Beberapa contoh pendahuluan dan penutup karangan
1. Pendahuluan surat biasa
a. Kategori yang lemah/kurang baik- contoh
Menemui sahabatku Muhammad Saiful bin Abd Razali yang berada di Kota Kinabalu, semoga sihat sejahtera hendaknya.
Saudara, tujuan saya menulis surat ini ialah…..
b. Kategori baik- contoh
Kembali ke pangkuan teman yang diingati selalu, saudara Muhammad Saiful bin Abd Razali yang berada di Kota Kinabalu, didoakan semoga dirimu diberkati Tuhan dalam keceriaan di samping keluarga tersayang.
Saudara,
Lembaran saudara telah selamat saya terima kira-kira seminggu yang lalu. Maafkan saya kerana agak lewat mengutus balasannya. Sibuk katakan. Baru semalam saya selesai menduduki peperiksaan percubaan PMR dan hari ini barulah ada sedikit kelapangan untuk mencoretkan sesuatu di lapangan putih ini untuk tatapan saudara.
2. Penutup surat biasa
a. Kategori lemah/kurang baik- contoh
Sekianlah sahaja surat saya untuk (saudara/ayahanda/bonda dan sebagainya). Terima kasih.
b. Kategori baik- contoh
Saudara, nampaknya agak panjang coretan saya kali ini, mungkin jemu pula saudara membacanya. Lantaran itu, izinkan saya berundur untuk seketika. Sama-samalah kita panjatkan doa kepada Tuhan agar menemukan kita pada warkah yang lain. Maafkan saya zahir dan batin seandainya ada kesilapan dan kekasaran yang telah saya lakukan sepanjang persahabatan kita. Sambutlah salam ingatan saya untuk saudara sekeluarga.
Wassalam.
Sahabatmu yang jauh,
………………………….
3. Penutup ucapan/syarahan/ceramah
a. Kategori lemah/kurang baik-comtoh
Sekianlah sahaja ucapan/syarahan/ceramah saya. Terima kasih.
b. Kategori baik- contoh
Sebelum saya mengundurkan diri dari atas pentas yang indah ini, izinkan saya mengambil kesempatan menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat kesilapan dan kekasaran yang telah saya lakukan. Seperti kata peribahasa, ‘bumi yang mana tidak ditimpa hujan’, begitulah dengan saya lemah dan tidak sunyi daripada salah dan silap. Akhir kata terimalah seuntai pantun daripada saya.
Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti,
Kalau ada silap dan salah,
Jangan disimpan di dalam hati.
Sekian ucapan/syarahan/ceramah saya. Terima kasih.
Beberapa teknik penulisan pendahuluan
Tajuk: Punca kemalangan jalan raya
Contoh pendahuluan umum
Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Kemalangan boleh terjadi di pusat beli-belah, sekolah, tempat awam dan juga rumah. Namun, kemalangan yang semakin membimbangkan adalah kemalangan jalan raya. Sesuatu kemalangan yang berlaku itu mestilah ada puncanya.
Contoh pendahuluan definisi
Kemalangan berasal daripada kata dasar ‘malang’. Malang bermaksud nasib tidak baik. Oleh itu perkataan ‘kemalangan’ boleh didefinisikan sebagai keadaan yang tidak baik menimpa seseorang. Keadaan ini berlaku tanpa dijangka tetapi pasti ada puncanya. Begitulah juga jika berlakunya kemalangan di jalan raya.
Contoh pendahuluan peribahasa
Peribahasa yang menepati isu kemalangan ialah ‘Malang Tidak Berbau’ yang bermaksud kecelakaan atau nasib tidak baik yang berlaku tanpa diketahui akan berlaku. Namun jika diteliti dan dikaji, setiap kemalangan itu berlaku atas sebab-sebab tertentu.
Contoh pendahuluan pendapat
Perdana Menteri Malaysia menyatakan rasa kesal terhadap pengguna jalan raya yang mengabaikan adab dan etika semasa berada di jalan raya. Menurut beliau, sebagai sebuah negara yang pesat membangun prasarana pengangkutan jalan raya, keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku. Sebelum langkah-langkah membendungnya dilakukan, beliau ingin semua pihak mengenal pasti faktor penyebabnya.
No comments:
Post a Comment