Sinopsis
Babak 1
Drama Cempaka Berdarah mengisahkan Mak Jah dan Cempaka sedang mengemas rumah. Mereka menanti kepulangan Zaman yang belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Kemudiannya, mereka terdengar orang memanggil di luar rumah. Mereka mengintai melalui lubang pintu dan mendapati seorang lelaki Orang Putih muncul. Mak Jah menyuruh Cempaka masuk ke biliknya. Orang Putih itu memperkenalkan dirinya sebagai Prof. Peter , pensyarah Antropologi dan Sosiologi dan merupakan pensyarah Zaman di universiti. Dalam perbualan mereka, Prof. Peter meminta Mak Jah menasihati Zaman supaya belajar betul-betul sekiranya hendak berjaya. Prof. Peter bertanya tentang Cempaka apabila melihat gambar Cempaka di dinding.
Babak 2
Semasa Zaman dan Cempaka mengambil buah bidara dan akar kayu di sebuah belukar, zaman menyuruh Cempaka pulang untuk mengambil parang. Mereka berbincang tentang bonsai dan ukiran akar kayu. Semasa Cempaka pulang mengambil parang, Prof. Peter muncul ditemani oleh Malik. Berlaku pertengkaran kecil antara mereka. Ketika Zaman mengambilkan Cempaka bunga kenanga, Prof. Peter dan Malik muncul semula. Berlaku lagi pertengkaran antara Prof. Peter dan Zaman. Prof. Peter mempersoalkan rambut Cempaka yang berwarna perang. Zaman membuat kesimpulan, Maliklah yang menjadi orang perantaraan Prof. Peter. Dia juga mendakwa Cempaka ialah adiknya yang dicari-cari selama ini. Semasa perang Jepun, ibunya telah menyembunyikan adiknya di tebing sungai Bukit Putih dan ditemui oleh Mak Jah. Dia hendak mengambil Cempaka dan mahu adiknya itu hidup dalam keluarganya. Sewaktu pertengkaran berlaku, Prof. Peter ternampak seekor ular lalu melepaskan tembakan. Cempaka rebah berlumuran darah. Mak Jah meraung melihat keadaan Cempaka. Zaman berasa marah dan berlaku pergelutan antara Zaman dan Prof. Peter. Prof. Peter telah melarikan diri ke dalam hutan. Zaman mengejarnya dengan parang. Tiba-tiba terdengar satu das tembakan dan semuanya tercengang. Mak Jah bersyukur kerana Zaman selamat dan mengangkat Cempaka yang tidak sedarkan diri itu.
Tema/Pemikiran
Keberanian mempertahankan hak dan maruah keluarga daripada dirampas oleh orang luar. Zaman bertindak dengan berani dan bersungguh-sungguh ketika bertengkar dengan Prof. Peter.
Persoalan
1. Persoalan kasih sayang sesama insan tidak mengenal agama dan keturunan.
2. Persoalan pendidikan penting untuk mengubah dan membela nasib diri dan keluarga.
3. Persoalan mempertahankan hak dengan cara yang betul.
4. Persoalan peperangan yang menyebabkan perpisahan antara ahli keluarga.
5. Persoalan tentang usaha mencari adik kandung yang hilang semasa perang Jepun.
Plot
Plot drama ini terbahagi kepada dua babak cerita.
1. Permulaan
Plot bermula di rumah Mak Jah yang sederhana di sebuah kampung. Mak Jah dan Cempaka sedang mengemas rumah sementara menanti kepulangan Zaman yang belajar di sebuah universiti di Kuala Lumpur.
2. Perkembangan
Plot berkembang apabila kedatangan Prof. Peter ke rumah Mak Jah. Tujuannya adalah untuk membuat penyiasatan kerana dia ialah Profesor Antropologi dan Sosiologi. Prof. Peter juga memperkenalkan bahawa dia ialah pensyarah Zaman. Peristiwa Prof. Peter melihat gambar Cempaka yang menarik perhatiannya. Plot terus berkembang apabila
Zaman dan Cempaka masuk ke pinggir belukar di kampungnya untuk mengambil buah bidara, akar kayu dan bunga kenanga.
3. Konflik
Pada tahap perumitan, Zaman bertemu dengan Prof.Peter yang diiringi Malik dan berlaku pertengkaran. Prof.Peter dan Malik beredar untuk menembak burung dan kera di bukit. Sejurus selepas itu, mereka datang semula iaitu semasa Zaman cuba mengambilkan Cempaka bunga kenanga. Berlaku lagi pertengkaran yang lebih hebat apabila Prof. Peter mempersoalkan rambut Cempaka yang berwarna perang.Prof. Peter mendakwa Cempaka ialah adiknya. Mak jah datang dan memarahi Prof. Peter.
4. Klimaks
Klimaks cerita ialah peristiwa Prof. Peter yang hendak menembak ular di atas kepala Cempaka tetapi tertembak Cempaka. Seterusnya, berlaku pergelutan antara Zaman dan Prof. Peter. Zaman mencuba merampas senapang Prof. Peter.
5. Peleraian
Prof. Peter melarikan diri ke dalam belukar. Zaman mengambil parangnya mahu mengejar Prof. Peter. Tiba-tiba terdengar satu das tembakan letupan senapang yang menyebabkan mereka tercengang. Akhirnya, Zaman berjalan ke arah ibunya semula dan ibunya bersyukur kerana Zaman selamat. Zaman dan Mak Jah mengangkat Cempaka yang tidak sedarkan diri.
Teknik Plot
1. Teknik pemerian
Pengarang memerihalkan watak Mak Jah dan Cempaka,
contohnya :
Mak Jah dan Cempaka sedang mengemas rumah. Mereka menunggu kepulangan Zaman yang belajar di sebuah university di Kuala Lumpur.(ms 243)
2. Teknik imbas kembali
Pengarang telah menggunakan teknik ini semasa dialog antara Prof. Peter dan Mak Jah tentang adiknya yang telah disembunyikan semasa Perang Jepun.
Contohnya:
Aku tahu, Mak Jah. Ibuku telah menyembunyikan adikku di tebing sungai Bukit Putih sebelum orang Jepun menyerang dan membunuh bapa dan ibuku.(ms257)
Watak dan Perwatakan
1. Zaman
Watak utama
• Anak Mak Jah dan abang angkat kepada Cempaka.
• Dia merupakan penuntut di university di Kuala Lumpur.
• Dia merupakan tukang urut, penggali kubur, tok mudim, dan boleh merawat beberapa jenis penyakit.
• Dia seorang yang penyayang.
Zaman amat menyayangi adiknya Cempaka dan ingin memenuhi hajat adiknya untuk mendapatkan bunga kenanga akar dan buah bidara di pinggir belukar.
• Dia seorang yang berani.
Zaman berani bergaduh dengan Prof. Peter kerana mempertahankan Cempaka daripada diambil oleh Prof. Peter..
• Dia seorang yang bijak
Zaman bijak menghidu niat sebenar Prof. Peter yang mahu membuat kajian di kampungnya.
• Dia seorang yang keras hati.
Zaman dikatakan keras hati oleh Prof. Peter dan diakui oleh Mak Jah kerana suka menentang cakap orang lain..
• Dia seorang yang tekun belajar
Zaman tekun belajar kerana berada pada tahun akhir dan akan menghadapi peperiksaan diuniversitinya.
2. Mak Jah
• Ibu Zaman dan ibu angkat kepada Cempaka
• Dia seorang yang penyayang
Mak Jah amat menyayangi Cempaka walaupun hanya anak angkat.
• Dia seorang yang tegas.
Mak Jah tetap dengan pendiriannya bahawa Cempaka itu anaknya walaupun diterangkan oleh Prof. Peter.
• Dia seorang yang bertanggungjawab.
Mak Jah bertanggungjawab memastikan keselamatan Cempaka dan menyuruh Cempaka masuk apabila Prof. Peter datang ke rumahnya.
3. Prof.Peter
• Seorang lelaki Inggeris
• Pensyarah sosiologi di sebuah universiti tempatan..
• Dia seorang yang bijak
Dia menggunakan alasan sedang membuat kajian sejarah dan melindungi tujuan sebenar mencari adiknya yang hilang.
• Dia seorang yang sombong
Prof Peter mengatakan bangsa Melayu berfikiran sempit dan pengotor.
• Seorang yang tegas
Prof. Peter tegas dengan pendiriannya bahawa Cempaka itu adiknya.
• Seorang yang sanggup berkorban.
Prof.Peter sanggup bekerja di Malaysia semata-mata untuk mencari adiknya yang hilang semasa zaman Jepun.
Latar
Latar masa
1. Pada sekitar tahun 60-an
2. Pada waktu menjelang tengah hari
Mak Jah dan Cempaka sedang mengemas rumah dan menunggu Zaman pulang dari Kuala Lumpur.
3. Pada waktu petang
Ketika Zaman dan Cempaka berada di pinggir hutan dan terserempak dengan Malik serta Prof.Peter.
Latar tempat
1. Di rumah Mak Jah
Prof.Peter datang ke rumah Mak Jah untuk menyiasat tentang adiknya.
2. Di pinggir belukar dalam kampung
Zaman dan Prof. Peter bertengkar tentang Cempaka.
Latar masyarakat
1. Masyarakat yang mempertahankan hak.
Mak Jah dan Zaman mempertahankan Cempaka daripada diambil oleh Prof. Peter kerana Cempaka telah dipelihara sejak kecil oleh Mak Jah.
2. Masyarakat yang penyayang
Mak Jah menyayangi anak-anaknya.Prof Peter juga menyayangi adiknya .
3. Masyarakat yang tidak mementingkan pendidikan wanita
Mak Jah tidak menghantar Cempaka bersekolah tinggi.
4. Masyarakat yang tidak menghormati budaya masyarakat tempatan.
Prof.Peter bersikap biadap kerana merendahkan orang Melayu dan tidak berunding secara berhemah dengan Mak Jah dan Zaman.
5. Masyarakat yang prihatin
Mak Jah telah mengambil Cempaka sebagai anak angkat setelah ibu Cempaka terpaksa meninggalkannya.
Gaya bahasa
1. Sinkope
Tuan nak buat apa di sini?
Mak Jah tak adakah anak lelaki?
2. Peribahasa
Keras hati, keras kepala
3. Kata ganda
betul-betul, lihat-lihat
4. Sinkope
Yang itu tak pulak disebut!.
Nilai
1. Nilai kasih sayang
Mak Jah amat menyayangi Cempaka walaupun Cempaka hanya anak angkat.
2. Nilai keberanian
Zaman berani mempertahankan Cempaka daripada diambil oleh Prof Peter.
3. Nilai hormat-menghormati
Mah Jah menghormati tetamunya Prof. Peter dan melayannya dengan ramah.
4. Nilai bertanggungjawab
Zaman bertanggungjawab memenuhi keinginan adiknya Cempaka untuk mengambil bunga kenanga akar.
5. Nilai kerajinan
Zaman rajin belajar sehingga tahun ketika itu berada dalam tahun akhir pengajian.
Pengajaran:
1. Kita hendaklah berusaha mempertahankan apa-apa yang menjadi hak kita dengan cara yang betul agar tidak berlaku kejadian yang tidak diingini.
2. Kita hendaklah menghormati masyarakat tempatan jika kita berkunjung ke tempat mereka supaya kita tidak mendapat kesusahan.
3. Janganlah kita menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan sesuatu masalah kerana perbuatan itu membahayakan kita.
4. Kita hendaklah gigih berusaha untuk mengubah corak hidup supaya tidak terus dibelenggu kemiskinan.
5. Setiap ahli keluarga hendaklah melindungi keluarganya yang lain kerana hal itu merupakan tanggungjawab mereka.
6. Kita perlu berwaspada terhadap orang yang tidak kita kenali agar tidak diperdayakan oleh mereka.
7. Kita berfikir secara bijak untuk menyelesaikan sesuatu masalah agar hasrat yang diinginkan akan memperoleh kejayaan.
Latihan
1.Nyatakan tujuan sebenarnya Profesor Peter ke rumah Mak Jah.
2.Pada pendapat anda, wajarkah Zaman mempertahankan hak keluarganya?
Jawapan
1. Tujuan sebenar Profesor Peter ke rumah Mak Jah adalah untuk menyiasat tentang kehilangan adiknya semasa Perang Jepun. Di samping itu, dia juga mahu memaklumkan Mak Jah tentang perkembangan Zaman di universiti.
2. Pada pendapat saya, Zaman wajar mempertahankan hak keluarganya kerana adiknya Cempaka hendak dirampas oleh Prof. Peter. Zaman juga bimbang apabila Prof. Peter menyatakan bahawa dia mahu Cempaka hidup dalam keluarganya dan akan pergi membawa Cempaka bersama-samanya.
No comments:
Post a Comment