Saturday, March 5, 2011

Puisi Tradisional (Gurindam Tonggak Dua Belas) Tingkatan 5

Maksud
Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.

Masa yang ada hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya dan jangan membazirkan masa.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Kejayaan akan dikecapi jika kita berusaha dengan tekun dan gigih.


Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Apabila kita seronok bekerja, hidup kita akan lebih gembira.



Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Kesederhanaan dituntut dalam kehidupan dan semua tindakan perlu dilakukan dengan bijaksana.


Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Peribadi unggul dan kejujuran hati.perlu diterapkan dalam kehidupan .


Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.

Sifat baik hati, bertimbang rasa dan bersimpati jadikan amalan.


Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Pemimpin yang baik menjadi ikutan.



Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Tanggungjawab yang diamanahkan perlu dilaksanakan dengan sempurna.


Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Pembaziran perlu dielakkan dalam melaksanakan sesuatu kerja.


Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Kesabaran dan ketenangan fikiran perlu dalam menghadapi sebarang situasi.


Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Kebolehan diri yang ada perlu ditonjolkan sebagai motivasi.


Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.

Pemikiran kreatif dapat menjana idea yang lebih inovatif.



Tema
Nilai-nilai murni dalam kehidupan

Gurindam ini menekankan penghayatan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang.

Persoalan
1. Persoalan menghargai masa penting dalam kehidupan ( rangkap 1)
2. Persoalan tekun berusaha membawa kejayaan ( rangkap 2)
3. Persoalan kepimpinan melalui teladan (rangkap 7)
4. Persoalan berfikiran tenang dalam membuat keputusan (rangkap 10)
5. Persoalan berfikiran kreatif dan inovatif (rangkap 12)

Bentuk
1. Mempunyai 12 rangkap.
2. Setiap rangkap mengandungi 2 baris
Contohnya : Hendak pandai menghargai masa
Jangan dinanti esok lusa
3. Mengandungi 4 patah perkataan dalam satu baris
Contohnya Nikmat mencipta budaya kreatif:
4. Suku kata antara 9 hingga 14 suku kata
Contohnya ; Ja/ngan di/nan/ti e/sok lu/sa – 9 sukukata sebaris
Hi/dup da/lam ke/mu/lia/an ke/se/der/ha/na/an – 14 sukukata sebaris
5. Rima akhir aa
Contohnya : Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif


Gaya Bahasa
1. Simpulan bahasa – baik hati (rangkap 6 baris 1)
2. Unsur Bunyi
Asonansi – pengulangan vokal a
Kekuatan sifat baik hati ( rangkap 6 baris 1)
Nikmat mencipta budaya kreatif (rangkap 12 baris 1)

3. Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan n
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan (rangkap 4 baris 2)


Nilai
1. Nilai kegigihan, Contohnya kegigihan apabila bekerja.
2. Nilai kebijaksanaan, Contohnya kebijaksanaan dalam melaksanakan tanggungjawab.
3. Nilai kesederhanaan, Contohnya kesederhanaan dalam kehidupan.:
4. Nilai kesabaran, Contohnya kesabaran menghadapi cabaran.

Pengajaran
1. Kita hendaklah bertindak secara bijaksana
2. Kita hendaklah menghargai masa
3. Kita haruslah menunjukkan teladan yang baik
4. Kita janganlah suka membazir.
5. Kita hendaklah tekun berusaha untuk mencapai kejayaan



Latihan
1. Nyatakan bentuk gurindam di atas.
2. Huraikan tema gurindam tersebut.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment