Sunday, February 13, 2011

Teknik Menjawab Ringkasan Karangan PMR

BAHAGIAN A (i)
RINGKASAN

Nota:

- Calon dikehendaki meringkaskan petikan berdasarkan kehendak soalan

supaya menjadi tidak melebihi 80 patah perkataan.

- Contoh:

- Tulis sebuah ringkasan tentang masalah penjualan buku-buku dalam bahasa Melayu.

- Tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor yang menyebabkan banjir kilat di ibu kota.

- Tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara memupuk minat membaca

dalam kalangan kanak-kanak.
- Biasanya petikan yang dikemukakan adalah rencana tentang isu-isu semasa.

- Sebanyak 40 minit diperuntukan untuk menjawab Bahagian A(i) dan A(ii).
- Markah yang diperuntukan pula ialah 20 markah.



Teknik Meringkaskan Petikan:

- Calon perlu membaca dan memahami arahan soalan di samping

memastikan jumlah perkataan yang dikehendaki.

- Baca petikan lebih daripada sekali dengan teliti sehingga betul-betul faham akan isi petikan tersebut.

- Semasa membaca petikan, garisi perkataan yang menggambarkan isi

yang dikehendaki oleh soalan.

- Cuba gabungkan perkataan-perkataan tersebut untuk membentuk isi yang mantap.

- Huraian isi dan contoh-contoh perlu ditinggalkan.

- Calon digalakkan menggantikan huraian isi yang panjang dengan perkataan

tertentu atau istilah lain yang lebih sesuai.

- Selepas menulis ringkasan itu sila kira jumlah perkataan serta semak jika

terdapat kesalahan ejaan atau tatabahasa.

- Markah maksimum untuk isi ialah 10 markah (5 isi x 2 = 10 markah);

manakala markah maksimum untuk bahasa ialah 10 markah (bergantung

pada persembahan bahasa pelajar).

- Tulis ayat-ayat baru dalam satu perenggan sahaja.

- Salin hasil ringkasan dalam kertas jawapan dengan tulisan yang kemas.

Kemudian, tulis jumlah perkataan di bahagian kanak jawapan.

- INGAT!!! Jangan salin ayat bulat-bulat daripada isi tersebut; dan jangan

ubah kesemua perkataan yang terdapat dalam isi tersebut kerana bimbang

maksudnya akan terpesong.


Jadual menulis ringkasan karangan PMR

......(Kata Tugasan).....ialah/adalah.........(Isi yang pertama)... . Selain itu,............(Isi yang Kedua).... . Seterusnya,.......(isi yang Ketiga).... . Selanjutnya,......(Isi yang Keempat)..... . Pada masa yang sama,.......(Isi yang kelima).... .

(80 patah kata)

Contoh Soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.


Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.

Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.

Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.

Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.





Contoh Jawapan:

Kumpulan perbincangan diadakan bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dalam kalangan ahli. Melalui aktiviti ini, pemahaman tentang sesuatu perkara dapat dipertingkatkan. Nota hasil pembelajaran dapat disusun dengan rapi. Ada rakan-rakan yang dapat menjelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami dengan terperinci. Selain itu, nota pelajaran juga dapat disusun mengikut urutan yang tepat. Semua ahli kumpulan mendapat faedah hasil daripada perbincangan yang dilakukan. Akhir sekali kumpulan perbincangan dapat meningkatkan kecekapan bekerja setiap ahli kumpulan.





BAHAGIAN A (ii)

PEMAHAMAN

Nota:

- Tiga soalan akan dikemukakan.

- Soalan (i) dan Soalan (ii) lazimnya berkaitan dengan isis petikan. Sila rujuk

petikan untuk mendapatkan jawapan.

- Soalan (iii) merupakan soalan terbuka yang memerlukan kemahiran berfikir

murid. Jawapan perlu munasabah.

- Markah yang diperuntukan ialah 10 markah.




Teknik Menjawab Soalan Pemahaman

- Calon perlu memahami kehendak soalan yang dikemukakan dan jumlah

markah yang ditetapkan bagi setiap soalan.

- Soalan (i) Soalan tentang maksud frasa atau rangkai kata dan juga

peribahasa yang terdapat dalam petikan dan 2 markah akan diberi.

- Seboleh-bolehnya, gantikan setiap perkataan dalam rangkai kata tadi

dengan perkataan anda sendiri, tetapi hendaklah mengikut maksud

penggunaannya dalam petikan.

- Soalan (ii) adalah soalan pemahaman berdasarkan petikan dan markah yang

diberi ialah 4.

- Oleh sebab soalan ini berdasarkan petikan, pelajar mestilah mencari isi

jawapannya dalam petikan tersebut.

- Setelah ditemui, jangan disalin bulat-bulat tetapi seperti menjawab

ringkasan, pelajar sekurang-kurangnya mengubah satu atau dua

perkataan.

- Markah yang diberi ialah 4, maka pelajar perlu mengemukakan lebih

daripada satu isi (2, 3 atau 4 isi jika ada dalam petikan).

- Soalan (iii) merupakan soalan pendapat yang jawapannya dikategorikan

sebagai tersirat.

- Hal ini bermakna pelajar mesti membuat kesimpulan atau memberikan

pendapat sendiri.




Contoh Soalan dan Jawapan (Berdasarkan petikan di atas)


i. Apakah maksud tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas?

Tradisi meningkatkan ilmu bermaksud suatu cara yang sering dilakukan

untuk menambahkan pengetahuan seseorang.


ii. Berikan dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan?

Berbincang dalam satu kumpulan yang disertai oleh orang yang lebih mahir

dan pakar dalam aspek yang sedang dibincangkan. Selain itu,

mengemukakan pendapat yang bernas dan yang terbaik sebagai tanparan

kepada cabaran pengetahuan ahli kumpulan yang lain.

iii. Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk memberitahu murid tentang

kebaikan belajar secara berkumpulan?

Guru mata pelajaran hendaklah menjelaskan kepada murid bahawa belajar

secara berkumpulan akan menyebabkan pelajaran kekal lama dalam

ingatan. Pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentng cara belajar

secara berkumpulan yang efisien. Selain itu, murid yang telah berjaya

menggunakan akedah ini dijadikan murid contoh. Di samping itu, pihak

kaunselor hendaklah memberi ceramah motivasi diri dan pengurusan diri

untuk menjadi murid yang cemerlang.

9 comments: