Melunas Rindu
Hartini Hamzah
Sumber : Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM)
Sinopsis
Bahagian 1
Fuad lewat pulang ke rumah petang itu setelah sekian lama ke hutan untuk mencari kayu api. Setibanya di rumah dia disapa Mak Salmah (Mak Mah) yang baru selesai solat maghrib. Menyedari kelewatannya, setelah selesai bersolat maghrib dia terus bergegas ke surau untuk solat isyak berjemaah. Seperti kebiasaannya juga sebelum menunaikan solat isyak, Fuad mengambil kesempatan untuk membaca al-Quran bergurukan Pak Mail. Selesai solat isyak Fuad menyedari Borhan suami kepada Masnah tidak berjemaah bersama kerana anaknya Muhamad Alif demam. Tiba di rumah Borhan, Fuad mengambil keputusan untuk menyewa kereta membawa Muhamad Alif ke klinik. Sementara menunggu, Fuad mengambil kesempatan menuju ke bank berdekatan bagi memastikan jumlah wang sebanyak dua ratus ribu ringgit yang dilihatnya beberapa hari sebelum ini. Selesai menjelaskan bil klinik, Fuad terus memandu pulang bersama Borhan beserta isteri dan anaknya. Setibanya di rumah, Fuad masih terkenangkan jumlah wang yang dimasukkan oleh ayahnya ke dalam akaunnya. Dalam hati, Fuad berterima kasih atas pemberian ayahnya itu.
Bahagian 2
Pada petang itu Fuad meluangkan masa dengan menikmati keindahan pantai Batu Buruk. Sambil menikmati keindahan pantai, Fuad melayan perasaannya apabila mengenangkan bagaimana dia dapat mencari kedamaian dalam dirinya sebagai seorang Islam. Masih lagi terbayang dalam fikirannya Mak Mah suatu ketika dulu membencinya kerana dia dikatakan penyebab kematian Sofia. Walhal dia hanya berniat membawa Sofia berjumpa dengan ayah dan ibunya. Mujurlah ada Pak Ismail yang merupakan satu-satunya tempat dia bergantung harap. Namun kesabaran Fuad membuatkan Mak Salmah akhirnya dapat menerima hakikat kehilangan Sofia yang juga merupakan adik Fuad. Pada waktu yang sama juga Fuad terbayangkan alangkah baiknya sekiranya Sofia masih hidup. Fuad tersedar dari lamunannya apabila mendapati waktu hampir senja. Setelah sampai di rumah, Pak Mail telahpun bersedia untuk ke surau. Balik sahaja dari surau Fuad menyatakan hasratnya kepada Pak Ismail untuk membeli tanah milik Awang Sojar.
Bahagian 3
Fuad, Pak Ismail dan Mak Mah mengusahakan tanah yang dibeli dari Awang Sojar. Fuad membeli tanah tersebut bertujuan membantu dan membalas jasa Pak Mail dan Mak Mah yang telah menjadikan dia dan Sofia sebagai anak angkat. Selain itu, Fuad juga membelikan sebuah motosikal untuk kemudahan Pak Mail dan Mak Salmah. Mak Salmah pernah terlantar di hospital apabila mendapat berita kematian Sofia walaupun hanya sebagai ibu angkat. Seminggu kemudian Pak Ismail dan Fuad didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Abas. Sebenarnya tujuan Abas yang juga merupakan guru penolong kanan Sekolah Menengah Seri Setia adalah untuk meminta pertolongan Fuad mengajar Bahasa Inggeris di sekolah tersebut. Tawaran tersebut dibuat kerana Fuad berkelulusan ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Amerika Syarikat. Fuad menerima tawaran tersebut sebagai guru sandaran.
Bahagian 4
Fuad melaporkan diri sebagai guru sandaran di Sekolah Manengah Seri Setia pada awal pagi. Cikgu Abas sebagai guru penolong kanan memberi kepercayaan kepada Fuad untuk mengajar Bahasa Inggeris tingkatan satu dan lima. Di kantin, Fuad diperkenalkan kepada seorang guru yang juga ketua panitia Bahasa Inggeris bernama Farhana. Farhana memberi taklimat ringkas kepada Fuad tentang tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris. Fuad diberi tanggungjawab untuk mengajar tiga kelas tingkatan lima dan dua kelas tingkatan tiga. Jam dua petang Fuad bertolak pulang setelah tamat sesi persekolahan.
Bahagian 5
Farhana menyenaraikan program panitia untuk dibentangkan dalam mesyuarat nanti. Seketika kemudian, Fuad menghampiri Farhana untuk memulangkan buku yang dipinjamnya. Farhana mengambil kesempatan untuk meminta idea Fuad bagi memenuhi slot program panitia tersebut. Program tersebut diberi nama program Personal Guidance. Selesai perbincangan mereka, Fuad berpesan kepada Farhana supaya mengambil jagung yang dibawanya dari rumah. Pada mulanya Farhana tidak percaya tetapi akhirnya Fuad dapat meyakinkan Farhana. Setelah tamat mesyuarat pada tengah hari tersebut, Farhana teringat pesanan Fuad supaya mengambil jagung sebelum pulang. Farhana berasa kagum dengan sikap Fuad yang menghormati waktu azan semasa mengagihkan jagung.
Bahagian 6
Fuad berjalan menuju ke kantin setelah selesai mengajar lima masa. Semasa di kantin dia sempat berbual dengan Cikgu Zamani tentang pengajaran di sekolah. Setelah membayar minuman Fuad berjalan ke bilik guru dan ternampak satu kertas kecil menyatakan bahawa ada seseorang ingin berjumpanya di pintu pagar. Setibanya di pintu pagar sekolah, dia mendapati Chin sedang menunggunya. Mereka berbual di kantin sekolah. Chin menyatakan tujuannya berjumpa dengan Fuad adalah kerana amanah Robert Lim iaitu ayah Fuad untuk bertanya khabar tentangnya. Selain itu, Chin juga mewakili Robert Lim untuk memastikan Fuad menerima duit yang dimasukkan ke dalam akaunnya. Di saat itu, Fuad menyedari bahawa dia masih belum boleh memaafkan ayahnya. Dia juga memberitahu Chin bahawa apabila tiba masa yang sesuai dia akan berjumpa dengan ayahnya, Robert Lim. Akhir perbualan mereka, Chin berpesan kepada Fuad supaya mengunjungi ibu dan bapa saudaranya yang dianggap ibu dan bapa kandungnya di Sungai Ruan. Di saat itu juga Fuad terkenangkan ibunya yang sudah meninggal dunia. Sampai di rumah Fuad menyatakan hasratnya kepada Pak Ismail untuk mencari kubur arwah ibunya di Sungai Ruan.
Bahagian 7
Fuad mengambil kesempatan sempena cuti persekolahan untuk ke Sungai Ruan. Tujuannya adalah untuk mencari kubur ibunya di samping mengunjungi ibu dan bapa saudaranya. Dalam perjalanan Fuad sempat singgah di bazar yang menjual pakaian dan kraf bercirikan Terengganu. Semasa membeli pakaian untuk adik, ibu dan bapanya Fuad ternampak Farhana sedang berbaris untuk membeli tiket bas ke Kuantan. Fuad mempelawa Farhana menumpangnya kerana mereka melalui perjalanan yang sama. Dalam perjalanan mereka berbual-bual tentang latar belakang masing-masing. Jam empat petang mereka sampai di Taman Tas, Kuantan iaitu rumah Farhana. Farhana memperkenalkan Fuad kepada ibu serta empat orang adiknya.
Bahagian 8
Di Sungai Ruan, suasana muram menyelubungi isi rumah keluarga Peter Lim. Semenjak Peter Lim terlantar sakit akibat demam, isterinya Swee Lan yang menjaga makan minum serta kebajikan anak-anaknya. Tetapi semenjak ketiadaan Fuad, Peter Lim tidak lalu makan atau minum. Mujurlah Robert Lim yang merupakan adik suaminya memberi bantuan kewangan. Swee Lan hanya menorah getah dan dengan hasil pekerjaannya itulah digunakan untuk menampung semua perbelanjaan. Ketibaan kereta Fuad di hadapan rumah Swee Lan menyedarkannya daripada terus mengelamun. Kehadiran Fuad disambut dengan tangisan oleh ibu saudaranya itu. Bapa saudaranya iaitu Peter Lim juga telah lalu makan dan minum setelah disuap oleh Fuad. Fuad berjanji menanggung segala perbelanjaan persekolahan Mei Lin, Ah Soh dan Guan. Keesokan harinya Fuad bertanyakan Peter Lim dan Swee Lan tentang ibunya. Ibu dan bapa saudaranya menceritakan serba sedikit tentang ibunya. Mereka juga menyatakan bahawa Ah Sok iaitu peneroka Lembah Klau yang melarikan Fuad semasa kecil. Kematian ibunya iaitu Mariana dirahsiakan daripada pengetahuan umum kerana bimbang difitnah. Fuad juga dimaklumkan bahawa ibunya mempunyai seorang kakak. Sewaktu di surau, Fuad telah berkenalan dengan seorang lelaki dalam lingkungan umur lima puluhan dikenali sebagai Pak Said. Pak Said bersetuju untuk menemani Fuad ke Lembah Klau untuk mencari kubur ibunya pada keesokan harinya.
Bahagian 9
Di rumah Farhana, sehari sebelum Fuad ke Lembah Klau, Farhana masih menantikan panggilan telefon daripada Fuad. Sambil menunggu panggilan daripada Fuad, Farhana sempat melayan perasaannya. Farhana teringat semasa dia masih belajar dalam bidang pendidikan Bahasa Inggeris di London dulu. Dalam masa yang sama Farhana terkenang pula perkenalannya dengan Fuad. Fuad banyak memberi dorongan kepadanya sebagai pendidik. Perasaannya terganggu dengan teguran ibunya supaya menunaikan solat dengan segera. Ibunya juga cuba mengagak status hubungan Farhana dengan Fuad. Selang beberapa ketika kemudian ibu Farhana pula terkenangkan arwah suaminya yang bekerja sebagai anggota polis. Kematian suaminya adalah disebabkan oleh penyakit kanser usus. Farhana juga diberitahu ibunya bahawa rakannya Yati telah bertunang.
Bahagian 10
Fuad menjemput Pak Said untuk ke rumah Pak Ngah Lias di Felda Lembah Klau. Kereta yang dipandu Fuad berhenti di sebuah kedai makan untuk bertanya arah. Fuad berasa lega kerana Pak Ngah Lias yang dicarinya masih hidup. Ketika berada di rumah Pak Ngah Lias, Pak Said menceritakan serba sedikit latar belakang Fuad kepada Pak Ngah Lias. Pak Ngah Lias amat terkejut apabila mengetahui bahawa Fuad merupakan anak kepada Robert Lim (nama Islamnya Roslan ). Pak Ngah Lias memberitahu bahawa Seman telah memberikan nama Abdul Halim kepada Fuad dan setelah dua puluh tujuh tahun barulah Fuad mengetahui nama sebenarnya. Berpuluh-puluh tahun Pak Ngah Lias menyimpan misteri kehilangan Abdul Halim walaupun cuba dijejaknya beberapa waktu selepas kematian Seman. Pak Ngah Lias mengatakan bahawa ibu Fuad iaitu Mariana tinggal di Kuala Lipis bersama kakak angkatnya Mariah. Selepas waktu Asar mereka bertolak ke Kuala Lipis untuk bertemu Mariah namun diberitahu bahawa Mariah sudah lama berpindah. Fuad bertemu Pak Samsudin, jiran Mariah dahulu dan mengetahui bahawa ibunya masih hidup. Fuad memberitahu hal tersebut kepada Peter Lim dan swee Lan. Justeru, Swee Lan mencadangkan supaya Fuad menemui bapanya di kuala Lumpur agar dapat membantu
mencari ibunya. Peter Lim memberitahu Fuad bahawa bapanya masih menyimpan cincin yang telah ditempah khas ketika perkahwinan mereka. Cincin itu telah diberikan kepada Mariana dan satu lagi cincin disimpan oleh bapanya.
Bahagian 11
Suasana masih hangar-bingar di blok C bangunan Sek. Men. Seri Setia walaupun kelas lanjutan pada petang itu sudah lama berlangsung. Cikgu Abas tidak berpuas hati kerana suasana hangar-bingar seperti itu kerap kali berlaku semenjak program kelas lanjutan diadakan. Cikgu Abas juga begitu menyukai Fuad yang merupakan seorang guru yang rajin walaupun hanya sebagai guru sementara di sekolah itu. Sikap Fuad jauh berbeza dengan Cikgu Zamani yang telah lama mengajar di sekolah tersebut. Tengah hari esoknya dalam mesyuarat guru, Cikgu Abas meluahkan kemarahannya kepada sebahagian guru yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru.
Bahagian 12
Fuad memberikan kad ucapan hari lahir kepada Farhana dan mengajak Farhana keluar berjalan-jalan. Pada pukul lima petang, Fuad menjemput Farhana di rumahnya. Mereka berdua menaiki kereta mengelilingi pusat Bandar dan singgah di Restoran Terapung di taman Syahbandar. Selepas itu Fuad mengajak Farhana pergi ke rumah Pak Ismail dan Mak Salmah. Mereka makan malam dan solat Isyak berjemaah di sana. Selepas itu, mereka meminta izin daripada Mak Salmah untuk berangkat pulang. Sebelum masuk ke kereta, Farhana sempat dipeluk oleh Mak Salmah.
Bahagian 13
Dalam perjalanan ke rumah Cikgu Zamani, dari kejauhan Fuad terdengar suara tetamu di rumahnya. Namun Fuad kehairanan setelah mendapati hanya tiga tetamu yang berada dalam rumah Cikgu Zamani iaitu Cikgu Amin, Cikgu Azli dan Cikgu Rosli. Selesai makan Fuad menyedari agenda sebenar Cikgu Zamani menjemputnya adalah untuk mempengaruhi Fuad menyertai jemaahnya. Walaubagaimanapun Fuad tidak memberi sebarang keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya. Dalam perjalanan pulang, Fuad terkenang akan Farhana. Dia berharap supaya Farhana dapat memberikan kebahagiaan kepada Mak Salmah sebagaimana Sofia suatu masa dahulu.
Bahagian 14
Robert Lim melemparkan beg bimbitnya ke atas sofa sebaik sahaja memasuki ruang tamu. Terlalu banyak perkara yang merunsingkan fikirannya terutamanya berkaitan Mariana, ibu Fuad. Kalau betul cerita yang disampaikan oleh Peter Lim tempoh hari bermakna kukuh benarlah kenyataan bahawa Mariana masih hidup. Robert Lim meminta Chin menemaninya ke Terengganu untuk berjumpa dengan Fuad. Robert Lim ingin memberikan cincin dan gambar Mariana kepada Fuad. Tiga hari selepas itu, Robert Lim dan Chin pun bertolak ke Terengganu. Pak Ismail dan Mak Salmah terkejut dengan kedatangan Robert Lim. Namun, Robert Lim dan Chin tidak sempat berjumpa dengan Fuad kerana Fuad pergi ke Kuantan. Robert Lim bercadang menemui Fuad di Kuantan untuk memberikan cincin tersebut.
Bahagian 15
Sejak kebelakangan ini, Farhana sering bertengkar dengan Cikgu Zamani hingga menimbulkan suasana tidak selesa di bilik guru. Tiba sahaja di rumah, Fuad terus mandi dan menunaikan solat Zuhur. Ketika itu Pak Ismail baru pulang dari sawah. Pak Ismail dapat meneka ketidakceriaan di wajah Fuad. Setelah makan, Fuad duduk-duduk di beranda rumah. Selalunya pada waktu begitu dia akan melelapkan mata tetapi tidak pada hari itu. Akhirnya Fuad memutuskan untuk ke rumah Borhan. Borhan sedang bersantai di luar rumah waktu Fuad tiba. Borhan gembira menyambut kedatangan Fuad. Mereka berdua berbual-bual kosong. Namun, Borhan dapat melihat kemuraman di wajah Fuad. Keresahan yang berpanjangan akhirnya memaksa Fuad menghubungi Farhana namun Cikgu Zalifah memberitahu Farhana menjaga ibunya yang sakit di hospital. Fuad mengambil keputusan untuk menemui Farhana di Kuantan.
Bahagian 16
Kira-kira pukul enam petang Fuad tiba di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Fuad menemui Farhana di kafetaria hospital. Farhana terkejut dengan kehadiran Fuad. Sebenarnya Farhana tidak mahu menyusahkan Fuad namun Fuad tetap ingin menemani Farhana menjaga ibunya di hospital. Fuad menemui ibu Farhana dan bertanyakan keadaannya. Selepas itu Fuad ke rumah farhana menemui adik-adik Farhana. Kedatangan Fuad disambut mesra oleh adik-adik Farhana. Kemudian Fuad kembali ke hospital dan mendapati Farhana sudah tidur di tepi katil ibunya. Fuad duduk termangu di hujung katil sambil menanti kalau-kalau Farhana terjaga untuk diajak berbual. Ketika mundar-mandir di hujung katil, Fuad terpandang kad rawatan ibu Farhana yang terletak di atas meja dan tertulis nama Mariana Binti Osman. Fuad terkejut sambil matanya memandang ibu Farhana yang terbaring di katil hospital itu. Timbul pelbagai persoalan dalam hati Fuad yang memungkinkan Fuad mendapat petunjuk tentang ibunya. Fuad bertanyakan Farhana berkaitan asal usul ibu Farhana. Farhana memberitahu Fuad bahawa ibunya ada menyimpan sebuah kotak kecil yang menjadi rahsia ibunya selama ini. Fuad dapat mengagak bahawa kotak tersebut pasti berisi cincin. Tiba-tiba muncul Chin, Pak Ismail dan bapanya Robert Lim di hospital itu. Fuad terus memeluk bapanya dan menjadikan Farhana agak terpinga-pinga. Fuad bertanyakan berkaitan cincin tersebut dan Robert Lim mengeluarkan cincin itu dari dalam poket bajunya. Fuad menceritakan satu per satu penemuannya sambil dibantu oleh Farhana. Akhirnya semua persoalan telah terjawab dan ternyata Farhana merupakan adik tiri Fuad. Farhana terkejut dengan kenyataan yang dihadapinya dan dia menangis teresak-esak. Fuad memujuk Farhana dan meminta Farhana reda dengan ketentuan Ilahi. Ternyata, ibu kandung Fuad sudah berada di depan matanya.
Bahagian 17
Fuad dan Farhana telah bersepakat untuk menyimpan terlebih dahulu rahsia yang baru terbongkar daripada pengetahuan ibu mereka setelah mengambil kira keuzurannya. Fuad menyatakan hajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran di Danau Seberang. Ibu dan adik-adiknya akan dibawa sekali. Menjelang hari khamis ibunya dibenarkan keluar dari hospital. Fuadlah yang menguruskan segala-galanya. Farhana masih lagi kelihatan sedih atas ketentuan yang telah ditakdirkan antara dirinya dengan Fuad. Kemurungan Farhana amat menggusarkan Fuad. Di sekolah, Fuad dan Farhana ingin berjumpa dengan Cikgu Abas dan Tuan Haji Samad namun Tuan Haji Samad tidak ada pada hari itu kerana bermesyuarat di Kemaman. Cikgu Abas terperanjat mendengar cerita daripada Fuad. Fuad meminta bantuan daripada Cikgu Abas untuk memberitahu perkara tersebut kepada guru-guru lain. Hal ini amat penting bagi Fuad untuk mengelakkan sebarang fitnah kerana
Farhana sudah bersetuju untuk tinggal di rumah Pak Ismail. Justeru, Cikgu Abas berjanji akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari itu juga khusus untuk menguar-uarkan perihal Fuad dan Farhana. Fuad mendapat tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur manakala Cikgu Zamani juga akan bertukar ke sekolah lain.
Bahagian 18
Mariana mengikut kakak angkatnya Mariah ke Bentong iaitu kampung halaman Husin suami kepada Mariah selepas sepuluh hari melahirkan Fuad. Di situ mereka sama-sama mengusahakan kebun getah peninggalan orang tua Husin untuk menyambung kehidupan. Husin berhenti kerja di Pejabat Tanah semata-mata kerana menurut kemahuan Mariah yang ingin menyelamatkan masa depan Mariana. Mariana terkena penyakit gila meroyan selepas bersalin dan anaknya dilarikan orang. Setelah Seman meninggal dunia , hal kehilangan anak Mariana tidak dapat disembunyikan lagi. Mariana ditinggalkan oleh Roslan menyebabkan hidupnya hilang arah. Beberapa bulan selepas itu, Mariana berkahwin dengan Fakhrudin dan mereka berpindah ke Pekan. Kemudian Fakhrudin berpindah ke Kuantan. Sebelum meninggal dunia Fakhrudin membelikan Mariana dan anak-anaknya sebuah rumah kos sederhana melalui pinjaman kerajaan. Mariana bahagia sepanjang hidup bersama Fakhrudin sehingga dikurniakan lima orang cahaya mata. Walau bagaimanapun, Mariana masih mengingati anaknya Abdul Halim. Mariana begitu yakin bahawa Abdul Halim dipelihara oleh Peter Lim
Bahagian 19
Fuad mengambil kesempatan semasa cuti panjang persekolahan dengan membawa ibunya, Mak Salmah dan Pak Ismail menunaikan umrah di Makkah. Pada mulanya agak sukar bagi Fuad mendapatkan pelepasan untuk ibunya lantaran masalah kesihatan yang dihadapi oleh ibunya. Akhirnya dia berjaya juga membawa ibunya menunaikan umrah dengan syarat ibunya perlu dibawa berjumpa doctor hari sekali sepanjang sepuluh hari berada di sana. Sebelum berlepas menaiki pesawat, Robert Lim datang menemui Fuad dan ibunya. Robert Lim memandang wajah Mariana dengan perasaan bersalah dalam dirinya. Robert Lim meminta Fuad menjaga ibunya dengan baik. Fuad dan bapanya saling berpelukan sambil menahan sebak.
Tema
Tema novel Melunas Rindu mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi seorang anak muda dalam usaha mencari identiti dirinya yang sebenar. Antara cabaran yang dihadapi ialah Fuad masih tertanya-tanya tentang ibunya sama ada hidup atau mati. Kemarahan Fuad terhadap ayahnya yang mengambil mudah tentang agama juga menyebabkan Fuad tidak mahu berhubung dengan ayahnya.
Persoalan
i. Persoalan tanggungjawab sebagai seorang pendidik
Fuad tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pendidik dengan baik walaupun dia hanya guru sementara.
ii. Persoalan ketabahan menghadapi cabaran dalam kehidupan
Fuad tabah menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha mencari ibu kandungnya.
iii. Persoalan kasih sayang sesama ahli keluarga.
Walaupun Fuad hanya anak saudara kepada Peter Lim dan Swee Lan, namun mereka tetap menyayangi Fuad seperti anak kandung.
iv. Persoalan tentang kehilangan seseorang yang disayangi amat memeritkan.
Contohnya Mak Salmah terasa sunyi setelah kehilangan anak angkatnya Sofia. Fuad pula hilang tempat bermanja apabila dari kecil lagi kehilangan ibu dan bapanya.
v. Persoalan perbezaan agama tidak akan memutuskan pertalian darah.
Contohnya walaupun Fuad seorang Islam namun dia tetap diterima oleh ibu dan bapa saudaranya yang tidak seagama dengannya.
vi. Persoalan sifat keibuan melebihi segala-galanya.
Contohnya sifat keibuan yang ada pada Mak Salmah menyebabkan dia tidak dapat menerima hakikat kematian Sofia. Selain itu Mariana tetap mengingati Abdul Halim atau Fuad yang hilang sejak kecil.
Plot
Secara keseluruhannya plot novel Melunas Rindu digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
i. Permulaan
Cerita bermula apabila Fuad tertanya-tanya siapa dirinya yang sebenar. Pelbagai pertanyaan timbul dalam usaha mencari identiti dirinya. Pada bahagian permulaan juga, penulis memperkenalkan beberapa watak yang mempunyai kaitan dalam hidup Fuad seperti Farhana, Pak Ismail dan Mak Salmah, Chin, Peter Lim dan Swee Lan serta Robert Lim. Peristiwa yang berlaku pada permulaan cerita pula kebanyakannya di Terengganu.
ii. Perkembangan
Cerita mula berkembang apabila Fuad mula ingin mengetahui status ibunya sama ada masih hidup atau sebaliknya. Dalam pencarian tersebut, satu persatu pertanyaan dalam diri Fuad terungkai. Antaranya ialah ayahnya iaitu Robert Lim pernah memeluk agama Islam untuk mengahwini ibunya Mariana. Fuad juga mendapat tahu bahawa nama sebenarnya adalah Abdul Halim bin Roslan.
iii. Konflik
Fuad menghadapi konflik apabila ayahnya memasukkan wang ke dalam akaunnya tetapi dalam masa yang sama dia tidak dapat memaafkan ayahnya. Konflik juga berlaku apabila Fuad mencintai adiknya sendiri iaitu Sofia dan Farhana. Namun cintanya terpaksa dikorbankan apabila mengetahui bahawa Sofia dan Farhana adalah adiknya. Selain Fuad, konflik juga dapat dilihat apabila Mak Salmah menyayangi Fuad tetapi dalam masa yang sama membencinya kerana menganggap Fuad merupakan punca Sofia meninggal dunia.
iv. Klimaks
Fuad mendapat tahu bahawa ibunya masih hidup. Selain itu, Pak Ismail dan Mak Mah pula didatangi Robert Lim bertujuan untuk memberi cincin ibu Fuad kepadanya. Fuad mendapat tahu bahawa ibu Farhana adalah ibunya juga. Kedatangan Robert Lim ke hospital tempat ibu Farhana dirawat mengesahkan lagi bahawa Mariana adalah ibu Fuad.
v. Peleraian
Di akhir cerita, Fuad menerima hakikat bahawa Farhana adalah adiknya. Pertemuan Fuad dengan ibu dan adiknya telah memberi kebahagiaan kepadanya. Akhir sekali, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah mengerjakan umrah.
Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Joshua/ Abdul Halim/Fuad
Dilahirkan sebagai seorang Islam dan dibesarkan dalam keluarga Cina dan kembali semula kepada ajaran Islam setelah berlaku tragedi dalam hidupnya.
Nama sebenarnya Abdul Halim Bin Roslan Dia juga dikenali dengan nama Joshua ketika tinggal bersama Peter Lim dan Swee Lan.
Anak saudara kepada Peter Lim dan Swee Lan Kemudian dia diberi nama Fuad dan menjadi anak angkat Pak Ismail dan Mak Salmah. Dia merupakan anak kepada En. Roslan (Robert Lim) dan Pn. Mariana.
Dia berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari sebuah Universiti ternama di Amerika Syarikat.
Dia menjadi guru sementara (sandaran) di Sekolah Menengah Seri Setia dan mengajar subjek Bahasa Inggeris.
Fuad mempunyai adik tiri bernama Sofia dan Farhana
Seorang yang taat kepada perintah agama. Contoh: Fuad tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa membaca al-Quran.
Seorang yang bertanggungjawab Contoh: Sebagai seorang guru, dia bertanggungjawab memastikan anak muridnya dapat menguasai Bahasa Inggeris
Seorang yang gigih Contoh: Fuad gigih berusaha mencari ibu kandungnya. Seorang yang suka membantu Contoh: Fuad membantu menanggung perbelanjaan perkahwinan Borhan.
Dia seorang yang mengambil berat Contoh: Fuad mengambil berat tentang diri Farhana terutamanya apabila Farhana ditimpa masalah berkaitan kesihatan ibunya.
Watak Sampingan
Farhana
Nama penuhnya ialah Farhana Binti Fakhrudin.
Dia merupakan anak sulung dan mempunyai empat orang adik iaitu Muhammad Fikri, Muhammad Fadli, Muhammad Syukri dan Muhammad Faisal.
Dia bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia.
Dia juga memegang jawatan sebagai Ketua Panitia Bahasa Inggeris.
Dia berkelulusan Pendidikan dari Universiti di United Kingdom.
Dia seorang yang bertanggungjawab Contoh: Farhana sering pulang ke Kuantan apabila mengetahui ibunya sakit lelah.
Dia seorang yang penyayang Contoh: Farhana amat menyayangi ibu dan adik-adiknya.
Seorang yang tegas Contoh: Farhana sering menegur sikap Cikgu Zamani yang sering tidak masuk kelas.
Robert Lim
Nama Islamnya ialah Roslan.
Berkahwin dengan Mariana (ibu Fuad). Kemudian mendirikan rumah tangga dengan Susan.
Merupakan seorang ahli perniagaan.
Pak Ismail
Merupakan suami kepada Mak Salmah
Membimbing Fuad menjalani cara hidup Islam yang sebenarnya.
Taat kepada perintah agama. Contohnya Pak Ismail tidak pernah meninggalkan solat dan sering solat berjemaah di surau.
Dia juga seorang yang bertanggungjawab. Contohnya Pak Ismail membimbing Fuad mendalami Islam sepenuhnya. Dia sering mengajar Fuad membaca al-Quran.
Pak Ismail seorang yang penyayang. Buktinya dia menjaga isterinya ketika isterinya sakit.
Mak Salmah
Merupakan isteri kepada Pak Ismail
Mengambil Sofia sebagai anak angkat
Seorang yang baik hati. Buktinya Mak Salmah menjaga Fuad dan Sofia seperti anaknya sendiri.
Mariana
Merupakan isteri pertama kepada Roslan (Robert Lim)
Ibu kepada Abdul Halim (Fuad) dan Farhana. Kemudian Mariana berkahwin dengan ayah Farhana iaitu Fakhrudin.
Mariana terkena penyakit gila meroyan selepas melahirkan Abdul Halim.
Mempunyai penyakit lelah.
Pergi menunaikan umrah bersama Fuad
Bersifat penyayang. Buktinya walaupun sekian lama terpisah dengan Abdul Halim namun Mariana tetap mengingati dan menyayangi anaknya itu.
Seorang yang mengambil berat. Buktinya dia meminta Farhana menjaga adik-adiknya ketika dia pergi menunaikan umrah.
Latar
Latar Masa
Waktu petang apabila Fuad pulang dari hutan mencari kayu api.
Waktu malam semasa jemaah surau menunaikan solat isyak.
Waktu pagi semasa Fuad memandu ke sekolah. Hari cuti persekolahan. Fuad mengambil kesempatan pulang ke Sungai Ruan untuk menemui Peter Lim dan Swee Lan.
Waktu senja semasa Fuad menikmati keindahan pantai Batu Buruk.
Latar Tempat
Rumah Pak Ismail dan Mak Salmah iaitu di Danau Seberang, Terengganu. Fuad dan Sofia tinggal di rumah tersebut sebagai anak angkat kepada Pak Ismail dan Mak Salmah.
Klinik Ihsan di Bandar Kuala Terengganu. Fuad menyewa kereta untuk membawa anak Borhan mendapatkan rawatan di klinik tersebut.
Pantai Batu Buruk yang dijadikan tempat untuk Fuad melayan perasaannya sendiri sambil menikmati keindahan alam pada waktu petang.
Sekolah Menengah Seri Setia tempat Fuad menjadi guru sandaran. Di sekolah ini, Fuad berkenalan rapat dengan Farhana.
Sungai Ruan yang merupakan tempat tinggal Peter Lim dan Swee Lan sekeluarga. Fuad juga pernah tinggal bersama mereka yang dianggap sebagai anak sendiri.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Fuad membawa ibunya,Pak Ismail dan Mak Salmah untuk menaiki pesawat ke Makkah bagi menunaikan umrah.
Latar Masyarakat
Masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam. Fuad dan Pak Ismail sering sembahyang berjemaah di surau berdekatan rumah mereka.
Masyarakat yang terdiri daripada orang melayu. Misalnya nama panggilan penduduk di Danau Seberang seperti Fuad, Pak Ismail, Mak Salmah, Awang Sojar dan Borhan membuktikan mereka orang Melayu.
Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Farhana berbangsa Melayu manakala Chin pula berbangsa Cina.
Masyarakat yang mempunyai pelbagai kerjaya. Farhana bekerja sebagai guru manakala Peter Lim pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan penoreh getah. Sementara itu Robert Lim pula menceburi bidang perniagaan.
Masyarakat yang terdiri daripada warga pendidik. Fuad sendiri bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Seri Setia. Di sekolah tersebut, Fuad berkenalan rapat dengan Farhana di samping guru-guru lain seperti Cikgu Zamani, Cikgu Rosli, Cikgu Armin dan Cikgu Azli.
Teknik Plot / Teknik Penceritaan
i. Pemerian
Contoh : Suasana ruang legar balai berlepas di aras lima Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hangar binger dengan suara orang ramai yang menghantar sanak saudara atau handai taulan mengerjakan umrah di Makkah. Kanak-kanak berlari ke sana ke mari. Kadang kala terlanggar beg-beg yang telah siap diikat untuk disorong ke ruang bagasi.
ii. Dialog Contoh: - “ Betul, Pak Mail.” - “Oh…..cikgu!” - “ Kau dah makan, Fuad?” “Dah,” balasnya. “ Sembahyang?” “Kalau gitu, mari duduk sini kejap.”
iii. Imbas Kembali Contoh: Mak Salmah sering teringatkan Sofia yang telah meninggal dunia. Fuad masih teringat suatu masa dulu Mak Salmah pernah membencinya kerana kehilangan Sofia. Peter Lim dan Swee Lan menceritakan kembali tentang Fuad dilarikan orang semasa kecil. Pak Ngah Lias dan Shamsuddin menceritakan kembali tentang ibu Fuad semasa hayatnya.
Teknik Penceritaan
iv. Imbas Muka Contoh: Fuad berangan Sofia masih hidup dan dia menghantar adiknya ke universiti untuk meneruskan pengajian.
v. Suspens Contoh: Fuad tertanya-tanya sama ada ibu Farhana itu ialah ibunya juga.
vi. Monolog dalaman Monolog dalaman digunakan untuk menggambarkan perasaan watak melalui pengucapan. Dalam novel ini, Fuad mengucapkan terima kasih kepada bapanya. Contoh : “Terima kasihlah apak” bisik hati kecilnya sambil menarik selimut.
Gaya Bahasa
i. Penggunaan bahasa asing Contoh: Bahasa Inggeris - optionist, grammar, problem, uncle Bahasa Arab – Allah, alhamdulillah, al-Quran, assalamualaikum i
i. Sinkope Contoh: tu, tak, kau
iii. Simile Contoh:- ibarat menongkah arus seperti ada sesuatu yang menyekat kerongkongnya. Seperti menghalang kemesraan. Ibarat layang-layang terputus tali, di mana tersadai, di situlah dia menumpang kasih. Seperti lupa diri Ibarat sehelai kain putih yang masih dapat dicorakkan atau seorang bayi yang masih boleh dibentuk.
iv. Hiperbola Contoh: - Hatinya masih mahu berpelangi Hanyut dalam ilusi Berapi-api kemarahannya diletuskan
v. Inversi Contoh: - Amat tersentuh perasaannya mendengar ungkapan sebegitu.
vi. Kata ganda Contoh: cepat-cepat, kawan-kawan
vii. Metafora Contoh: - Lurah sepi Benteng resahnya
viii. Personifikasi Contoh: - Bayu basah Disember itu menampar pipinya Melemparkan sejuring senyuman Kehangatan sudah mula menggigit
ix. Peribahasa Contoh: Terang hati, lurus bendul, berat tulang, khabar angina, ibarat nila setitik rosak susu sebelanga.
Nilai
i. Nilai kerajinan Buktinya Fuad merupakan seorang guru yang rajin dalam menjalankan tugasnya sebagai
guru.
ii. Nilai ketabahan Buktinya Fuad tabah menghadapi dugaan sepanjang pencarian ibu kandungnya.
iii. Nilai ketegasan Buktinya Farhana bersikap tegas ketika menegur Cikgu Zamani kerana tidak masuk kelas.
iv. Nilai kasih sayang Buktinya Mariana sering mengingati dan menyayangi Fuad walaupun telah lama berpisah.
v. Nilai bertanggungjawab Buktinya Mak Salmah sentiasa menjaga minum suaminya dan Fuad.
vi. Nilai keikhlasan Buktinya Fuad membantu membawa anak Borhan ke klinik walaupun sudah lewat malam. vii. Nilai bekerjasama Buktinya Farhana dan Fuad sentiasa bekerjasama untuk meningkatkan pencapaian anak . didik mereka dalam bahasa Inggeris.
viii. Nilai rasional Buktinya Fuad masih lagi dapat berfiki secara rasional setelah mendapat tahu bahawa wanita yang dicintainya ialah adik kandungnya sendiri.
Nilai
Pengajaran
i. Kita perlulah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan agar dapat berbakti kepada masyarakat.
ii. Kita haruslah tabah menghadapi ranjau kehidupan demi kesenangan pada masa hadapan.
iii. Kita mestilah reda dengan ketentuan Ilahi agar hidup kita lebih diberkati.
iv. Kita hendaklah saling membantu dalam hidup bermasyarakat agar sesuatu kerja menjadi mudah.
v. Kita mestilah saling menyayangi antara satu sama lain demi mewujudkan keharmonian dalam keluarga.
vi. Kita mestilah mengerjakan suruhan Allah demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
vii. Kita hendaklah mengamalkan semangat kerjasama agar sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik.
Waktu petang apabila Fuad pulang dari hutan mencari kayu api.
ReplyDelete Waktu malam semasa jemaah surau menunaikan solat isyak.
Waktu pagi semasa Fuad memandu ke sekolah. Hari cuti persekolahan. Fuad mengambil kesempatan pulang ke Sungai Ruan untuk menemui Peter Lim dan Swee Lan.
Waktu senja semasa Fuad menikmati keindahan pantai Batu Buruk.
knpa x bwt dlm esei..
ReplyDeleteSaya belum siap wt assignment novel melunas rindu... sinopsis dan bab, tema suda siap.. tpi yg lain blum lgi...
ReplyDeleteterima kasih un2k nota..saya minta kebenaran un2k copy...doakan saya un2k mndapat kputusan yg cmerlag dlm spm 2013..tq.. =)
ReplyDeletesyukran jazillan wabirahmatik,harap dapat membantu saya untuk exam kali ni
ReplyDeleteMinta izin copy ye. terima kasih :)
ReplyDeleteTerima kasih untuk nota..Sangat membantu..Terima kasih bnyk2..Minta izin untuk Copy Paste.. :D
ReplyDeleteterima kasih cikgu
ReplyDelete