Sunday, October 21, 2012

Analisis Karangan Bahan Rangsangan SPM BM kertas 1

TAHUN
TEMA
2005(N)
Gejala vandalisme
2006(J)
Sijil Pelajaran Malaysia
2006(N)
Semangat patriotik, PLKN dan tokoh yang berjasa
2007(J)
Aktiviti masa lapang
2007(N)
Tanggungjawab menjaga kebersihan
2008(J)
Kegiatan dalam bidang pertanian
2008(N)
Punca-punca pencemaran sungai
2009(J)
Bantuan kepada mangsa banjir
2009(N)
Aktiviti badan beruniform serta faedah-faedahnya
2010(J)
Punca pencemaran udara
2010(N)
Grafik penjagaan kesihatan - Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat
2011(J)
Kepentingan pengangkutan awam
2011(N)
Faedah belajar secara berkumpulan
2012(J)
Faedah menggunakan perpustakaan
2012(N)
???

Remaja kini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Tekanan yang dihadapi telah menyebabkan ada segelintir remaja mengambil tindakan tidak sesuai.


Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani tekanan.

Pendahuluan : ‘Lulus cemerlang dengan 10A+’, ‘Pergi Tuisyen’, ‘Masuk Kelas Qiraati atau belajar berenang’, dan ‘Masuk Summer Camp’ adalah antara ungkapan yang sudah basah di mulut para ibu bapa. Sebaliknya, ungkapan yang sama pula sudah menjadi mangli dan alergi kepada anak-anak. Antara anak-anak dan ibu bapa, malah guru juga kadang-kadang sudah tidak sealiran sekalipun berada dalam laras matlamat yang sama. Keinginan yang melampau dan impian tinggi menggunung oleh ibu bapa telah meninggalkan kesan fobia dan trauma dalam kalangan anak-anak. Mujurlah bagi yang berupaya, mereka dapat memenuhi hasrat ibu bapa, sebaliknya kepada yang kurang timbullah pelbagai kesan stres dan kemurungan. Bagi diri saya, isu ini ibarat ditelan mati bapa diluah mati emak kerana hakikatnya semua adalah penting. Oleh itu, saya memerlukan beberapa strategi yang berhemat untuk mengimbangi kedua-duanya.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Bersedia lebih awal – menjadikan agenda belajar mengatasi segala yang lain – cuba menuruti ikon-ikon cemerlang sebagai sumber rujukan

Isi 2 : Bawa berbincang dengan ibu bapa dan guru – jelaskan keupayaan sebenar kepada mereka – dapatkan bimbingan dan motivasi

Isi 3 : Mesti jelas matlamat dan hala tuju – cita-cita hendaklah diukur kepada minat dan kemampuan diri

Isi 4 : Bertemu guru-guru kaunseling – mereka mempunyai kelayakan untuk membuat konsultasi – kemukakan segala masalah yang terbuku di hati

Isi 5 : Banyak berdoa dan bermuhasabah diri – tidak melupai Tuhan yang sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya.

Kesimpulan : Memetik kata-kata dalam pepatah Arab, bahawa setiap penyakit ada ubatnya, jelas menunjukkan kita tidak boleh tenggelam punca dalam menangani sebarang masalah. Kita wajar berlapang dada dan dingin kepala untuk mencari langkah penyelesaian. Kebijaksanaan bukan terletak kepada jumlah A yang dikutip tetapi bijaksana dalam menguruskan diri umpama, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.

Negara-negara di dunia hari ini menghadapi masalah pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan (Isu popular SPM 2012)


Jelaskan  tindakan-tindakan berkesan bagi membendung kegiatan tersebut daripada
berleluasa.

Pendahuluan :  Perubahan dunia alaf baru telah mula membentuk suatu fenomena tentang pola migrasi manusia. Peperangan, kemiskinan, dan bencana alam telah mula mengubah landskap dunia apabila migrasi gelombang kedua semakin mengancam kestabilan politik dan sosial di beberapa buah wilayah di dunia. Pola tersebut ialah sindiket pemerdagangan manusia yang ditunjangi oleh rangkaian penjenayah antarabangsa yang turut dikenali sebagai tekong laut dan tekong darat. Kesan daripada jenayah tersebut menimbulkan krisis kemanusiaan yang teruk apabila manusia dengan sewenang-wenangnya dijadikan bahan dagangan demi mengaut keuntungan yang berlipat ganda. Sementara itu, negara yang menjadi transit dan negara penerima turut mengalami masalah sama ada dalam aspek politik, demografi, ekonomi, dan sosial. Sebagai salah sebuah negara transit dan juga penerima, Malaysia tidak wajar berpeluk tubuh dan wajar menjalinkan kerjasama strategik dengan negara-negara jiran agar jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini dibendung dengan sebaik mungkin.

Isi 1 : Memperkukuh sistem politik dan keamanan dalam negara masing-masing – kestabilan dalam negeri boleh menjadi aset untuk menghalang kemasukan warga asing dengan sewenang-wenangnya

Isi 2 : Membanteras gejala rasuah yang masih berleluasa dalam kalangan negara-negara dunia ketiga – berusaha mengurangkan indeks rasuah terutama dalam kalangan penguatkuasa seperti polis, tentera, dan pengawal pintu masuk perairan negara (peribahasa amalan buruk lontar batu sembunyi tangan)

Isi 3 : Mengadakan kerjasama rondaan dalam kalangan negara berjiran – mencegah kemasukan warga asing sacara haram – kedudukan Malaysia dengan negara jiran terutama Indonesia yang kondusif kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin (hidup berjiran, ibarat aur dengan tebing)

Isi 5 : Komitmen diplomatik yang jujur dalam kalangan pemimpin negara – pertelagahan politik memberi laluan mudah untuk orang lain mengambil kesempatan (peribahasa jong pecah yu yang kenyang)

Kesimpulan : Gejala pemerdagangan manusia merupakan sebahagian daripada krisis kemanusiaan sejak zaman-berzaman. Yang berbeza dari masa ke masa hanya modus operandinya sahaja. Oleh itu, penyelesaian secara global dan serantau hendaklah diteruskan agar landskap politik dunia dan wilayah tidak terancam oleh sikap dan amalan manusia yang bersikap pepat di luar runcing di dalam.

1 Murid 1 Sukan


1.  Kerajaan mewajibkan program 1 Murid 1 Sukan di setiap sekolah.
Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.

Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.

Bincangkan pendapat anda tentang faedah-faedah pelaksanaan dasar tersebut kepada para pelajar dan negara.

Budaya bersukan seolah-olah menjadi suatu fenomena di negara ini. Tanpa mengira siang atau malam, minat terhadap aktiviti sukan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Bukti yang amat jelas apabila terdapat sebilangan besar yang rela bersengkang mata semata-mata untuk menonton pertandingan bolak sepak di peringkat antarabangsa. Dalam negara juga, penonton akan berpusu-pusu membanjiri stadium apabila diadakan pertandingan sukan. Sungguhpun demikian, budaya menggemari sukan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mampu mengangkat imej sukan negara terutama di persada antarabangsa. Menyedari hakikat tersebut pelbagai inisiatif telah digemblengkan oleh pihak kerajaan. Salah satu inisiatif yang cukup pragmatik ialah  Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S). Memang tidak syak lagi dasar ini akan memberi banyak impak positif kepada anak-anak muda negara.

            Langkah yang pragmatik ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang berperawakan sihat dan cerdas. Hal demikian amat nyata sekali kerana sukan merupakan saluran yang terbaik untuk merangsangkan kecergasan  mental dan  fizikal.  Langkah ini dilihat amat praktikal sekali apabila semua aktiviti sukan diuruskan secara terancang dan profesional oleh pihak sekolah. Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan IMIS, sudah pasti setiap pelajar berpeluang mencuba bakat masing-masing. Oleh itu, tiada pihak yang terasa diri terabai dan disisihkan. Natijahnya, setiap individu berpeluang memperkembangkan semua potensi diri dalam aspek mental, fizikal, dan sahsiah. Sesungguhnya, inilah wajah generasi akan datang yang menjadi taruhan nusa selaras dengan kata-kata,, “Untuk melihat bangsa pada masa depan lihatlah kepada remaja pada hari ini”.
            Impak positif lain yang akan diperoleh remaja adalah dapat mengasah dan mempertajam bakat mereka sejak awal usia lagi. Bertepatan dengan maksud peribahasa, jikalau hendak melentur buluh hendaklah daripada rebungnya dan belakang parang jikalau diasah pun akan tajam, jelas menunjukkan bakat yang terpendam akan menyerlah apabila digilap sejak awal. Nyatalah bahawa dasar ini menjadi medan untuk memupuk profesional sukan. Sementara itu, bagi yang berbakat  pula, boleh membina kerjaya dalam bidang sukan. Mereka pasti teruja dengan pencapaian cemerlang jagoan-jagoan sukan seperti (masukkan nama-nama idola sukan anda). Sesungguhnya, dasar ini boleh dianggap sebagai strategi terancang untuk melahirkan lebih ramai jagoan dan tokoh sukan dalam tempoh satu dekad lagi. Sesungguhnya, dasar 1M1S ini amat bertepatan dengan falsafah Tao yang menyatakan, “Jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah gandum, jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah pokok, dan jika kamu mahu hidup selama-lamanya tanamlah manusia”.

            Signifikan yang lain pula, matlamat 1M1S adalah untuk menjadi landasan terbaik menyediakan pelapis-pelapis sukan yang terdiri daripada bakat-bakat baru. Langkah ini amat tepat pada masanya kerana sudah menjadi resam dunia bahawa yang lama akan berlalu. Oleh itu, usaha ini sangat bertepatan dengan peribahasa patah tumbuh hilang berganti maka yang pergi perlulah diganti. Melalui strategi yang terancang seperti ini persediaan awal dapat digemblengkan dalam usaha melahirkan atlit muda yang lebih kompeten. Dengan yang demikian, negara tidak ketandusan wira-wira sukan. Para wira dan  wirawati ini akan meneruskan misi menggalas tugas mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Sesungguhnya, kemampuan bersaing di arena antarabangsa bakal mengangkat martabat negara agar kita mampu  duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan gergasi-gergasi sukan dunia

            Peribahasa yang menyatakan gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa menunjukkan bahawa jasa dan bakti menjadi sebab seseorang itu diingati walaupun sesudah mati. Setiap rakyat yang berjiwa patriotik hendaklah bercita-cita untuk memahatkan nama mereka sebagai rakyat yang berjasa kepada negara sesuai dengan laungan keramat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, setiap  warganegara hendaklah menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing. Oleh itu, seseorang jagoan sukan sentiasa dijulang namanya sebagai wira yang mengharumkan nama negara. Tokoh ternama seperti Mokhtar Dahari, Dr M Jegathesan, Rabuan Pit dan ramai lagi adalah antara tokoh kesukanan yang sentiasa disebut-sebut. Di sebalik bakat dan kesungguhan mereka, jiwa patriotik begitu menyala di dalam hati dan sanubari masing-masing. Sesungguhnya, langkah memartabatkan sukan di peringkat sekolah dalam program 1M1S merupakan usaha murni untuk membentuk jiwa patriotik ketika masih di bangku sekolah lagi.
           
            “Sambil menyelam minum air”. Demikianlah peribahasa yang boleh dipetik sebagai membuktikan sesutau usaha yang dilakukan kadang-kadang boleh memberikan impak sampingan yang amat berguna. Dalam hal ini, sukan bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata, sebaliknya mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Impak positif yang turut diperoleh negara apabila sukan sudah mula beralih arah menjadi sebuah industri mahupun kerjaya ialah pulangan dalam bentuk wang ringgit. Di sebalik hadiah dan ganjaran yang lumayan, pelbagai industri hiliran yang berasaskan sukan turut terjana. Apabila mengambil kira sejumlah 20 bilion wang yang mengalir ke Afrika Selatan semasa penganjuran Bola sepak Piala Dunia pada 2010, hujah tersebut boleh mengesahkan bahawa sukan adalah antara penyumbang terpenting dalam mengisi kantung negara. Kini penganjuran seperti EPL, EURO, dan Piala Dunia adalah antara industri sukan terpenting yang berjaya mengaut keuntutngan besar. Selain itu, sukan-sukan ternama yang lain seperti golf, tenis, dan kriket turut menjadi penyumang utama seseorang jaguh cepat melonjak menjadi jutawan. Amat jelas sekali, pada era milenium kini, sukan adalah antara  industri yang mampu menjanakan pendapatan kepada sesebuah negara mahupun kepada atlit yang terlibat.

            Ibarat peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya haruslah diterapkan dengan sebenar-benarnya agar matlamat melahirkan lebih ramai jaguh sukan tercapai. Sudah terlalu banyak modal yang dibelanjakan, namun kejayaan atlit negara amatlah menyedihkan. Oleh hal yang demikian, dengan dukungan semua pihak, insya-Allah hala tuju baru oleh KPM ini boleh menatijahkan impak baru kepada dunia sukan untuk sekurang-kurangnya dalam satu dekad akan datang.

Tuesday, October 16, 2012

Alhamdulillah PMR 2012 sudah berlalu....

Nampaknya topik yang dibincangkan dalam kelas jua yang keluar...Semuanya da berlalu tak perlu dikenang lagi.. Berdoalah selalu agar jawapan esei diterima oleh pemeriksa... PMR berlalu kini SPM pula akan bertandang.. Sudah cukup cukup sudah, cukup sampai di sini saja mantan Calon PMR...Fokus SPM 2014 pula....

Selamat beramal iya....

Tuesday, October 2, 2012

Salam peperiksaan kepada para calon PMR 2012

Hrmmm, apa-apa yang ingin diperkatakan di blog saya...Hal ini demikian kerana sekian lamanya saya menyepi tanpa khabar berita.Salam kemaafan saya mohon kepada pelawat blog saya. Tujuh hari lagi Penilaian Menengah Rendah akan menjelang menyapa minda para colan PMR 2012. Adakah anda bersedia? Saya yakin bahawa anda boleh melakukan yang terbaik untuk diri anda sendiri... Apa isu yang ingin dikongsikan dengan pelawat PMR 2012 iya? Dalam Konteks ini, kalau kita lihat isu-isu semasa yang sering dipaparkan di rubik-rubik akhbar antaranya "Peranan ibu bapa menjaga kesihatan anak-anak", "Cara-cara murid menghargai guru dan menghormati gurunya", "Kepentingan sungai", 'Amalan membaca", 'Faedah menabung'. Oleh itu, adik-adik boleh mencari isi-isi penting berdasarkan isu yang telah dinyatakan. Dalam masa yang sama, adik-adik boleh berbincang dengan guru-guru adik di sekolah. Saya yakin, guru-guru adik telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan bijaksana dan amanah semasa Pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Guru-guru adik telah banyak mengetengahkan isu-isu semasa sebagai persediaan rapi menjawab soalan berbentuk esei. Novel pula, adik-adik bolehlah mengulang kaji tema, persoalan, watak dan perwatakan, nilai berdasarkan contoh peristiwa dalam novel tingkatan 1 atau novel tingkatan 2 atau tingkatan 3. Paparan ini bukanlah ramalan. Paparan kali ini sebagai latih tubi penulisan adik-adik saat-saat terakhir. Saya mendoakan agar adik-adik lulus dengan cemerlang dalam Penilaian Menengah Rendah 2012. Salam daripada saya.....

Tuesday, May 29, 2012

Assalamualaikum dan salam perpaduan

Setelah sekian lamanya saya tidak mengemaskini blog saya...maaf iya, saya cuba buka blog saya pada masa ini, boleh-boleh saya lupa kata laluan saya...Aduh,payah bangat saya seketika..minta bantuan lupa kata laluan...Akhirnya saya dapat buat kata laluan baharu dan boleh kemas kini blog saya yg agak lama saya tinggalkan.. lanjutan itu memang tidak dinafikan manusia sudah serasi dengan sifat lupanya...macam saya selalu lupa kata laluan apabila hendak buka satu email baharu saya. langkah selanjutnya minta bantulah jawabnya.. Hrmm, sedar tak sedar hampir berakhir bulan Mei 2012.... pejam celik, pejam celik hampir setengah tahun kita lalui tahun 2012 ini...terasa pantas masa berlalu.... Ya, Allah, tak lama lagi anak didik saya akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya berharap sangat agar anak-anak murid saya dapat melayari blogs saya dan belajar daripada blogs saya yang seadanya ini. Semoga mereka dapat apa-apa yang mereka kehendaki daripada blog saya. Saya mendoakan mereka lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan awam pada tahun ini. Ada masa saya akan kemaskini bahan-bahan untuk anak-anak didik saya..Sebelum terlupa selamat bercuti.. cuti,cuti juga iya wahai anak murid sekalian.... belajar tetap belajar iya, rajin dan usaha tangga kejayaan. Salam dari saya zuliana.....