Thursday, July 25, 2013

Salam Ramadan dan selamat belajar kepada calon-calon PMR 2013.

Hrmm, agak lama saya tidak 'up load' di blog saya ni...maklumlah terlupa kata laluan dan akhirnya berjaya jua...Oh iya, apa-apa yang saya nak kongsi kepada calon-calon PMR 2013 ni...
A)Suatu tempat yg menarik anda pernah lawat dalam negara, jelaskan keistimewaan tempat tersebut.
B)Cara ibu bapa mengatasi gejala sosial.
C)Semangat kejiranan - langkah- langkah memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat
D) Peranan ibu bapa mengamalkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Bincangkan
E)Sifat sabar dan tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan akan mendapat pulangan atau ganjaran. Tulis sebuah ceria berdasarkan maksud tersebut.
F) Isu keracunan makanan. Cara mengatasinya.
Novel pula apa-apa yang boleh dikongsi bersama calon ni.....
1)Berdasarkan 3 contoh peristiwa daripada novel yang anda kaji, nyatakan latar masyarakat yang bertanggungjawab dalam novel tersebut.
2)Persoalan tanggungjawab, nyatakan 3 contoh peristiwa yang berkaitan dengan persoalan tanggungjawab dalam novel yang anda kaji.
3) Perbandingan watak utama dengan satu watak sampingan dalam novel yang anda kaji.

Dalam hal ini, para calon PMR bertenang dan bertanyalah kepada guru yang mendidik anda di sekolah. Pastikan anda jaga kesihatan, rehat yang cukup, tidur yang cukup, dan segala-galanya cukup...tiada yang kurang iya. Sila bawa kad pengenalan diri dan slip peperiksaan semasa peperiksaan berlangsung. Saya doakan anda mendapat keputusan yang cemerlang.

Sunday, October 21, 2012

Karangan Dimensi Diri


Anda telah menyertai program motivasi yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah. Pelbagai aktiviti telah diadakan.

Jelaskan aktiviti program yang telah menimbulkan kesedaran dalam diri anda untuk terus berjaya.

Pendahuluan : Banyak orang berpendapat, usia remaja ialah tempoh emas untuk menentukan hala tuju seseorang itu. Sama ada masa depan seseorang itu berjaya atau gagal bergantunglah kepada kebijaksanaan merancang dan mengisi ruang masa dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Banyak kegiatan yang boleh dimanfaatkan seperti mengunjungi pusat sumber, lawatan sambil belajar, dan menghadiri kelas tuisyen. Belakangan ini banyak pihak yang mengambil peluang menganjurkan pelbagai kem dan kursus pendek dalam masa cuti. Kem-kem seperti itu amat relevan untuk membentuk sahsiah remaja sama ada dalam aspek pengayaan minda mahupun keseimbangan emosi. Peluang tersebut turut saya ambil untuk memanfaatkan cuti hujung tahun yang agak panjang. Sesungguhnyadi luar pengetahuan,  saya telah memperoleh pelbagai input baru dalam usaha membangunkan jati diri yang dapat pula saya kongsikan dengan rakan-rakan sebaya.

Isi-isi penting :
Isi 1 : Memberi peluang memperluas jalinan rakan-rakan dan kenalan baru – berkenalan dengan rakan-rakan sebaya daripada pelbagai lapisan (remaja dari desa, bandar, kaya dan miskin) – berkongsi pengalaman tentang corak hidup, budaya, dan cara berfikir (sesuai dengan peribahasa, jauh berjalan luas pandangan, lama hidup banyak pengalaman, dan ramai kawan luas pengetahuan)

Isi 2 : Memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya – menggantikan rutin harian yang biasa seperti tidur, berehat dan menonton TV dengan aktiviti yang berfaedah – setiap saat yang berjalan cukup bermanfaat – faham tentang perancangan masa yang berkesan

Isi 3 : Dapat mengikuti modul latihan yang padat – modul latihan dirancang secara teliti ( meliputi aspek ketahanan minda, latihan jasmani, semangat berpasukan, dan pengetahuan am ( berkaitan sejarah negara, hubungan Malaysia di peringkat antarabangsa) – modul kerohanian (latihan tadarus al Quran, solat berjemaah, solat malam, dan kuliah agama)

Isi 4 : Sangat mencabar ketahanan fizikal dan mental – modul latihan fizikal yang lasak (senaman pagi, kawad kaki, treking, dan merentas halangan) – modul latihan mental (penyelesaian masalah, membaca arah, dan bermuhasabah)

Isi 5 : Berjaya membina keyakinan diri – berasa seolah-olah dilahirkan semula dalam sebuah dunia yang baharu – berjaya memupuk kekuatan minda, lebih bersemangat, dan yakin untuk mencapai matlamat  - memperoleh emosi yang tenang dan selalu bertawakal kepada Tuhan

Kesimpulan : Selepas seminggu berada dalam kem yang dianggap oleh sesetengah peserta sebagai penjara terhormat, saya bermuhasabah semula tentang hakikat diri. Sesungguhnya, setiap insan yang diciptakan telah disertakan dengan potensi yang tertentu. Namun demikian, kegagalan kita memanfaatkan potensi yang ada boleh menyebabkan ramai orang yang gagal di pertengahan jalan. Oleh itu, setiap potensi hendaklah digilap melalui kursus dan kem seperti yang saya hadiri. Yakinlah, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubahnya” (maksud al Quran).

Karangan Dimensi Keluarga


Slogan ‘Rumahku Syurgaku’ amat berkesan dalam mewujudkan keharmonian sesebuah keluarga seterusnya mengatasi masalah rumah tangga.

Jelaskan peranan keluarga agar slogan tersebut menjadi kenyataan.

Pendahuluan :  ‘Keluarga’ ungkapan keramat yang wujud sejak berabad silam merupakan paksi yang melahirkan tamadun manusia hingga kini. Kesempurnaan keluarga menjadi penentu kepada masayarakat yang progresif dan dinamik.  Dengan yang demikian, saya berpendapat, sebuah keluarga yang harmoni dalam lingkungan ‘Rumahku Syurgaku’ pasti menjadi penyumbang utama untuk mengatasi masalah rumah tangga.

Isi 1  :   Membina sebuah keluarga yang beriman dan bertakwa – hidup yang berpaksikan iman dan takwa akan mendapat taufik dan hidayah Allah – terlindung daripada perkara-perkara keji yang boleh memporak-perandakan keluarga

Isi 2  :   Dapat melahirkan zuriat yang sempurna dan seimbang dalam aspek fizikal, mental, rohani dan emosi - asuhan dan belaian yang sempurna menjadi ‘baja’ kepada pertumbuhan sahsiah anak-anak -  interaksi keluarga yang lemah lembut dapat membentuk sikap penyayang (mawadah)

Isi 3  :   Dapat membina sebuah keluarga yang mementingkan akhlak, agama, dan ilmu pengetahuan - anak-anak yang berakhlak dan beragama bakal menjadi modal insan yang berkualiti - anak-anak akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk cemerlang dalam pelajaran dan memperoleh kerjaya yang cemerlang

Isi 5  :   Menghindari segala tindakan negatif daripada anak-anak – mengawal emosi yang tenteram dalam kalangan anak-anak – memebentuk minda yang cerdas - ibu bapa dapat mengawal anak-anak daripada anasir buruk dan memberi motivasi untuk memburu cita-cita dan ingin menjadi cemerlang

Kesimpulan :     Keluarga pasti menjadi nukleus utama untuk anak-anak. Keluarga merupakan institusi tertua menentukan arah dan hala tuju seseorang. Oleh itu, keluarga yang harmoni pasti menjanakan kejayaan yang cemerlang terhadap anak-anak.

Karangan Dimensi Keluarga


Ibu bapa merupakan pendorong utama dalam membudayakan  amalan  membaca  dalam kalangan anak-anak.

Jelaskan  usaha-usaha yang dilakukan  ibu bapa bagi memastikan amalan  membaca menjadi budaya dalam kalangan keluarga mereka.

Pendahuluan :  Apabila kita menoleh semula kepada  sejarah kemajuan manusia, perihal membaca merupakan suatu wahana yang menjadi enjin utama untuk sesuatu bangsa itu maju. Dalam sejarah Islam juga, permulaan madani bermula dengan membaca apabila Nabi Muhammad SAW menerima wahyu pertama di Gua Hira dengan asas membaca. Seterusnya membaca terus menjadi nadi kejayaan Zaman Renaisance apabila banyak sumber bacaan dalam tamadun Islam berpindah tangan kepada masyarakat Barat selepas berakhirnya Perang Salib. Revolusi ciptaan mesin cetak yang bermula di Jerman telah membuka dimensi pembacaan sebagai sangat penting yang menganjak manusia menemukan pelbagai ciptaan moden hasil pembacaan. Oleh itu, tradisi warisan turun-temurun ini hendaklah diteruskan khususnya dalam kalangan keluarga untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan anak-anak.

Isi-isi penting :

Isi 1 :  Ibu bapa perlu menjadikan aktiviti membaca sebagai agenda wajib dalam rumah tangga – membaca hendaklah menjadi amalan penting setaraf dengan keperluan asasi yang lain seperti makan, minum, riadah dan semua aktiviti keluarga

Isi 2 :  Ibu bapa hendaklah menunjukkan karisme sebagai golongan terpelajar dan berfikir – mencetuskan idea-idea baru, bernas dan matang melalui pengalaman membaca – melahirkan rasa bangga kepada anak-anak atas kebolehan ibu bapa

Isi 3 :  Mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk membentuk tabiat membaca – melengkapkan semua sudut di dalam rumah dengan prasarana membaca dan bahan-bahan bacaan yang pelbagai bidang

Isi 4 :  Cuba memahami watak dan kecenderungan anak-anak – menyediakan bahan bacaan yang sesuai dengan minat mereka

Isi 5 :  Mencuri peluang untuk menanamkan sikap suka berfikir secara intelektual – pemikiran kelas pertama melalui kegiatan membaca – sesi sumbang saran dan pendapat dalam kalangan ahli keluarga

Kesimpulan :  Dalam semua kecenderungan dan kejayaan anak-anak, ibu bapa adalah sebagai penjana utama. Walaupun tidak dinafikan aspek minat, kecerdasan dan bakat menjadi penentu jalan hidup anak-anak, namun ibu bapa berperanan penting untuk mewarnakan mereka dengan betul. Oleh itu, budaya membaca dalam keluarga akan menjadi mangkin kepada kejayaan anak-anak dalam apa-apa bidang yang mereka minati. 

KARANGAN DIMENSI ANTARABANGSA


Ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat telah menyebabakan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbat tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah, “Kesan-kesan Kemasukan Buruh Asing Kepada Negara Kita”.

Tulis rencana itu selengkapnya.

Pendahuluan :  ‘Malaysia’ suatu sebutan yang cukup berharga dalam kalangan pendatang asing di seluruh dunia. Bermula dari hujung dunia antara masyrik ke maghrib dan dari paksina ke daksina, rata-rata kaum pendatang amat terliur untuk memasuki Malaysia. Semua impian tersebut berpunca daripada kata-kata segolongan warga Indonesia di negara ini yang menyebut, “Di Malaysia Emas Boleh Dikutip Di kaki Lima” menunjukkan peluang mencari rezeki dan hidup senang lenang terbuka dengan seluar-luasnya di sini. Oleh itu, tidak hairanlah Malaysia menjadi destinasi pilihan warga asing. Memang benar kedatangan buruh asing telah membantu mempercepat pembangunan negara, namun turut menyumbang kepada kesan-kesan negatif juga.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Sebagai pilihan majikan akibat kekurangan tenaga kerja tempatan – Jumlah penduduk Malaysia hanya 28 juta tidak mampu menampung permintaan buruh yang tinggi – taraf kemahiran dan kepakaran rakyat Malaysia masih lagi rendah

Isi 2 :  Mengurangkan secara relatif upah buruh yang boleh mengurangkan kadar kos hidup – upah buruh asing masih rendah – kesungguhan mereka bekerja amat berbaloi

Isi 3 :  Membantu memindahkan kepakaran teknologi dan kemahiran – masyarakat tempatan semakin sedar tentang pelbagai ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh orang asing – wujud kemahuan ingin bersaing – kemajuan negara akan diterajui oleh anak watan sendiri pada masa depan

Isi 4 :  Timbul isu keselamatan dan jenayah – tidak semua warga asing yang datang dengan niat bekerja (terdiri daripada penjenayah yang sangat dikehendaki di negara mereka) – kes-kes samun dan rompak bersenjata banyak melibatkan warga asing – meningkatnya kes pembunuhan

Isi 5 :  Timbul perebutan peluang ekonomi – warga asing yang mencuri peluang berniaga (rakyat Indonesia dan Nigeria) – tapak gerai peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur telah dimonopoli oleh warga asing

Isi 6 :  Merampas peluang kerja rakyat tempatan – rakyat terpaksa bersaing untuk mendapat kerja – keutamaan majikan memilih pekerja asing dengan relatif gaji yang lebih rendah – hampir 100 peratus  pasaran buruh kasar dimonopoli oleh warga asing

Isi 7 :  Timbul konflik budaya dan moral – membawa masuk pengaruh asing yang tidak sesuai dengan budaya dan agama rakyat Malaysia – gejala pelacuran, bersekedudukan – membawa kesan yang amat buruk kepada generasi muda – berlaku masalah setinggan

Kesimpulan :  Tuntasnya, peluang untuk hidup di muka bumi ini telah dibuka oleh Allah kepada semua manusia. Tinggal lagi apabila rakyat di sesebuah negara itu tidak merebut peluang yang Allah kurniakan, nescaya datanglah orang lain yang mencuri kesempatan. Mungkin analogi ini tepat dengan situasi di Malaysia sekarang. Seyogia rakyat Malaysia harus bangkit untuk menyelamatkan nusa ini daripada ancaman berterusan daripada warga asing. Ingatlah, “Di sini bumi yang kita pijak, justeru di sinilah langit yang kita junjung”.

KARANGAN DIMENSI DIRI/INDIVIDU


Isu kebersihan terutamanya di kawasan sekolah perlu diberi perhatian serius.
Sebagai pelajar yang prihatin, kemukakan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan persekitaran sekolah anda sentiasa bersih.

Pendahuluan :  Sekolah boleh diibaratkan sebagai taman-taman intelektual yang turut berperanan sebagai kilang yang mengeluarkan tenaga manusia yang berkaliber. Sekolah turut menjadi penyumbang pembinaan sebuah bangsa yang berperadaban dan lestari. Setiap insan yang keluar dari sesebuah institusi sekolah dengan jayanya pasti menjadi aset yang  bernilai kepada masyarakatnya. Sebagai sebuah organisasi yang banyak menabur budi kepada manusia, sekolah seharusnya memiliki ciri-ciri yang boleh dibanggakan seperti cemerlang, kualiti disiplin, dan landskap yang cantik dan bersih. Dalam merealisasikan hajat tersebut, pihak pengurusan dan guru sahaja tidak mampu untuk melaksanakannya, melainkan usaha tersebut harus menerima sentuhan ajaib daripada para pelajar sendiri. Oleh itu, saya sentiasa terpanggil dan beriltizam untuk turut sama menyumbang tenaga dan idea agar sekolah saya sentiasa bersih dan ceria.

Isi-isi penting :
Isi 1 :  Sedar dan insaf bahawa disiplin adalah antara penyumbang paling penting – kekebalan disiplin mampu menghalang pelajar berbuat sesuatu yang tidak sesuai semasa di sekolah – menyebabkan nama sekolah jatuh - menyeru, mengajak dan menunjuk teladan yang baik kepada raka-rakan agar sama-sama menyayangi sekolah

Isi 2 :  Membudayakan amalan 3K (Kebersihan, Keceriaan, dan Keselamatan) – program yang meletakkan sasaran supaya sekolah menjadi tempat yang selamat dan menyeronokkan pelajar – berganding bahu dengan semua warga sekolah

Isi 3 :  Mencadangkan kepada pihak sekolah untuk mewujudkan kawasan angkat untuk pelajar – pelajar melalui persatuan dan kelab menjaga dan menghiaskan kawasan kebanggaan yang menjadi milik mereka

Isi 4 :  Mencadangkan pihak sekolah menganjurkan pertandingan bersih dan indah – pertandingan termasuk bilik kelas dan kawasan angkat – melahirkan komitmen yang tinggi kepada pelajar untuk berbangga dengan kawasan angkat mereka

Isi 5 :  Menganjurkan pertandingan yang berbentuk koakademik – pertandingan melukis mural, poster, kata-kata hikmat dan pertandingan mengarang – mencungkil bakat dan apresiasi pelajar terhadap sekolah yang dicintai

Kesimpulan :  Pesanan daripada peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat belajar haruslah diterapkan ke dalam jiwa pelajar agar terus mencintai dan berbangga akan alma mater yang pernah mendidik mereka. Sebagai tanda sayang, saya akan terus komited untuk mengangkat imej sekolah saya dalam semua perkara termasuk menjadikan sekolah saya yang terbaik dan terindah landskap dan budayanya.

Analisis Karangan Bahan Rangsangan SPM BM kertas 1

TAHUN
TEMA
2005(N)
Gejala vandalisme
2006(J)
Sijil Pelajaran Malaysia
2006(N)
Semangat patriotik, PLKN dan tokoh yang berjasa
2007(J)
Aktiviti masa lapang
2007(N)
Tanggungjawab menjaga kebersihan
2008(J)
Kegiatan dalam bidang pertanian
2008(N)
Punca-punca pencemaran sungai
2009(J)
Bantuan kepada mangsa banjir
2009(N)
Aktiviti badan beruniform serta faedah-faedahnya
2010(J)
Punca pencemaran udara
2010(N)
Grafik penjagaan kesihatan - Cara-cara menjalani kehidupan yang sihat
2011(J)
Kepentingan pengangkutan awam
2011(N)
Faedah belajar secara berkumpulan
2012(J)
Faedah menggunakan perpustakaan
2012(N)
???