Monday, March 7, 2011

Puisi Tradisional Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran) Tingkatan 4

Maksud
Rangkap 1
Seseorang isteri dianggap tidak sempurna walaupun memiliki kecantikan jika dia tidak tahu melakukan kerja-kerja dapur.
Rangkap 2
Jika seseorang yang tidak berilmu cuba menunjukkan kepandaian, sudah pasti dia akan ditertawakan.
Rangkap 3
Seseorang pemimpin tidak akan dapat berbuat apa-apa setelah kuasanya telah hilang
Rangkap 4
Perasaan bimbang apabila seseorang yang melakukan sesuatu di luar berkemampuan.
Rangkap 5
Perasaa hairan yang timbul apabila orang bawahan berjaya mengambil alih kuasa daripada seseorang pemimpin yang berpengaruh.

Tema
Sindiran terhadap masyarakat yang bersikap luar biasa.


Persoalan
1. Persoalan tanggungjawab seorang isteri terhadap urusan rumah tangga.
2. Persoalan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan.
3. Persoalan pemimpin yang kehilangan kuasa.
4. Persoalan kebimbangan melihat sesuatu perkara yang luar biasa .
5. Persoalan musibah yang berlaku akibat kelalaian.

Bentuk
1. Terdiri daripada lima rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara 3 hingga 5.
• kupu-kupu terbang melintang (3 perkataan)
• kalau tak pandai menumbuk sambal (5 perkataan)
4. Terdiri daripada 9 hingga 11 suku kata.
Apa guna berkain batik (9 suku kata)
Apalah guna beristeri cantik (11 suku kata)
5. Rima akhir pantun ini ialah abab kecuali rangkap kedua, abac
6. Pantun ini adalah puisi terikat.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Kalau tidak memakai capal – pengulangan vokal a
2. Aliterasi - Melihat ikan memanjat kayu – pengulangan konsonan m
3. Sinkope - Kalau tak pandai menumbuk sambal
4. Personikasi
• Ikan kering lagi ketawa
• Mendengar tupai membaca kitab
5. Unsur alam
• Haiwan – ikan, tupai, harimau, kambing, burung, kupu-kupu
• Tumbuhan – rotan,saga

Nilai
1. Nilai bertanggungjawab
Seseorang isteri bertanggungjawab menguruskan rumah tangga dengan baik.

2. Nilai kegigihan
Seseorang yang gigih berusaha bagi mencapai matlamatnya.

3. Nilai rasional
Seseorang yang rasional dalam melakukan sesuatu perkara.

Pengajaran
1. Kita haruslah bertanggungjawab menguruskan rumah tangga agar kehidupan lebih harmoni.
2. Kita mestilah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah.
3. Kita haruslah berfikir dan bertindak secara rasional agar tidak mendatangkan masalah kepada orang lain.

Latihan
1. Berikan dua persoalan yang dikemukakan dalam Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran).

2. Nyatakan tiga pengajaran berdasarkan Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran).

Jawapan
1. Dua persoalan yang terdapat dalam Pantun Empat Kerat ialah tanggungjawab seorang isteri terhadap urusan rumah tangga dan persoalan kepentingan memiliki ilmu pengetahuan.

2. Antara pengajaran yang terdapat dalam Pantun Empat Kerat ialah kita haruslah bertanggungjawab menguruskan rumah tangga agar kehidupan lebih harmoni dan
kita mestilah gigih meningkatkan kemahiran diri agar tidak dipandang rendah. Selain itu,kita haruslah berfikir dan bertindak secara rasional agar tidak mendatangkan masalah kepada orang lain.

Puisi Tradisional (Pantun Empat Kerat (Budi))

Maksud
Rangkap 1
Seseorang yang berbudi, namanya pasti akan disebut-sebut.
Rangkap 2
Seseorang yang berbudi akan terus menjadi sebutan walaupun telah meninggal dunia.
Rangkap 3
Walaupun hanya sedikit budi yang ditaburkan akan tetap dikenang.
Rangkap 4
Perasaan kasih sayang yang wujud dalam diri seseorang akan menyebabkan hubungan mereka berterusan ke akhir hayat.

Tema
Kelebihan mempunyai budi pekerti yang baik

Persoalan
1. Persoalan budi yang sentiasa dikenang walaupun telah meninggal dunia.
2. Persoalan ketinggian nilai budi.
3. Persoalan kasih sayang yang wujud sesama insan hasil daripada budi yang ditaburkan.

Bentuk
1. Terdiri daripada empat rangkap.
2. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris
3. Jumlah perkataan dalam setiap baris antara tiga hingga lima.
• Anak itik terenang-renang (tiga perkataan)
• Jika tak kenang kepada saya (lima perkataan)
4. Terdiri daripada 9 hingga 11 suku kata.
• Terang bulan terang di paya (9 suku kata)
• Orang yang mati meninggalkan nama (11 suku kata)
5. Rima akhir pantun ini ialah abab
6. Bentuk pantun ini terikat dengan puisi tradisional.

Gaya Bahasa
1. Asonansi - Terang bulan terang di paya - pengulangan vokal a
2. Aliterasi – Orang yang mati meninggalkan nama. –pengulangan konsonan g
3. Kata ganda - Anak ikan terenang-renang
4. Sinkope – Jika tak kenang kepada saya
5. Repitasi - Terang bulan terang di paya

Nilai
1. Nilai menghargai budi.
Budi yang ditabur oleh seseorang akan dikenang walaupun orang itu telah tiada.

2. Nilai keihlasan.
Keikhlasan menghulurkan budi kepada insan lain.
Pengajaran
1. Kita haruslah berbudi kepada orang lain agar disanjung oleh masyarakat.
2. Kita mestilah ikhlas menabur budi agar kehidupan lebih sejahtera.
3. Kita hendaklah menghargai budi yang dicurahkan oleh orang lain agar hubungan berkekalan.

Latihan
1. Berikan maksud rangkap kedua bagi Pantun Empat Kerat (Budi)

Anak merak mati tersangkut,
Mati dipanah Seri Rama,
Resam di dunia juga disebut,
Orang yang mati meninggalkan nama.

2. Huraikan tiga ciri Pantun Empat Kerat.
Jawapan
1. Maksud rangkap kedua Pantun Empat Kerat ialah seseorang yang berbudi akan terus menjadi sebutan walaupun telah meninggal dunia.

2. Antara ciri pantun Empat Kerat ialah terdiri daripada empat rangkap dan setiap rangkap terdiri daripada empat baris. Selain itu, jumlah perkataan dalam setiap baris antara tiga hingga lima patah kata.

Saturday, March 5, 2011

Sajak Arkitek Kota (SN Muhammad Hj Salleh) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1
Kawasan kota sepatutnya dibangunkan oleh golongan yang benar-benar bertanggungjawab. Mereka merupakan golongan yang arif dan banyak pengetahuan tentang selok belok dan keadaan serta keperluan semasa kota yang hendak dibangunkan.

Rangkap 2
Hal ini demikian kerana, mereka merupakan penghuni yang mendiaminya. Banyak kajian dibuat dan mengambil kira pandangan dan kepentingan pelbagai pihak yang menghuni kota tersebut.

Rangkap 3
Perancang kota juga seharusnya seorang yang mencintai alam sekitar. Kehidupan flora dan fauna perlu dipelihara. Keindahan alam semula jadi perlu dipertahankan malah perlu diperindah dengan landskap yang mempesona.

Rangkap 4
Orang yang membina kota merupakan generasi muda yang bukan sahaja luas ilmu pengetahuannya malah sarat dengan idea-idea yang bernas.

Tema
Keperluan pengetahuan dan pengalaman dalam melaksanakan pembangunan di kota.


Persoalan
1. Persoalan keprihatinan penting dalam memahami sesuatu keadaan.Nilai ini penting supaya sesuatu keadaan dapat difahami.

2. Persoalan pembangunan kota perlu dilihat daripada pelbagai aspek. Pembangunan kota perlu dilihat menerusi pelbagai sudut.

3. Persoalan kepentingan menjaga alam sekitar.Alam sekitar perlu dijaga.

4. Persoalan generasi muda memiliki pelbagai idea bernas.Golongan ini mempunyai idea-idea baru yang bernas.


Bentuk
1. Bentuk bebas

2. Jumlah rangkap - 4 rangkap
- Rangkap 1 - 7 baris ayat
- Rangkap 2 - 6 baris ayat
- Rangkap 3 - 5 baris ayat
- Rangkap 4 - 2 baris ayat

3. Rima akhir setiap rangkap
- Rangkap 1 – abacdea
- Rangkap 2 – aabcdd
- Rangkap 3 – abcad
- Rangkap 4 – ab


Nada
Sinis

Gaya Bahasa
1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya : perasaan musim

2. Diksi – mudah difahami
Contohnya : pemerhati tasik

3. Aliterasi – perulangan konsonan’p’
Contohnya : perenung di perpustakaan

4. Asonansi – perulangan vokal ’i’
Contohnya : fiil langit dan sabar bumi

5. Kata ganda
Contohnya : berbagai-bagai

6. Metafora
Contohnya : jiwa laut,diam batu, perasaan musim


7. Perlambangan
Contohnya ; pengadil, pemancing, pengawas, pendekar


Nilai
1. Nilai cintakan alam sekitar. Alam sekitar perlu disayangi.

2. Nilai bertoleransi. Nilai ini penting dalam menjalani kehidupan seharian.terutama di kota.

3. Nilai bertanggungjawab Bertanggungjawab menjaga keindahan alam sekitar. .

4. Nilai bijaksana dalam membuat keputusan Kebijaksanaan penting apabila membuat keputusan.

5. Nilai rasional dalam semua aspek.Kerasionalan penting dalam semua aspek.


Pengajaran
1. Kita hendaklah mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas semasa merancang pembangunan.

2. Kita hendaklah mengambil kira kepentingan rakyat ketika membangunkan negara..

3. Kita perlulah membuat pertimbangan yang bijaksana sebelum membuat keputusan.

4. Kita hendaklah memikirkan bencana alam yang mungkin timbul akibat pembangunan kota..

5. Kita hendaklah menjadi perancang yang baik yang mempunyai pelbagai idea bernas dan alternatif.







Latihan

1. Nyatakan bilangan kata dan barisan yang terpanjang dalam rangkap sajak ini.

2. Apakah jenis gaya bahasa bagi rangkai kata berikut?
Sabar bumi, fill langit, bangku bijaksana

Puisi Tradisional (Syair Pemberontakan Patani) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1:

Laksamana telah dititahkan oleh betara ke negeri Patani dengan segera untuk pergi mendapatkan panji-panji atau perintah daripada Raja Senggora tentang peraturan dan hukuman.

Rangkap 2:

Mereka yang dikenakan hukuman harus menerimanya. Mereka boleh memohon agar diberikan pengampunan daripada pegawai yang berkenaan.

Rangkap 3:

Setelah mendengar titah betara, laksamana tidak lagi risau kerana negeri yang ditinggalkannya akan tetap terpelihara daripada huru-hara.

Rangkap 4:

Pada masa yang sama bonda Duli Mahkota Indera iaitu emak saudara laksamana, sudah lama gering dan laksamana tidak sanggup meninggalkan baginda.

Rangkap 5:

Walaupun dengan berat hati, laksamana tetap menjunjung perintah betara.

Rangkap 6:

Laksamana tidak dapat berkata apa-apa kerana dia terpaksa menurut perintah dan laksamana menyerahkan segala-galanya pada Allah.

Rangkap 7: Harapan laksamana agar dapat mendaulatkan nama baginda demi keamanan negara walaupun laksamana terpaksa berkorban.

Rangkap 8:

Dalam menjalankan tugas, laksamana tetap tidak melupakan bonda yang gering meskipun dalam hati kecilnya kemungkinan tidak dapat bertemu dengan bondanya.

Rangkap 9:

Sudah tersurat bahawa masalah yang dihadapi dalam negeri lebih berat berbanding dengan masalah bondanya yang sakit seorang diri kerana melibatkan rakyat jelata.

Rangkap 10:
Maka laksamana melaksanakan titah seri betara dengan segera bagi mendapat panji-panji/perintah Raja Senggora.

Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang tanggungjawab seorang laksamana melaksanakan perintah raja.

Persoalan
1. Persoalan kesetiaan terhadap pemimpin.
2. Persoalan mematuhi arahan pemerintah.
3. Persoalan kepentingan negara menjadi keutamaan bagi setiap rakyat.
4. Persoalan keamanan negara tanggungjawab kita.

Bentuk
1. Rima akhir aaaa
2. Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara tiga hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara sembilan hingga tiga belas suku kata setiap baris.

Gaya Bahasa
1. Diksi (Bahasa Melayu Klasik)
Contoh: masyghul, dura, pegari, peri dan sebagainya.

2. Asonansi
Contoh: Laksamana dititahkan betara (pengulangan vokal ’a’)

3. Aliterasi
Contoh: Barang yang hendak dihukumkan (pengulangan konsonan ’n’)

4. Kata ganda
Contoh: Huru-hara, terkata-kata, bersegera-segera.



Nilai
1. Nilai kesetiaan
Contoh: Setia kepada pemerintah dan negara

2. Nilai amanah
Contoh: Laksamana melaksanakan amanah betara.

3. Nilai cinta akan negara
Contoh: Laksamana sanggup tinggalkan bondanya yang sakit demi negara.

Pengajaran
1. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
2. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
3. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.
4. Kita hendaklah setia kepada raja dan negara.
5. Kita janganlah bersedih dengan keputusan yang diambil sekiranya mendatangkan kebaikan kepada orang lain.



Latihan

1. Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani.

2. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menanam semangat cinta akan negara dalam kalangan remaja?

Puisi Tradisional (Gurindam Tonggak Dua Belas) Tingkatan 5

Maksud
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Masa yang ada hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dan jangan membazirkan masa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Kejayaan akan dikecapi jika kita berusaha dengan tekun dan gigih.


Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Apabila kita seronok bekerja, hidup kita akan lebih gembira.



Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Kesederhanaan dituntut dalam kehidupan dan semua tindakan perlu dilakukan dengan bijaksana.


Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Peribadi unggul dan kejujuran hati.perlu diterapkan dalam kehidupan .


Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.

Sifat baik hati, bertimbang rasa dan bersimpati jadikan amalan.


Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Pemimpin yang baik menjadi ikutan.



Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sempurna.


Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Pembaziran perlu dielakkan dalam melaksanakan sesuatu kerja.


Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Kesabaran dan ketenangan fikiran perlu dalam menghadapi sebarang situasi.


Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Kebolehan diri yang ada perlu ditonjolkan sebagai motivasi.


Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.

Pemikiran kreatif dapat menjana idea yang lebih inovatif.



Tema
Nilai-nilai murni dalam kehidupan

Gurindam ini menekankan penghayatan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang.

Persoalan
1. Persoalan menghargai masa penting dalam kehidupan ( rangkap 1)
2. Persoalan tekun berusaha membawa kejayaan ( rangkap 2)
3. Persoalan kepimpinan melalui teladan (rangkap 7)
4. Persoalan berfikiran tenang dalam membuat keputusan (rangkap 10)
5. Persoalan berfikiran kreatif dan inovatif (rangkap 12)

Bentuk
1. Mempunyai 12 rangkap.
2. Setiap rangkap mengandungi 2 baris
Contohnya : Hendak pandai menghargai masa
Jangan dinanti esok lusa
3. Mengandungi 4 patah perkataan dalam satu baris
Contohnya Nikmat mencipta budaya kreatif:
4. Suku kata antara 9 hingga 14 suku kata
Contohnya ; Ja/ngan di/nan/ti e/sok lu/sa – 9 sukukata sebaris
Hi/dup da/lam ke/mu/lia/an ke/se/der/ha/na/an – 14 sukukata sebaris
5. Rima akhir aa
Contohnya : Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif


Gaya Bahasa
1. Simpulan bahasa – baik hati (rangkap 6 baris 1)
2. Unsur Bunyi
Asonansi – pengulangan vokal a
Kekuatan sifat baik hati ( rangkap 6 baris 1)
Nikmat mencipta budaya kreatif (rangkap 12 baris 1)

3. Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan n
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan (rangkap 4 baris 2)


Nilai
1. Nilai kegigihan, Contohnya kegigihan apabila bekerja.
2. Nilai kebijaksanaan, Contohnya kebijaksanaan dalam melaksanakan tanggungjawab.
3. Nilai kesederhanaan, Contohnya kesederhanaan dalam kehidupan.:
4. Nilai kesabaran, Contohnya kesabaran menghadapi cabaran.

Pengajaran
1. Kita hendaklah bertindak secara bijaksana
2. Kita hendaklah menghargai masa
3. Kita haruslah menunjukkan teladan yang baik
4. Kita janganlah suka membazir.
5. Kita hendaklah tekun berusaha untuk mencapai kejayaan



Latihan
1. Nyatakan bentuk gurindam di atas.
2. Huraikan tema gurindam tersebut.

Puisi Tradisional (Syair Makna Riak) Tingkatan 5

Maksud
Rangkap 1:

Riak merupakan satu perbuatan atau sifat baik untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik.

Rangkap 2:

Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.

Rangkap 3:

Dia melakukan perkara itu agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli hal dunia. Perbuatannya nampak baik tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura.

Rangkap 4:

Kadang-kadang riaknya dilakukan dengan meninggi-ninggikan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan memberi ceramah. Namun perkara yang betul dan salah semua dicampur aduk.

Rangkap 5:

Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea/fikirannya logik. Seolah-olah telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu.

Rangkap 6:

Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta di tangannnya memegang tasbih.

Rangkap 7:

Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah dialah ketua.

Rangkap 8:

Riak boleh mendatangkan bala. Amalan kita akan ditolak dan Allah tidak suka dengan sifat riak.

Tema
Syair ini mengemukakan tema tentang sifat-sifat manusia yang riak.

Persoalan
1. Persoalan sifat riak merupakan sifat yang dibenci oleh tuhan.
2. Persoalan terdapat golongan manusia yang suka menunjuk-nunjuk tentang kelebihan diri.
3. Persoalan ilmu yang dimiliki digunakan untuk kepentingan diri
4. Persoalan kehidupan orang yang riak pasti tidak mendapat keberkatan – amalan tidak diterima oleh Allah.

Bentuk
1. Rima akhir aaaa.
2. Syair ini mengandungi lapan rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara empat hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara 7 hingga 14 suku kata setiap baris.

Gaya Bahasa
1. Diksi (Bahasa Arab)
Contoh : syirik, jazbah, Allah, zikir dan sebagainya.

2. Simile
Contoh: Terkadang jazbah seperti gila.

3. Asonansi
Contoh: supaya disangkanya ianya wali (pengulangan vokal ’a’)

4. Aliterasi –
Contoh: Tetapi hatinya ke dunia bertali (pengulangan konsonan ‘t)

5. Inversi
Contoh – akan dunia tidak peduli.


Nilai
1. Nilai kesyukuran
Contoh: bersyukur dengan ilmu yang dimiliki.

2. Nilai kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk.

Pengajaran
1. Kita janganlah bersifat riak.
2. Kita janganlah suka menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada diri kita.
3. Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
4. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
5. Kita janganlah melakukan perkara yang membawa kepada syirik.



LATIHAN

1. Berikan maksud rangkap kedua Syair Makna Riak.

2. Kemukakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam Syair Makna Riak

Puisi Tradisional (Seloka Si Luncai) Tingkatan 5

Maksud
Sikap Si Luncai yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kehilangan harta benda. Sebagai contoh ada rumah tetapi tidak dijaga dengan baik. Ada anak tetapi tidak diasuh, ada ternakan tidak dibela, tidak bercucuk tanam walaupun ada kebun. Kesimpulannya,Si Luncai kerugian kerana tidak memanfaatkan segala yang dimiliki.

Tema
Sikap negatif menyebabkan kerugian

Persoalan
1. Persoalan sikap tidak bertanggungjawab membawa kerugian
2. Persoalan tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh.
3. Persoalan tidak menggunakan kudrat yang ada.

Bentuk
1. Mempunyai satu rangkap sahaja.
2. Mempunyai 12 baris.
3. Jumlah perkataan antara dua hingga enam perkataan dalam satu baris.
Contoh : biarkan, biarkan...! (2 perkataan - baris 11)
Ada kuat tiada buat (4 perkataan – baris 10)
Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan (5 perkataan – baris 1)

Gaya Bahasa
1. Anafora

Contoh:
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilataih

2. Repitisi

Contoh:
Biarkan...biarkan

3. Unsur bunyi

Contoh:
Asonansi – Ada mata tiada kuasa (baris 9) (pengulangan vokal ‘a’)
Aliterasi – Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya (baris 12) (pengulangan konsonan ‘n’)

Nilai
1. Nilai bertanggungjawab.
Contoh: bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.


2. Nilai kebijaksanaan
Contoh: Kebijaksanaan dalam menjalankan apa jua kerja.

Pengajaran
1. Kita hendaklah menjaga harta benda dengan sebaik-baiknya.
2. Kita hendaklah bijak menggunakan akal.
3. Kita janganlah membiarkan perkara yang salah tanpa menegur kesalahan itu.



Latihan

1. Gambarkan sikap Si Luncai seperti dalam Seloka Si Luncai.

2. Nyatakan pengajaran yang boleh diambil daripada Seloka Si Luncai.