Sunday, February 13, 2011

Yakinlah Pada Dirimu

MOTIVASI SPIRITUAL : "MENGENAL POTENSI DIRI" (By : Muhammad Khairil)

Relaxation

UJIAN ALLAH

Tips mengatasi rasa malas

02 Motivasi

Sajak Dirgahayu Bahasaku

Dirgahayu Bahasaku
(Ahmad Sarju)

Maksud

Rangkap 1
Bahasa Melayu tetap bersemadi di sanubari orang-orang Melayu. Bangsa Melayu sememangnya terkenal sebagai bangsa yang berbudi bahasa, setia dan amanah.

Rangkap 2
Bahasa dilihat sebagai simbol maruah bangsa yang perlu dipertahankan agar terus kukuh dan menjadi keutamaan dalam banyak hal. Bahasa hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin terutama dalam usaha mengeratkan hubungan silaturahim.

Rangkap 3
Para cendiakawan dan penggiat bahasa terus berjuang demi mendaulatkan bahasa. Sebenarnya setiap orang perlu memainkan peranan ini tidak kira di mana-mana sahaja mereka berada.

Rangkap 4
Suatu ketika dahulu, bangsa Melayu pernah mencatat sejarah sebagai pelayar hebat. Mereka begitu berani menjelajah dari sebuah pulau ke sebuah pulau dan dari sebuah benua ke benua yang lain. Dari situ bahasa Melayu mula tersebar.

Rangkap 5
Bahasa Melayu tetap di hati. Dalam masa yang sama, bahasa Melayu mula diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Bangsa Melayu turut dikenali. Kini bangsa Melayu menempa kejayaan demi kejayaan.

Tema

Semangat cinta akan bahasa Melayu. Bahasa Melayu perlu dimartabatkan supaya mampu bersaing dengan bahasa-bahasa yang lain. Peranan ini perlu dimainkan oleh semua pihak.

Persoalan

1. Persoalan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu.Bahasa Melayu perlu dimartabatkan di negara ini.
2. Persoalan perjuangan memartabatkan bahasa. Perjuangan memartabatkan bangsa dipertanggungjawabkan kepada semua orang Melayu.
3. Persoalan sejarah kegemilangan Bahasa Melayu.Bahasa Melayu mempunyai sejarah kegemilangannya yang tersendiri.
4. Persoalan kepentingan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi. Bahasa Melayu berperanan sebagai alat komunikasi yang penting.

Bentuk

1. Bebas
2. Terdapat 5 rangkap
3. Rima akhir baris-baris ayat
• Rangkap 1 terdapat 4 baris ayat. Rima akhirnya abcd.
• Rangkap 2 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnyanya aabab
• Rangkap 3 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya abbcc
• Rangkap 4 terdapat 5 baris ayat. Rima akhirnya aaabb
• Rangkap 5 terdapat 7 baris ayat. Rima akhirnya abaccaa




Nada

Patriotik


Gaya Bahasa

1. Ayatnya pendek-pendek
Contohnya :setia dan amanah

2. Diksi – mudah difahami dan puitis
Contohnya; warga yang berbudi

3. Aliterasi – perulangan konsonan’m’
Contohnya : hak bangsaku memilikimu


4. Asonansi – perulangan vokal ’a’
Contohnya : Sejarah bangsa mencatatkan kegemilangan

5. Sinkope .
Contohnya: mu, ku, tak

6. Metafora
Contohnya : lautan bijaksana, mutiara silam, lagu bahasamu

7. Perlambangan
Contohnya ; pejuangku, pelautku, pulau

8. Personifikasi
Contohnya : bahasaku mencengkam, suaramu tumbuh.

9. anafora
Contohnya ; hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu

10. Epifora
Contohnya ; hak bangsaku memilikimu
hak bangsaku mendaulatkanmu




Nilai

1. Nilai bersopan santun. Penggunaan bahasa yang betul membolehkan nilai budi bahasa dapat dilahirkan dalam komunikasi.
2. Nilai setia pada bangsa. Apabila memartabatkan bahasa maka nilai setia dapat ditunjukkan.
3. Nilai amanah dalam meneruskan warisan bangsa.Warisan bangsa perlu dipertahankan.
4. Nilai mencintai bahasa bangsa sendiri. Sesuatu bangsa bertanggungjawab mencintai bahasanya sendiri.
5. Nilai bersatu padu semasa menggunakan bahasa yang sama Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk nilai bersatupadu..
6. Nilai kegigihan dalam memastikan bahasa Melayu terus digunakan.Sifat ini penting agar penggunaan bahasa Melayu dapat diteruskan.

Pengajaran

1. Kita hendaklah mencintai bahasa Melayu hendaklah sepenuh jiwa.

2. Kita hendaklah bertanggungjawab mempertahan dan memartabatkan bahasa Melayu .

3. Kita perlu berusaha gigih untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

4. Kita mestilah memartabatkan bahasa Melayu supaya berkembang dan mendapat perhatian masyarakat dunia.

Latihan

1. Apakah gaya bahasa bagi rangkai kata di bawah?
“lautan bijaksana”

Jawapan:

2. Apakah maksud bait puisi di bawah?
“merentas dunia tak bertepi”

Jawapan:

Nota Novel Kabus DiPerbukitan

Novel Kabus Di Perbukitan
( Mohamad Kholid Hamzah)

Sumber: BPK

Sinopsis
Novel ini memaparkan kisah pasangan suami isteri, Kamarudin seorang tentera dan Salmah,yang mempunyai sepasang anak kembar Faridah dan Rahayu. Apabila Kamarudin ditugaskan sebagai Pegawai Pemerintah di Pengkalan Hulu di Perak, dia telah berkahwin dengan Hamidah. Kamarudin diarahkan bertugas sebagai Atase Keselamatan di Pejabat Kedutaan Malaysia di Pontianak, Indonesia. Di sinilah bermulanya perpisahan pasangan kembar tersebut. Kamarudin telah membawa Rahayu tinggal bersama-samanya, manakala Faridah dijaga oleh Salmah.

Setelah dewasa, Rahayu berkawan dengan Azrul yang sama-sama belajar di Fakulti Ekologi Manusia, UPM. Faridah menjadi Sukarelawan PDK Suria. Rahayu telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana pengsan di perpustakaan. Rahayu disahkan menghidap kanser. Faridah pula membawa kanak-kanak istimewa ke Bukit Fraser. Sebelum pulang Faridah pergi ke Raub untuk mengisi minyak van dan membeli beberapa keperluan untuk perjalanan pulang pada pukul 2 petang nanti. Akibat terkejut dengan kehadiran Iqbal di dalam van, Faridah gagal mengawal pergerakan van, dan melanggar tembok pengadang jalan lalu menjunam ke dalam gaung. Faridah dan Iqbal tidak dapat dikesan oleh pasukan penyelamat. Setelah dua minggu usaha menyelamat gagal, operasi menyelamat dihentikan. Namun, bapanya, Kamarudin dan rakannya, Buyung berusaha meredah hutan mencari Faridah dan Iqbal. Mereka dijumpai di perkampungan orang Asli di Sungai Dua. Faridah dimasukkan ke hospital yang sama dengan Rahayu dalam keadaan koma. Rahayu melawat Faridah dan dia menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi Faridah. Selepas kematian Rahayu dan tamat pengajian di universiti, Azrul berhasrat menjadi penternak kambing yang berjaya, sebagaimana yang dicita-citakan oleh Rahayu semasa mereka sama-sama belajar.

Setelah sihat, Faridah berkahwin dengan Pegawai Kebajikan Masyarakat bernama Ghazali. Tidak lama kemudian Salmah, ibu kepada Faridah dan Rahayu meninggal dunia kerana terlalu rindu akan Rahayu. Selepas itu, Ghazali pula meninggal dunia akibat kemalangan. Kemudian Faridah ditawarkan mengikuti kursus Community Services for Disable People di New Zealand selama enam bulan. Di situlah dia berkahwin dengan Soleh Johnsons dan dia terus menetap di sana. Mereka mendapat sepasang anak kembar, iaitu Melina dan Anne.

Melina berkenalan dengan Jabbar al – Anbia atau dikenali sebagai ‘Benny’. Secara tidak sengaja, Anne pula bertemu dengan Zain yang membantunya semasa keretanya rosak. Akhirnya Melina berkahwin dengan Benny di Masjid al-Noor, Christchurch. Mereka berpindah ke Malaysia kerana Benny ditugaskan menerajui operasi minyak di situ. Mereka menetap di Terengganu. Di Malaysia, Benny berkawan baik dengan Mohamed Attar dan Mehmood yang cenderung mencapai sesuatu matlamat berhubung dengan Islam secara kekerasan. Muhamed Attar telah ditangkap oleh pihak berkuasa Interpol kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas. Benny yang bimbang akan keselamatan dirinya telah melarikan diri ke Dubai dengan bantuan keluarganya.
Faridah dan Soleh pulang ke Malaysia untuk berbincang tentang perkahwinan Anne dan Zain. Mereka menginap di Cameron Highlands. Di situlah Faridah mengetahui bahawa Zain ialah anak lelaki bekas teman lelaki adiknya, arwah Rahayu. Majlis perkahwinan mereka berlangsung dengan meriah.

Akhirnya, Melina yang sedang sarat mengandung ke Dubai bersama-sama dengan ayahnya, Soleh untuk berjumpa dengan Benny. Melina dan Benny menetap di Dubai. Anne dan Zain pula mengambil alih syarikat penternakan keluarga Johnson di New Zealand. Datuk Azrul dan Soleh Johnsons membuka perniagaan kotej di Cameron Highlands.


Tema

Novel ini bertemakan jati diri orang Melayu. Tema ini diserlahkan melalui watak utama Faridah yang merantau ke New Zealand selama 25 tahun. Walaupun begitu lama tinggal di negara orang, akhirnya dia dan keluarganya kembali membina kehidupan yang lebih bermakna di Malaysia.



Persoalan

1. Persoalan ikatan kekeluargaan yang erat.

• Persoalan ini digambarkan melalui Faridah dan Rahayu yang merupakan pasangan kembar tetapi dibesarkan secara berasingan oleh ibu bapa mereka. Hal ini demikian kerana Rahayu dijaga oleh ayah dan ibu tirinya, manakala Faridah dibela oleh ibunya sendiri. Namun demikian Rahayu sentiasa merindui kakaknya, Faridah.

2. Persoalan perpisahan ibu bapa menyebabkan anak-anak menjadi mangsa.

• Perkara ini dipaparkan melalui tindakan Kamarudin meninggalkan Salmah tetapi membawa bersama-samanya Rahayu ke Indonesia menyebabkan pasangan kembar tersebut terpisah dan merindui satu sama lain.

3. Persoalan kecintaan terhadap alam sekitar.

• Persoalan ini digambarkan melalui watak Azrul yang aktif dalam program-program pemeliharaan alam sekitar.

4. Persoalan kasih sayang.

• Persoalan ini digambarkan antara ibu dengan anaknya, iaitu kasih sayang Salmah terhadap anaknya Rahayu yang telah meninggal dunia. Akibat terlalu rindu, ibu ini menderita sehingga menemui ajalnya. Persoalan kasih sayang antara isteri dan suami pula tergambar melalui tindakan Melina yang berusaha dengan pelbagai cara mencari suaminya, Benny yang tidak pulang ke rumah.

5. Persoalan sikap berdikari golongan siswazah.

• Golongan ini tidak seharusnya menunggu tawaran kerja yang diberikan oleh pihak kerajaan atau swasta. Sebagai contoh, Azrul bertekad untuk menjadi penternak kambing dan hasratnya itu dipersetujui oleh bapanya.



6. Persoalan kahwin campur.

• Fenomena kahwin campur dalam kalangan masyarakat telah menjadi perkara biasa pada zaman ini. Hal ini dibuktikan melalui perkahwinan watak utama Faridah dengan Samuel Kirkby Johnsons atau nama Islamnya Soleh Johnsons. Faridah ialah orang Melayu Malaysia yang bekerja di New Zealand, manakala Soleh pula orang Inggeris rakyat New Zealand.

7. Persoalan peranan bomoh dalam masyarakat Melayu.
• Hal ini dipaparkan ketika operasi pencarian kehilangan Faridah dan Iqbal menemui jalan buntu dan terpaksa dihentikan. Beberapa pihak termasuk pihak polis yang terlibat dalam operasi tersebut mencadangkan penggunaan bomoh untuk mengesan Faridah dan Iqbal.

8. Persoalan semangat kerjasama yang masih utuh dalam masyarakat.

• Operasi mencari Faridah dan Iqbal yang dinamakan OPS PDK melibatkan banyak pihak seperti Bomba dan Penyelamat, Hospital Daerah, RELA, Perhilitan dan Pejabat Daerah Raub serta Hulu Selangor.

9. Persoalan pejuangan secara kekerasan.

• Novel ini memaparkan adanya beberapa pihak yang mahu mencapai sesuatu matlamat dengan kekerasan. Hal ini digambarkan melalui Muhammad Attar yang cuba mencari pengaruh daripada kalangan rakan-rakannya termasuklah Benny, suami Melina dalam matlamatnya untuk menegakkan perjuangan Islamnya.

10. Persoalan prejudis masyarakat Barat terhadap Islam (Islamofobia).

• Tangkapan Mohamed Attar oleh Interpol ada kaitan dengan isu keganasan yang dilakukan oleh umat Islam.


PLOT

Plot ialah sesuatu yang menghubungkan antara peristiwa dalam sebuah cerita yang rapat pertaliannya dengan gerak laku lahiriah dan batiniah watak. Setiap peristiwa dan gerak laku itu dari awal hingga akhir adalah berdasarkan kepada hukum sebab dan akibat. Plot novel Kabus di Perbukitan bersifat kronologi. Plot kronologi ialah plot yang disusun mengikut urutan, iaitu waktu atau peristiwa yang berlaku dahulu akan didahulukan manakala yang berlaku kemudian akan dikemudiankan. Tindakan Mejar (B) Kamarudin berkahwin lain dan memisahkan anaknya, Rahayu daripada pasangan kembarnya telah menimbulkan pelbagai konflik, kepada Rahayu, Faridah, dan isterinya atau ibu mereka. Walaupun plot novel ini banyak disisipkan dengan unsur imbas kembali, namun pembaca masih mudah untuk memahami dan menelusuri peristiwa-peristiwa penting dalam novel.



Pembinaan Plot

Terdapat lima peringkat binaan plot, iaitu:

(i) Permulaan

Pengarang memperkenalkan watak Rahayu menunaikan solat subuh dan Rahayu merasa kelainan atau sakit pada lehernya. Pada bahagian ini diperkenalkan juga Rahayu dan Azrul sebagai penuntut Fakulti Ekologi Manusia, UPM.

(ii) Perkembangan

• Pada bahagian ini Rahayu dan Azrul sedang mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.
• Semasa di perpustakaan, tiba-tiba Rahayu pengsan dan dia dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.
• Pada masa yang sama, Faridah kembarnya juga telah ditimpa kemalangan bersama-sama dengan kanak-kanak istimewa, Iqbal dalam perjalanannya ke pekan Raub. Faridah hilang dari tempat kemalangan.
• Selepas dua minggu, Faridah ditemui di Perkampungan Orang Asli di Pahang yang diketuai oleh Tok Batin Senik dalam keadaan koma.
• Akhirnya Rahayu meninggal dunia di sisi Faridah di hospital yang sama mereka ditempatkan.
• Azrul berjaya menamatkan pengajiannya dan berhasrat menjadi penternak kambing.
• Faridah berkahwin dengan Ghazali.
• Ibunya meninggal dunia dan diikuti dengan kematian Ghazali dalam kemalangan jalan raya.
• Faridah bersetuju ke New Zealand untuk mengikuti suatu kursus.
• Faridah menetap di New Zealand dan berkahwin dengan seorang pemuda New Zealand yang bernama Samuel Kirkby Johnsons atau Soleh Johnsons. Mereka dikurniakan sepasang anak kembar, Anne dan Melina.
• Zain berkenalan dengan Anne semasa Anne menghadapi masalah keretanya yang rosak.
• Melina berkahwin dengan Jabbar al – Anbia atau dikenali sebagai ‘Benny’ dan berpindah ke Malaysia serta menetap di Terengganu.
• Benny sibuk dengan urusan peniagaannya bersama-sama dua orang kawannya, Muhammad Attar dan Mehmod. Melina yang sedang mengandung rasa sunyi.
• Anne memperkenalkan Zain kepada ibunya, Faridah.
• Muhamed Attar, Mehmod, dan Benny cuba mempengaruhi Ustaz Hassan Syukri agar menyertai perjuangan mereka.

(iii) Konflik

• Mejar (B) Kamarudin curang kepada isterinya Salmah dan berkahwin dengan Hamidah.
• Faridah dan Rahayu dipisahkan apabila Kamarudin dan isteri keduanya berpindah ke Pontianak, Indonesia.
• Faridah putus tunang dengan Azman.
• Rahayu pengsan di perpustakaan dan disahkan menghidap barah paru-paru.
• Faridah dan Iqbal terlibat dalam kemalangan dan mereka hilang selama dua minggu.
• Melina berkonflik dengan dirinya kerana sering ditinggalkan oleh Benny yang sibuk dengan urusannya.
• Benny, Muhammad Attar tidak sependapat dengan Ustaz Hassan Syukri dalam cara perjuangan mereka dalam menegakkan agama Islam.
• Muhamed Attar ditangkap oleh Interpol, Benny pula melarikan diri ke Dubai.


(iv) Klimaks

• Faridah, Soleh, dan Anne pulang bercuti di Malaysia untuk melawat Melina, dan membincangkan perkahwinan Zain dan Anne.
• Muhammad Attar ditangkap oleh pihak Interpol dan Melina membuat laporan ke balai polis kerana suaminya tidak pulang ke rumah.
• Perkahwinan Anne dengan Zain berlangsung dengan meriah.
• Soleh dan Melina ke Dubai berjumpa Benny dan Melina bersetuju menetap di Dubai.


(v) Peleraian

• Anne dan Zain menetap di New Zealand untuk menerajui syarikat penternakan keluarga Johnsons. Azrul dan Soleh menjalankan perniagaan kotej di Cameron Highlands.
• Faridah dan Soleh mengambil keputusan menetap di Malaysia.


Teknik Plot

1. Pemerian

Contoh:
• Gambaran Azrul dan Rahayu yang sedang menikmati sarapan pagi sambil memerhatikan gelagat siswa dan siswi UPM yang lalu lalang di hadapan mereka.

2. Dialog

Contoh:
• Dialog yang pendek-pendek dan pantas antara Azrul dan Rohaya. Mereka
bersoal jawab tentang tugasan yang diberi oleh pensyarah dan program Kempen Save Our River.

3. Imbas kembali
Contoh:

• …”Cukup. Malam tadi dah keluar dengan kawan-kawan ke Kajang
• Tentang peranan dan sejarah Rumah Rehat Sri Berkat suatu masa dahulu. Semasa zaman kolonial, rumah tersebut digunakan untuk berehat oleh pengurus-pengurus ladang.





4. Imbas Muka
Contoh:

• ada kemungkinan mereka meredah hutan dan sesat?” tanya Chief Inspektor Aznil.
• …Buyong membuat andaian bahawa Mejar (B) Kamarudin pasti akan terpesona dengan kawasan Bukit Kutu.

5. Suspens
Contoh:

• Pihak-pihak yang terlibat dalam operasi pencarian Faridah dan Iqbal tertanya-tanya ke manakah hilangnya jasad kedua-dua mangsa.
• kehilangan Benny menimbulkan tanda tanya. Melina membuat laporan polis.
• Azrul menyatakan bahawa dia sudah memiliki gadis pilihannya.

6. Monolog Dalaman
Contoh:

• “Tidak mungkin boleh bertahan hingga pagi,” desis hati kecil Buyung.

7. Kejutan
Contoh:

• Salmah terkejut menerima berita kehilangan Faridah.



Watak dan Perwatakan

1. Watak Faridah

• Faridah merupakan watak utama dan dia mempunyai saudara kembar bernama Rahayu.
• Ayahnya berkahwin kali kedua dengan seorang wanita bernama Hamidah.
• Dia terpisah daripada adik kembarnya semasa berusia tujuh tahun akibat ayahnya berpindah ke Pontianak, Indonesia.
• Faridah seorang yang tabah menghadapi dugaan hidup. Contohnya, dia tabah menghadapi kematian adik kembar kesayangannya, Rahayu akibat barah paru-paru. Selepas itu dia juga kehilangan ibu kesayangannya dan suaminya yang tercinta, Ghazali.
• Faridah seorang yang sangat prihatin akan kanak-kanak istimewa. Contohnya, dia menganggap menjalankan khidmat kepada kanak-kanak istimewa dianggap sebagai satu ibadah.
• Faridah seorang yang beriman. Dia bersolat Tahajud selepas mengalami mimpi Ayu dan ibunya. Dia yakin akan berasa tenang selepas menunaikan solat sunat Tahajud.
• Faridah juga mementingkan ilmu pengetahuan. Contohnya, dia sanggup menggadaikan tanahnya untuk perbelanjaannya semasa berkursus di New Zealand.
• Faridah seorang yang penyayang. Dia sentiasa berusaha memenuhi permintaan anak-anaknya, terutama yang melibatkan penyediaan makanan untuk anak-anaknya, Anne dan Melina.
• Dia juga seorang yang mempunyai jati diri yang tinggi. Walaupun hidupnya senang dan sudah 25 tahun di New Zealand, Faridah sanggup pulang semula ke Malaysia kerana terlalu rindu akan kampung halamannya. Dia juga berjanji akan mengekalkan kerakyatannya sebagai rakyat Malaysia sampai bila-bila.

2. Rahayu

• Rahayu ialah watak sampingan yang penting dan merupakan adik kembar kepada Faridah.
• Dia mengidap penyakit lelah dan dalam kalangan adik-beradiknya, dia dianggap ‘lembik’.
• Rahayu dikesan mengidap barah paru-paru, selapas pengsan di perpustakaan.
• Seorang yang suka membaca. Dia dilihat sering menghabiskan masa di kedai buku dan digelar sebagai ‘ulat buku’ oleh Azrul.
• Rahayu juga seorang yang rajin. Contohnya dia rajin memasak dan membantu ibunya di dapur sekiranya tiada kuliah.
• Rahayu seorang yang penyayang. Contohnya, disebabkan dia tinggal bersama ayah dan ibu tiri, hatinya amat rindu untuk bertemu dengan ibu kandungnya Salmah.

3. Azrul

• Seorang graduan UPM dan bekas teman lelaki Rahayu.
• Dia seorang mahasiswa yang mencintai alam sekitar. Azrul dan rakan-rakannya telah menaja penubuhan Penubuhan Persatuan Pencinta Alam dan Hutan yang kerap memberi pendedahan kepada murid tentang alam sekitar.
• Azrul seorang yang penyayang. Semasa Rahayu masih hidup Azrul amat menyayanginya dan sentiasa berada di sisi Rahayu ketika Rahayu sakit.
• Azrul juga seorang yang berdikari. Setelah tamat pengajian di universiti, dia tidak berharap untuk makan gaji, sebaliknya dia mahu menjadi penternak kambing.
• Seorang yang gigih berusaha. Dia berjaya menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang penternakan hasil usaha gigihnya itu.
• Seorang yang suka menolong orang. Contohnya, Azrul telah menolong Anne ketika kereta Anne rosak.
• Azrul juga seorang yang menghormati orang tua. Dia telah menunjukkan rasa hormat yang tinggi terhadap Pn. Faridah dan Encik Soleh ketika bertandang ke rumah mereka.
• Akhirnya dipaparkan Azrul memperoleh gelaran Datuk.

4. Kamarudin

• Bapa kepada Rahayu dan Faridah.
• Kamarudin digambarkan sebagai lelaki yang kacak. Pada usia 21 tahun, dia telah berkahwin lain.
• Semasa ditugaskan ke Pontianak, Indonesia, dia sanggup memisahkan dan membawa salah seorang anak kembarnya Rahayu daripada ibunya.
• Dia berpangkat Mejar ketika bersara daripada angkatan tentera.
• Seorang yang berjimat cermat kerana dia menyimpan sejumlah wang untuk masa hadapan anak-anaknya.
• Semasa mudanya, dia suka berfoya-foya.
• Seorang bapa yang tidak bertanggungjawab. Contohnya dia tidak memberikan nafkah lahir dan batin kepada Salmah, isterinya.
• Kamarudin pandai menyimpan rahsia. Kewujudan Faridah dirahsiakan daripada isteri keduanya, Hamidah.
• Seorang yanag percaya kepada bomoh. Dia sering membawa Rahayu berjumpa dengan bomoh supaya Rahayu serasi dengan keluarga barunya dan tidak rindu kepada pasangan kembar dan ibunya.
• Akhirnya kehilangan Faridah telah menginsafkan Kamarudin tentang kesilapannya. Kamarudin menunjukkan rasa tanggungjawabnya dengan berusaha mencari Faridah.

5. Salmah

• Ibu kepada pasangan kembar Faridah dan Rahayu.
• Isteri pertama kepada Kamarudin.
• Usianya menjangkau 50 tahun.
• Seorang yang rajin berdoa. Apabila ditimpa musibah kehilangan Faridah, dia memohon ke hadarat Ilahi agar menjauhi anak kesayangannya itu daripada sebarang bahaya.
• Setelah ditinggalkan oleh suaminya, dia menyara kehidupannya dengan bekerja di sawah.
• Dia sering berduka dan sakit selepas pemergian Rahayu.
• Seorang ibu yang penyayang. Walaupun dia tidak dapat memelihara Rahayu, dia masih tetap menyayangi Rahayu.

6. Benny

• Berasal dari Dubai.
• Nama sebenarnya Jabbar al – Anbia, tetapi dia lebih gemar dipanggil Benny.
• Seorang yang sangat gemar berlayar. Contohnya dia pernah belayar dari Doha hingga ke Sydney.
• Seorang Muslim yang tidak mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya. Contohnya, dia minum arak di luar pengetahuan ibu bapanya.
• Dia menunjukkan rasa tidak bertanggungjawab. Dia meninggalkan Melina yang sarat mengandung tanpa khabar berita kerana takut ditangkap oleh polis Interpol.
• Dia berjumpa terus dengan Soleh Johnsons dan Faridah untuk melamar Melina.



Latar

Latar Masa

1. 6.00 pagi – Rahayu terjaga dari tidur oleh deringan telefon bimbitnya. Dia teringat akan
tugasan MP 3714 yang perlu dihantar pagi itu.

2. 8.00 pagi – Rahayu tiba di perpustakaan untuk mengulang kaji pelajaran bersama Azrul.

3. Waktu pagi– Rahayu terjatuh dan pengsan di perpustakaan.
Faridah terlibat dalam kemalangan.
4. Malam - Pak Imam Sohod mengetuai kanak-kanak kariah membaca Yasin, memohon
kepada Allah supaya diberi petunjuk terhadap kehilangan Faridah di tempat
kemalangan.

5. 1980 - Sepasang pelancong British hilang di Jalan Gap ketika berbasikal di Kuala
Kubu Baharu ke Bukit Fraser.

6. 1989 - PKM meletakkan senjata di Hatyai.

7. Semasa bersarapan – Kamarudin menerangkan isterinya, Hamidah bahawa kembar Rahayu,
iaitu Faridah menemui kemalangan dan hilang di Bukit Fraser.

8. Waktu pagi - Satu jam selepas Kamarudin meninggalkan rumah untuk mencari Faridah,
Hamidah menerima panggilan yang memaklumkan Rahayu pengsan dan telah dihantar ke hospital UKM.
- Hamidah dimaklumkan oleh Dr Susan , kemungkinan Rahayu menghidap
barah paru-paru.

9. 3.30 petang- Pihak polis menamatkan OPS PDK setelah usaha mencari Faridah dan Iqbal
selama dua minggu menemui kegagalan.

10. 25 tahun- Faridah telah meninggalkan kampung halamannya selama 25 tahun dan
menetap di New Zealand selepas kematian ibu dan suaminya, Ghazali.

11. Dua minggu- Dalam masa dua minggu Benny dan Melina berkenalan, Benny sudah
melamar Melina.

12. Satu pagi - Benny dan Melina tiba di rumah Soleh dan Faridah.

13. Waktu petang - Sebelum majlis perkahwinan Benny dan Melina, Zain berkenalan dengan
Anne.

14. Dua petang- Benny dan Melina tiba di KLIA untuk bekerja di Malaysia.

Latar Tempat

1. Kafetaria di UPM - Rahayu dan Azrul sedang bersarapan

2. Perpustakaan di UPM - Rahayu dan Azrul belajar dan mencari maklumat di
perpustakaan.
- Rahayu pengsan.

3. Rumah Rehat Sri Berkat di Bukit Fraser
- Faridah dan Mastura membawa murid ‘Sindrom Down’
seramai 10 orang ke Bukit Fraser.

4. Jalan ke Pekan Raub - Faridah yang terkejut dengan kehadiran Iqbal di dalam
keretanya telah terlibat dalam kemalangan.


5. Smoke House - Rumah Tuan Cecil Renking yang wujud dalam halusinasi
Faridah yang koma selepas terlibat dengan kemalangan jalan
raya.

6. Bukit Kutu - Mejar (B) Kamarudin dan Buyung mencari Faridah dan Iqbal
di dalam hutan sekitar Bukit Kutu.

7. Perkampungan orang Asli
- Tempat Mejar (B) Kamarudin dan Buyong menemui Faridah
dan Iqbal dijumpai selepas dua minggu hilang.

8. Parit Satu, Sungai Besar
- Faridah bertembung dengan Azrul semasa dia menziarahi
kubur Rahayu di Parit Satu.


9. Parit Dua, Sungai Besar
- Kampung Azrul – dia menjalankan projek penternakan
kambing.

10. Rosewood, New Zealand
- Rumah Faridah di New Zealand.

11. Cristchurch di New Zealand
- Sebuah bandar di New Zealand.

12. Marang, Terengganu - Tempat tinggal Benny dan Melina.

13. Cameron Highlands - Tempat penginapan Faridah dan keluarganya ketika mereka
pulang ke Malaysia untuk melawat Melina dan membincangkan perkahwinan Anne dan Zain.

Latar Masyarakat

1. Masyarakat pelajar universiti. Contohnya, Azrul dan Rahayu merupakan penuntut Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia.

2. Masyakat yang cinta akan alam sekitar. Contohnya, Azrul dan teman-temannya banyak mengadakan program pendedahan tentang alam sekitar kepada pelajar-pelajar.

3. Masyarakat yang mengambil berat terhadap kanak-kanak istimewa. Contohnya Faridah, dan Mastura yang bertugas di PDK Suria menganggap berkhidmat kepada kanak-kanak istimewa ialah satu ibadah.

4. Masyarakat yang beriman kepada Tuhan. Contohnya Faridah dan Salmah dipaparkan sentiasa berdoa apabila menghadapi tekanan atau masalah hidup.

5. Masyarakat yang suka bersedekah. Hal ini digambarkan melalui watak Soleh Johnsons yang suka bersedekah.
6. Masyarakat tentera. Contohnya, Mejar (B) Kamarudin bin Ahmad merupakan bekas pegawai tentera dari 4 RAMD.

7. Masyarakat orang Asli. Tok Batin Senik merupakan Tok Batin bagi masyarakat orang asli yang menyelamatkan Faridah dan Iqbal di Bukit Fraser.

8. Masyarakat yang rindu akan anaknya. Salmah sangat menderita kerana terlalu rindu akan anaknya Rahayu yang telah meninggal dunia. Akhirnya dia meninggal dunia.

9. Masyarakat yang tabah menghadapi cabaran. Faridah yang kehilangan adik kembar, ibu, dan suaminya, tabah menghadapi dugaan dan memulakan hidup baharu di New Zealand.

10. Masyarakat yang berdikari. Azrul tidak mengharapkan kerja makan gaji, sebaliknya mengusahakan penternakan kambing dan tapak semaian untuk menampung kehidupannya.

11. Masyarakat yang cenderung menggunakan kekerasan dalam memperjuangkan Islam. Hal ini digambarkan melalui watak Muhamed Attar, dan Benny.

12. Masyarakat yang mempercayai kemampuan bomoh untuk menyelesaikan masalah. Sarjan Yusof mencadangkan misteri kehilangan Faridah dan Iqbal diselesaikan oleh Bomoh setelah pihak polis gagal menemui mereka.

13. Masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk halus. Buyong menegaskan bahawa makhluk halus memang wujud dalam masyarakat kita.




Gaya Bahasa
1. Penggunaan Bahasa Inggeris

Contoh:
• wind breaker, sindrom down, terrace garden, Smoke House

2. Peribahasa

Contoh:
• Peribahasa Melayu– Masa itu emas
• Peribahasa Arab - Masa umpama sebilah pedang tajam, boleh memenggal kepala
jika kita lambat bertindak.
- Perahu sudah di air, pendayung di tangan

3. Personifikasi

Contoh :
• cahaya di sebalik kabus yang sentiasa memberi harapan
• cuaca yang begitu dingin menggigit
• Senja merangkak tua…


4. Hiperbola

Contoh:
• dosa-dosaku sudah melaut banyaknya…
• tetapi kasihnya menggunung bagai anak kandung

5. Simpulan bahasa

Contoh:
• buah mulut

6. Simile

Contoh :
• … bersambung seperti gajah menyusu dengan rumah agam
• … tetapi kasihnya menggunung bagai anak kandung

7. Metafora

Contoh:
• peti kenangan
• Lipatan ingatan

8. Sinkope (singkatan perkataan)

Contoh:
…”Cukup ke? Tak lapar nanati?”


Nilai

1. Nilai kasih sayang.
Rahayu amat merindui kakaknya Faridah yang terpisah sejak mereka berusia tujuh tahun kerana kasih sayangnya yang mendalam terhadap kakak kembarnya itu.

2. Nilai ketabahan.
Faridah tabah menghadapi dugaan yang bertimpa-timpa akibat kematian orang-orang yang disayanginya iaitu adiknya, Rahayu, ibunya, Salmah dan suaminya, Ghazali.

3. Nilai kegigihan.
Azrul gigih berusaha memajukan projek ternakan kambing dan tapak semaiannya hingga berjaya.

4. Nilai bertanggungjawab
Setelah ditinggalkan suami, Salmah bekerja di sawah untuk menampung kehidupannya sebagai memenuhi tanggungjawabnya menjaga dua orang anak lelakinya.



5. Nilai cinta akan tanah air
Sungguhpun sudah 25 tahun menetap di New Zealand, Faridah tetap memegang kerakyatan Malaysia kerana dia amat cinta akan tanah airnya.

6. Nilai taat akan ajaran agama
Semasa di Cameron Highlands, setiap hari Soleh menunaikan sembahyang di masjid secara berjemaah.

7. Nilai mengamalkan budaya bangsa
Datuk Azrul mengenakan baju Melayu Johor dan bersongkok hitam semasa mengunjungi keluarga Faridah di Cameron Highlands.

8. Nilai berdikari
Golongan siswazah tidak seharusnya menunggu tawaran kerja yang diberikan oleh pihak kerajaan atau swasta. Sebagai contoh, Azrul bertekad untuk menjadi penternak kambing dan hasratnya itu dipersetujui oleh bapanya.

9. Nilai cinta akan alam sekitar.
Soleh mahu penebangan hutan untuk membina chalet peranginannya dilakukan dengan lebih terkawal serta dihiasi dengan kebun teh, padang ragut untuk kuda liar, dusun buah-buahan sitrus dan taman-taman bunga.



Pengajaran

1. Kita perlulah mempunyai jati diri yang teguh.
Contohnya, walaupun Faridah sudah 25 tahun tinggal di New Zealand, dia tetap mengingati dan menghargai tanah airnya, Malaysia.

2. Setiap orang perlu gigih berusaha untuk mencapai kemajuan.
Contohnya, Salmah dan Azrul gigih memajukan projek ternakan kambing dan tapak semaiannya hingga berjaya.

3. Setiap ibu bapa perlu bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka.
Contohnya, Salmah sanggup bekerja di sawah bagi menampung kehidupan bersama-sama anak kembarnya, Faridah dan Rahayu setelah Kamarudin meninggalkan mereka.

4. Sebagai penganut agama yang taat, kita hendaklah mematuhi ajaran dan tuntutan agama.
Contohnya, Soleh menunaikan sembahyang di masjid pada setiap hari dan selalu menderma kepada badan kebajikan.

5. Kita perlu mengamalkan budaya bangsa kita.
Contohnya, Faridah mengenakan baju kurung dan berselendang semenjak balik ke tanah air.

6. Sebagai seorang siswazah, janganlah terlalu mengharapkan tawaran kerja makan gaji sahaja.
Contoh, Azrul bertekad untuk menjadi penternak kambing dan hasratnya itu dipersetujui oleh bapanya.


Latihan

1. Berikan tema novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah.

2. Nyatakan tiga pengajaran novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah.


Jawapan


1. Tema novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah ialah jati diri orang Melayu. Tema ini diserlahkan melalui watak utama Faridah yang merantau ke New Zealand selama 25 tahun. Walaupun begitu lama tinggal di negara orang, akhirnya dia dan keluarganya kembali membina kehidupan yang lebih bermakna di Malaysia.

2. Tiga pengajaran novel Kabus Di Perbukitan karya Mohamad Kholid Hamzah ialah:

i. Kita perlulah mempunyai jati diri yang teguh.
Contohnya, walaupun Faridah sudah 25 tahun tinggal di New Zealand, dia tetap mengingati dan menghargai tanah airnya, Malaysia.

ii. Setiap orang perlu gigih berusaha untuk mencapai kemajuan.
Contohnya, Salmah dan Azrul gigih memajukan projek ternakan kambing dan tapak semaiannya hingga berjaya.

iii. Setiap ibu bapa perlu bertanggungjawab menjaga anak-anak mereka.
Contohnya, Salmah sanggup bekerja di sawah bagi menampung kehidupan bersama-sama anak kembarnya, Faridah dan Rahayu setelah Kamarudin meninggalkan mereka

Teknik Menjawab Rumusan Karangan SPM

BAHASA MELAYU

SIJIL PELAJARAN MALAYSIA

KOD 1103/2KERTAS 2

SOALAN 1: Rumusan(30 markah)


STRATEGI MERUMUS KARANGAN


PETIKAN 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semngat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlbih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan petolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yangbbesar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria, Utusan Malaysia, Jun 2003)


A: STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1

Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,

* Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.

(masa dicadangkan 2 minit)

* Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman

(masa dicadangkan 5 minit)

STRATEGI 2 : Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan perkataan-perkataan tersebut.

* Fokus 1 = Isi tersurat
* Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat. CONTOH 1 Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. [ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


STRATEGI 3

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni).[ISI 1]

Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita)[ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah)[ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung)[ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.

Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran).[ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka).[ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 . Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara)[ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.
STRATEGI 4

Senaraikan FOKUS 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan kira jumlah perkataannya.

Isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

1. Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]
2. Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]
3. Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada kita. [ 11 ]


Atau Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]

1. Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]
2. Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]
3. Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]
4. Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat setempat. [ 9 ]
5. Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]
6. Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]
7. Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]


STRATEGI 5

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap. PERINGATAN:

1. Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad. Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah perkataan
2. Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama perenggan isi tersurat.

CONTOH:

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 46 patah perkataan ]


B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI: 1.

1. Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam petikan yang diberikan.Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara memupuk semangat kejiranan.

2. Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan isi tersurat dan fokus 2 dalam arahan soalan.

3. Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi tersirat.

4. Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan isi tersirat.

STRATEGI 1 :

Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan.

CONTOH : 1.

1. Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia memberi pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

2. Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin atau ambil berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan kejiranan / bertegur sapa / saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]

3. Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

4. Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat .

5. Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun tetangga / persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]

6. Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

7. Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak sombong / berbaik sangka dengan jiran .



STRATEGI 2 :

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan. [ 23 patah perkataan ]



C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN.

STRATEGI :

1. Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.
2. Kenal pasti fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan fokus 1 itulah penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.
3. Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu menjadi ayat anda sendiri.
4. Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
5. Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan / membicarakan …….


CONTOH PENDAHULUAN:

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran Pendahulaun:

Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.atauPetikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup berjiran dalam masyarakat

D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN.

1. Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.
2. Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
3. Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.
4. Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya, demi’.
5. Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.

Contoh : Kesimpulannya, ….



CONTOH KESIMPULAN:

1. Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan

Atau

1. Kesimpulannya, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat diwujudkan.


CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.

[ 100 patah perkataan]

Teknik Menjawab Bahagian D Novel.

BAHAGIAN D

NOVEL

Pengenalan

- Bahagian D meminta calon menjawab soalan yang berkaitan dengan novel

wajib bagi setiap zon.

- Masa yang dicadangkan untuk menjawab soalan D ialah 10 minit.

- Hanya satu soalan novel yang dikemukakan.

- Setiap calon wajib menjawab soalan tersebut dan tiada pilihan soalan lain.

- Calon mesti mengkaji tiga buah novel, sebuah dari tingkatan satu, sebuah

dari tingkatan dua dan sebuah dari tingkatan tiga.

- Soalan perbandingan antara dua buah novel juga mungkin dikemukakan.

- Markah maksimum ialah 10 markah



Teknik Menjawab



- Baca soalan sekurang-kurangnya dua kali untuk memahami kehendak

soalan.

- Kemudian, rangka isi jawapan berdasarkan kehendak soalan.

- Jawapan mesti ditulis dalam bentuk perenggan.

- Jawapan dalam bentuk isi-isi penting atau nota ringkas tidak
dibenarkan.

- Jawapan mesti ditulis dalam ayat yang lengkap.

- Setiap jawapan yang diberi mesti mengandungi sekurang-kurangnya tiga isi.

- Setiap isi perlu dihuraikan dengan

a. Pernyataan

b. Huraian, dan

c. Contoh

- Panjang jawapan sekitar 80 hingga 120 patah perkataan.

- Soalan bahagian ini adalah berdasarkan novel-novel yang dikaji mengikut zon

masing-masing.

- Antara aspek yang disoal adalah dari aspek-aspek sasteranya seperti

sinopsis, tema, persoalan, perwatakan, plot, latar, gaya bahasa, nilai,

dan pengajaran.

- Selain itu, pelajar juga mesti mengelakkan daripada melakukan banyak

kesalahan dari aspek tatabahasa dan ejaan, kerana terdapat markah untuk

bahasa dalam soalan ini.

- Jika ada masa, tulislah sebanyak mungkin isi kerana isi yang salah tidak

akan ditolak markah, manakala isi yang betul akan diberikan markah.



Contoh Soalan:

Jawapan mestilah berdasarkan satu daripada novel yang telah anda kaji sama

ada di Tingkatan 1,Tingkiatan 2, atau Tingkatan 3 seperti senarai di bawah.

1. Meniti Kaca (Raja Sabarudin Raja Abdullah)

2. Anak Din Biola (Maaruf Mahmud)

3. Aku Anak Timur (Siti Aminah Hj. Yusuf)

4. Limpahan Darah di Sungai Semur (Zakaria Salleh)

5. Pahlawan Pasir Salak (Mohd. Ismail Sarbini)

6. Tragedi Empat Disember (Dzul Karnain Ithnain)

7. Timulawak Kapal Perang (Azmah Nordin)

8. Kapten Hassan Wira Bangsa Harun Johari)

9. Panas Salju (Talib Samad)

10. Merdeka! Merdeka! (A Rahman Hanafiah)

11. Ekspedisi (Mohd. Ghazali Tocheh)

12. Kanang Cerita Seorang Pahlawan (Maznan Nordin)

Teknik Menjawab Karangan PMR Bahagian C

BAHAGIAN C

KARANGAN RESPONS TERBUKA

Pengenalan

- Bahagian C mengemukakan lima soalan dan calon hanya perlu memilih

satu tajuk untuk dijawab.

- Panjang karangan yang ditulis hendaklah lebih daripada 180 patah

perkataan.

- Masa yang diperuntukan untuk menulis karangan ini ialah 45 minit dan

markah yang diberi ialah 40 markah.

- Tajuk karangan yang dikemukakan terdiri daripada karangan berformat
dan tidak berformat.



Karangan Berformat

- Surat rasmi

- Surat tidak rasmi

- Ucapan / syarahan / ceramah

- Laporan

- Berita

- Dialog / wawancara / temu ramah



Karangan Tidak Berformat

- Keperihalan / gambaran / pengalaman

- Perbincangan

- Fakta

- Peribahasa

- Cereka





Teknik Menjawab

- Baca kelima-lima soalan dan kemudian fahamkan kehendak soalan.

- Pilih tajuk yang benar-benar difahami di samping mencari kata kunci soalan.

- Buat rangka karangan sebelum menulis karangan yang dipilih

selengkapnya.

- Pastikan karangan yang dibuat mengandungi

a. Pendahuluan / pengenalan

b. Isi

c. Penutup / kesimpulan

- Setiap isi yang dikemukakan ditulis dalam perenggan yang berlainan.

- Setiap isi perlu disertakan dengan huraian dan contoh-contoh yang jelas.

- Susun isi-isi mengikut keutamaan.

- Akhiri karangan dengan penutup / kesimpulan berdasarkan isi-isi yang telah

dikemukakan dalam karangan.

- Masukkan peribahasa, simpulan bahasa, kata-kata hikmah untuk

mengukuhkan huraian.

- Semak karangan yang ditulis sebelum menghantarnya kepada pengawas

peperiksaan.





Contoh Karangan:



Anda mempunyai cadangan untuk menarik minat murid-murid berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah. Tuliskan sepucuk surat kepada pengetua sekolah untuk menyatakan hasrat anda itu dengan menyatakan langkah-langkah yang sesuai bagi menyokong cadangan anda. Tulis surat tersebut selengkapnya.



Mohd. Rizman bin Mohd Rahman,

Tingkatan 3 Aman,

Maktab Sabah,

88806 Kota Kinabalu,

Sabah.

__________________________________________________________________________________



Pengetua,

Maktab Sabah,

88806 Kota Kinabalu,

Sabah. 13 FEBRUARI 2011.



Tuan,



Langkah-langkah untuk Menarik Minat Murid-murid Berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah



Saya merupakan seorang murid di Tingkatan 3 Teguh sekolah ini berhasrat untuk mengemukakan beberapa pandangan tentang cara-cara bagi menarik minat murid-murid agar gemar berkunjung ke pusat sumber sekolah.



2. Pusat sumber sekolah kita sepatutnya terletak di tempat yang mudah dikunjungi oleh murid-murid. Sebaik-baiknya pusat sumber terletak di bahagian bawah sesebuah bangunan. Bangunan tersebut perlu dicat dengan warna yang menarik dan dihiasi dengan lukisan mural yang sesuai di bahagian luarnya. Keceriaan fizikal sesebuah pusat sumber merupakan tarikan utama murid-murid untuk melihat isi dan peralatan di dalamnya.



3. Selain itu, guru yang bertugas di pusat sumber perlu menghebahkan perkembangan terkini buku-buku baru dan perkhidmatan yang disediakan kepada murid-murid. Hebahan tersebut dapat dibuat melalui radio sekolah atau saluran yang difikirkan sesuai. Melalui cara tersebut, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan di pusat sumber bagi membantu pembelajaran mereka.



4. Kepelbagaian bahan sumber maklumat di pusat sumber juga perlu diberi perhatian. Bahan-bahan yang disdiakan harus merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan bersesuaian dengan mata pelajaran yang dipelajari oleh murid-murid. Bahan-bahan yang menarik itu perlu diperbanyak sebagai tarikan kepada murid-murid.



5. Sehubungan dengan itu, pembantu di pusat sumber juga perlu bersikap mesra pengguna. Sikap murni ini akan menjadi daya tarikan kepada murid-murid kerana mereka mudah mendapatkan bantuan jika memerlukannya. Oleh itu, pelantikan pembantu pusat sumber harus mengutamakan ciri-ciri yang murni.



Semoga semua cadangan saya mendapat perhatian daripada pihak tuan.



Sekian, terima kasih.



Yang benar,





Rizman

............................

(MOHD. RIZMAN BIN MOHD. RAHMAN)

Teknik Menjawab Karangan PMR Bahagian B

BAHAGIAN B

KARANGAN BERPADU

Pengenalan

- Calon diminta menjawab karangan berdasarkan bahan rangsangan sama ada

dalam bentuk gambar, bahan grafik, jadual dan sebagainya.

- Biasanya tajuk yang dikemukakan adalah tentang kemasyarakatan,

keceriaan, kesihatan, pencemaran, dan sebagainya.

- Panjang karangan berdasarkan bahan rangangan ini hendaklah tidak

melebihi 120 patah perkataan.

- Karangan mesti disiapkan dalam tempoh masa 25 minit.

- Markah yang diperuntukan ialah 20 markah.

- Calon dinasihatkan agar banyak membaca bahan-bahan daripada majalah,

internet dan sebagainya untuk menambahkan pengetahuan.

- Karangan berdasrekan bahan rangsangan juga memerlukan calon untuk

berfikiran kreatif dan kritis.



Teknik Menjawab


1. Baca dan fahamkan kehendak soalan.

2. Cari kata kunci atau tugasan / kehendak soalan.

a. Huraikan pendapat anda tentang aktiviti riadah berdasarkan gambar yang diberi.

b. Huraikan pendapat anda tentang amalan-amalan murni berdasarkan gambar yang

diberi.

c. Huraikan pendapat anda tentang kegunaan bahan-bahan terbuang

berdasarkan gambar yang diberi.

3. Buat rangka karangan yang mengandungi pendahuluan, isi dan penutup.

4. Sebaik-baiknya kemukakan empat isi utama.

5. Baca karangan yang sudah siap ditulis untuk mengesan apa-apa

kesalahan yang mungkin terdapat seperti tanda baca, ejaan, kosa kata,

dan sebagainya.



Contoh Soalan:

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang aktiviti

bergotong-royong di sekolah anda. Panjang huraian anda hendaklah tidak

lebih daripada 120 patah perkataan.

* Gambar Tunggal Aktiviti bergotong-royong.(Maaf gambar tidak dapat dipaparkan)

Contoh Jawapan:

Aktiviti bergotong-royong di sekolah saya sering diadakan terutama pada hujung minggu atau cuti persekolahan. Semua warga sekolah terlibat dalam aktiviti tersebut. Lazimnya kami mengambil masa selama dua hingga tiga jam setiap kali aktiviti dijalankan.

Sebelum itu, Guru Penyelaras Program akan memberi taklimat tentng pembahagian kerja. Ada yang membersihkan bilik-bilik darjah, kawasan padang, mengecat bangunan, membersihkan tingkap, mengutip sampah, dan sebagainya.

Sebenarnya bekerjasama dalam membersihkan kawasan sekolah banyak memberi faedah. Bukan sahaja kawasan sekolah menjadi bersih, ceria, dan kemas malah amalan murni ini dapat menghapuskan tempat pembiakan nyamuk dan seranga lain yang menyebabkan penyakit. Di samping itu, secara tidak langsung hubungan antara warga sekolah dengan ibu bapa juga dapat dieratkan.

Selain murid-murid, pihak yang turut bekerjasama menjalankan aktiviti gotong-royong pada hari itu ialah guru-guru, pekerja sekolah, dan ibu bapa murid yang berkesempatan. Mereka membuat kerja-kerja yang lebih berat seperti mengangkat kerusi meja yang rosak ke dalam lori untuk dihapus kira, membersihkan longkang, dan mencantas dahan pokok.

Kesimpulannya aktiviti bergotong-royong yang telah dilaksanakan di sekolah patut diteruskan dari semasa ke semasa. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama supaya persekitaran sekolah sentaisa bersih dan ceria.

Teknik Menjawab Ringkasan Karangan PMR

BAHAGIAN A (i)
RINGKASAN

Nota:

- Calon dikehendaki meringkaskan petikan berdasarkan kehendak soalan

supaya menjadi tidak melebihi 80 patah perkataan.

- Contoh:

- Tulis sebuah ringkasan tentang masalah penjualan buku-buku dalam bahasa Melayu.

- Tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor yang menyebabkan banjir kilat di ibu kota.

- Tulis sebuah ringkasan tentang cara-cara memupuk minat membaca

dalam kalangan kanak-kanak.
- Biasanya petikan yang dikemukakan adalah rencana tentang isu-isu semasa.

- Sebanyak 40 minit diperuntukan untuk menjawab Bahagian A(i) dan A(ii).
- Markah yang diperuntukan pula ialah 20 markah.



Teknik Meringkaskan Petikan:

- Calon perlu membaca dan memahami arahan soalan di samping

memastikan jumlah perkataan yang dikehendaki.

- Baca petikan lebih daripada sekali dengan teliti sehingga betul-betul faham akan isi petikan tersebut.

- Semasa membaca petikan, garisi perkataan yang menggambarkan isi

yang dikehendaki oleh soalan.

- Cuba gabungkan perkataan-perkataan tersebut untuk membentuk isi yang mantap.

- Huraian isi dan contoh-contoh perlu ditinggalkan.

- Calon digalakkan menggantikan huraian isi yang panjang dengan perkataan

tertentu atau istilah lain yang lebih sesuai.

- Selepas menulis ringkasan itu sila kira jumlah perkataan serta semak jika

terdapat kesalahan ejaan atau tatabahasa.

- Markah maksimum untuk isi ialah 10 markah (5 isi x 2 = 10 markah);

manakala markah maksimum untuk bahasa ialah 10 markah (bergantung

pada persembahan bahasa pelajar).

- Tulis ayat-ayat baru dalam satu perenggan sahaja.

- Salin hasil ringkasan dalam kertas jawapan dengan tulisan yang kemas.

Kemudian, tulis jumlah perkataan di bahagian kanak jawapan.

- INGAT!!! Jangan salin ayat bulat-bulat daripada isi tersebut; dan jangan

ubah kesemua perkataan yang terdapat dalam isi tersebut kerana bimbang

maksudnya akan terpesong.


Jadual menulis ringkasan karangan PMR

......(Kata Tugasan).....ialah/adalah.........(Isi yang pertama)... . Selain itu,............(Isi yang Kedua).... . Seterusnya,.......(isi yang Ketiga).... . Selanjutnya,......(Isi yang Keempat)..... . Pada masa yang sama,.......(Isi yang kelima).... .

(80 patah kata)

Contoh Soalan:
Baca petikan di bawah dengan teliti dan tulis sebuah ringkasan tentang kebaikan belajar secara berkumpulan. Panjang ringkasan anda hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat anda sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan.


Kita sering mendengar beberapa istilah seperti kumpulan perbincangan, study group, study circle, halaqah ataupun usrah. Pada umumnya, kumpulan perbincangan ini merupakan suatu kumpulan kecil individu yang ditubuhkan untuk membincangkan dan bertukar-tukar pendapat tentang perkara-perkara tertentu bagi kepentingan anggota kumpulan tersebut. Aktiviti ini dianggap suatu tradisi meningkatkan ilmu jika perbincangan itu dijalankan secara berkekalan.


Dalam proses memahami bahan-bahan yang kita peroleh daripada buku atau kuliah untuk disusun dalam bentuk lebih kemas, kita memerlukan perbincangan. Kerap kali kita mempunyai pecahan-pecahan ilmu yang terasing atau bahan yang berselerak dan kita tidak dapat mengaitkannya dengan konteks yang sebenarnya. Mungkin pecahan-pecahan yang kita miliki tidak cukup untuk kita kaitkan dan sambungkan sebagai satu kesatuan yang jitu.

Kita memerlukan orang lain untuk memberikan pecahan-pecahan yang tidak kita miliki itu dan menyusunnya sebagaimana isi kandungan itu seharusnya disusun. Tugas itu memerlukan perkongsian pendapat dengan rakan-rakan atau orang yang sama-sama mahu mendapatkan pengetahuan tersebut. Jikalau perbincangan itu disertai oleh orang yang lebih mahir dan pakar, kesan perbincangan itu lebih bermakna.

Apabila kita bekerja dengan orang lain, kadar kepantasan kita akan meningkat. Hal ini demikian kerana adanya unsur-unsur persaingan dan tentulah kita mahu mengemukakan pendapat yang terbaik dan sumbangan yang bermanfaat kepada kumpulan. Dengan demkian kita akan membuat persediaan awal yang bersungguh-sungguh untuk menyayakan perbincangan itu.

Namun begitu, kumpulan perbincangan itu ada juga keburukannya. Bagi sesuatu perkara yang rumit dan memerlukan kebolehan intelektual, perbincangan lebih banyak memberikan gangguan dan akhirnya objektif pembelajaran tidak tercapai.





Contoh Jawapan:

Kumpulan perbincangan diadakan bertujuan untuk bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu perkara dalam kalangan ahli. Melalui aktiviti ini, pemahaman tentang sesuatu perkara dapat dipertingkatkan. Nota hasil pembelajaran dapat disusun dengan rapi. Ada rakan-rakan yang dapat menjelaskan sesuatu perkara yang sukar difahami dengan terperinci. Selain itu, nota pelajaran juga dapat disusun mengikut urutan yang tepat. Semua ahli kumpulan mendapat faedah hasil daripada perbincangan yang dilakukan. Akhir sekali kumpulan perbincangan dapat meningkatkan kecekapan bekerja setiap ahli kumpulan.





BAHAGIAN A (ii)

PEMAHAMAN

Nota:

- Tiga soalan akan dikemukakan.

- Soalan (i) dan Soalan (ii) lazimnya berkaitan dengan isis petikan. Sila rujuk

petikan untuk mendapatkan jawapan.

- Soalan (iii) merupakan soalan terbuka yang memerlukan kemahiran berfikir

murid. Jawapan perlu munasabah.

- Markah yang diperuntukan ialah 10 markah.




Teknik Menjawab Soalan Pemahaman

- Calon perlu memahami kehendak soalan yang dikemukakan dan jumlah

markah yang ditetapkan bagi setiap soalan.

- Soalan (i) Soalan tentang maksud frasa atau rangkai kata dan juga

peribahasa yang terdapat dalam petikan dan 2 markah akan diberi.

- Seboleh-bolehnya, gantikan setiap perkataan dalam rangkai kata tadi

dengan perkataan anda sendiri, tetapi hendaklah mengikut maksud

penggunaannya dalam petikan.

- Soalan (ii) adalah soalan pemahaman berdasarkan petikan dan markah yang

diberi ialah 4.

- Oleh sebab soalan ini berdasarkan petikan, pelajar mestilah mencari isi

jawapannya dalam petikan tersebut.

- Setelah ditemui, jangan disalin bulat-bulat tetapi seperti menjawab

ringkasan, pelajar sekurang-kurangnya mengubah satu atau dua

perkataan.

- Markah yang diberi ialah 4, maka pelajar perlu mengemukakan lebih

daripada satu isi (2, 3 atau 4 isi jika ada dalam petikan).

- Soalan (iii) merupakan soalan pendapat yang jawapannya dikategorikan

sebagai tersirat.

- Hal ini bermakna pelajar mesti membuat kesimpulan atau memberikan

pendapat sendiri.




Contoh Soalan dan Jawapan (Berdasarkan petikan di atas)


i. Apakah maksud tradisi meningkatkan ilmu dalam petikan di atas?

Tradisi meningkatkan ilmu bermaksud suatu cara yang sering dilakukan

untuk menambahkan pengetahuan seseorang.


ii. Berikan dua cara belajar secara berkumpulan dapat dilakukan?

Berbincang dalam satu kumpulan yang disertai oleh orang yang lebih mahir

dan pakar dalam aspek yang sedang dibincangkan. Selain itu,

mengemukakan pendapat yang bernas dan yang terbaik sebagai tanparan

kepada cabaran pengetahuan ahli kumpulan yang lain.

iii. Pada pandangan anda, bagaimanakah cara untuk memberitahu murid tentang

kebaikan belajar secara berkumpulan?

Guru mata pelajaran hendaklah menjelaskan kepada murid bahawa belajar

secara berkumpulan akan menyebabkan pelajaran kekal lama dalam

ingatan. Pihak sekolah juga boleh mengadakan ceramah tentng cara belajar

secara berkumpulan yang efisien. Selain itu, murid yang telah berjaya

menggunakan akedah ini dijadikan murid contoh. Di samping itu, pihak

kaunselor hendaklah memberi ceramah motivasi diri dan pengurusan diri

untuk menjadi murid yang cemerlang.

Nota Novel Melunas Rindu Tingkatan 4

Melunas Rindu
Hartini Hamzah
Sumber : Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM)

Sinopsis

Bahagian 1
Fuad lewat pulang ke rumah petang itu setelah sekian lama ke hutan untuk mencari kayu api. Setibanya di rumah dia disapa Mak Salmah (Mak Mah) yang baru selesai solat maghrib. Menyedari kelewatannya, setelah selesai bersolat maghrib dia terus bergegas ke surau untuk solat isyak berjemaah. Seperti kebiasaannya juga sebelum menunaikan solat isyak, Fuad mengambil kesempatan untuk membaca al-Quran bergurukan Pak Mail. Selesai solat isyak Fuad menyedari Borhan suami kepada Masnah tidak berjemaah bersama kerana anaknya Muhamad Alif demam. Tiba di rumah Borhan, Fuad mengambil keputusan untuk menyewa kereta membawa Muhamad Alif ke klinik. Sementara menunggu, Fuad mengambil kesempatan menuju ke bank berdekatan bagi memastikan jumlah wang sebanyak dua ratus ribu ringgit yang dilihatnya beberapa hari sebelum ini. Selesai menjelaskan bil klinik, Fuad terus memandu pulang bersama Borhan beserta isteri dan anaknya. Setibanya di rumah, Fuad masih terkenangkan jumlah wang yang dimasukkan oleh ayahnya ke dalam akaunnya. Dalam hati, Fuad berterima kasih atas pemberian ayahnya itu.

Bahagian 2
Pada petang itu Fuad meluangkan masa dengan menikmati keindahan pantai Batu Buruk. Sambil menikmati keindahan pantai, Fuad melayan perasaannya apabila mengenangkan bagaimana dia dapat mencari kedamaian dalam dirinya sebagai seorang Islam. Masih lagi terbayang dalam fikirannya Mak Mah suatu ketika dulu membencinya kerana dia dikatakan penyebab kematian Sofia. Walhal dia hanya berniat membawa Sofia berjumpa dengan ayah dan ibunya. Mujurlah ada Pak Ismail yang merupakan satu-satunya tempat dia bergantung harap. Namun kesabaran Fuad membuatkan Mak Salmah akhirnya dapat menerima hakikat kehilangan Sofia yang juga merupakan adik Fuad. Pada waktu yang sama juga Fuad terbayangkan alangkah baiknya sekiranya Sofia masih hidup. Fuad tersedar dari lamunannya apabila mendapati waktu hampir senja. Setelah sampai di rumah, Pak Mail telahpun bersedia untuk ke surau. Balik sahaja dari surau Fuad menyatakan hasratnya kepada Pak Ismail untuk membeli tanah milik Awang Sojar.

Bahagian 3
Fuad, Pak Ismail dan Mak Mah mengusahakan tanah yang dibeli dari Awang Sojar. Fuad membeli tanah tersebut bertujuan membantu dan membalas jasa Pak Mail dan Mak Mah yang telah menjadikan dia dan Sofia sebagai anak angkat. Selain itu, Fuad juga membelikan sebuah motosikal untuk kemudahan Pak Mail dan Mak Salmah. Mak Salmah pernah terlantar di hospital apabila mendapat berita kematian Sofia walaupun hanya sebagai ibu angkat. Seminggu kemudian Pak Ismail dan Fuad didatangi seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Abas. Sebenarnya tujuan Abas yang juga merupakan guru penolong kanan Sekolah Menengah Seri Setia adalah untuk meminta pertolongan Fuad mengajar Bahasa Inggeris di sekolah tersebut. Tawaran tersebut dibuat kerana Fuad berkelulusan ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Amerika Syarikat. Fuad menerima tawaran tersebut sebagai guru sandaran.

Bahagian 4
Fuad melaporkan diri sebagai guru sandaran di Sekolah Manengah Seri Setia pada awal pagi. Cikgu Abas sebagai guru penolong kanan memberi kepercayaan kepada Fuad untuk mengajar Bahasa Inggeris tingkatan satu dan lima. Di kantin, Fuad diperkenalkan kepada seorang guru yang juga ketua panitia Bahasa Inggeris bernama Farhana. Farhana memberi taklimat ringkas kepada Fuad tentang tugasnya sebagai guru Bahasa Inggeris. Fuad diberi tanggungjawab untuk mengajar tiga kelas tingkatan lima dan dua kelas tingkatan tiga. Jam dua petang Fuad bertolak pulang setelah tamat sesi persekolahan.

Bahagian 5
Farhana menyenaraikan program panitia untuk dibentangkan dalam mesyuarat nanti. Seketika kemudian, Fuad menghampiri Farhana untuk memulangkan buku yang dipinjamnya. Farhana mengambil kesempatan untuk meminta idea Fuad bagi memenuhi slot program panitia tersebut. Program tersebut diberi nama program Personal Guidance. Selesai perbincangan mereka, Fuad berpesan kepada Farhana supaya mengambil jagung yang dibawanya dari rumah. Pada mulanya Farhana tidak percaya tetapi akhirnya Fuad dapat meyakinkan Farhana. Setelah tamat mesyuarat pada tengah hari tersebut, Farhana teringat pesanan Fuad supaya mengambil jagung sebelum pulang. Farhana berasa kagum dengan sikap Fuad yang menghormati waktu azan semasa mengagihkan jagung.

Bahagian 6
Fuad berjalan menuju ke kantin setelah selesai mengajar lima masa. Semasa di kantin dia sempat berbual dengan Cikgu Zamani tentang pengajaran di sekolah. Setelah membayar minuman Fuad berjalan ke bilik guru dan ternampak satu kertas kecil menyatakan bahawa ada seseorang ingin berjumpanya di pintu pagar. Setibanya di pintu pagar sekolah, dia mendapati Chin sedang menunggunya. Mereka berbual di kantin sekolah. Chin menyatakan tujuannya berjumpa dengan Fuad adalah kerana amanah Robert Lim iaitu ayah Fuad untuk bertanya khabar tentangnya. Selain itu, Chin juga mewakili Robert Lim untuk memastikan Fuad menerima duit yang dimasukkan ke dalam akaunnya. Di saat itu, Fuad menyedari bahawa dia masih belum boleh memaafkan ayahnya. Dia juga memberitahu Chin bahawa apabila tiba masa yang sesuai dia akan berjumpa dengan ayahnya, Robert Lim. Akhir perbualan mereka, Chin berpesan kepada Fuad supaya mengunjungi ibu dan bapa saudaranya yang dianggap ibu dan bapa kandungnya di Sungai Ruan. Di saat itu juga Fuad terkenangkan ibunya yang sudah meninggal dunia. Sampai di rumah Fuad menyatakan hasratnya kepada Pak Ismail untuk mencari kubur arwah ibunya di Sungai Ruan.

Bahagian 7
Fuad mengambil kesempatan sempena cuti persekolahan untuk ke Sungai Ruan. Tujuannya adalah untuk mencari kubur ibunya di samping mengunjungi ibu dan bapa saudaranya. Dalam perjalanan Fuad sempat singgah di bazar yang menjual pakaian dan kraf bercirikan Terengganu. Semasa membeli pakaian untuk adik, ibu dan bapanya Fuad ternampak Farhana sedang berbaris untuk membeli tiket bas ke Kuantan. Fuad mempelawa Farhana menumpangnya kerana mereka melalui perjalanan yang sama. Dalam perjalanan mereka berbual-bual tentang latar belakang masing-masing. Jam empat petang mereka sampai di Taman Tas, Kuantan iaitu rumah Farhana. Farhana memperkenalkan Fuad kepada ibu serta empat orang adiknya.

Bahagian 8
Di Sungai Ruan, suasana muram menyelubungi isi rumah keluarga Peter Lim. Semenjak Peter Lim terlantar sakit akibat demam, isterinya Swee Lan yang menjaga makan minum serta kebajikan anak-anaknya. Tetapi semenjak ketiadaan Fuad, Peter Lim tidak lalu makan atau minum. Mujurlah Robert Lim yang merupakan adik suaminya memberi bantuan kewangan. Swee Lan hanya menorah getah dan dengan hasil pekerjaannya itulah digunakan untuk menampung semua perbelanjaan. Ketibaan kereta Fuad di hadapan rumah Swee Lan menyedarkannya daripada terus mengelamun. Kehadiran Fuad disambut dengan tangisan oleh ibu saudaranya itu. Bapa saudaranya iaitu Peter Lim juga telah lalu makan dan minum setelah disuap oleh Fuad. Fuad berjanji menanggung segala perbelanjaan persekolahan Mei Lin, Ah Soh dan Guan. Keesokan harinya Fuad bertanyakan Peter Lim dan Swee Lan tentang ibunya. Ibu dan bapa saudaranya menceritakan serba sedikit tentang ibunya. Mereka juga menyatakan bahawa Ah Sok iaitu peneroka Lembah Klau yang melarikan Fuad semasa kecil. Kematian ibunya iaitu Mariana dirahsiakan daripada pengetahuan umum kerana bimbang difitnah. Fuad juga dimaklumkan bahawa ibunya mempunyai seorang kakak. Sewaktu di surau, Fuad telah berkenalan dengan seorang lelaki dalam lingkungan umur lima puluhan dikenali sebagai Pak Said. Pak Said bersetuju untuk menemani Fuad ke Lembah Klau untuk mencari kubur ibunya pada keesokan harinya.

Bahagian 9
Di rumah Farhana, sehari sebelum Fuad ke Lembah Klau, Farhana masih menantikan panggilan telefon daripada Fuad. Sambil menunggu panggilan daripada Fuad, Farhana sempat melayan perasaannya. Farhana teringat semasa dia masih belajar dalam bidang pendidikan Bahasa Inggeris di London dulu. Dalam masa yang sama Farhana terkenang pula perkenalannya dengan Fuad. Fuad banyak memberi dorongan kepadanya sebagai pendidik. Perasaannya terganggu dengan teguran ibunya supaya menunaikan solat dengan segera. Ibunya juga cuba mengagak status hubungan Farhana dengan Fuad. Selang beberapa ketika kemudian ibu Farhana pula terkenangkan arwah suaminya yang bekerja sebagai anggota polis. Kematian suaminya adalah disebabkan oleh penyakit kanser usus. Farhana juga diberitahu ibunya bahawa rakannya Yati telah bertunang.

Bahagian 10
Fuad menjemput Pak Said untuk ke rumah Pak Ngah Lias di Felda Lembah Klau. Kereta yang dipandu Fuad berhenti di sebuah kedai makan untuk bertanya arah. Fuad berasa lega kerana Pak Ngah Lias yang dicarinya masih hidup. Ketika berada di rumah Pak Ngah Lias, Pak Said menceritakan serba sedikit latar belakang Fuad kepada Pak Ngah Lias. Pak Ngah Lias amat terkejut apabila mengetahui bahawa Fuad merupakan anak kepada Robert Lim (nama Islamnya Roslan ). Pak Ngah Lias memberitahu bahawa Seman telah memberikan nama Abdul Halim kepada Fuad dan setelah dua puluh tujuh tahun barulah Fuad mengetahui nama sebenarnya. Berpuluh-puluh tahun Pak Ngah Lias menyimpan misteri kehilangan Abdul Halim walaupun cuba dijejaknya beberapa waktu selepas kematian Seman. Pak Ngah Lias mengatakan bahawa ibu Fuad iaitu Mariana tinggal di Kuala Lipis bersama kakak angkatnya Mariah. Selepas waktu Asar mereka bertolak ke Kuala Lipis untuk bertemu Mariah namun diberitahu bahawa Mariah sudah lama berpindah. Fuad bertemu Pak Samsudin, jiran Mariah dahulu dan mengetahui bahawa ibunya masih hidup. Fuad memberitahu hal tersebut kepada Peter Lim dan swee Lan. Justeru, Swee Lan mencadangkan supaya Fuad menemui bapanya di kuala Lumpur agar dapat membantu
mencari ibunya. Peter Lim memberitahu Fuad bahawa bapanya masih menyimpan cincin yang telah ditempah khas ketika perkahwinan mereka. Cincin itu telah diberikan kepada Mariana dan satu lagi cincin disimpan oleh bapanya.

Bahagian 11
Suasana masih hangar-bingar di blok C bangunan Sek. Men. Seri Setia walaupun kelas lanjutan pada petang itu sudah lama berlangsung. Cikgu Abas tidak berpuas hati kerana suasana hangar-bingar seperti itu kerap kali berlaku semenjak program kelas lanjutan diadakan. Cikgu Abas juga begitu menyukai Fuad yang merupakan seorang guru yang rajin walaupun hanya sebagai guru sementara di sekolah itu. Sikap Fuad jauh berbeza dengan Cikgu Zamani yang telah lama mengajar di sekolah tersebut. Tengah hari esoknya dalam mesyuarat guru, Cikgu Abas meluahkan kemarahannya kepada sebahagian guru yang tidak menjalankan tanggungjawab sebagai seorang guru.

Bahagian 12
Fuad memberikan kad ucapan hari lahir kepada Farhana dan mengajak Farhana keluar berjalan-jalan. Pada pukul lima petang, Fuad menjemput Farhana di rumahnya. Mereka berdua menaiki kereta mengelilingi pusat Bandar dan singgah di Restoran Terapung di taman Syahbandar. Selepas itu Fuad mengajak Farhana pergi ke rumah Pak Ismail dan Mak Salmah. Mereka makan malam dan solat Isyak berjemaah di sana. Selepas itu, mereka meminta izin daripada Mak Salmah untuk berangkat pulang. Sebelum masuk ke kereta, Farhana sempat dipeluk oleh Mak Salmah.

Bahagian 13
Dalam perjalanan ke rumah Cikgu Zamani, dari kejauhan Fuad terdengar suara tetamu di rumahnya. Namun Fuad kehairanan setelah mendapati hanya tiga tetamu yang berada dalam rumah Cikgu Zamani iaitu Cikgu Amin, Cikgu Azli dan Cikgu Rosli. Selesai makan Fuad menyedari agenda sebenar Cikgu Zamani menjemputnya adalah untuk mempengaruhi Fuad menyertai jemaahnya. Walaubagaimanapun Fuad tidak memberi sebarang keputusan sama ada bersetuju atau sebaliknya. Dalam perjalanan pulang, Fuad terkenang akan Farhana. Dia berharap supaya Farhana dapat memberikan kebahagiaan kepada Mak Salmah sebagaimana Sofia suatu masa dahulu.

Bahagian 14
Robert Lim melemparkan beg bimbitnya ke atas sofa sebaik sahaja memasuki ruang tamu. Terlalu banyak perkara yang merunsingkan fikirannya terutamanya berkaitan Mariana, ibu Fuad. Kalau betul cerita yang disampaikan oleh Peter Lim tempoh hari bermakna kukuh benarlah kenyataan bahawa Mariana masih hidup. Robert Lim meminta Chin menemaninya ke Terengganu untuk berjumpa dengan Fuad. Robert Lim ingin memberikan cincin dan gambar Mariana kepada Fuad. Tiga hari selepas itu, Robert Lim dan Chin pun bertolak ke Terengganu. Pak Ismail dan Mak Salmah terkejut dengan kedatangan Robert Lim. Namun, Robert Lim dan Chin tidak sempat berjumpa dengan Fuad kerana Fuad pergi ke Kuantan. Robert Lim bercadang menemui Fuad di Kuantan untuk memberikan cincin tersebut.
Bahagian 15
Sejak kebelakangan ini, Farhana sering bertengkar dengan Cikgu Zamani hingga menimbulkan suasana tidak selesa di bilik guru. Tiba sahaja di rumah, Fuad terus mandi dan menunaikan solat Zuhur. Ketika itu Pak Ismail baru pulang dari sawah. Pak Ismail dapat meneka ketidakceriaan di wajah Fuad. Setelah makan, Fuad duduk-duduk di beranda rumah. Selalunya pada waktu begitu dia akan melelapkan mata tetapi tidak pada hari itu. Akhirnya Fuad memutuskan untuk ke rumah Borhan. Borhan sedang bersantai di luar rumah waktu Fuad tiba. Borhan gembira menyambut kedatangan Fuad. Mereka berdua berbual-bual kosong. Namun, Borhan dapat melihat kemuraman di wajah Fuad. Keresahan yang berpanjangan akhirnya memaksa Fuad menghubungi Farhana namun Cikgu Zalifah memberitahu Farhana menjaga ibunya yang sakit di hospital. Fuad mengambil keputusan untuk menemui Farhana di Kuantan.

Bahagian 16
Kira-kira pukul enam petang Fuad tiba di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Fuad menemui Farhana di kafetaria hospital. Farhana terkejut dengan kehadiran Fuad. Sebenarnya Farhana tidak mahu menyusahkan Fuad namun Fuad tetap ingin menemani Farhana menjaga ibunya di hospital. Fuad menemui ibu Farhana dan bertanyakan keadaannya. Selepas itu Fuad ke rumah farhana menemui adik-adik Farhana. Kedatangan Fuad disambut mesra oleh adik-adik Farhana. Kemudian Fuad kembali ke hospital dan mendapati Farhana sudah tidur di tepi katil ibunya. Fuad duduk termangu di hujung katil sambil menanti kalau-kalau Farhana terjaga untuk diajak berbual. Ketika mundar-mandir di hujung katil, Fuad terpandang kad rawatan ibu Farhana yang terletak di atas meja dan tertulis nama Mariana Binti Osman. Fuad terkejut sambil matanya memandang ibu Farhana yang terbaring di katil hospital itu. Timbul pelbagai persoalan dalam hati Fuad yang memungkinkan Fuad mendapat petunjuk tentang ibunya. Fuad bertanyakan Farhana berkaitan asal usul ibu Farhana. Farhana memberitahu Fuad bahawa ibunya ada menyimpan sebuah kotak kecil yang menjadi rahsia ibunya selama ini. Fuad dapat mengagak bahawa kotak tersebut pasti berisi cincin. Tiba-tiba muncul Chin, Pak Ismail dan bapanya Robert Lim di hospital itu. Fuad terus memeluk bapanya dan menjadikan Farhana agak terpinga-pinga. Fuad bertanyakan berkaitan cincin tersebut dan Robert Lim mengeluarkan cincin itu dari dalam poket bajunya. Fuad menceritakan satu per satu penemuannya sambil dibantu oleh Farhana. Akhirnya semua persoalan telah terjawab dan ternyata Farhana merupakan adik tiri Fuad. Farhana terkejut dengan kenyataan yang dihadapinya dan dia menangis teresak-esak. Fuad memujuk Farhana dan meminta Farhana reda dengan ketentuan Ilahi. Ternyata, ibu kandung Fuad sudah berada di depan matanya.

Bahagian 17
Fuad dan Farhana telah bersepakat untuk menyimpan terlebih dahulu rahsia yang baru terbongkar daripada pengetahuan ibu mereka setelah mengambil kira keuzurannya. Fuad menyatakan hajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran di Danau Seberang. Ibu dan adik-adiknya akan dibawa sekali. Menjelang hari khamis ibunya dibenarkan keluar dari hospital. Fuadlah yang menguruskan segala-galanya. Farhana masih lagi kelihatan sedih atas ketentuan yang telah ditakdirkan antara dirinya dengan Fuad. Kemurungan Farhana amat menggusarkan Fuad. Di sekolah, Fuad dan Farhana ingin berjumpa dengan Cikgu Abas dan Tuan Haji Samad namun Tuan Haji Samad tidak ada pada hari itu kerana bermesyuarat di Kemaman. Cikgu Abas terperanjat mendengar cerita daripada Fuad. Fuad meminta bantuan daripada Cikgu Abas untuk memberitahu perkara tersebut kepada guru-guru lain. Hal ini amat penting bagi Fuad untuk mengelakkan sebarang fitnah kerana
Farhana sudah bersetuju untuk tinggal di rumah Pak Ismail. Justeru, Cikgu Abas berjanji akan mengadakan mesyuarat tergempar pada hari itu juga khusus untuk menguar-uarkan perihal Fuad dan Farhana. Fuad mendapat tawaran Kursus Perguruan Lepasan Ijazah di maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur manakala Cikgu Zamani juga akan bertukar ke sekolah lain.

Bahagian 18
Mariana mengikut kakak angkatnya Mariah ke Bentong iaitu kampung halaman Husin suami kepada Mariah selepas sepuluh hari melahirkan Fuad. Di situ mereka sama-sama mengusahakan kebun getah peninggalan orang tua Husin untuk menyambung kehidupan. Husin berhenti kerja di Pejabat Tanah semata-mata kerana menurut kemahuan Mariah yang ingin menyelamatkan masa depan Mariana. Mariana terkena penyakit gila meroyan selepas bersalin dan anaknya dilarikan orang. Setelah Seman meninggal dunia , hal kehilangan anak Mariana tidak dapat disembunyikan lagi. Mariana ditinggalkan oleh Roslan menyebabkan hidupnya hilang arah. Beberapa bulan selepas itu, Mariana berkahwin dengan Fakhrudin dan mereka berpindah ke Pekan. Kemudian Fakhrudin berpindah ke Kuantan. Sebelum meninggal dunia Fakhrudin membelikan Mariana dan anak-anaknya sebuah rumah kos sederhana melalui pinjaman kerajaan. Mariana bahagia sepanjang hidup bersama Fakhrudin sehingga dikurniakan lima orang cahaya mata. Walau bagaimanapun, Mariana masih mengingati anaknya Abdul Halim. Mariana begitu yakin bahawa Abdul Halim dipelihara oleh Peter Lim

Bahagian 19
Fuad mengambil kesempatan semasa cuti panjang persekolahan dengan membawa ibunya, Mak Salmah dan Pak Ismail menunaikan umrah di Makkah. Pada mulanya agak sukar bagi Fuad mendapatkan pelepasan untuk ibunya lantaran masalah kesihatan yang dihadapi oleh ibunya. Akhirnya dia berjaya juga membawa ibunya menunaikan umrah dengan syarat ibunya perlu dibawa berjumpa doctor hari sekali sepanjang sepuluh hari berada di sana. Sebelum berlepas menaiki pesawat, Robert Lim datang menemui Fuad dan ibunya. Robert Lim memandang wajah Mariana dengan perasaan bersalah dalam dirinya. Robert Lim meminta Fuad menjaga ibunya dengan baik. Fuad dan bapanya saling berpelukan sambil menahan sebak.

Tema

Tema novel Melunas Rindu mengisahkan tentang cabaran yang dihadapi seorang anak muda dalam usaha mencari identiti dirinya yang sebenar. Antara cabaran yang dihadapi ialah Fuad masih tertanya-tanya tentang ibunya sama ada hidup atau mati. Kemarahan Fuad terhadap ayahnya yang mengambil mudah tentang agama juga menyebabkan Fuad tidak mahu berhubung dengan ayahnya.

Persoalan

i. Persoalan tanggungjawab sebagai seorang pendidik
Fuad tetap menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pendidik dengan baik walaupun dia hanya guru sementara.

ii. Persoalan ketabahan menghadapi cabaran dalam kehidupan
Fuad tabah menghadapi pelbagai cabaran dalam usaha mencari ibu kandungnya.

iii. Persoalan kasih sayang sesama ahli keluarga.
Walaupun Fuad hanya anak saudara kepada Peter Lim dan Swee Lan, namun mereka tetap menyayangi Fuad seperti anak kandung.

iv. Persoalan tentang kehilangan seseorang yang disayangi amat memeritkan.
Contohnya Mak Salmah terasa sunyi setelah kehilangan anak angkatnya Sofia. Fuad pula hilang tempat bermanja apabila dari kecil lagi kehilangan ibu dan bapanya.

v. Persoalan perbezaan agama tidak akan memutuskan pertalian darah.
Contohnya walaupun Fuad seorang Islam namun dia tetap diterima oleh ibu dan bapa saudaranya yang tidak seagama dengannya.

vi. Persoalan sifat keibuan melebihi segala-galanya.
Contohnya sifat keibuan yang ada pada Mak Salmah menyebabkan dia tidak dapat menerima hakikat kematian Sofia. Selain itu Mariana tetap mengingati Abdul Halim atau Fuad yang hilang sejak kecil.

Plot

Secara keseluruhannya plot novel Melunas Rindu digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

i. Permulaan
Cerita bermula apabila Fuad tertanya-tanya siapa dirinya yang sebenar. Pelbagai pertanyaan timbul dalam usaha mencari identiti dirinya. Pada bahagian permulaan juga, penulis memperkenalkan beberapa watak yang mempunyai kaitan dalam hidup Fuad seperti Farhana, Pak Ismail dan Mak Salmah, Chin, Peter Lim dan Swee Lan serta Robert Lim. Peristiwa yang berlaku pada permulaan cerita pula kebanyakannya di Terengganu.

ii. Perkembangan
Cerita mula berkembang apabila Fuad mula ingin mengetahui status ibunya sama ada masih hidup atau sebaliknya. Dalam pencarian tersebut, satu persatu pertanyaan dalam diri Fuad terungkai. Antaranya ialah ayahnya iaitu Robert Lim pernah memeluk agama Islam untuk mengahwini ibunya Mariana. Fuad juga mendapat tahu bahawa nama sebenarnya adalah Abdul Halim bin Roslan.

iii. Konflik
Fuad menghadapi konflik apabila ayahnya memasukkan wang ke dalam akaunnya tetapi dalam masa yang sama dia tidak dapat memaafkan ayahnya. Konflik juga berlaku apabila Fuad mencintai adiknya sendiri iaitu Sofia dan Farhana. Namun cintanya terpaksa dikorbankan apabila mengetahui bahawa Sofia dan Farhana adalah adiknya. Selain Fuad, konflik juga dapat dilihat apabila Mak Salmah menyayangi Fuad tetapi dalam masa yang sama membencinya kerana menganggap Fuad merupakan punca Sofia meninggal dunia.

iv. Klimaks
Fuad mendapat tahu bahawa ibunya masih hidup. Selain itu, Pak Ismail dan Mak Mah pula didatangi Robert Lim bertujuan untuk memberi cincin ibu Fuad kepadanya. Fuad mendapat tahu bahawa ibu Farhana adalah ibunya juga. Kedatangan Robert Lim ke hospital tempat ibu Farhana dirawat mengesahkan lagi bahawa Mariana adalah ibu Fuad.

v. Peleraian
Di akhir cerita, Fuad menerima hakikat bahawa Farhana adalah adiknya. Pertemuan Fuad dengan ibu dan adiknya telah memberi kebahagiaan kepadanya. Akhir sekali, Fuad membawa ibunya, Pak Ismail dan Mak Salmah mengerjakan umrah.

Watak dan Perwatakan

Watak Utama

Joshua/ Abdul Halim/Fuad
 Dilahirkan sebagai seorang Islam dan dibesarkan dalam keluarga Cina dan kembali semula kepada ajaran Islam setelah berlaku tragedi dalam hidupnya.
 Nama sebenarnya Abdul Halim Bin Roslan Dia juga dikenali dengan nama Joshua ketika tinggal bersama Peter Lim dan Swee Lan.
 Anak saudara kepada Peter Lim dan Swee Lan Kemudian dia diberi nama Fuad dan menjadi anak angkat Pak Ismail dan Mak Salmah. Dia merupakan anak kepada En. Roslan (Robert Lim) dan Pn. Mariana.
 Dia berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari sebuah Universiti ternama di Amerika Syarikat.
 Dia menjadi guru sementara (sandaran) di Sekolah Menengah Seri Setia dan mengajar subjek Bahasa Inggeris.
 Fuad mempunyai adik tiri bernama Sofia dan Farhana
 Seorang yang taat kepada perintah agama. Contoh: Fuad tidak pernah meninggalkan solat dan sentiasa membaca al-Quran.
 Seorang yang bertanggungjawab Contoh: Sebagai seorang guru, dia bertanggungjawab memastikan anak muridnya dapat menguasai Bahasa Inggeris
 Seorang yang gigih Contoh: Fuad gigih berusaha mencari ibu kandungnya. Seorang yang suka membantu Contoh: Fuad membantu menanggung perbelanjaan perkahwinan Borhan.
 Dia seorang yang mengambil berat Contoh: Fuad mengambil berat tentang diri Farhana terutamanya apabila Farhana ditimpa masalah berkaitan kesihatan ibunya.

Watak Sampingan

Farhana
 Nama penuhnya ialah Farhana Binti Fakhrudin.
 Dia merupakan anak sulung dan mempunyai empat orang adik iaitu Muhammad Fikri, Muhammad Fadli, Muhammad Syukri dan Muhammad Faisal.
 Dia bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia.
 Dia juga memegang jawatan sebagai Ketua Panitia Bahasa Inggeris.
 Dia berkelulusan Pendidikan dari Universiti di United Kingdom.
 Dia seorang yang bertanggungjawab Contoh: Farhana sering pulang ke Kuantan apabila mengetahui ibunya sakit lelah.
 Dia seorang yang penyayang Contoh: Farhana amat menyayangi ibu dan adik-adiknya.
 Seorang yang tegas Contoh: Farhana sering menegur sikap Cikgu Zamani yang sering tidak masuk kelas.

Robert Lim
 Nama Islamnya ialah Roslan.
 Berkahwin dengan Mariana (ibu Fuad). Kemudian mendirikan rumah tangga dengan Susan.
 Merupakan seorang ahli perniagaan.

Pak Ismail
 Merupakan suami kepada Mak Salmah
 Membimbing Fuad menjalani cara hidup Islam yang sebenarnya.
 Taat kepada perintah agama. Contohnya Pak Ismail tidak pernah meninggalkan solat dan sering solat berjemaah di surau.
 Dia juga seorang yang bertanggungjawab. Contohnya Pak Ismail membimbing Fuad mendalami Islam sepenuhnya. Dia sering mengajar Fuad membaca al-Quran.
 Pak Ismail seorang yang penyayang. Buktinya dia menjaga isterinya ketika isterinya sakit.

Mak Salmah
 Merupakan isteri kepada Pak Ismail
 Mengambil Sofia sebagai anak angkat
 Seorang yang baik hati. Buktinya Mak Salmah menjaga Fuad dan Sofia seperti anaknya sendiri.

Mariana
 Merupakan isteri pertama kepada Roslan (Robert Lim)
 Ibu kepada Abdul Halim (Fuad) dan Farhana. Kemudian Mariana berkahwin dengan ayah Farhana iaitu Fakhrudin.
 Mariana terkena penyakit gila meroyan selepas melahirkan Abdul Halim.
Mempunyai penyakit lelah.
 Pergi menunaikan umrah bersama Fuad
 Bersifat penyayang. Buktinya walaupun sekian lama terpisah dengan Abdul Halim namun Mariana tetap mengingati dan menyayangi anaknya itu.
 Seorang yang mengambil berat. Buktinya dia meminta Farhana menjaga adik-adiknya ketika dia pergi menunaikan umrah.

Latar

Latar Masa
 Waktu petang apabila Fuad pulang dari hutan mencari kayu api.
 Waktu malam semasa jemaah surau menunaikan solat isyak.
 Waktu pagi semasa Fuad memandu ke sekolah. Hari cuti persekolahan. Fuad mengambil kesempatan pulang ke Sungai Ruan untuk menemui Peter Lim dan Swee Lan.
 Waktu senja semasa Fuad menikmati keindahan pantai Batu Buruk.

Latar Tempat
 Rumah Pak Ismail dan Mak Salmah iaitu di Danau Seberang, Terengganu. Fuad dan Sofia tinggal di rumah tersebut sebagai anak angkat kepada Pak Ismail dan Mak Salmah.
 Klinik Ihsan di Bandar Kuala Terengganu. Fuad menyewa kereta untuk membawa anak Borhan mendapatkan rawatan di klinik tersebut.
 Pantai Batu Buruk yang dijadikan tempat untuk Fuad melayan perasaannya sendiri sambil menikmati keindahan alam pada waktu petang.
 Sekolah Menengah Seri Setia tempat Fuad menjadi guru sandaran. Di sekolah ini, Fuad berkenalan rapat dengan Farhana.
 Sungai Ruan yang merupakan tempat tinggal Peter Lim dan Swee Lan sekeluarga. Fuad juga pernah tinggal bersama mereka yang dianggap sebagai anak sendiri.
 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Fuad membawa ibunya,Pak Ismail dan Mak Salmah untuk menaiki pesawat ke Makkah bagi menunaikan umrah.

Latar Masyarakat
 Masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam. Fuad dan Pak Ismail sering sembahyang berjemaah di surau berdekatan rumah mereka.
 Masyarakat yang terdiri daripada orang melayu. Misalnya nama panggilan penduduk di Danau Seberang seperti Fuad, Pak Ismail, Mak Salmah, Awang Sojar dan Borhan membuktikan mereka orang Melayu.
 Masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Farhana berbangsa Melayu manakala Chin pula berbangsa Cina.
 Masyarakat yang mempunyai pelbagai kerjaya. Farhana bekerja sebagai guru manakala Peter Lim pula bekerja sebagai pengawal keselamatan dan penoreh getah. Sementara itu Robert Lim pula menceburi bidang perniagaan.
 Masyarakat yang terdiri daripada warga pendidik. Fuad sendiri bekerja sebagai guru sandaran di Sekolah Menengah Seri Setia. Di sekolah tersebut, Fuad berkenalan rapat dengan Farhana di samping guru-guru lain seperti Cikgu Zamani, Cikgu Rosli, Cikgu Armin dan Cikgu Azli.

Teknik Plot / Teknik Penceritaan

i. Pemerian
Contoh : Suasana ruang legar balai berlepas di aras lima Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hangar binger dengan suara orang ramai yang menghantar sanak saudara atau handai taulan mengerjakan umrah di Makkah. Kanak-kanak berlari ke sana ke mari. Kadang kala terlanggar beg-beg yang telah siap diikat untuk disorong ke ruang bagasi.

ii. Dialog Contoh: - “ Betul, Pak Mail.” - “Oh…..cikgu!” - “ Kau dah makan, Fuad?” “Dah,” balasnya. “ Sembahyang?” “Kalau gitu, mari duduk sini kejap.”

iii. Imbas Kembali Contoh: Mak Salmah sering teringatkan Sofia yang telah meninggal dunia. Fuad masih teringat suatu masa dulu Mak Salmah pernah membencinya kerana kehilangan Sofia. Peter Lim dan Swee Lan menceritakan kembali tentang Fuad dilarikan orang semasa kecil. Pak Ngah Lias dan Shamsuddin menceritakan kembali tentang ibu Fuad semasa hayatnya.
Teknik Penceritaan

iv. Imbas Muka Contoh: Fuad berangan Sofia masih hidup dan dia menghantar adiknya ke universiti untuk meneruskan pengajian.

v. Suspens Contoh: Fuad tertanya-tanya sama ada ibu Farhana itu ialah ibunya juga.

vi. Monolog dalaman Monolog dalaman digunakan untuk menggambarkan perasaan watak melalui pengucapan. Dalam novel ini, Fuad mengucapkan terima kasih kepada bapanya. Contoh : “Terima kasihlah apak” bisik hati kecilnya sambil menarik selimut.

Gaya Bahasa

i. Penggunaan bahasa asing Contoh: Bahasa Inggeris - optionist, grammar, problem, uncle Bahasa Arab – Allah, alhamdulillah, al-Quran, assalamualaikum i
i. Sinkope Contoh: tu, tak, kau
iii. Simile Contoh:- ibarat menongkah arus seperti ada sesuatu yang menyekat kerongkongnya. Seperti menghalang kemesraan. Ibarat layang-layang terputus tali, di mana tersadai, di situlah dia menumpang kasih. Seperti lupa diri Ibarat sehelai kain putih yang masih dapat dicorakkan atau seorang bayi yang masih boleh dibentuk.
iv. Hiperbola Contoh: - Hatinya masih mahu berpelangi Hanyut dalam ilusi Berapi-api kemarahannya diletuskan
v. Inversi Contoh: - Amat tersentuh perasaannya mendengar ungkapan sebegitu.
vi. Kata ganda Contoh: cepat-cepat, kawan-kawan
vii. Metafora Contoh: - Lurah sepi Benteng resahnya
viii. Personifikasi Contoh: - Bayu basah Disember itu menampar pipinya Melemparkan sejuring senyuman Kehangatan sudah mula menggigit
ix. Peribahasa Contoh: Terang hati, lurus bendul, berat tulang, khabar angina, ibarat nila setitik rosak susu sebelanga.

Nilai

i. Nilai kerajinan Buktinya Fuad merupakan seorang guru yang rajin dalam menjalankan tugasnya sebagai
guru.
ii. Nilai ketabahan Buktinya Fuad tabah menghadapi dugaan sepanjang pencarian ibu kandungnya.
iii. Nilai ketegasan Buktinya Farhana bersikap tegas ketika menegur Cikgu Zamani kerana tidak masuk kelas.
iv. Nilai kasih sayang Buktinya Mariana sering mengingati dan menyayangi Fuad walaupun telah lama berpisah.
v. Nilai bertanggungjawab Buktinya Mak Salmah sentiasa menjaga minum suaminya dan Fuad.
vi. Nilai keikhlasan Buktinya Fuad membantu membawa anak Borhan ke klinik walaupun sudah lewat malam. vii. Nilai bekerjasama Buktinya Farhana dan Fuad sentiasa bekerjasama untuk meningkatkan pencapaian anak . didik mereka dalam bahasa Inggeris.
viii. Nilai rasional Buktinya Fuad masih lagi dapat berfiki secara rasional setelah mendapat tahu bahawa wanita yang dicintainya ialah adik kandungnya sendiri.
Nilai

Pengajaran

i. Kita perlulah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan agar dapat berbakti kepada masyarakat.
ii. Kita haruslah tabah menghadapi ranjau kehidupan demi kesenangan pada masa hadapan.
iii. Kita mestilah reda dengan ketentuan Ilahi agar hidup kita lebih diberkati.
iv. Kita hendaklah saling membantu dalam hidup bermasyarakat agar sesuatu kerja menjadi mudah.
v. Kita mestilah saling menyayangi antara satu sama lain demi mewujudkan keharmonian dalam keluarga.
vi. Kita mestilah mengerjakan suruhan Allah demi kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.
vii. Kita hendaklah mengamalkan semangat kerjasama agar sesuatu masalah dapat diselesaikan dengan baik.