Puisi tradisional yang terdapat dalam antologi Dirgahayu Bahasaku terdiri daripada pantun enam kerat, pantun lapan kerat, syair, gurindam dan seloka. Puisi tradisional ini akan disoal dalam Kertas Bahasa Melayu kertas 2 iaitu soalan 2d yang memperuntuk 9 markah. Oleh itu, pelajar wajib memahami setiap puisi tradisional yang dipaparkan dalam teks ini. Mengikut penelitian dan data yang dibuat melalui analisis item dan headcout, saya dapati pelajar seringkali culas dan kehilangan markah ketika menjawab soalan tersebut. Sebagai panduan kepada calon SPM, ada baiknya, calon membaca terlebih dahulu bahagian pengenalan teks dalam muka surat 3 supaya memudahkan calon mendapat gambaran awal sebelum mempelajari setiap tajuk dengan lebih mendalam.
Dalam bahagian pengenalan teks, dipaparkan bahawa:
a. Pantun Enam Kerat membawa nilai-nilai kekuatan, ketahanan, dan ketabahan hati ketika berdepan dengan kekecewaan dalam percintaan.
b. Pantun Lapan Kerat menekankan sifat kesabaran dalam usaha/upaya untuk berjaya dalam kehidupan dan berusaha menyeru pembaca/khalayak memartabatkan bahasa, warisan dan budaya ketimuran supaya tidak dicemari oleh pengaruh barat.
c. Syair Makna Riak menggariskan sikap negatif yang harus dijauhi oleh setiap orang, iaitu perasaan riak(sombong/merag diri).
d. Syair Pemberontakan Patani pula membawa tema semangat patriotik seorang tokoh sejarah, iaitu Laksamana yang tetap mengutamakan kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi.
e. Gurindam Tonggak Dua Belas mengajak khalayak untuk membina jati diri sebagai orang yang baik dan berguna untuk bangsa dan negara. Nilai-nilai seperti menghargai masa, tekun, berusaha, bijak bertindak, dan bersifat sederhana merupakan nilai yang harus dibentuk dalam diri pelajar.
f. Dalam seloka si Luncai pula, kita dikehendaki supaya menggunakan akal yang waras dalam mengambil apa-apa jua tindakan. Sekiranya kita tidak menggunakan akal dalam membuat keputusan, akhirnya akan menjadi seperti Si Luncai yang terjun dengan labu-labunya. Tindakan seperti ini tidak bermakna dan hanya merugikan diri sendiri dan juga negara.
Mendapat gambaran awal bagi setiap tajuk yang dipelajari dalam antologi Dirgahayu Bahasaku akan memberikan kelebihan dan manfaat yang amat besar kepada pelajar. Buatlah persiapan yang lebih awal dan rapi kerana para pelajar SPM merupakan generasi yang pertama menjawab soalan KOMSAS terbaharu ini. Selamat belajar,belajarlah dengan bijaksana.
No comments:
Post a Comment