Wednesday, November 16, 2011

Syukur Alhamdulillah

Salam,
14 November 2011, kertas peperiksaan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malayisa (SPM) telah berlalu. Para pelajar saya yakin dengan jawapan yang mereka hasilkan. Hal ini demikian kerana semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung sepanjang tahun bersama mereka iaitu banyak topik yang dibincangkan dalam kelas keluar. Namun demikian perjuangan para pelajar saya belum selesai. Para pelajar berjuang dalam peperangan minda selama sebulan, teruskan usaha anda. Yakin dengan kebolehan anda.

Cikgu doakan para pelajar(SPM)saya lulus dengan cemerlang. Di sini saya ambil kesempatan mohon maaf andai ada kata-kata cikgu menyentuh emosi para pelajar semasa saya mengajar di dalam kelas.


Salam kemaafan daripada saya

Juliah Haji Matnoor.

Sunday, November 13, 2011

Drama Tiang Cengal Dinding Sayung (Suriani Mohd Yusof)

Sinopsis
Mak Jimah isteri Pak Jumaat menghadapi kesedihan apabila Pak Jumaat didapati hilang semasa kejadian ombak tsunami di Kedah. Anak-anak Jimah iaitu Sabri, Shahrul, Sabriah dan Salmah, manakala Sani anak angkatnya cuba menenangkan perasaan Jimah agar sabar dengan takdir Tuhan. Shahrul meminta pertolongan Sani agar menyatakan hasratnya pulang ke Kuala Lumpur kepada emaknya kerana telah tamat cuti, sebaliknya Sani meminta Shahrul sendiri memberitahunya. Sabriah yang panas baran baru balik dari London menyalahkan bapaknya (Jumaat) yang terus turun ke laut untuk menangkap ikan. Sebenarnya dia telah mengirim wang kepada ibu bapanya supaya mereka tidak perlu bekerja. Sikapnya ditegur oleh Pak Man jiran mereka yang tidak memahami Jimah. Salmah merupakan anak Jimah yang baru balik dengan pakaian seksi dimarahi Sabriah supaya menukar pakaian sebelum berjumpa emaknya. Berlaku pertengkaran antara Sabri dan Sabriah untuk menyerahkan tugas menjaga emak mereka. Sikap mereka ditegur Pak Man. Sikap anak-anaknya menyebabkan Jimah menyerahkan kembali buku bank hasil pemberian mereka. Sabriah memarahi Jimah yang masih berharap bapa mereka akan selamat. Dalam keadaan kecoh itu Wahid dan Senin mengambil kesempatan untuk menipu serta mencuri barangan mangsa tsunami.
Akhirnya Jumaat dijumpai dan dikhabarkan oleh Man Bengap serta menyatakan Sani sahaja diminta menemani Jimah menjemput Jumaat di balai polis. Walau bagaimanapun, atas sikap bertolak ansur Sani maka mereka sama-sama menjemput Jumaat. Sabriah, Salmah, Shahrul memohon maaf kepada Jimah. Pak Man dan Mak Jah terharu dengan peristiwa itu. Atas pengajaran peristiwa yang menimpa Mak Jah, maka Pak Man berfikir bahawa dia harus bersyukur mempunyai Man Bengap walaupun hanya sebagai cucu angkat tetapi dapat menghiburkannya terutama dalam masa dia dan isterinya sunyi.

Tema
Kesetiaan isteri dan kasih sayang isteri dan anak-anak terhadap ketua keluarga (suami/bapa) serta kepincangan sikap anak-anak dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai anak-anak.

Persoalan
1. Persoalan kasih sayang isteri kepada suami yang tidak berbelah bagi.
2. Persoalan sikap hormat menghormati antara ahli keluarga.
3. Persoalan simpati atas nasib malang yang menimpa seseorang.
4. Persoalan jujur dan amanah dalam menyampaikan maklumat.
5. Persoalan sikap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan dan cabaran hidup.
6. Persoalan kepincangan masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

Plot
Secara keseluruhan drama ini disusun mengikut kronologi iaitu mengikut urutan cerita bermula dengan permulaan dan diakhiri dengan peleraian.
Pembinaan Plot

Secara keseluruhan drama ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu;

(i) Permulaan

• Dialog Pak Man dengan Sani yang bertanya khabar dan menyatakan simpati atas nasib keluarga Jimah yang kehilangan Pak Jumaat semasa kejadian tsunami.

(ii) Perkembangan

• Nasihat Pak Man terhadap nasib Sani walaupun sebagai anak angkat dalam keluarga Mak Jimah tetapi telah dibesarkan dengan mendapat pendidikan yang sempurna.
• Berlaku pertengkaran antara Shahrul dan Sani mengenai sikap Shahrul yang mementingkan kerjayanya dan hendak pulang ke kuala Lumpur walaupun bapa mereka belum ditemui lagi.

(iii) Konflik

• Arahan Shahrul agar Sani menasihati Jimah (ibu mereka) agar menerima kenyataan bahawa bapa mereka telah meninggal di laut semasa kejadian tsunami.
• Sabriah yang tidak puas hati atas sikap bapanya yang terus turun ke laut walaupun dia telah mengirimkan wang kepada bapanya untuk menyara kehidupan mereka.
• Mak Jah menyatakan perasaannya yang mengambil berat terhadap anak-anak Jimah kepada Sani dan dia menganggap mereka sebagai anak-anaknya juga.
• Sabriah menyindir sikap Sani yang hanya sebagai anak angkat menumpang kehidupan mereka.
• Jimah memahami sikap anak-anaknya terutama Sabriah yang hanya mementingkan kerjaya dan diri sendiri sahaja.

(iv) Klimaks

• Jimah memulangkan wang anak-anaknya yang disimpan di dalam bank dan meminta mereka pulang ke tempat masing-masing walaupun Pak Jumaat belum ditemui.

(v) Peleraian

• Jumaat dijumpai terselamat dalam kejadian tsunami. Dengan penemui itu memberi banyak kesedaran kepada anak-anak Jimah bagi memohon maaf atas kesalahan masing-masing. Jimah meminta anak-anaknya juga memohon maaf daripada Sani yang banyak dihina oleh mereka. Pak Man bersyukur dengan situasi yang ceria itu dan dia juga bersyukur dikurniakan cucu angkat seperti Man Bengap.


Teknik Plot
1. Pemerian

• Dia budak lurus. Putih, putihla yang dia kata. Kalau hitam, hitamlah yang dia kata. Dia manusia yang tidak ada kepentingan langsung…(ms 439)

2. Suspens

• Man: Orang sudah jumpa tuk, sudah jumpa dah.

3. Kejutan

• … Kita ni sibuk dengan kerja, dengan laki, dengan bini, dengan perniagaan. Beginilah, kalau sudah semua tidak mahu, kita hantar ke rumah welfare. Mahu? (ms 434)

WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama
1. Jimah

• Isteri Jumaat, berusia 55 tahun
• Seorang yang setia, penyayang dan bertanggungjawab. Setiap hari Jimah ke tepi pantai menanti kepulangan suaminya yang hilang di tengah laut.
• Sabar dengan dugaan dengan berdoa. Jimah sentiasa berfikir dan berdoa pada Tuhan sejak kejadian suaminya hilang di laut.


Watak Sampingan
2. Sani

• Anak angkat Jimah – seorang doktor dan telah beristeri
• Seorang yang bertanggungjawab dan sabar. Sangat mengambil berat akan emaknya terutama ketika bapanya hilang di laut.

3. Sabri

• Anak sulung Jimah
• Mengetuai ahli keluarga
• Penyabar. Sabri mahu semua adik beradiknya memujuk emaknya selagi mayat bapa mereka tidak dijumpai.

4. Sabariah

• Graduan ekonomi bekerja di London
• Panas baran, anak kedua dalam keluarga. Dia menyalahkan bapanya kerana tidak berhenti pergi ke laut walaupun wang belanja bulanan dikirim setiap bulan.
• Tidak sukakan Sani. Sabariah memarahi kepada Sani supaya tidak memandai-mandai dan berdolak dalik tentang soal kematian. Dia juga menginggatkan bahawa Sani bukanlah ahli keluarga mereka.

5. Shahrul
• Anak ketiga dalam keluarga
• Seorang akauntan di Kuala Lumpur
• Mementingkan kerjayanya. Shahrul hendak balik ke Kuala Lumpur walaupun mayat bapanya belum dijumpai.
• Berselisih faham dengan Sani. Shahrul sindir menyindir dengan Sani ketika dia pulang ke rumah emaknya.

6. Salmah

• Seorang pereka fesyen
• Seorang yang mengikut fesyen terkini. Salmah pulang ke rumah dengan hanya memakai skirt.
• Lebih mementingkan kerjayanya. Salmah lewat pulang ke kampung atas urusan pekerjaan.

7. Wan Malin

• Isteri Sani
• Banyak membantu Sani menjaga Jimah. Wan Malin berjanji dengan Jimah akan bersama-sama mentuanya itu menunggu bapa mentuanya sehingga pulang.

8. Man Bengap

• Pemuda kurang akal tetapi lurus bendul. Dia menyebut mayat untuk bangkai ikan dugong sehingga menyebabkan Pak man ketawa.
• Cucu angkat Pak Man

9. Pak Man

• Jiran Jimah yang prihatin dengan kelurga Jimah. Pak Man menyuruh isterinya Mak Jah memujuk Jimah yang begitu sedih dengan kehilangan suaminya. Beliau bimbang akan kesihatan Jimah yang setiap hari pulang lewat malam dari pantai.
• Banyak memberi nasihat kepada anak-anak Jimah. Pak Man menasihati anak-anak Jimah supaya bertanggungjawab apabila musibah menimpa ketua keluarga.
10. Mak Jah

• Isteri Pak Man
• Seorang yang penyayang. Mak Jah sanggup bersama-sam keluarga Jimah menenangkan mereka ketika mereka bersedih kehilangan bapa mereka di laut.

11. Wahid dan Senin

• Penjahat yang mengambil kesempatan. Mereka berpura-pura ditugaskan membanci kerugian yang di hadapi mangsa Tsunami.
• Mencuri harta mangsa tsunami. Mereka hendak mencuri barang di rumah Jumaat semasa ketiadaan orang di rumah tersebut.


LATAR
Latar masa
• Siang, tepi pantai berhampiran dengan sebuah perahu yang telah rosak
• Pagi, semasa Man mencuci kereta Abang Sabri
• Senja di rumah Jimah
Latar tempat
• Tepi pantai, Jimah berdiri di gigi air sambil memandang ke tengah laut
• Rumah Jimah semasa Sabariah memarahi Salmah.
• Anak tangga rumah Jimah semasa Sabariah duduk termenung memikirkan nasib emaknya
Latar masyarakat
• Masyarakat penyayang iaitu menyayangi anak-anak contohnya sikap Jimah dan Jumaat yang tidak mahu menyusahkan anak-anak mereka dalam mencari rezeki pada usia emas.
• Masyarakat yang prihatin dalam memberi bantuan, misalnya Pak Man yang datang menziarahi keluarga Jimah semasa kehilangan Jumaat.
• Masyarakat yang berpendidikan, misalnya anak-anak Jimah yang berjaya dengan kerjaya masing-masing, Salmah sebagai pereka fesyen, Sani sebagai doktor, Shahrul sebagai akauntan.
• Masyarakat yang mementingkan kerjaya misalnya Shahrul yang ingin kembali ke Kuala Lumpur setelah tamat cutinya.
• Masyarakat yang menghormati orang yang lebih tua misalnya Sani dan Wan Malini yang menghormati Jimah dan Jumaat.

GAYA BAHASA
1. Diksi
• Kata pinjaman bahasa Inggeris (survey, HQ)

2. Falsafah
• Daun dapat dilayang, getah jatuh ke perdu juga

3. Simile
• .. air matanya itu macam anak air mengalir

4. Metafora
• Ombak susu, gigi ombak

5. Repetisi
• Putih, putihlah yang dia kata kalau hitam, hitamlah


NILAI
1. Nilai kasih sayang kepada suami. Jimah menangisi kehilangan suaminya berterusan.

2. Nilai kesetiaan seorang isteri kepada suami. Misalnya Jimah tetap setia menanti suaminya yang hilang.

3. Nilai hormat-menghormati orang yang lebih tua. Misalnya Sani tetap menghormati Sabariah walaupun kerap dimarahinya.

4. Nilai nasihat-menasihati. Pak Man menasihati Sabariah supaya tidak menghina Sani anak angkat emaknya.

5. Nilai tanggungjawab anak-anak kepada ibu bapa. Misalnya Sani dan Wan Malini terus menjaga Jimah dan Jumaat setiap hari.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menjalankan tanggungjawab dengan sebaik memberi pendidikan kepada anak-anaknya. Contohnya Pak Jumaat dan Mak Jah memberi pendidikan kepada anak-anaknya sehingga ke universiti.

2. Kita hendaklah mengenang jasa ibu bapa yang telah membesarkan kita. Misalnya menyayangi mereka sepenuh hati walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat sahaja.

3. Kita perlu menyesal dan insaf terhadap kelemahan kita. Contohnya Sabariah insaf atas kesilapannya yang tidak dapat meluangkan masa dengan ibu bapanya.

4. Kita perlu bertsyukur dengan apa-apa yang kita miliki, misalnya Man Bengap bersyukur dengan kehidupannya yang serba kekurangan.
5. Kita perlu menjaga hubungan yang baik dalam keluarga.

6. Kita perlu berjimat cermat dalam berbelanja. Misalnya Pak Jumaat menyimpan duit yang dikirim oleh anak-anaknya.


Latihan
1. Berapa lamakah Pak Jumaat hilang di Laut?

Jawapan: Empat hari.



2. Mengapakah Pak Man tidak ke laut pada hari kejadian tsunami?

Jawapan: Kerana Pak Man demam

Drama Gelanggang Tuk Wali (Ismail Kassan)

Sinopsis
Babak 1
Ripin telah pergi ke rumah Tuk Wali, untuk memaklum jemputan bersilat di majlis perkahwinan rumah Haji Kodri. Kedatangannya disambut oleh Mak Umi. Tuk Wali mahu memenuhi jemputan tersebut walaupun demam,. Tuk Wali juga berbual dengan Ripin tentang kerakusan manusia yang menyebabkan kepupusan spesies pokok-pokok herba di hutan sebagaimana yang dilakukan oleh Si Guan. Tuk Wali kesal oleh sebab harga akar-akar kayu semakin rendah Tuk Wali meminta Ripin memastikan murid-murid silat berkumpul kerana wartawan akan datang pada malam itu.
Babak 2
Tuk Wali bersiap-siap untuk pergi ke rumah Haji Kodri dengan berpakaian baju Melayu yang lengkap dengan samping dan bersongkok. Tidak lama kemudian, Imam dan Siak berkunjung ke rumah Tuk Wali. Kedatangan mereka disambut oleh Mak Umi. Siak menyatakan perasaan tidak senang kerana, dia masih bersilat di gelanggang. Baginya Tok Wali sepatutnya menghabiskan masa di masjid. Mak Umi mempertahankan suaminya kerana selama ini suaminya tidak pernah tinggal solat berjemaah di masjid malah mengerjakan solat sunat setiap malam. Bagi Mak Umi, Tuk Wali hanya memenuhi hajat orang untuk memeriahkan majlis, tidak melanggar adat dan agama. Mak Umi meminta Imam dan Siak bercakap dengan Tuk Wali sendiri tentang hal itu. Dia juga akan memaklumkan nasihat Siak dan Imam kepada Tok Wali.
Babak 3
Tuk Wali meluahkan rasa tidak senangnya terhadap Piee cucu tirinya, Piee yang telah memalukan dirinya di rumah Haji Kodri. Mak Umi mahu Tuk Wali mengubatkan Piee yang menagih dadah. Tuk Wali menyuruh Mak Umi menghalau Piee jika datang ke rumah itu lagi. Tuk Wali terlalu marah kepada Piee kerana dia telah mencuri wang tambang Tuk Wali ke Mekah yang berjumlah RM2000.00. Mak Umi memaklumkan nasihat Imam dan Siak kepada Tok Wali. Tuk Wali mengatakan bahawa dia boleh duduk berzikir di masjid tetapi dia juga perlu mengubatkan orang yang patah kaki, terseliuh, dan histeria. Tuk Wali mengimbas dirinya ketika


muda dahulu sering dipuji,dan dianggap hebat. Apabila dia sudah tua segala yang dilakukannya dipandang tidak elok. Mak Umi mencadangkan anak-anak muridnya seperti Ripin menggantikan tempatnya untuk bersilat di majlis kahwin. Tuk Wali mengatakan bahawa silat sudah sebati dengan dirinya. Tok Wali dikunjungi oleh Ripin dan Mariam. Tuk Wali menyarankan Ripin dan Mariam mengambil tempatnya untuk mengajar silat tetapi mereka berdua tidak bersedia Mereka merayu agar Tuk Wali terus mengajarkan silat. Tuk Wali mengambil sebilah keris dan menceritakan asal usul keris tersebut Tok Wali merasakan Ripinlah yang layak untuk menjadi pewaris keris itu. Dua orang wartawan dari majalah Pejuang, iaitu Halim dan Jamil datang ke rumah Tuk Wali untuk menemu ramahnya.. Piee cucu tiri Tuk Wali yang baru keluar dari pusat pemulihan muncul. Setelah kedua-dua wartawan itu pulang, Tuk Wali menampar dan memarahi Piee kerana masuk ke dalam biliknya. Empat orang pemuda telah datang ke rumah Tuk Wali. Menyangka Tuk Wali tiada di rumah mereka bermain gitar, menyanyi sambil menari-nari. Tuk Wali memarahi mereka. Salah seorang pemuda telah ditampar oleh Tuk Wali kerana bersikap biadap.
Babak 4
Siak datang ke rumah Tuk Wali dan mencabar Tuk Wali agar bersilat dengannya. Siak berasa marah kerana Tuk Wali telah menampar cucunya yang mahu belajar silat. Mereka bertarung menggunakan sundang. Mak Umi mencari Ripin untuk meleraikan pergaduhan tersebut. Ripin berjaya mengunci pergerakan Siak. Ripin mencadangkan Tuk Wali dan Siak menyelesaikan masalah dengan cara berunding.. Mak Umi menyuruh Ripin menghantarnya ke rumah Berahim kerana dia tidak mahu melihat pergaduhan antara Tuk Wali dengan Siak. Siak akhirnya meninggalkan rumah. Tuk Wali yang kepenatan dan akhirnya terlena dibuai mimpi indah.
Babak 5
Piee masuk ke rumah Tuk Wali dan mengambil biola serta sebilah keris yang tersisip di dinding beranda itu. Tuk Wali menyedari perkara itu dan marahi Piee Kemudian berlaku pergaduhan dan pertikaman antara Tuk Wali dengan Piee. Semasa Tuk Wali ingin mengambil biola yang dijatuhkan oleh Piee, Tuk Wali ditikam oleh Piee. Tikaman itu terkena di perut Tuk Wali. Tuk Wali dapat mengambil keris daripada tangan Piee. Tuk Wali semakin lemah apabila


banyak darah keluar daripada lukanya. Ripin terkejut apabila melihat Tuk Wali yang terbaring berlumuran darah. Ripin mahu menghantar Tuk Wali ke hospital tetapi Tuk Wali enggan. Tuk Wali sempat menyerahkan keris tersebut kepada Ripin sebelum meninggal. Ripin ingin menuntut bela atas kematian Tuk Wali. Dia menyangka Siak yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Imam muncul dan melihat Ripin memegang keris dalam keadaan Tuk Wali telah terbujur kaku. Imam menyangka bahawa Ripin telah membunuh Tuk Wali. Berlaku tuduh menuduh antara Siak dan Ripin Mariam dan Mak Umi sampai lalu menerpa ke arah mayat Tuk Wali. Mak Umi dan Mariam ingin tahu orang yang membunuh Tuk Wali. Siak dan Ripin saling menuduh sekali lagi. Mak Umi menafikan Ripin membunuh Tuk Wali.


Pemikiran Drama:

Pemikiran drama Tok Wali ialah perjuangan mempertahankan warisan budaya bangsa.
Tok Wali mengajarkan ilmu persilatan sejak 50 tahun lalu kepada pemuda-pemudi kampung. Dia juga mematuhi pantang larang mencari pokok-pokok kayu herba di hutan demi memelihara warisan hutan tersebut pada masa akan datang.

Persoalan:

1. Persoalan sikap hormat –menghormati dalam kalangan masyarakat terhadap orang yang berilmu
Ripin amat menyanjung tinggi Tok Wali yang telah mengajarnya ilmu silat.
2. Persoalan budaya warisan bangsa yang diremehkan.
Ada sesetengah penduduk kampung yang mencemuh Tok Wali kerana bersilat dalam majlis perkahwinan.
3. Persoalan masalah penagihan dadah yang sukar dirawat.
Piee yang baru keluar dari pusat pemulihan kembali menagih kerana tidak dipantau oleh ibu bapanya.


4. Persoalan perasaan dengki dan khianat.
Ada pihak yang dengki kepada Tok Wali lalu menghalau Piee dari majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri.
5. Persoalan dendam yang berpanjangan.
Siak masih menyimpan perasaan dendam kepada Tok Wali kerana Tok Wali berkahwin dengan bekas tunangnya
6. Persoalan keprihatin dan dalam kalangan masyarakat.
Tok Wali merawat orang sakit, menguruskan jenazah dan perkara-perkara lain tanpa meminta sebarang upah.

Plot:
Jenis Plot :
Bersifat kronologi – peristiwa berkembang mengikut urutan waktu babak demi babak. Walau bagaimanapun terdapat unsur imbas kembali, contohnya sejarah keris yang diwarisi oleh Tok Wali.
Pembinaan Plot:
Terdapat empat peringkat binaan plot iaitu
(i) Permulaan
Pembaca diperkenalkan dengan watak utama iaitu Tok Wali dan watak-watak sampingan iaitu Mak Umi dan Ripin. Tok Wali diundang membuat pertunjukan silat di majlis perkahwinan di rumah Haji Kodri.
(ii) Perkembangan
Tok Siak berkunjung ke rumah Tok Wali dan berjumpa dengan Mak Umi. Mereka berhasrat menasihati Tok Wali agar berhenti bersilat kerana usia Tok Wali telah lanjut dan tidak manis dipandang jika masih lagi bersilat di gelanggang.Tok Wali kesal kerana peranannya tidak lagi dihargai oleh orang-orang kampung. Berlaku pertarungan antara Siak dan Tok Wali kerana Tok Wali telah menampar anak saudara Tok Wali.



(iii) Klimaks
Tok Wali telah ditikam oleh Piee semasa Piee mencuri keris dan biola milik Tok Wali. Tok Wali mati setelah sempat menyerahkan keris kepada Ripin.
(iv) Peleraian
Berlaku tuduh-menuduh antara Ripin dan Siak tentang pembunuh yang telah menikam Tok Wali.

Teknik Penceritaan:
1. Teknik pemerian
Pengarang menggambarkan ruang hadapan rumah Tok Wali yang dipamer dengan pelbagai jenis senjata lama.
2. Teknik dialog
Sebahagian besar drama disampaikan dalam bentuk dialog antara watak.
3. Teknik imbas kembali
Tok Wali menceritakan peristiwa dia menewaskan 4 orang perompak kedai emas .Secara kebetulan dia sedang duduk di bangku kedai emas tersebut.
4. Teknik suspens.
Pembaca tertanya-tanya pihak yang akan menang dalam pertarungan antara Siak dan Tok Wali.

Watak dan Perwatakan
1. Tok Wali
1. Watak utama
2. Nama sebenarnya ialah Wak Raja Waliudin bin Raja Agus.
3. Dia berumur dalam lingkungan 70-an.
4. Dia merupakan guru silat yang membuka gelanggangnya sendiri di halaman rumah.





5. Dia merupakan tukang urut, penggali kubur, tok mudim, dan boleh merawat beberapa jenis penyakit.
6. Dia seorang yang tegas dengan pendirian
Tok Wali tetap mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri walaupun dinasihati oleh isterinya, Siak dan Imam.
7. Dia seorang yang berani.
Tok Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.
8. Dia seorang yang pantas bertindak
Tok Wali pantas dan cekap menewaskan perompak yang cuba merompak kedai emas.
9. Dia seorang yang taat akan perintah agama.
Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid dan rajin menunaikan solat sunat.
10. Dia seorang yang suka membantu orang lain
Tok Wali melakukan kerja-kerja kemasyarakatan seperti memandikan jenazah tanpa meminta upah.

2. Ripin
1. Anak murid Tok Wali
2. Berusia dalam lingkungan 30-an
3. Anak murid yang dipercayai oleh Tok Wali untuk mewarisi kerisnya.
4. Dia seorang yang menghormati orang tua
Ripin sangat menghormati Tok Wali dan bersopan ketika bercakap dengan Tok Wali.
5. Dia seorang yang taat suruhan gurunya.
Apabila disuruh oleh Tok Wali mengumpulkan anak-anakmuridnya kerana ada pemberita datang, Ripin patuh akan kehendak Tok Wali
6. Dia seorang pendendam
Ripin mahu menuntut bela atas kematian Tok Wali.




3. Mak Umi
1. Dia ialah isteri Tok Wali.
2. Berusia dalam lingkungan 50-an.
3. Dia mahir ilmu persilatan semasa muda.
4. Dia seorang yang bijak
Mak Umi bijak membalas percakapan Siak dan Imam yang mahu menasihati Tok Wali.
5. Dia seorang yang penyabar
Mak Umi sabar melayan kerenah Tok Wali yang membidas kata-katanya.
6. Seorang yang prihatin
Mak Umi mengambil berat tentang Piee yang menjadi penagih dadah.

Latar

Latar masa
1. Pada waktu pagi
Ketika Ripin datang ke rumah Tok Wali.
2. Pada waktu petang
Ketika Tok Wali bersiap sedia hendak pergi ke majlis kenduri di rumah Haji Kodri.
3. Pada waktu malam
Ketika Tok Wali bermain biola dan berbual-bual dengan Mak Umi.

Latar tempat
1. Di rumah Tok Wali
2 orang pemberita datang menemu ramah Tok Wali di rumahnya.
2. Di gelanggang silat
Tok Wali bertarung dengan Siak di gelanggang silat.




Latar masyarakat

1. Masyarakat yang mempertahankan warisan bangsa.
Tok Wali mengajarkan ilmu silat supaya dapat diwarisi oleh anak-anak muda kampungnya.
2. Masyarakat yang beradab.
Tok Wali memenuhi jemputan Haji Kodri supaya membuat pertunjukan silat di majlis kenduri di rumahnya.
3. Masyarakat yang saling menghormati
Ripin menghormati Tok Wali kerana memiliki ilmu persilatan dan melayan percakapan Tok Wali dengan sopan.
4. Masyarakat yang hipokrit
Siak menggunakan alasan agama untuk mengurangkan pengaruh Tok Wali di kampung itu.
5. Masyarakat yang tidak berakhlak.
Piee menjadi penagih dadah dan sukar dipulihkan lagi.
6. Masyarakat yang taat perintah agama.
Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid.

Gaya bahasa

1. Penggunaan bahasa Arab
Assalamualaikum Insya-Allah , Astagfirullahal’azim
2. Bahasa Inggeris
Sorryl-ah..
3. Bahasa Indonesia
Bisa copot jantungku




4. Sinkope
Yang itu tak pulak disebut!.
Kerana dah tualah tak jadi manis tu!
5. Simile
Kawannya macam lalat
ibarat burung dalam sangkar yang terbuka pintunya.
macam rimau tak ada gigi
6. Simpulan bahasa
kambing hitam
7. kata ganda
bertalu-talu, gegak-gempita

Nilai
1. Nilai ketegasan
Tok Wali tegas dengan pendiriannya mahu bersilat di majlis perkahwinan anak Haji Kodri kerana baginya perbuatannya itu tidak salah.
2. Nilai keberanian
Tok Wali berani bertarung dengan Siak apabila Siak datang menyerangnya.
3. Nilai taat akan perintah agama
Tok Wali tidak pernah meninggalkan solat berjemaah di masjid dan rajin menunaikan solat sunat.
4. Nilai hormat-menghormati
Ripin menghormati Tok Wali yang tinggi ilmu persilatan dan merupakan guru silatnya.
5. Nilai bertanggungjawab
Tok Wali berasa dirinya bertanggungjawab meneruskan usaha mengajarkan ilmu silat kepada anak-anak muda kampung tersebut.
6. Nilai tolong-menolong
Ripin membantu Mak Umi yang memanggilnya supaya menamatkan pergaduhan antara Tok Wali dan Siak.

7. Nilai keprihatinan
Tok Wali sering melakukan kerja kemasyarakatan tanpa mengharapkan upah seperti menggali kubur dan memandikan jenazah.

Pengajaran:
1. Kita hendaklah mempertahankan warisan bangsa agar generasi akan dating berpeluang mendapat manfaatnya.
2. Kita hendaklah menghormati guru dan orang yang lebih tua daripada kita kerana mereka banyak berjasa kepada kita.
3. Kita hendaklah sentiasa menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengharapkan balasan agar masyarakat hidup harmoni.
4. Janganlah kita bersikap hipokrit dalam hidup kerana sikap itu memberi kesan yang negatif.
5. Setiap masalah yang dihadapi haruslah diselesaikan secara rundingan supaya tidak berlaku kecederaan atau pertumpahan darah.
6. Kita mestilah bersabar atas ujian yang menimpa kita supaya kehidupan lebih sejahtera.
7. Kita hendaklah bijak menangani masalah yang timbul agar tidak menimbulkan kesusahan kepada diri sendiri kelak.















Latihan
1. Jelaskan tiga persoalan yang terrdapat dalam drama Tok Wali.
2. Sebutkan empat peranan Tok Wali dalam kalangan masyarakat kampungnya.

Selamat berjuang kepada calon-calon SPM 2011

Salam sejahtera,

Agak lama sudah saya tidak meelihat blog saya ni....tugasan saya yg banyak membuatkan aku terlepas pandang dgn blog sendiri.

agak-agak apa yg keluar esok iya?
Isu semasa utk karangan:
1. amalan menabung
2. Orang kelainan Upaya
3. Pelancongan
4. Cara pelajar menghargai guru
5. cara anak-anak menghargai ibu bapa dan membahagiakan mereka
6. Langkah meningkatkan mutu bola sepak ASEAN meelalui kerjasama serantau.
7. bencana alam - peranan masyarakat dunia.
8.Semangat kejiranan
9.Pusatsumber
10. Amalan membaca
11.Kemalangan Jalan raya
12. Sekolah bebas Dadah
13.kepentingan mata pelajaran sejarah
14. Perpaduan.


Selamat menjawab peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Semoga lulus dengan cemerlang.