budi.
Budi yang ditabur oleh seseorang akan dikenang walaupun orang itu telah tiada.

2. Nilai keihlasan.
Keikhlasan menghulurkan budi kepada insan lain.
Pengajaran
1. Kita haruslah berbudi kepada orang lain agar disanjung oleh masyarakat.
2. Kita mestilah ikhlas menabur budi agar kehidupan lebih sejahtera.
3. Kita hendaklah menghargai budi yang dicurahkan oleh orang lain agar hubungan berkekalan.

Latihan
1. Berikan maksud rangkap kedua bagi Pantun Empat Kerat (Budi)

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama,
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

2. Huraikan tiga ciri Pantun Empat Kerat.
Jawapan
1. Maksud rangkap kedua Pantun Empat Kerat ialah seseorang yang berbudi akan terus menjadi sebutan walaupun telah meninggal dunia.

2. Antara ciri pantun Empat Kerat ialah terdiri daripada empat rangkap dan setiap rangkap terdiri daripada empat baris. Selain itu, jumlah perkataan dalam setiap baris antara tiga hingga lima patah kata.

Saturday, March 5, 2011

Sajak Arkitek Kota (SN Muhammad Hj Salleh) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1
Kawasan kota sepatutnya dibangunkan oleh golongan yang benar-benar bertanggungjawab. Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok belok dan keadaan serta keperluan semasa kota yang hendak dibangunkan.

Rangkap 2
Hal ini demikian kerana, mereka merupakan penghuni yang mendiaminya. Banyak kajian dibuat dan mengambil kira pandangan dan kepentingan pelbagai pihak yang menghuni kota tersebut.

Rangkap 3
Perancang kota juga seharusnya seorang yang mencintai alam sekitar. Kehidupan flora dan fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semula jadi perlu dipertahankan malah perlu diperindah dengan landskap yang mempesona.

Rangkap 4
Orang yang membina kota merupakan generasi muda yang bukan sahaja luas ilmu pengetahuannya malah sarat dengan idea-idea yang bernas.

Tema
Keperluan pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan pembangunan di kota.


Persoalan
1. Persoalan keprihatinan penting dalam memahami sesuatu keadaan.Nilai ini penting supaya sesuatu keadaan dapat difahami.

2. Persoalan pembangunan kota perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Pembangunan kota perlu dilihat menerusi pelbagai sudut.

3. Persoalan kepentingan menjaga alam sekitar.Alam sekitar perlu dijaga.

4. Persoalan generasi muda memiliki pelbagai idea bernas.Golongan ini mempunyai idea-idea baru yang bernas.


Bentuk
1. Bentuk bebas

2. Jumlah rangkap - 4 rangkap
- Rangkap 1 - 7 baris ayat
- Rangkap 2 - 6 baris ayat
- Rangkap 3 - 5 baris ayat
- Rangkap 4 - 2 baris ayat

3. Rima akhir setiap rangkap
- Rangkap 1 – abacdea
- Rangkap 2 – aabcdd
- Rangkap 3 – abcad
- Rangkap 4 – ab


Nada
Sinis

Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya : perasaan musim

2. Diksi – mudah difahami
Contohnya : pemerhati tasik

3. Aliterasi – perulangan konsonan’p’
Contohnya : perenung di perpustakaan

4. Asonansi – perulangan vokal ’i’
Contohnya : fiil langit dan sabar bumi

5. Kata ganda
Contohnya : berbagai-bagai

6. Metafora
Contohnya : jiwa laut,diam batu, perasaan musim


7. Perlambangan
Contohnya ; pengadil, pemancing, pengawas, pendekar


Nilai
1. Nilai cintakan alam sekitar. Alam sekitar perlu disayangi.

2. Nilai bertoleransi. Nilai ini penting dalam menjalani kehidupan seharian.terutama di kota.

3. Nilai bertanggungjawab Bertanggungjawab menjaga keindahan alam sekitar. .

4. Nilai bijaksana dalam membuat keputusan Kebijaksanaan penting apabila membuat keputusan.

5. Nilai rasional dalam semua aspek.Kerasionalan penting dalam semua aspek.


Pengajaran
1. Kita hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas semasa merancang pembangunan.

2. Kita hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat ketika membangunkan negara..

3. Kita perlulah membuat pertimbangan yang bijaksana sebelum membuat keputusan.

4. Kita hendaklah memikirkan bencana alam yang mungkin timbul akibat pembangunan kota..

5. Kita hendaklah menjadi perancang yang baik yang mempunyai pelbagai idea bernas dan alternatif.







Latihan

1. Nyatakan bilangan kata dan barisan yang terpanjang dalam rangkap sajak ini.

2. Apakah jenis gaya bahasa bagi rangkai kata berikut?
Sabar bumi, fill langit, bangku bijaksana

Puisi Tradisional (Syair Pemberontakan Patani) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1:

Laksamana telah dititahkan oleh betara ke negeri Patani dengan segera untuk pergi mendapatkan panji-panji atau perintah daripada Raja Senggora tentang peraturan dan hukuman.

Rangkap 2:

Mereka yang dikenakan hukuman harus menerimanya. Mereka boleh memohon agar diberikan pengampunan daripada pegawai yang berkenaan.

Rangkap 3:

Setelah mendengar titah betara, laksamana tidak lagi risau kerana negeri yang ditinggalkannya akan tetap terpelihara daripada huru-hara.

Rangkap 4:

Pada masa yang sama bonda Duli Mahkota Indera iaitu emak saudara laksamana, sudah lama gering dan laksamana tidak sanggup meninggalkan baginda.

Rangkap 5:

Walaupun dengan berat hati, laksamana tetap menjunjung perintah betara.

Rangkap 6:

Laksamana tidak dapat berkata apa-apa kerana dia terpaksa menurut perintah dan laksamana menyerahkan segala-galanya pada Allah.

Rangkap 7: Harapan laksamana agar dapat mendaulatkan nama baginda demi keamanan negara walaupun laksamana terpaksa berkorban.

Rangkap 8:

Dalam menjalankan tugas, laksamana tetap tidak melupakan bonda yang gering meskipun dalam hati kecilnya kemungkinan tidak dapat bertemu dengan bondanya.

Rangkap 9:

Sudah tersurat bahawa masalah yang dihadapi dalam negeri lebih berat berbanding dengan masalah bondanya yang sakit seorang diri kerana melibatkan rakyat jelata.

Rangkap 10:
Maka laksamana melaksanakan titah seri betara dengan segera bagi mendapat panji-panji/perintah Raja Senggora.

Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang tanggungjawab seorang laksamana melaksanakan perintah raja.

Persoalan
1. Persoalan kesetiaan terhadap pemimpin.
2. Persoalan mematuhi arahan pemerintah.
3. Persoalan kepentingan negara menjadi keutamaan bagi setiap rakyat.
4. Persoalan keamanan negara tanggungjawab kita.

Bentuk
1. Rima akhir aaaa
2. Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara tiga hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara sembilan hingga tiga belas suku kata setiap baris.

Gaya Bahasa
1. Diksi (Bahasa Melayu Klasik)
Contoh: masyghul, dura, pegari, peri dan sebagainya.

2. Asonansi
Contoh: Laksamana dititahkan betara (pengulangan vokal ’a’)

3. Aliterasi
Contoh: Barang yang hendak dihukumkan (pengulangan konsonan ’n’)

4. Kata ganda
Contoh: Huru-hara, terkata-kata, bersegera-segera.



Nilai
1. Nilai kesetiaan
Contoh: Setia kepada pemerintah dan negara

2. Nilai amanah
Contoh: Laksamana melaksanakan amanah betara.

3. Nilai cinta akan negara
Contoh: Laksamana sanggup tinggalkan bondanya yang sakit demi negara.

Pengajaran
1. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
2. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
3. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.
4. Kita hendaklah setia kepada raja dan negara.
5. Kita janganlah bersedih dengan keputusan yang diambil sekiranya mendatangkan kebaikan kepada orang lain.



Latihan

1. Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani.

2. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menanam semangat cinta akan negara dalam kalangan remaja?

Puisi Tradisional (Gurindam Tonggak Dua Belas) Tingkatan 5

Maksud
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Masa yang ada hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dan jangan membazirkan masa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Kejayaan akan dikecapi jika kita berusaha dengan tekun dan gigih.


Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Apabila kita seronok bekerja, hidup kita akan lebih gembira.



Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Kesederhanaan dituntut dalam kehidupan dan semua tindakan perlu dilakukan dengan bijaksana.


Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Peribadi unggul dan kejujuran hati.perlu diterapkan dalam kehidupan .


Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.

Sifat baik hati, bertimbang rasa dan bersimpati jadikan amalan.


Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Pemimpin yang baik menjadi ikutan.



Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sempurna.


Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Pembaziran perlu dielakkan dalam melaksanakan sesuatu kerja.


Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Kesabaran dan ketenangan fikiran perlu dalam menghadapi sebarang situasi.


Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Kebolehan diri yang ada perlu ditonjolkan sebagai motivasi.


Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.

Pemikiran kreatif dapat menjana idea yang lebih inovatif.



Tema
Nilai-nilai murni dalam kehidupan

Gurindam ini menekankan penghayatan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang.

Persoalan
1. Persoalan menghargai masa penting dalam kehidupan ( rangkap 1)
2. Persoalan tekun berusaha membawa kejayaan ( rangkap 2)
3. Persoalan kepimpinan melalui teladan (rangkap 7)
4. Persoalan berfikiran tenang dalam membuat keputusan (rangkap 10)
5. Persoalan berfikiran kreatif dan inovatif (rangkap 12)

Bentuk
1. Mempunyai 12 rangkap.
2. Setiap rangkap mengandungi 2 baris
Contohnya : Hendak pandai menghargai masa
Jangan dinanti esok lusa
3. Mengandungi 4 patah perkataan dalam satu baris
Contohnya Nikmat mencipta budaya kreatif:
4. Suku kata antara 9 hingga 14 suku kata
Contohnya ; Ja/ngan di/nan/ti e/sok lu/sa – 9 sukukata sebaris
Hi/dup da/lam ke/mu/lia/an ke/se/der/ha/na/an – 14 sukukata sebaris
5. Rima akhir aa
Contohnya : Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif


Gaya Bahasa
1. Simpulan bahasa – baik hati (rangkap 6 baris 1)
2. Unsur Bunyi
Asonansi – pengulangan vokal a
Kekuatan sifat baik hati ( rangkap 6 baris 1)
Nikmat mencipta budaya kreatif (rangkap 12 baris 1)

3. Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan n
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan (rangkap 4 baris 2)


Nilai
1. Nilai kegigihan, Contohnya kegigihan apabila bekerja.
2. Nilai kebijaksanaan, Contohnya kebijaksanaan dalam melaksanakan tanggungjawab.
3. Nilai kesederhanaan, Contohnya kesederhanaan dalam kehidupan.:
4. Nilai kesabaran, Contohnya kesabaran menghadapi cabaran.

Pengajaran
1. Kita hendaklah bertindak secara bijaksana
2. Kita hendaklah menghargai masa
3. Kita haruslah menunjukkan teladan yang baik
4. Kita janganlah suka membazir.
5. Kita hendaklah tekun berusaha untuk mencapai kejayaan



Latihan
1. Nyatakan bentuk gurindam di atas.
2. Huraikan tema gurindam tersebut.

Puisi Tradisional (Syair Makna Riak) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1:

Riak merupakan satu perbuatan atau sifat baik untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik.

Rangkap 2:

Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.

Rangkap 3:

Dia melakukan perkara itu agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli hal dunia. Perbuatannya nampak baik tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura.

Rangkap 4:

Kadang-kadang riaknya dilakukan dengan meninggi-ninggikan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan memberi ceramah. Namun perkara yang betul dan salah semua dicampur aduk.

Rangkap 5:

Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea/fikirannya logik. Seolah-olah telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu.

Rangkap 6:

Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta di tangannnya memegang tasbih.

Rangkap 7:

Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah dialah ketua.

Rangkap 8:

Riak boleh mendatangkan bala. Amalan kita akan ditolak dan Allah tidak suka dengan sifat riak.

Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang sifat-sifat manusia yang riak.

Persoalan
1. Persoalan sifat riak merupakan sifat yang dibenci oleh tuhan.
2. Persoalan terdapat golongan manusia yang suka menunjuk-nunjuk tentang kelebihan diri.
3. Persoalan ilmu yang dimiliki digunakan untuk kepentingan diri
4. Persoalan kehidupan orang yang riak pasti tidak mendapat keberkatan – amalan tidak diterima oleh Allah.

Bentuk
1. Rima akhir aaaa.
2. Syair ini mengandungi lapan rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara empat hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara 7 hingga 14 suku kata setiap baris.

Gaya Bahasa
1. Diksi (Bahasa Arab)
Contoh : syirik, jazbah, Allah, zikir dan sebagainya.

2. Simile
Contoh: Terkadang jazbah seperti gila.

3. Asonansi
Contoh: supaya disangkanya ianya wali (pengulangan vokal ’a’)

4. Aliterasi –
Contoh: Tetapi hatinya ke dunia bertali (pengulangan konsonan ‘t)

5. Inversi
Contoh – akan dunia tidak peduli.


Nilai
1. Nilai kesyukuran
Contoh: bersyukur dengan ilmu yang dimiliki.

2. Nilai kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk.

Pengajaran
1. Kita janganlah bersifat riak.
2. Kita janganlah suka menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada diri kita.
3. Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
4. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
5. Kita janganlah melakukan perkara yang membawa kepada syirik.



LATIHAN

1. Berikan maksud rangkap kedua Syair Makna Riak.

2. Kemukakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam Syair Makna Riak

Puisi Tradisional (Seloka Si Luncai) Tingkatan 5

Maksud
Sikap Si Luncai yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kehilangan harta benda. Sebagai contoh ada rumah tetapi tidak dijaga dengan baik. Ada anak tetapi tidak diasuh, ada ternakan tidak dibela, tidak bercucuk tanam walaupun ada kebun. Kesimpulannya,Si Luncai kerugian kerana tidak memanfaatkan segala yang dimiliki.

Tema
Sikap negatif menyebabkan kerugian

Persoalan
1. Persoalan sikap tidak bertanggungjawab membawa kerugian
2. Persoalan tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh.
3. Persoalan tidak menggunakan kudrat yang ada.

Bentuk
1. Mempunyai satu rangkap sahaja.
2. Mempunyai 12 baris.
3. Jumlah perkataan antara dua hingga enam perkataan dalam satu baris.
Contoh : biarkan, biarkan...! (2 perkataan - baris 11)
Ada kuat tiada buat (4 perkataan – baris 10)
Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan (5 perkataan – baris 1)

Gaya Bahasa
1. Anafora

Contoh:
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilataih

2. Repitisi

Contoh:
Biarkan...biarkan

3. Unsur bunyi

Contoh:
Asonansi – Ada mata tiada kuasa (baris 9) (pengulangan vokal ‘a’)
Aliterasi – Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya (baris 12) (pengulangan konsonan ‘n’)

Nilai
1. Nilai bertanggungjawab.
Contoh: bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.


2. Nilai kebijaksanaan
Contoh: Kebijaksanaan dalam menjalankan apa jua kerja.

Pengajaran
1. Kita hendaklah menjaga harta benda dengan sebaik-baiknya.
2. Kita hendaklah bijak menggunakan akal.
3. Kita janganlah membiarkan perkara yang salah tanpa menegur kesalahan itu.



Latihan

1. Gambarkan sikap Si Luncai seperti dalam Seloka Si Luncai.

2. Nyatakan pengajaran yang boleh diambil daripada Seloka Si Luncai.

Puisi Tradisional (Pantun Lapan Kerat) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1

Bersifat sabar ialah tanda orang yang beriman. Orang yang beriman tidak akan terpedaya dengan bisikan iblis dan itu sebagai tanda kejayaan.

Rangkap 2

Keturunan manusia berasal daripada Nabi Adam. Dipilih menjadi menjadi khalifah/ pemimpin di muka bumi Allah.

Rangkap 3

Kelalaian manusia menyebabkan bumi rosak binasa. Kebudayaan Timur telah dicemari oleh budaya Barat malah bahasa ibunda juga turut diabaikan.

Tema
Keagamaan

Persoalan
1. Persoalan kunci kejayaan ialah bersabar. (rangkap 1)
2. Persoalan keistimewaan sebagai seorang manusia. (rangkap 2)
3. Persoalan pencemaran budaya dan bahasa . (rangkap 3)

Bentuk
1. Mempunyai 3 rangkap.
2. Mempunyai 8 baris dalam setiap rangkap.
3. Jumlah perkataan antara 3 hingga 5 patah perkataan.
Contoh : ikan teluk parang-parang ( 3 perkataan – rangkap 2)
Contoh : biarlah sabar dengan perlahan ( 4 perkataan – rangkap 1)
Contoh : Di tepi halaman menanam kubis ( 5 perkataan – rangkap 1)
4. Terdiri daripada 8 hingga 13 suku kata.
5. Rima akhir abcdabcd
6. Bentuk pantun terikat.

Gaya Bahasa
1. Unsur bunyi
Asonansi - kerana lalai rosak binasa (rangkap 3 baris 6)
Aliterasi – bumi kandungan nenek moyangku (rangkap 3 baris 5)

2. Sinkof
Bumi kandungan nenek moyangku (rangkap 3 baris 5)

3. Kata ganda
Anak ketam disangka lelabi (rangkap 2 baris 2)
Dapat buruan dibelah-belah (rangkap 2 baris 4)
Bukan makhluk sebarang-barang (rangkap 2 baris 5)
Lengkang-lengkung apa dipaku (rangkap 3 baris 1)

4. Unsur alam
Tumbuhan – kubis, papaya
Haiwan – ikan , ketam, lelabi
Alam – hutan, langit, bumi

Nilai
1. Nilai kesabaran. Kesabaran amat penting untuk menepis segala hasutan iblis.
2. Nilai kesyukuran.Bersyukurlah kita dengan segala anugerah Allah kepada kita.
3. Nilai keimanan. Keimanan penting dalam mengharungi kehidupan.

Pengajaran
1. Kita hendaklah sabar dalam menjalani kehidupan agar kita beroleh kejayaan.
2. Kita hendaklah bersyukur apabila dipilih sebagai pemimpin.
3. Kita janganlah merosakkan budaya dan bahasa Melayu.



LATIHAN.

1. Berikan maksud rangkap Pantun Lapan Kerat dibawah.

Biarlah sabar dengan perlahan,
Itulah tanda tuan beriman
Tidak patah digoncang iblis
Akhirnya menang berjaya.

2. Nyatakan unsur-unsur alam yang terdapat dalam Pantun Lapan Kerat.

Puisi Tradisional (Pantun Enam Kerat) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1
Kelukaan di hati disembunyikan daripada pengetahuan orang lain walaupun pedihnya amat mendalam.
Rangkap 2
Sesuatu yang berlaku kepada kita harus diterima dengan perasaan yang reda kerana itu semua sudah suratan takdir bukannya salah ibu yang melahirkan kita.
Rangkap 3
Sudah menjadi kelaziman manusia sering melebihkan orang yang baru sehingga orang lama terasa disisihkan dan tidak diperlukan lagi.

Tema
Kekecewaan dalam hidup.

Persoalan
1. Persoalan menyembunyikan hati yang terluka (rangkap 1)
2. Persoalan menerima suratan takdir (rangkap 2)
3. Persoalan mengutamakan yang baru berbanding yang lama. (rangkap 3)

Bentuk
1. Mempunyai 3 rangkap
2. Mempunyai 6 baris bagi setiap rangkap
3. Jumlah perkataan antara 4 hingga 5 perkataan sebaris
Contoh : Putik kelapa menjadi muda ( 4 perkataan – rangkap 1)
Contoh : Sudah mendapat orang yang baru (5 perkataan – rangkap 3)
4. Terdiri daripada 8 hingga 12 suku kata.
5. Rima abcabc
6. Bentuk pantun terikat.

Gaya Bahasa
1. Unsur bunyi
Asonansi – hati luka pura tiada ( rangkap 1 baris 4) – pengulangan vokal ‘a’
Aliterasi – kail tersangkut di tepi batang ( rangkap 3 baris 3) – pengulangan konsonan ‘t’

2. Peribahasa
Ibarat kaca jatuh ke lantai ( rangkap 1 baris 6)
Ibarat melukut di tepi gantang (rangkap 3 baris 6)

3. Sinkope
Rasa pedih buat tak tahu (rangkap 1 baris 5)

4. Repitisi
Sudah takdir sudah suratan (rangkap 2 baris 5)

5. Unsur alam
Haiwan – ikan cencaru, ikan gelama
Tumbuhan – kelapa, kedondong, buluh,


Nilai
1. Nilai keredaaan.Contohnya reda dengan suratan takdir.
2. Nilai ketabahan. Contohnya sentiasa tabah dengan kesedihan yang menimpa diri.

Pengajaran
1. Kita janganlah terlalu menunjukkan rasa kecewa.
2. Kita janganlah sesekali menyalahkan takdir.
3. Kita janganlah melupakan orang yang pernah berjasa kepada kita.



Latihan
1. Nyatakan maksud rangkap pertama pantun tersebut.
2. Berikan maksud ibarat melukut di tepi gantang.

STRATEGI MENINGKATKAN DAYA INGATAN.

Pendahuluan

Manusia mempunyai keupayaan untuk me-ngingat yang agak terbatas. Tidak semua perkara yang memasuki ingatan kita kekal dalam ingatan. Akan tetapi, manusia boleh meningkatkan kema-hiran mereka untuk mengingat melalui latihan dan cara yang sistematik. Berikut disenaraikan cara dan strategi cara dan strategi yang boleh dicuba untuk meningkatkan daya ingatan.


•Minat terhadap apa yang dipelajari.

Ini adalah syarat yang pertama. Kita tidak boleh memaksa otak untuk mengingat sesuatu yang tidak diminati. Proses mengingat akan lebih licin jika anda memang meminati apa-apa yang yelah dipelajari.


•Belajar dengan tujuan untuk mengingat.

Belajar dengan tujuan mengingat lebih baik daripada belajar sekadar untuk faham. Oleh itu, apabila anda belajar, dari awal-awal lagi anda su-dah bersedia untuk mengingati apa yang dipelajari. Dengan ini, anda akan mengingat secara spontan. Sebaik sahaja sesuatu maklumat diterima oleh de-ria anda dan kemudian disalurkan ke otak, secara automatik anda akan dapat mengingati kerana tujuan dan matlamat anda begitu jelas.


•Berikan tumpuan sepenuhnya semasa belajar.

Sama ada anda sedang mendengar guru mengajar atau anda sedang membaca, tumpuan yang tidak berbelah bahagi adalah amat penting. Daya ingatan berkait rapat dengan daya tumpuan. Semakin banyak tumpuan diberikan, semakin kuat daya ingatan anda. Ingatan mesti disengajakan dengan cara memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang diajar atau disampaikan oleh guru.


•Fahami dahulu sebelum mengingat.

Anda perlu faham maklumat atau fakta yang akan diingati untuk memudahkan maklumat terse-but di simpan dalam ingatan.

•Menyusun ingatan secara logik.

Lebih mudah untuk mengingat sesuatu fakta, maklumat atau perkara jika dinyatakan dalam satu rumpun dan berkait rapat antara satu sama lain. Ingatan menjadi lebih mudah kika satu-satu fakta itu dapat dikaitkan dengan satu fakta yang lain.

•Mengingati fakta dalam satu rangkaian.

Biasanya adalah lebih mudah untuk mengi-ngat sesuatu fakta, maklumat atau perkara jika di-nyatakan dalam satu rumpun dan berkait rapat antara satu sama lain. Ingatan menjadi lebih mu-dah jika satu-satu fakta itu dapat dikaitkan dengan satu fakta yang lain.

•Latih tubi dan ulang berkali-kali.

Ingatan anda menjadi kukuh jika maklumat yang ingin diingati selalu diulang-ulang. Latih tubi dan ulangan akan mempercepatkan lagi proses ingatan.

•Menilai kembali apa yang dipelajari.

Anda perlu menguji kembali ingatan dan ke-fahaman anda terhadap maklumat yang dipelajari. Cara yang berkesan ialah dengan menggunakan kaedah perbandingan dan perbezaan. Anda perlu membezakan maklumat yang betul dengan yang salah. Anda boleh menggunakan soalan-soalan seperti soalan objektif untuk menguji ketajaman ingatan anda.

•Mengguna dan mencuba apa yang dipelajari.

Anda akan lebih mudah mengingat pelajaran sekiranya anda sendiri mengamalkan apa yang dipe-lajari. Oleh itu, anda perlulah :

•Hubungkan pelajaran dengan perkara yang sudah diketahui.

Contohnya, mengingatkan nombor telefon yang diberi dengan mengaitkan dengan fakta yang diketahui.
Nombor telefon : 5776242

Boleh dipecahkan kepada : 57-76-242



Boleh diingat sebagai : Tahun kemerdekaan Malaysia(57)

Umur nenek (76)

Nombor rumah (242)


•Susun huruf-huruf tajuk sehingga dapat dijadi-kan perkataan atau bunyi yang senang dikenali.

Atau ambil dua huruf awal setiap perkataan dan mengingatkan fakta.

•Kaedah-kaedah lain :

i. Mnemonik (menyusun semula apa yang dipelajari dalam bentuk mudah diingat dengan menggunakan kreativiti tersendiri.

Contohnya untuk menghafal nama-nama bandar seperti : Kuala Lumpur, Bangkok, Jakarta, Manila, Singapura.

Boleh diingat dengan mencipta ayat seperti berikut : Kalau Basi Jangan Makan, Sakit!

ii. Akronim (membuat kependekan kepada suatu senarai maklumat yang perlu diingati.

Kependekan seperti nama jabatan kerajaan seperti INTAN, KEJORA dan sebagainya.

Rumusan :

Kepintaran semulajadi sahaja tidak mencukupi untuk menentukan seseorang itu boleh berjaya dalam pelajaran. Kepintaran semulajadi perlu disokong dengan pelbagai kemahiran belajar. Kemahiran-kemahiran be-lajar bukan sahaja membantu memper-tajamkan dan memperkukuhkan kepintaran dan kebolehan semulajadi tetapi lebih daripada itu dapat meletakkan asas belajar dengan bersistem dan de-ngan itu seluruh sistem pem-belajaran akan berjalan dengan lebih lancar dan terarah.

Apa yang penting sekali ialah setiap pelajar yang ingin berjaya haruslah memperlengkapkan diri mereka sebelum menduduki peperiksaan untuk menuju ke arah itu. Ibu bapa, teman dan rakan sejawat perlulah mem-punyai peranan yang paling istimewa dalam menyalur-kan keyakinan dan meniupkan semangat supaya pelajar-pelajar itu terus terangsang.

Teguran, ingatan dan tiupan semangat sedemikian sudah tentu membantu pelajar untuk berjaya. Selamat Berjaya!

Motivasi Pelajar - Persiapan Sikap

PERSIAPAN SIKAP
SIKAP SEMASA DALAM KELAS.

•Nilai diri sendiri dan bandingkan prestasi rakan yang cemerlang.

•Sesuatu yang berlaku dalam kelas dapat membantu pembelajaran anda.

•Amalkan sikap bersopan santun. Hormat-menghor-mati orang lain yang ingin sama-sama mencari ilmu.

•Masa dan kelas sangat penting.

•Berikan tumpuan dan perhatian sewaktu guru mem-beri penerangan dan penjelasan tentang sesuatu mata pelajaran.

•Memanfaatkan masa dengan menyertai sesi perbin-cangan.

•Kemukakan masalah tentang pelajaran supaya guru dan rakan-rakan dapat bersama-sama menyelesai-kannya.

•Banyak membaca buku teks dan bahan bacaan tambahan lain membantu perbincangan yang baik dan berkesan.

•Kemukakan pandangan, jangan takut.

•Anda harus bertanggungjawab dalam usaha mencapai kejayaan dalam diri.

•Latih diri berkelakuan baik dalam kelas.

•Tanyalah guru tentang cara memperbaiki prestasi supaya tidak merosot.

•Tunjukkan sikap yang baik dan pencapaian yang terbaik untuk kebaikan diri anda sendiri.

MEMBINA KEYAKINAN DIRI.

•Sentiasa bersedia dengan jadual kelas dan bersedia menghadapi mata pelajaran tersebut.

•Sediakan buku catatan bagi mencatat tugas atau kertas kerja yang perlu dilaksanakan di rumah.

•Buat catatan akan dapat mengelakkan daripada terlupa arahan guru.


•Buat persediaan awal sebelum sesuatu sesi mata pelajaran bermula.

SENTIASA TERANGSANG.

•Pandai menyesuaikan diri serta bijak mengikuti program-program yang boleh memberi rangsangan kepada mereka.

•Menghadiri kursus serta motivasi sama ada yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau pun sebaliknya.

•Mendapat dorongan dan galakkan daripada ibu bapa, guru-guru dan taman serta rakan sebaya.

SIKAP SEMASA DALAM KELAS. “AKU TAHU AKU BOLEH BUAT. KALAU ORANG LAIN BOLEH BUAT, AKU PUN MESTI BOLEH BUAT. AKU MESTI BUAT DAN AKU MESTI LULUS PEPERIKSAAN INI DENGAN CEMERLANG.”PERSIAPAN AKHLAK MULIA.




DETIK-DETIK YANG DINANTI-NANTIKAN OLEH PARA CALON PEPERIKSAAN

UPSR 2011

13-15 September 2011

(Ujian Bertulis)


PMR 2011

06 - 06 Oktober 2011

11 - 12 Oktober 2011

(Ujian Bertulis)



SPM 2011 (Ulangan)

13 - 14 Jun 2011

(Ujian Bertulis)

15 - 17 Jun 2011

(Ujian Lisan)



SPM 2011

14 Nov - 14 Dis 2011

(Ujian Bertulis)

Ungkapan menarik yang boleh digunakan dalam karangan para pelajar.

Senarai Contoh Peribahasa/Cogan Kata menarik yang boleh anda gunakan dalam apa jua karangan anda atau sebarang jua bentuk perbualan/komunikasi anda.

Abjad A

Ada asap, ada api: Tidak boleh dipisahkan ada sebab maka ada juga puncanya.

Ada gula, adalah semut: Tempat yang menjanjikan rezeki akan dikerumuni.

Ada udang di sebalik batu: Mempunyai tujuan tersembunyi.

Alah bisa, tegal biasa: Kerana sudah biasa maka tidak terasa susahnya.

Alang leher, minta disembelih: Seolah-olah mengharapkan bencana/kesusahan.

Alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan: Membuat sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai kerja tersebut.

Ambil pati, buang hampas: Ambil yang baik sahaja.

Api kecil baik dipadamkan: Sesuatu yang buruk lebih baik diatasi pada peringkat awalan sebelum ianya menjadi lebih buruk lagi.

Api tatkala kecil menjadi kawan, apabila besar jadi lawan: Perkara yang baik boleh mendatangkan keburukan apabila terlalu banyak.

Aral melintang: Halangan yang tiba menjelma.

Asam garam kehidupan: Pengalaman hidup manusia.


Abjad B

Badan cergas, otak cerdas: Badan yang bertenaga dan sihat, akan dapat melahirkan pemikiran yang sempurna akalnya.

Bagai aur dengan tebing: Saling bantu membantu.

Bagai cendawan tumbuh selepas hujan: Sesuatu yang wujud dengan banyak.

Bagaimana acuan, begitulah kuihnya: Lazimnya perangai yang muda akan mencontohi (mengikuti) yang lebih tua darinya.

Bangkit hatinya: Menimbulkan keberanian dirinya.

Bapa borek, anak rintik: Perangai anaknya mengikut perangai bapanya. (Namun berhati-hati dalam penggunaan peribahasa ini).

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian:

Kesenangan akan tiba selepas kita telah bersusah payah mencari kejayaan.

Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul: Hanya orang yang mengalami sesuatu keadaan sahaja akan benar-benar mengetahui (kesusahan) mengenainya.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing: Berat kerja sama-sama diharungi dan kemudiannya kesenanangan pula akan sama-sama dikecapi.

Berganding bahu: Bekerjasama (tolong menolong).

Berpeluk tubuh: Tidak mahu memberikan pertolongan, hanya tunggu dan lihat sahaja.

Bersatu kita teguh bercerai kita roboh: (Perlu saya bagi penerangan pada anda semua?)

Bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi: Untuk menjayakan sesuatu, kedua belah pihak perlu bersepakat dan bersama bertanggungjawab (kegunaan untuk ayat positif dan juga yang negatif).

Bidan terjun: Orang yang menggantikan tugas orang lain, selalunya untuk jangkamasa yang tidak tetap dan dilakukan dengan cara yang agak kucar-kacir.

Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali: Buat baik biarlah pada tempat yang betul dan dengan cara yang betul, buat jahat jauhkan sama sekali dalam kehidupan ini.

Bukan bersuluh batang pisang, bersuluh bulan matahari: Kebenaran yang nyata akan dapat dilihat/dinilai oleh semua.

Bukan calang-calang: Bukan sebarangan/susah untuk ditandingi.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat: Kata sepakat akan membawa berkat.

Buta huruf: Orang yang tidak tahu membaca dan menulis (jika anda terjumpa seseorang begini, bantulah mereka sedaya-upaya anda agar mereka juga mampu membaca).


Abjad C

Calang orang: Bukan sebarangan, handal, hebat (macam Negarawan Tun Dr. Mahathir!)

Ceruk Rantau: Seluruh kawasan, merata daerah.

Conteng arang di muka: Memalukan diri sendiri.

Cacing kepanasan: Tak boleh duduk diam dalam kelas! Cacing!