Kebelakangan ini pelbagai gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah telah dilaporkan dan kerjasama semua pihak sangat diperlukan bagi mengatasi masalah ini. Bincangkan.
Gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah merujuk kelakuan tidak sopan, tidak baik, bertentangan dengan budaya tempatan dan menjatuhkan imej pelajar. Antara kelakuan negatif itu melibatkan ponteng sekolah, bergaduh dan menyertai kumpulan samseng. Media massa telah menggunakan gejala ini sebagai salah satu bahan berita utama mereka sehingga pelbagai pihak terutama masyarakat umum memberikan pandangan mereka tentang perkara ini. Persoalannya, mengapakah gejala ini sebenarnya dan apakah cara-cara untuk mengatasinya?
Gejala ponteng sekolah bukan sahaja menular di kawasan bandar tetapi meliputi juga pelajar luar bandar. Mereka sanggup menghabiskan masa dan wang dengan melepak di sesuatu tempat tanpa memberitahu keluarga mereka. Biasanya, pelajar sebegini akan berpura-pura pergi ke sekolah tetapi melencong kemudiannya. Pakaian sekolah akan ditukar dengan pakaian biasa ketika mereka melakukan gejala yang memalukan ini. Tindakan bijak mereka ini mampu mengaburi mata ibu bapa untuk mengesan kelakuan tidak baik mereka itu.
Selain itu, vandalisme yakni sikap suka memusnahkan sesuatu juga menjadi satu masalah yang besar dalam kehidupan pelajar kini. Pelajar suka merosakkan kemudahan-kemudahan awam sekolah seperti meja tulis, papan kenyataan dan juga kemudahan tandas. Tindakan ini telah menyusahkan pihak sekolah kerana kos untuk menggantikan semua kemudahan ini agak mahal juga. Pada masa yang sama, kemusnahan kemudahan awam ini turut menyusahkan pelajar lain untuk menggunakannya pula.
Dalam usaha menangani masalah ini, pihak ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dengan mendisiplinkan anak mereka. Sikap memahami dan mengesan sebarang perubahan tingkah laku dalam jiwa anak mereka amat penting supaya ibu bapa boleh memberi nasihat serta teguran yang membina. Hubungan yang erat antara ibu bapa dengan pihak sekolah juga penting supaya semua masalah anak mereka di sekolah dapat dipantau dengan lebih efektif lagi.
Manakala, pihak masyarakat pula boleh menghulurkan bantuan dengan membuat laporan sebarang aktiviti yang mencurigakan daripada pelajar sekolah ini. Masyarakat boleh memerhatikan pelajar yang bermasalah ini dengan membuat laporan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Keprihatinan masyarakat ini turut memberi amaran kepada pelajar agar lebih berhati-hati jika mahu melakukan sesuatu tindakan buruk kerana tingkah laku mereka sedang diperhatikan oleh pihak masyarakat juga.
Kesimpulannya, gejala antisosial dalam kalangan pelajar sekolah memang semakin serius dan perlu ditangani segera. Kerjasama semua pihak terutama ibu bapa diperlukan agar masalah ini dapat dihapuskan dengan sebaik mungkin. Kegagalan untuk menghulurkan kerjasama ini pasti menyaksikan pelajare kita terus mengalami masalah sosial yang memalukan pula.
No comments:
Post a Comment