Wednesday, September 9, 2009

Proses Penulisan Karangan

3 ciri penting karangan yang baik :

Pengenalan

Isi/Idea

Penutup

Peroses Penulisan Karangan

1. Memilih Tajuk dan Menganalisis Soalan
► Baca kelima-lima soalan dengan teliti, kemudian pilih satu soalan yang dirasakan paling mudah, iaitu anda mempunyai isi-isi yang cukup, boleh mengolah isi-isi tersebut, mempunyai contoh-contoh yang sesuai.
► Selepas itu anda perlu menganalisis soalan tersebut dengan melengkap perkara-perkara berikut:

Format(F):……………..
Topik(T)……………..
Persoalan (P) : …………….

Contoh:
Masyarakat pada hari ini semakin kurang berminat untuk membaca bahan ilmiah.
Pada pendapat anda, apakah faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku?
Format (F) : Pendapat
Topik (T) : Kurang berminat membaca bahan ilmiah
Persoalan (P) : Faktor penyebab berlakunya kurang minat membaca bahan ilmiah.


2. Merangka Karangan
► Lakarkan acuan format secara ringkas.
► Catatkan sekurang-kurangnya 5 isi mengikut kepentingan.
► Catatkan juga contoh-contoh untuk setiap isi tadi.
► Catatkan peribahasa/simpulan bahasa/cogan kata/slogan yang sesuai.
► Catatkan penanda-penanda wacana yang boleh digunakan.
► Catatkan data/statistik yang boleh digunakan.
► Catatkan juga pantun/kata-kata pujangga/kata-kata tokoh


3. Menulis Karangan
► Pastikan Karangan anda terbahagi kepada 3 bahagian:
. Pendahuluan = 1 perenggan
. Isi = 5 perenggan
. Kesimpulan = 1 perenggan
► Pendahuluan anda mestilah mengekalkan tajuk, padat dan dapat menggambarkan isi yang akan ditulis.

► Setiap isi harus ditulis dalam satu perenggan sahaja.
► Isi mesti mempunyai kaitan antara satu sama lain dan dihubungkaitkan dengan penanda wacana antara perenggan dan pemerengganan mesti seimbang.
► Setiap perenggan perlu ada pelbagai ragam ayat (Ayat Penyata, Ayat Perintah, Ayat Seruan, dan Ayat Tanya)
► Pelbagaikan penggunaan kosa kata yang tidak terlalu ‘canggih’
► Bahagian kesimpulan tidak boleh ditinggalkan.
► Tulisan mesti jelas dan boleh dibaca.
► Panjang karangan yang baik mesti melebihi 500 patah perkataan.
► Pastikan karangan anda tidak kurang daripada 350 patah perkataan

4. Menyemak Karangan

► Karangan anda perlu disemak bagi mengesan sebarang kesilapan ejaan, tanda baca, kesalahan penggunaan huruf kecil/besar, dan pelbagai kesalahan tatabahasa yang lain.


Teknik Penulisan Karangan

1. Penulisan Perenggan Pendahuluan

Perenggan pendahuluan harus mengandungi frasa-frasa yang menjadi isi utama sesuatu karangan. Bagi memudahkan penulisan perenggan, anda digalakkan menggunakan teknik berikut. Perkara-perkara yang perlu ada dalam perenggan tersebut adalah seperti berikut:
.Isu-isu semasa tajuk
.Keseriusan isu (masalah) tersebut
. Persoalan yang hendak ditimbulkan
(yang akan dibincangkan dalam karangan)

► Contoh: Penderaan Kanak-kanak : Faktor dan langkah
Dewasa ini, masalah penderaan kanak-kanak semakin kronik di Malaysia. Saban hari, kita terbaca di akhbar atau mendengar berita daripada media elektronik seperti radio dan televisyen tentang isu ini. Misalnya,kematian dua orang kanak-kanak yang bernama B. Balasundram dan Nor Fitri akibat didera cukup menyayatkan perasaan kita. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang mewujudkan masalah ini? Adakah kita akan membiarkan gejala ini berterusan dan menghakiskan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat? Tepuk dada tanyalah selera.



CONTOH 2 : Vandalisme : Faktor dan Langkah

‘Tiga buah pondok telefon dibakar’, ‘sampah sarap bertaburan di pusat rekreasi’, dan ‘ tandas awam diconteng dengan kata-kata lucah’. Begitulah bunyinya tajuk-tajuk berita yang sering dipaparkan di media massa tentang gejala vandalisme yang semakin berleluasa dalam masyarkat kita ekoran arus pemodenan yang semakin rancak. Persoalannya, apakah faktor-faktor yang menjadi pemangkin kepada berleluasanya fenomena ini? Siapakah yang harus dipersalahkan? Oleh itu, kerjasama daripada semua pihak amatlah diperlukan bagi menanganinya. Janganlah apabila sudah terhantuk baru hendak terngadah.


2. Penulisan Perenggan Isi

Setiap perenggan isi harus mengandungi satu isi sahaja. Komponen bagi setiap perenggan isi adalah seperti berikut:
► Idea utama
► Huraian idea utama
► Contoh/Bukti
► Rumusan/komen

Contoh : Peranan ibu bapa dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja

Idea utama

Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam membendung masalah sosial adalah memberikan pendidikan agama kepada para remaja.

Huraian Idea Utama

Pendidikan agama harus diberikan oleh ibu bapa sebelum seseorang anak itu meningkat remaja, bak kata pepatah Melayu ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak-anak bagi membolehkan mereka membezakan yang mana intan dan yang mana kaca, seterusnya mengelakkan mereka daripada mengalami keruntuhan moral. Impaknya, anak-anak ini akan membesar dengan satu kawalan sosial yang mengarahkan tingkah laku yang positif.

Contoh / Bukti

Antara pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa ialah mengajak anak-anak mereka bersama-sama melakukan ibadat yang diwajibkan oleh agama masing-masing. Seterusnya, ibu bapa harus menunjukkan contoh atau teladan yang baik dengan mempraktikkan segala ajaran agama dengan sempurna kerana sikap murni ini akan menjadi ikutan anak-anak, seperti kata pepatah Melayu bagaimana acuan begitulah kuihnya.




Rumusan / komen

Jadi, jelaslah kepada kita bahawa pendidikan agama yang sempurna daripada ibu bapa kepada anak-anak merupakan benteng utama yang dapat menghindari kebejatan sosial dalam kalangan remaja pada hari ini.


► Kemudian gabungkan semuanya menjadi satu perenggan isi.

Salah satu tanggungjawab yang harus dimainkan oleh ibu bapa dalam membendung masalah sosial adalah memberikan pendidikan agama kepada para remaja Pendidikan agama harus diberikan oleh ibu bapa sebelum seseorang anak itu meningkat remaja, bak kata pepatah Melayu ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Pendidikan agama sangat penting diberikan kepada anak-anak bagi membolehkan mereka membezakan yang mana intan dan yang mana kaca, seterusnya mengelakkan mereka daripada mengalami keruntuhan moral. Impaknya, anak-anak ini akan membesar dengan satu kawalan sosial yang mengarahkan tingkah laku yang positif. Antara pendekatan yang boleh dipraktikkan oleh ibu bapa ialah mengajak anak-anak mereka bersama-sama melakukan ibadat yang diwajibkan oleh agama masing-masing. Seterusnya, ibu bapa harus menunjukkan contoh atau teladan yang baik dengan mempraktikkan segala ajaran agama dengan sempurna kerana sikap murni ini akan menjadi ikutan anak-anak, seperti kata pepatah Melayu bagaimana acuan begitulah kuihnya. Jadi, jelaslah kepada kita bahawa pendidikan agama yang sempurna daripada ibu bapa kepada anak-anak merupakan benteng utama yang dapat menghindari kebejatan sosial dalam kalangan remaja pada hari ini.


3. Penulisan Perenggan Penutupan

Perenggan penutup merupakan kesimpulan terhadap pendapat dan hujah-hujah yang telah dikemukakan. Beberapa perkara penting diberi perhatian semasa menulis pentup. Antaranya ialah:
Memberikan kesimpulan atau rumusan
Memberikan saranan atau pandangan dan harapan
Selitkan peribahasa atau simpulan bahasa atau cogan kata
Menyatakan pendirian penulis.

Contoh:
Konklusinya, fenomena ini harus difokus dari perspektif global. Oleh itu, keprihatinan semua pihak adalah perlu untuk menangani masalah …………….. agar masyarakat madani dapat dibentuk. Sehubungan dengan itu, pelaksanaannya harus bersifat pragmatik supaya dapat melestarikan impak yang positif agar dapat melahirkan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Pendek kata, masyarakat dan kerajaan harus berganding bahu dan bergembleng tenaga, bak kata pepatah Melayu ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam membendung gejala ini.




4. Penulisan Ayat Transisi

Ayat transisi amat penting untuk menghubungkan perenggan isi agar wujud suatu kesinambungan isi yang berlainan unsur (isi kebaikan dan isi keburukan).

Contoh: 1 (Menghubungkan isi kebaikan dan isi keburukan)

Seperti mana yang kita sedia maklum, bumi mana yang tidak ditimpa hujan, lautan mana yang tidak bergelora. Setiap yang sempurna di dunia ini pasti ada kecacatan dan kelemahannya. ………… juga tidak terkecuali daripada hakikat ini. Antara keburukannya ialah ………………………

Contoh : 2 (Menghubungkan isi faktor dan isi langkah)

Berdasarkan dua hujah faktor di atas, jelaslah kepada kita bahawa masalah sosial dalam kalangan remaja semakin serius. Oleh itu, beberapa langkah boleh diambil untuk membendung masalah ini dengan segara. Antara langkah yang boleh diambil ialah ………………………………….

No comments:

Post a Comment