Sinopsis
Bab 1 :
Khoja Maimun yang berasal dari negeri Ajam, mempunyai seorang isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Pada suatu hari, mereka pergi ke pekan lalu membeli seekor burung Bayan jantan dengan harga seribu dinar. Burung itu sungguh istimewa kerana boleh membuat ramalan. Menurut ramalannya, dalam masa tiga hari lagi Khoja Maimun akan mendapat keuntungan hasil daripada menjual sanbal ( wangi-wangian). Hasil keuntungan tersebut, Khoja Maimun turut membeli seekor burung tiung betina.
Khoja Maimun keluar berniaga dan meninggalkan isteri tercintanya di rumah. Pemergiannya menyebabkan Bibi Zainab berasa sunyi lalu duduk di tepi jendela. Pada ketika itu dia terpandang anak raja negeri yang sangat kacak dan mereka saling jatuh hati. Bibi Zainab ingin berjumpa dengan anak raja itu lalu meminta nasihat burung tiung. Namun, tiung melarangnya dengan memberi nasihat bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan hukum Allah. Bibi Zainab amat marah mendengar nasihat itu, lantas menghempas tiung sehingga mati. Seterusnya, dia meminta pandangan daripada Bayan pula. Bayan berusaha melalaikan Bibi Zainab dengan bercerita kepadanya.
Bab 2: Cetera Pertama
Cetera pertama berkisar tentang Kisah Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Isteri saudagar berbuat demikian kerana mengesyaki bahawa Bayan telah membocorkan dia telah bermukah dengan seorang fakir kepada suaminya. Bayan menyembunyikan dirinya di dalam saluran tempat membuang air beras menyebabkan isteri saudagar tersebut mengganggap Bayan telah mati
Isteri saudagar menberitahu kepada suaminya bahawa bayan telah mati akibat dimakan kucing. Namun, helah itu diketahui suaminya menyebabkan saudagar tersebut marah dan menghalau isterinya. Dia telah pergi ke kubur Tuan Sheikh Wali Allah untuk memohon doa agar suaminya menerimanya kembali. Setelah bulu bayan tumbuh kembali, dia keluar dari tempat persembunyian lalu terbang ke kubur Tuan Syeikh untuk menyuruh isteri saudagar bertaubat. Bayan menyuruh isteri saudagar mencukur rambut dan bulu kening kerana ingin membalas dendam. Bayan menyatakan hasrat untuk membantu isteri saudagar agar dapat kembali ke pangkuan suaminya. Bayan menemui saudagar dan menjelaskan bahawa bukan isterinya yang membunuh Bayan, menyebabkan isterinya diterima kembali.
Bayan menyuruh Bibi Zainab menemui anak raja yang dicintainya, malangnya hari telah siang. Pada hari yang lain Bibi Zainab sekali lagi ingin keluar menemuai anak raja itu, namun Bayan telah bercerita tentang Hikayat Taif untuk melalaikannya.
Bab 3: Cetera Kedua
Taif menemui Raja Tabristan kerana Raja Arab tidak menghargai jasa yang dicurahkannya selama ini. Kehadirannya dialu-alukan dan Raja Tabristan yang menganugerahinya emas, perak dan tempat penginapan. Dalam suatu majlis keramaian, Taif telah menyatakan hasrat untuk melawan Isteri Syah Alam sehingga menyebabkan rajanya murka.
Suatu malam ketika Taif sedang berkawal, Raja Tabristan terdengar suara perempuan. Raja menitahkan Taif untuk menyiasat perkara tersebut. Menurut perempuan itu, jika Taif inginkan daulat raja Tabristan bertambah dan umur baginda dipanjangkan, dia harus membunuh anaknya sendiri. Taif begitu setia dan rela melakukan perkara tersebut, namun dihalang oleh perempuan itu kerana dia sebenarnya hanya ingin menguji Taif.
Peristiwa itu sebenarnya diintip oleh Raja Tabristan. Ketaatan Taif menyebabkan dia dianugerahi sebuah negeri dan harta yang banyak. Cerita itu sekali lagi melalaikan Bibi Zainab menyebabkan dia tidak berkesempatan untuk bertemu kekasihnya. Malam berikutnya, Bayan bercerita lagi.
Bab 4 : Cetera Ketiga
Terdapat seorang suami yang begitu mencemburui isterinya menyebabkan segala tindak tanduk isterinyanya dikawal. Isterinya telah bercerita tentang seorang suami yang terlalu memahami isterinya dan tidak akan marah walaupun isterinya berlaku sumbang terhadapnya. Hal ini demikian kerana, dia pernah melihat suami yang cemburu turut diduakan oleh isterinya. Akibat terlalu cemburu si suami sanggup menjadikan dirinya seekor gajah untuk membawanya berjalan-jalan, kerana bimbang isterinya akan bersenda gurau dengan lelaki lain.
Isteri kepada suami yang cemburu itu selalu menegaskan kepada suaminya bahawa dia setia, namun kesetiaannya masih diragui. Oleh sebab itu, dia membekalkan bunga dan sehelai kain kesumba ketika suaminya pergi belayar. Jika isterinya curang, bunga itu akan layu dan kain itu akan luntur
Bunga yang dibawa oleh saudagar (suami) itu tidak layu walaupun ketika itu musim kemarau. Raja di negeri itu tertanya-tanya akan keunikan bunga itu menyebabkan saudagar itu menceritakan hal sebenar. Kebijaksanaan isteri saudagar itu menyebabkan Raja ingin menguji kesetiaan isteri saudagar dengan menghantar seorang hamba raja menemuinya namun gagal. Seterusnya, tiga orang hamba dihantar untuk menguji kesetiaan isteri saudagar tadi, namun turut mengalami kegagalan. Akhirnya raja sendiri yang pergi untuk menguji isteri saudagar tadi. Isteri saudagar menasihati Raja agar takut akan azab Allah dan segera bertaubat.
Sekali lagi Bibi Zainab gagal menemui kekasihnya. Hajatnya masih tidak kesampaian apabila Bayan bercerita pula kisah Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya, Bibi Zainab insaf dan sedar bahawa seorang perempuan mestilah taat kepada suaminya.
Tema
Nilai etika yang harus diutamakan oleh golongan wanita terutamanya para isteri.
Cerita-cerita yang disampaikan oleh Bayan berkisar tentang pentingnya kesetiaan seseorang isteri dan perlu memiliki etika yang murni untuk menghindarkan daripada berlaku curang.
Persoalan
1. Persoalan kebijaksanaan melaksanakan sesuatu tindakan.
Apabila melihat Bibi Zainab menghempas burung tiung sehingga mati, bayan berpura-pura tidur.
2. Persoalan kecurangan seorang isteri
Semasa ketiadaan suami, Bibi Zainab jatuh hati dengan anak raja.
3. Persoalan kewajipan menjalankan tanggungjawab terhadap keluarga.
Khoja Maimun keluar berniaga untuk mencari rezeki.
4. Persoalan kejujuran dalam sebuah perhubungan
Isteri saudagar jujur terhadap suaminya walaupun banyak lelaki cuba mendekatinya.
Plot
Secara keseluruhannya plot prosa tradisional digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
i. Permulaan
Khoja Maimun digambarkan sebagai seorang saudagar yang kaya dan memiliki isteri yang cantik bernama Bibi Zainab. Mereka membeli burung bayan jantan dan tiung betina. Khoja Maimun mengusahakankan perniagaannya di tempat lain tanpa membawa isterinya.
ii. Perkembangan
Bibi Zainab rindu akan suaminya yang pergi belajar. Bibi Zainab jatuh hati kepada anak raja. Dalam Cetera Pertama, Bayan bercerita kisah seekor burung Bayan yang dicabut bulunya oleh isteri saudagar. Manakala dalam cetera kedua, Bayan bercerita kisah Taif dengan Raja Tabristan. Seterusnya dalam Cetera Ketiga, Bayan bercerita kisah suami yang amat cemburu kepada isterinya.
iii. Konflik
Bibi Zainab ingin bertemu dengan anak raja semasa ketiadaan suaminya.
iv. Klimaks
Bibi Zainab berpakaian cantik untuk bertemu kekasihnya. Bayan menasihati Bibi Zainab supaya tidak berpakaian yang keterlaluan kerana boleh mendatangkan fitnah.
v. Peleraian
Bibi Zainab melupakan hasrat untuk bertemu kekasihnya kerana lebih berminat dengan cerita Hikayat Serimala dengan Pandai Emas. Akhirnya Bibi Zainab insaf kerana berniat curang terhadap suaminya.
Watak dan perwatakan
Watak Utama
Burung Bayan
• Bersaiz kecil
• Taat pada tuannya – Burung Bayan cuba mengelakkan Bibi Zainab daripada berlaku curang kepada tuannya Khoja Maimun.
• Pandai membuat ramalan – Ramalan Burung Bayan bahawa akan datang kafilah untuk membeli sanbal benar-benar terjadi.
• Bijak bercerita – Cerita yang disampaikan Bayan menarik hati Bibi Zainab sehingga dapat mengelakkannya daripada berlaku curang.
Watak Sampingan
Bibi Zainab
• Cantik
• Penyayang terhadap suami – Dia ingin bersama-sama suaminya pergi berlayar.
• Curang – Dia jatuh hati kepada putera raja dan ingin berjumpa pada waktu malam.
• Kejam - Dia membunuh Tiung yang cuba menasihatinya.
Khoja Maimun
• Bertanggungjawab – Dia pergi belayar demi mencari rezeki.
• Penyayang – Dia terlalu kasih akan isterinya Bibi Zainab.
• Bijak – Khoja Maimun bijak menjalankan perniagaan.
Taif
• Setia – Taif tetap berbakti kepada raja walaupun dimurkai oleh raja.
• Rela berkorban - Dia sanggup kematian anaknya demi Raja Tabristan.
• Taat perintah – Taif menurut perintah Raja Tabristan yang mahu dia menyiasat tentang bunyi suara yang didengar.
Latar Masa
Waktu malam
• Bibi Zainab berhias dengan cantik untuk menemui kekasih hatinya.
Waktu pagi
• Bayan selesai bercerita pada waktu pagi .
Latar Tempat
i. Negeri Ajam
• Khoja Maimun menetap di situ
ii. Pekan
• Khoja Maimun dan Bibi Zainab membeli burung bayan dan tiung di pekan.
iii. Jendela
• tempat Bibi Zainab melihat anak raja
iv. Kubur Tuan Syeikh
• Isteri saudagar berdoa di kubur dan bertemu semula dengan Bayan.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang mementingkan ajaran agama -Isteri saudagar menasihati raja agar bertaubat
2. Masyarakat yang menurut hawa nafsu - Bibi Zainab tidak dapat menahan perasaan berahinya terhadap anak raja
3. Masyarakat yang pemurah - Raja Tabristan menganugerahi Taif pelbagai hadiah.
4. Masyarakat yang jujur memikul amanah yang diberikan - Taif begitu setia dan jujur kepada Raja Tabristan.
Teknik Plot
Pemerian
Pengarang menceritakan suasana ketika Khoja maimun hendak pergi belayar –
Setelah sudah maka Khoja Maimun pun bermohonlah kepada isterinya lalu dipeluk diciumnya akan isterinya yang cantik molek itu, muda molek dengan kelakuannya yang baik dengan tiada yang tidak baiknya itulah adanya, antara keduanya itu bertangisan dengan air matanya serta menaruh akan dua ekor burung itu. Maka Khoja maimun pun pergilah belayar.
Dialog
Dialog antara Khoja Maimun dengan penjual burung bayan di pekan –
“Hendakkah tuan hamba membeli Bayan?”
Maka sahut Khoja Maimun, “Berapa harganya?” Maka kata orang itu, “Seribu dinar Bayan hamba ini harganya.”
Monolog dalaman
Taif pun fikir di dalam hatinya, “Jikalau aku katakan yang sebenarnya pada raja bahawa sekali-kali raja tiada percaya seperti kataku. Jikalau demikian baik aku katakan yang lainlah.”
Gaya Bahasa
a) Simile
….dan ia seumpama air yang masin…kuning seperti muka orang durjana
b) Penggunaan bahasa Arab
Allah azzawajalla
c) Perlambangan
….emas itu berkuasa….
d) Inversi
“ seribu dinar bayan hamba ini harganya”
Nilai
1. Nilai kasih sayang terhadap pasangan
Contoh: Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati.
2. Nilai ketaatan terhadap ketua
Contoh: Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya.
3. Nilai prihatin terhadap keluarga
Contoh: Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga
4. Nilai keinsafan atas kesalahan yang dilakukan -
Contoh: Bibi Zainab insaf atas kesalahan yang dilakukan kerana cuba menduakan suaminya.
Persoalan
1. Kita mestilah patuh kepada perintah Allah agar dapat menghindarkan diri daripada kemungkaran
2. Kita haruslah berusaha untuk mencari rezeki buat keluarga agar kehidupan lebih sejahtera.
3. Kita perlulah menyayangi ahli keluarga dengan sepenuh hati agar memperoleh kebahagian yang berkekalan.
4. Kita mestilah bijak menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi agar tidak mendatangkan kemudaratan.
Latihan
1. Senaraikan tiga perwatakan Bayan seperti yang terdapat dalam Hikayat Khoja Maimun.
2. Tuliskan tiga nilai yang di peroleh dalam Hikayat Khoja Maimun berserta contoh.
Jawapan
1. Tiga perwatakan Bayan seperti yang terdapat dalam Hikayat Khoja Maimun ialah
Bayan merupakan binatang yang bijaksana. Selain itu, taat kepada tuannya dan boleh membuat ramalan tentang sesuatu yang bakal berlaku pada masa depan.
2. Tiga nilai yang terdapat dalam cerita ini ialah nilai kasih sayang terhadap pasangan contohnya Khoja Maimun menyayangi isterinya Bibi Zainab sepenuh hati. Kedua nilai ketaatan terhadap ketua contoh Taif begitu taat akan perintah Raja Tabristan sehingga rela membunuh anaknya. Ketiga nilai prihatin terhadap keluarga contoh Khoja Maimun dan saudagar prihatin dengan tanggungjawab untuk mencari nafkah buat keluarga
No comments:
Post a Comment