Monday, August 30, 2010

PANDUAN MENULIS PENDAHULUAN KARANGAN

PENDAHULUAN

PEMERENGGANAN KARANGAN BAHASA MELAYU Ciri-ciri pendahuluan karangan
• Pendahuluan karangan seboleh-bolehnya menggambarkan tajuk perbincangan dan keseluruhan isi yang hendak dibincangkan dalam perenggan isi karangan.

• Pembaca akan membuat kesimpulan awal tentang apa-apa yang ditulis setelah membaca pendahuluan. Sehubungan dengan itu, anda sekurang-kurangnya mesti berupaya untuk mengetahui dan menulis beberapa jenis perenggan pendahuluan.

Jenis-jenis pendahuluan :-
(i) pendahuluan jenis definisi
(ii) pendahuluan jenis pendapat
(iii) pendahuluan jenis suasana
(iv) pendahuluan jenis persoalan
(v) pendahuluan jenis peribahasa



PENDAHULUAN JENIS DEFINISI •
memberikan takrif • makna • definisi

Contoh :

Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau peraturan. Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa malahan golongan remaja juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes pada tahun 1997 kepada 43 210 kes pada tahun 1998 Di samping itu, kesalahan yang dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa.


PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT -
menyatakan pendapat seseorang tokoh

Contoh :

Menurut Mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak boleh dihentikan sama sekali. Apa yang perlu adalah dengan mengurangkan pencemaran tetapi pada masa yang sama meneruskan pembangunan.


PENDAHULUAN JENIS SUASANA -
menggambarkan sesuatu melalui suasana yang sesuai.

Contoh :

Bas yang berhawa dingin terus berlalu menyusur jalan yang bengkang-bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami . sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Fraser , sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang akan kami lalui nanti.

PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN -
mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk

Contoh:

Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri mereka. Apakah yang dikatakan kecemerlangan ? Apakah dengan kecemerlangan boleh membuatkan seseorang itu berjaya ? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan ? Soalnya , apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan ?


PENDAHULUAN JENIS PERIBAHASA -
memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.

Contoh:

Peribahasa Melayu ” ringan sama dijinjing, berat sama dipikul” dan “seperti aur dengan tebing” amat sesuai ke arah mewujudkan masyarakat penyayang yang anggota-anggotanya mengamalkan sifat-sifat yang mengambarkan wujudnya hubungan kasih sayang dalam sesebuah komuniti.

ANALISIS SOALAN 1 : MERUMUSKAN KARANGAN KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM (NOV 2001-JUN 2010)

SPM SKOP SOALAN KATA YANG SESUAI UNTUK PENDAHULUAN

NOV 2001 Tanggungjawab penulis peranan/ sumbangan/ tugas

JUN 2002 Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
sumbangan/ kepentingan/ fungsi/ tugas


NOV 2002 Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam
kalangan kakitangan kerajaan
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/ pendekatan/ teknik-teknik/
strategi/tindakan


JUN 2003 Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/ pendekatan/ strategi/tindakan


NOV 2003 Kepentingan pelabelan makanan faedah/ manfaat/ kelebihan/ kebaikan


JUN 2004 Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia.
kekangan/ kesulitan/ kerumitan/ hambatan


NOV 2004 Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab
penubuhannya.
manfaat/ kebaikan/ kelebihan/ kepentingan

JUN 2005 Cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada
individu
langkah-langkah/ kaedah-kaedah/ usaha-usaha/ pendekatan/ strategi


NOV 2005 Faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan
manfaat/kepentingan/ kelebihan/kebaikan


JUN 2006 Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja
berpasukan.
faedah/ manfaat/kepentingan/ kebaikan/ keberkesanan


NOV 2006 Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan
berbudi bahasa dalam masyarakat
langkah-langkah/ kaedah-kaedah/ usaha-usaha/ pendekatan/ strategi

JUN 2007 Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya
faedah-faedah/manfaat/kelebihan/kebaikan


NOV 2007 Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu
kepada negara.
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/langkah-langkah/ pendekatan/
teknik-teknik/ strategi


JUN 2008 Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan
masyarakat.
manfaat/ kepentingan/ kebaikan/ kelebihan


NOV 2008 Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat
masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas
manfaat/ kepentingan/ kebaikan/kelebihan


JUN 2009 Punca-punca keracunan makanan dan kesan-kesan keracunan makanan..
faktor-faktor /sebab-sebab


NOV 2009 Kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah
sukar tidur
faedah/ manfaat/ kelebihan/ kebaikan


JUN 2010 Kesan pemanasan global dan sebab-sebab masyarakat kurang mengambil berat
terhadap fenomena ini
implikasi/impak/akibat/keburukan/natijah

KERANAMU MALAYSIA - Unit 4 Buku Teks Tingkatan 4

Antara isu yang boleh dijadikan topik perbincangan dalam kelas atau tajuk karangan berdasarkan buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4(DBP) adalah:

• Penghayatan Terhadap Lagu-Lagu Patriotik Malaysia
• Nilai-Nilai Murni Masyarakat Malaysia
• Malaysia Boleh/Cemerlang,Gemilang,Terbilang/ 1 Malaysia
• Cara Hidup Rakyat Malaysia
• Peranan Rakyat Dalam Membangunkan Negara Semula Akibat Kegawatan Ekonomi.
• Kemajuan Negara Alaf Ini
• Kebanggaan Menjadi Rakyat Malaysia
• Pembangunan Kebendaan Dan Pembangunan Nilai Murni / Nilai Budaya Bangsa Perlu Seiring
• Tunjuk Ajar Generasi Tua Kepada Generasi Muda
• Kemajuan Dan Pembangunan Malaysia Sejak Merdeka

Tuesday, August 3, 2010

2 Ogos 2010

Salam, 2 Ogos 2010 bersamaan hari isnin ketika itu saya berada di Anjung Budaya Labuan bersama-sama para pelajar dalam satu sessi perkongsian ilmu. Terima kasih kepada para pelajar yang turut serta dalam program tersebut. Semoga para pelajar dapat manfaatnya dan cemerlang dalam peperiksaan akan datang. kita hanya merancang dan Tuhan jua yang menentukan segala-galanya.

salam sukses kepada para pelajar... kalau tidak dipecahkan ruyung manakan tidak dapat sagunya...

Friday, July 30, 2010

Perkongsian Ilmu di SMK Tamparuli,Tamparuli Sabah.

Hari ini saya bersama-sama para pelajar di SMK Tamparuli sessi perkongsiaan ilmu. Satu memori indah terpahat di dalam minda saya dengan kesungguhan para pelajarnya yang cakna dengan bengkel yang berlangsung selama dua jam. Saya mendoakan agar para pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam akan datang. Anda adalah juara,gunakan potensi dalam diri anda sebaik mungkin.

Wednesday, July 14, 2010

Salam



Sudah sekian lama saya tidak mengemaskinikan blog saya yang tak seberapa ini...Disebabkan faktor kesihatan dan kekangan waktu yang terbatas membuatkan saya teralpa dengan blog saya. Namun apa-apa yang ingin dikongsikan kepada pembaca masih belum saya ketahui lagi... Entahlah kenapa ini yang berlaku ke atas diri saya... Biarlah semua ini ketentuanNya,saya reda dengan apa-apa yang berlaku pada masa kini dan akan datang...

Saturday, May 15, 2010

16 Mei merupakan Hari Guru SeMalaysia

16 Mei merupakan tarikh keramat kepada golongan pendidik Satu Malaysia. Saban tahun Hari Guru diraikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mengenang jasa-jasa para guru yang telah menyumbang bakti dan tanggungjawab mereka kepada negara untuk membentuk anak-anak didik mereka menjadi modal insan yang sangat berguna kepada keluarga,masyarakat,bangsa dan negara.Persoalannya,adakah anak-anak didik kita mengingati tarikh bersejarah itu? Bagaimanakah cara mereka melahirkan rasa bersyukur kepada guru-guru mereka yang telah mendidik mereka selama ini? Dalam hal ini, pelbagai cara boleh dilakukan oleh para pelajar untuk membalas jasa kepada guru-guru mereka.Tepuk dada tanya selera.

Sehubungan dengan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru saya yang selama ini mendidik saya dengan penuh dedikasi dan kasih sayang seorang guru terhadap anak didiknya tanpa mengenal erti jemu. Sesungguhnya teguran dan marah guru-guru kita itu membentuk kita menjadi insan yang berguna. Guru ibarat sebatang lilin yang menerangi orang lain tanpa menghiraukan akan dirinya sendiri demi kejayaan seseorang. Semoga Allah sahaja yang membalas segala jasa baik guru-guru saya selama ini.

Selamat Hari Guru dan maafkan saya cikgu seandainya suatu ketika dahulu saya menjadi anak didik cikgu yang telah banyak menyakiti hati cikgu tanpa saya sedari. Ampuni saya cikgu. Antara nama guru-guru saya yang saya ingat ialah,Cikgu Aminah Haji Osman(da meninggal dunia), Cikgu siti Rahmah Abdul Rahman, Ustaz Rukmana, Ustaz Ramlan, Cikgu Mohamad Hassan(guru Sejarah saya), Cikgu Patrik Lim (guru Geografi saya), Cikgu Ganssean (cikgu BI saya), Cikgu Matnor (guru BM saya), cikgu Abu Hassan (guru Matematik saya) dan banyak lagi nama-nama cikgu yang tidak dapat saya nyatakan di sini kerana saya lupa mencatat nama-nama guru yang telah mendidik saya suatu ketika dahulu. Mereka merupakan guru-guru saya sewaktu di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan seperjuangan saya. Perjuangan kita belum selesai.....

p/s maaf ya terlebih awal 'publish post' ini. Hehehe