Friday, December 31, 2010

Selamat Tahun Baru 2011

Tahun baru tugasan baru...hrmmm, saya ditugaskan mengajar subjek Bahasa Melayu bagi kelas 5S, 5B, 3B dan 3A.Nampaknya kelas peperiksaan lagi.Kali ini cukup unik bagi diriku untuk memikul tanggungjawab yang berat dengan misi tersendiri membantu para pelajar baharu saya iaitu para pelajar tingkatan lima pula dengan sukatan baharu KOMSAS,saya cukup tertarikh membaca novel tingkatan 4 dan tingkatan 5.Sepanjang saya bercuti di Makassar (10/12/10-24/12/10)dalam tempoh 4 hari saya boleh habis membaca dua buah novel tersebut.Cuti-cuti juga namun buku tetap ada...haha,lucu juga kan seolah-olah saya yang menduduki peperiksaan SPM 2011.

Sekarang Cikgu Juliah Haji Matnoor bersedia dengan cabaran baharu dengan tugasan yang telah ditetapkan oleh pihak pentadbir. Minda perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku tanpa keluh kesah. Maka lakukanlah tugasan itu sebagai tanggungjawab kita sebagi seorang guru yang menghargai setiap kebolehan pelajar yang pelbagai dengan latar belakangan yang berbeda. Banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada rakan sejawat saya dan pihak pentadbir kerana saya baharu belajar,andai saya teralpa tegurlah saya dan bantulah saya. Seseungguhnya kita saling perlu-memerlukan antara satu sama lain dalam membentuk perwatakan anak didik kita di Maktab Sabah untuk mereka mencapai kejayaan.

3 Januari 2011 bermulalah langkah pertama memburu kejayaan bagi para pelajar Maktab Sabah. Oleh itu, lakukanlah dari awal supaya para pelajar tidak menyesal dikemudian hari. Apa-apa yang pasti keyakinan dalam diri perlu ada tanpa berbangga dengan kebolehan yang anda perolehi justeru anda perlu berkongsi ilmu dengan rakan sebaya anda untuk mencipta kejayaan kelak.

Selamat kembali ke sekolah kepada para pelajar Maktab Sabah dan selamat bertugas kepada rakan sejawat saya.

Monday, December 27, 2010

Tahniah kepada calon PMR 2010

Tahniah kepada para pelajar Maktab Sabah yang berjaya mencatat keputusan seratus peratus dalam subjek Bahasa Melayu PMR 2010...Selamat kembali ke sekolah... Perjuangan anda belum selesai...

Saturday, October 2, 2010

PMR 2010..

Salam kepada para pelajar,

saya mendoakan para pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR beroleh kejayaan cemerlang.. Yakinlah pada diri pelajar pasti boleh menjawab dalam keadaan tenang.

Selamat menjawab peperiksaan anda....

Monday, August 30, 2010

Perenggan Penutup.

Perenggan penutup .

• Sesebuah karangan dianggap tidak lengkap jika tiada penutup atau kesimpulan.
• Penutup merupakan kesimpulan terhadap pendapat yang telah dikemukakan.
• Pelajar perlu berhati-hati apabila menulis perenggan penutup kerana sikap dan pandangan pelajar terhadap tajuk dapat dibayangkan.
• Penutup karangan mesti mempunyai kesimpulan yang lembut tetapi berkesan.
• Pelajar diingatkan supaya tidak mengulangi isi yang telah dikemukakan untuk bahagian penutup ini.

Pengenalan perenggan isi

Pengenalan perenggan isi

Bahagian isi atau badan karangan terdiri daripada beberapa perenggan atau paragraf. Setiap paragraf mempunyai fungsi tersendiri tentang tajuk atau tugasan soalan.

• Perenggan merupakan satu kumpulan kalimat yang disusun secara logis dan sistematik.

• Setiap paragraf mengandungi makna, pesan, fikiran ataupun satu persoalan pokok dan selaras dengan persoalan pokok yang dibawa oleh keseluruhan karangan berkenaan.

• Sesuatu paragraf dihasilkan daripada sejumlah ayat yang berkaitan antara satu sama lain.

• Paragraf juga merupakan satu kesatuan pemikiran sama ada untuk menggambarkan pengalaman,
pendapat, pandangan serta imaginasi.
Secara umumnya, perenggan isi terbahagi kepada 3 bentuk. Walaubagaimanapun, untuk penulisan karangan pelajar tingkatan empat dan lima, penulisan karangan biasanya menggunakan perenggan 4 unsur.
a. Perenggan Deduktif
b. Perenggan Induktif
c. Perenggan Gabungan/perenggan 4 unsur.


Ciri-ciri perenggan 4 unsur.

Setiap paragraf hendaklah mengandungi 4 unsur ;
a. Ayat topik/isi utama.
• Mesti menjawab tugasan yang diberikan dalam soalan.
• Gunakan ayat yang mudah.


b. Huraian (ayat huraian)
• Pengembangan isi berdasarkan isi utama.
• Boleh merangkumi aspek persoalan bagaimana dan mengapa. • Menggunakan penanda
wacana yang sesuai.
• Gunakan kosa kata, ungkapan atau frasa menarik.


c. Contoh (ayat contoh)
• Bukti penyokong kepada isi utama dalam bentuk data statistik, pendapat orang yang sangat
dikenali ramai dan dihormati, dan penemuan atau kajian sains.


d. Kesimpulan (ayat penegas)
• Penutup kepada perenggan dan menegaskan

Contoh Perenggan 4 Unsur

Contoh 1

Skop soalan : Punca kesesakan jalan raya

Punca selanjutnya yang menyebabkan berlakunya kesesakan jalan raya ialah disebabkan oleh sikap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.(AU/AT) Kebanyakan mereka terutamanya pemandu kenderaan memandu kenderaan mereka dengan mengikut hati sendiri tanpa mematuhi undang-undang jalan raya dan menghormati hak pengguna jalan raya yang lain. Pengguna jalan raya seperti ini menganggap jalan raya hak mereka sendiri. Tindakan yang dilakukan oleh mereka ini telah mengundang berlakunya kesesakan di jalan-jalan raya.(AH) Keadaan ini menyebabkan mereka melakukan pelbagai kesalahan jalan raya seperti memotong barisan kenderaan, melanggar lampu isyarat merah, memotong di garisan berkembar, dan berhenti di petak kuning.(AC) Hal ini jelas menunjukkan bahawa sikap pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab mengundang berlakunya kesesakan di jalan raya.(AP)

Rujukan (sila rujuk perkataan singkatan):
AU/AT : Ayat utama/ayat topik
AH :Ayat Huraian
AC :Ayat contoh
AP :Ayat penegas

PANDUAN MENULIS PENDAHULUAN KARANGAN

PENDAHULUAN

PEMERENGGANAN KARANGAN BAHASA MELAYU Ciri-ciri pendahuluan karangan
• Pendahuluan karangan seboleh-bolehnya menggambarkan tajuk perbincangan dan keseluruhan isi yang hendak dibincangkan dalam perenggan isi karangan.

• Pembaca akan membuat kesimpulan awal tentang apa-apa yang ditulis setelah membaca pendahuluan. Sehubungan dengan itu, anda sekurang-kurangnya mesti berupaya untuk mengetahui dan menulis beberapa jenis perenggan pendahuluan.

Jenis-jenis pendahuluan :-
(i) pendahuluan jenis definisi
(ii) pendahuluan jenis pendapat
(iii) pendahuluan jenis suasana
(iv) pendahuluan jenis persoalan
(v) pendahuluan jenis peribahasa



PENDAHULUAN JENIS DEFINISI •
memberikan takrif • makna • definisi

Contoh :

Jenayah ditakrifkan sebagai perbuatan yang melanggar undang-undang atau peraturan. Jenayah bukan sahaja membabitkan orang dewasa malahan golongan remaja juga. Menurut kajian polis, jumlah kes jenayah telah bertambah daripada 40 021 kes pada tahun 1997 kepada 43 210 kes pada tahun 1998 Di samping itu, kesalahan yang dilakukan juga semakin serius dari semasa ke semasa.


PENDAHULUAN JENIS PENDAPAT -
menyatakan pendapat seseorang tokoh

Contoh :

Menurut Mantan Perdana Menteri, Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad, pencemaran alam sekitar berpunca daripada kegiatan pembangunan. Walau bagaimanapun pembangunan tidak boleh dihentikan sama sekali. Apa yang perlu adalah dengan mengurangkan pencemaran tetapi pada masa yang sama meneruskan pembangunan.


PENDAHULUAN JENIS SUASANA -
menggambarkan sesuatu melalui suasana yang sesuai.

Contoh :

Bas yang berhawa dingin terus berlalu menyusur jalan yang bengkang-bengkok dengan perlahan sekali. Rasa mual dan mengantuk hilang apabila kami dihiburkan oleh abang-abang yang memandu kami . sepanjang perjalanan ke puncak Bukit Fraser , sepasang anak mataku sempat mengintai hutan rimba yang akan kami lalui nanti.

PENDAHULUAN JENIS PERSOALAN -
mengemukakan beberapa ayat tanya yang berkaitan dengan tajuk

Contoh:

Setiap orang memerlukan kecemerlangan untuk menjamin kejayaan bagi diri mereka. Apakah yang dikatakan kecemerlangan ? Apakah dengan kecemerlangan boleh membuatkan seseorang itu berjaya ? Apakah dengan berdiam diri sahaja tanpa sebarang usaha seseorang itu boleh mencapai kecemerlangan ? Soalnya , apakah faktor-faktor yang mempengaruhi kecemerlangan ?


PENDAHULUAN JENIS PERIBAHASA -
memasukkan satu atau lebih peribahasa Melayu yang sesuai.

Contoh:

Peribahasa Melayu ” ringan sama dijinjing, berat sama dipikul” dan “seperti aur dengan tebing” amat sesuai ke arah mewujudkan masyarakat penyayang yang anggota-anggotanya mengamalkan sifat-sifat yang mengambarkan wujudnya hubungan kasih sayang dalam sesebuah komuniti.

ANALISIS SOALAN 1 : MERUMUSKAN KARANGAN KERTAS 2 BAHASA MELAYU SPM (NOV 2001-JUN 2010)

SPM SKOP SOALAN KATA YANG SESUAI UNTUK PENDAHULUAN

NOV 2001 Tanggungjawab penulis peranan/ sumbangan/ tugas

JUN 2002 Peranan Industri Kecil dan Sederhana dalam pembangunan ekonomi negara
sumbangan/ kepentingan/ fungsi/ tugas


NOV 2002 Langkah-langkah untuk meningkatkan penggunaan teknologi maklumat dalam
kalangan kakitangan kerajaan
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/ pendekatan/ teknik-teknik/
strategi/tindakan


JUN 2003 Langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran moral masyarakat.
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/ pendekatan/ strategi/tindakan


NOV 2003 Kepentingan pelabelan makanan faedah/ manfaat/ kelebihan/ kebaikan


JUN 2004 Masalah yang dihadapi oleh sektor perubatan awam di Malaysia.
kekangan/ kesulitan/ kerumitan/ hambatan


NOV 2004 Faedah penubuhan badan khas bagi membantu pesakit kronik dan sebab-sebab
penubuhannya.
manfaat/ kebaikan/ kelebihan/ kepentingan

JUN 2005 Cara-cara mengurus tekanan dan kepentingan pengurusan tekanan kepada
individu
langkah-langkah/ kaedah-kaedah/ usaha-usaha/ pendekatan/ strategi


NOV 2005 Faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan
manfaat/kepentingan/ kelebihan/kebaikan


JUN 2006 Kelebihan kerja berpasukan dan cara-cara pemimpin membentuk kerja
berpasukan.
faedah/ manfaat/kepentingan/ kebaikan/ keberkesanan


NOV 2006 Cara-cara melahirkan masyarakat berbudi bahasa dan kesan terhakisnya amalan
berbudi bahasa dalam masyarakat
langkah-langkah/ kaedah-kaedah/ usaha-usaha/ pendekatan/ strategi

JUN 2007 Kepentingan terumbu karang di Malaysia dan kaedah pemuliharaannya
faedah-faedah/manfaat/kelebihan/kebaikan


NOV 2007 Tindakan mengatasi masalah disiplin murid di sekolah dan kesan masalah itu
kepada negara.
usaha-usaha/ cara-cara/ kaedah-kaedah/langkah-langkah/ pendekatan/
teknik-teknik/ strategi


JUN 2008 Faedah membaca dan cara-cara menggalakkan budaya membaca dalam kalangan
masyarakat.
manfaat/ kepentingan/ kebaikan/ kelebihan


NOV 2008 Faedah-faedah penerokaan angkasa lepas dan cara-cara untuk menarik minat
masyarakat terhadap bidang penerokaan angkasa lepas
manfaat/ kepentingan/ kebaikan/kelebihan


JUN 2009 Punca-punca keracunan makanan dan kesan-kesan keracunan makanan..
faktor-faktor /sebab-sebab


NOV 2009 Kepentingan tidur dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah
sukar tidur
faedah/ manfaat/ kelebihan/ kebaikan


JUN 2010 Kesan pemanasan global dan sebab-sebab masyarakat kurang mengambil berat
terhadap fenomena ini
implikasi/impak/akibat/keburukan/natijah

KERANAMU MALAYSIA - Unit 4 Buku Teks Tingkatan 4

Antara isu yang boleh dijadikan topik perbincangan dalam kelas atau tajuk karangan berdasarkan buku teks Bahasa Melayu Tingkatan 4(DBP) adalah:

• Penghayatan Terhadap Lagu-Lagu Patriotik Malaysia
• Nilai-Nilai Murni Masyarakat Malaysia
• Malaysia Boleh/Cemerlang,Gemilang,Terbilang/ 1 Malaysia
• Cara Hidup Rakyat Malaysia
• Peranan Rakyat Dalam Membangunkan Negara Semula Akibat Kegawatan Ekonomi.
• Kemajuan Negara Alaf Ini
• Kebanggaan Menjadi Rakyat Malaysia
• Pembangunan Kebendaan Dan Pembangunan Nilai Murni / Nilai Budaya Bangsa Perlu Seiring
• Tunjuk Ajar Generasi Tua Kepada Generasi Muda
• Kemajuan Dan Pembangunan Malaysia Sejak Merdeka

Tuesday, August 3, 2010

2 Ogos 2010

Salam, 2 Ogos 2010 bersamaan hari isnin ketika itu saya berada di Anjung Budaya Labuan bersama-sama para pelajar dalam satu sessi perkongsian ilmu. Terima kasih kepada para pelajar yang turut serta dalam program tersebut. Semoga para pelajar dapat manfaatnya dan cemerlang dalam peperiksaan akan datang. kita hanya merancang dan Tuhan jua yang menentukan segala-galanya.

salam sukses kepada para pelajar... kalau tidak dipecahkan ruyung manakan tidak dapat sagunya...

Friday, July 30, 2010

Perkongsian Ilmu di SMK Tamparuli,Tamparuli Sabah.

Hari ini saya bersama-sama para pelajar di SMK Tamparuli sessi perkongsiaan ilmu. Satu memori indah terpahat di dalam minda saya dengan kesungguhan para pelajarnya yang cakna dengan bengkel yang berlangsung selama dua jam. Saya mendoakan agar para pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam akan datang. Anda adalah juara,gunakan potensi dalam diri anda sebaik mungkin.

Wednesday, July 14, 2010

Salam



Sudah sekian lama saya tidak mengemaskinikan blog saya yang tak seberapa ini...Disebabkan faktor kesihatan dan kekangan waktu yang terbatas membuatkan saya teralpa dengan blog saya. Namun apa-apa yang ingin dikongsikan kepada pembaca masih belum saya ketahui lagi... Entahlah kenapa ini yang berlaku ke atas diri saya... Biarlah semua ini ketentuanNya,saya reda dengan apa-apa yang berlaku pada masa kini dan akan datang...

Saturday, May 15, 2010

16 Mei merupakan Hari Guru SeMalaysia

16 Mei merupakan tarikh keramat kepada golongan pendidik Satu Malaysia. Saban tahun Hari Guru diraikan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia bagi mengenang jasa-jasa para guru yang telah menyumbang bakti dan tanggungjawab mereka kepada negara untuk membentuk anak-anak didik mereka menjadi modal insan yang sangat berguna kepada keluarga,masyarakat,bangsa dan negara.Persoalannya,adakah anak-anak didik kita mengingati tarikh bersejarah itu? Bagaimanakah cara mereka melahirkan rasa bersyukur kepada guru-guru mereka yang telah mendidik mereka selama ini? Dalam hal ini, pelbagai cara boleh dilakukan oleh para pelajar untuk membalas jasa kepada guru-guru mereka.Tepuk dada tanya selera.

Sehubungan dengan itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada guru-guru saya yang selama ini mendidik saya dengan penuh dedikasi dan kasih sayang seorang guru terhadap anak didiknya tanpa mengenal erti jemu. Sesungguhnya teguran dan marah guru-guru kita itu membentuk kita menjadi insan yang berguna. Guru ibarat sebatang lilin yang menerangi orang lain tanpa menghiraukan akan dirinya sendiri demi kejayaan seseorang. Semoga Allah sahaja yang membalas segala jasa baik guru-guru saya selama ini.

Selamat Hari Guru dan maafkan saya cikgu seandainya suatu ketika dahulu saya menjadi anak didik cikgu yang telah banyak menyakiti hati cikgu tanpa saya sedari. Ampuni saya cikgu. Antara nama guru-guru saya yang saya ingat ialah,Cikgu Aminah Haji Osman(da meninggal dunia), Cikgu siti Rahmah Abdul Rahman, Ustaz Rukmana, Ustaz Ramlan, Cikgu Mohamad Hassan(guru Sejarah saya), Cikgu Patrik Lim (guru Geografi saya), Cikgu Ganssean (cikgu BI saya), Cikgu Matnor (guru BM saya), cikgu Abu Hassan (guru Matematik saya) dan banyak lagi nama-nama cikgu yang tidak dapat saya nyatakan di sini kerana saya lupa mencatat nama-nama guru yang telah mendidik saya suatu ketika dahulu. Mereka merupakan guru-guru saya sewaktu di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Selamat Hari Guru kepada rakan-rakan seperjuangan saya. Perjuangan kita belum selesai.....

p/s maaf ya terlebih awal 'publish post' ini. Hehehe

Monday, May 10, 2010

Simpulan Bahasa

Definisi atau Maksud Simpulan Bahasa
Simpulan Bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada maksud asal perkataan-perkataan yang digunakan. Penggunaan simpulan bahasa dalam karangan atau esei akan menjadikan sesuatu hasil tulisan yang dibuat itu menjadi lebih menarik. Hari ini kita akan mempelajari istilah-istilah simpulan bahasa yang bermula dengan huruf A:

Abu Dajal: Orang jahat yang suka mengganggu orang lain.

Abu Jahal: Orang yang suka membuat kacau dan mengganggu sesuatu kerja baik.

Abu Nawas: Orang yang pandai mencari helah dengan akalnya untuk melepaskan diri daripada sebarang bencana.

Ada angin: Keadaan atau kelakuan seseorang yang tidak menentu, kadangkala baik, kadangkala marah.

Ada bakat: mempunyai kebolehan.

Ada buah: Mempunyai sebab atau tujuan tertentu.

Ada hati: Ada kemahuan atau keinginan kepada seseorang.

Air api: Asid. Sejenis cecair menghakis dan berbahaya.

Air mati: Air yang sudah dimasak, atau air yang tidak pasang dan tidak surut.

Air muka: Wajah seseorang.

Ajak-ajak ayam: Mempelawa secara tidak bersungguh-sungguh.

Akal kancil: Pintar atau bijak melepaskan diri.

Alas cakap: (a) penjelasan yang dibuat bagi menguatkan sesuatu kenyataan. (b) percakapan yang tertib.

Alas perut: makan sedikit supaya tidak lapar.

Alim kucing: orang jahat yang berpura-pura berkelakuan baik.

Ambil alih: Mengambil tugas atau kuasa daripada orang lain.

Ambil berat: Mengambil tahu atau mempedulikan.

Anak tekak: Anak yang bertanggungjawab mencari nafkah untuk ibu bapanya.

Ambil angin: Berjalan-jalan untuk melapangkan fikiran atau menghilangkan tekanan mental.

Ambil ringan: Tidak memberi perhatian.

Anak air: Sungai kecil.

Anak angkat: Anak orang lain yang dipelihara sebagai anak sendiri.

Anak buah: Orang-orang yang mempunyai pertalian darah dengan seseorang atau orang yang di bawah jagaannya.

Anak emas: Seseorang yang menjadi kesayangan.

Anak kandung: Anak sendiri.

Ambil hati: Membuat sesuatu supaya dirinya disukai.

Anak kapal: Kelasi atau pekerja di dalam sesebuah kapal.

Anak manja: Anak yang dimanjakan oleh ibu dan bapanya.

Anak mata: Bulatan kecil di bahagian tengah mata.

Anak tangga: Tingkat-tingkat yang terdapat pada tangga.

Anak telinga: Anak yang tinggal jauh dari tempat ibu bapanya, sekadar mendengar beritanya sahaja.

Anak tiri: Anak kepada isteri atau suami seseorang daripada perkahwinannya yang sebelumnya.

Anak tunggal: Satu-satunya anak dalam satu-satu keluarga.

Anak yatim: Anak yang kematian bapanya.

Angkat bakul: Memuji-muji diri sendiri.

Angkat diri: Sombong serta suka memuji diri.

Angkat kaki: Lari meninggalkan sesuatu tempat.

Angkat mata: Berani menentang atau melawan.

Angkat muka: Mendapat peluang untuk memberikan pendapat atau idea.

Angkat punggung: Meninggalkan tempat duduk.

Anjing hitam: Orang jahat yang sentiasa menunjuk-nunjukkan keburukannya kepada orang ramai.

Atas angin: Negara-negara di sebelah barat.

Atas pagar: Tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Ayam tambatan: Seseorang pemain handalan yang menjadi harapan kepada pasukannya untuk meraih kemenangan dalam pertandingan.

Ada jalan: Mempunyai Cara

Ada perangai: Ada tingkah laku yang kurang baik.

Ada riak: Ada tanda-tanda akan jadi sesuatu.

Ada sengat/ada Taring: Mempunyai pengaruh atau ada kuasa

Adu domba: Suka melaga-lagakan orang lain supaya berpecah belah.

Adu kening: Diperhendapkan atau diketemukan.

Air bujang: Hidangan minuman sahaja tanpa kuih

Air emas: Sesuatu yang diingati selama-lamanya

Air mati: Air kosong yang sudah dimasak

Anak gahara: Anak raja daripada pemaisuri.

Akhir Zaman: Hari hampir Kiamat.

Sunday, May 9, 2010

G. PENANDA WACANA UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

• Intihanya,

• Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas

• Konklusinya,

• Dengan ini diharapkan

• Bukan itu sahaja

• Mudah-mudahan perkara ini

• Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa

• Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …

• Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

F. PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN CONTOH

• Sebagai contohnya
• Biar kita lihat
• Biar kita ambil contoh
• Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
• Sebagai analoginya,
• Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

E. PENANDA WACANA UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

• Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak
• Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan
• Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian …..Pada tahun .....menunjukkan bahawa sebanyak …………

D. PENANDA WACANA UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

• Bagi sesetengah orang …
• Begitu juga dengan …
• Begitu juga halnya dengan …
• Bertitik tolak daripada itu …
• Bukan itu sahaja …
• Dalam hal ini …
• Dalam konteks ini ..
• Dalam zaman yang serba canggih ini …
• Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
• Dengan adanya …
• Dengan berbuat demikian …
• Dengan perkataan lain ..
• Disebabkan hal itu...
• Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
• Hal ini berlaku disebabkan...
• Hal ini penting dalam...
• Hal ini serupa dengan...
• Hal yang serupa berlaku apabila...
• Hal ini disebabkan...
• Hal ini membuktikan bahawa...
• Hal ini menggambarkan bahawa...
• Hal ini secara tidak langsung akan...
• Hal ini semua meninggalkan kesan kerana...
• Hal ini tentu sekali membuatkan...
• Jadi kita perlu
• Jadi kita hendaklah
• Keadaan ini tentunya
• Lantaran itu sehingga kini
• Kesemua ini menyumbang kepada
• Kita mengakui hakikat bahawa
• Kita sering menonton di kaca televisyen
• Kita sering membaca di dada-dada akhbar
• Memandangkan keadaan yang sedemikian
• Namun sejak kebelakangan ini
• Oleh itu, bolehlah dikatakan
• Secara logiknya masa yang
• Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita
• Keadaan ini seharusnya boleh
• Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini
• Kendatipun demikian, kita masih
• Yang paling nyata ialah
• Yang perlu kita pastikan ialah

C. PENANDA WACANA UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

• Kita dapat menyaksikan betapa…

• Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…

• Lazimnya, dalam keadaan …

• Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …

• Pada hemat saya …

• Pada pandangan saya …

• Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …

• Sebagaimana yang kita ketahui

• Sebagaimana yang kita maklumi

• Sejak awal lagi

• Sejak kebelakangan ini

• Selain itu, pada masa ini juga

• Seperti yang telah dinyatakan

• Umum mengetahui bahawa

• Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

B. PENANDA WACANA UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

• Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

• Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

• Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.

• Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….

• Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

A. PENANDA WACANA UNTUK MEMULAKAN AYAT PENDAHULUAN KARANGAN

• Sedasarwasa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …

• Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….

• Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.

• Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronal yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.

• Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …

• Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

Saturday, May 8, 2010

Ibu, ibu engakulah ratu hatiku...Cikgu engkaulah idolaku

Ibu, ibu...engkaulah ratu hatiku,bila kuberduka engkaulah tempat kumengadu.. ibu..ibu..engakulah ratu hatiku.. Allahuakbar, betapa besarnya pengorbanan ibu kepada anak-anaknya selama ini sejak dalam kandungan hinggalah anak-anak itu membesar dan mempunyai kehidupan sendiri. Ibu, sukar bagiku meluahkan perasaan dan kasih sayangku sebagai seorang anak kepada ibu selama ini.Walaupun sepanjang hayat ibu di dunia fana ini,aku tersisih dalam kalangan adik-beradik dan kurang kasih sayang daripada yang lain semasa penjagaan ibu kepada kami. Aku reda malah aku berterima kasih dengan segala apa-apa yang berlaku justeru kasih sayang ibu selama ini kepadaku amat aku rasai apabila ibu memarahiku dan menjagaku ketika sakit peningku ibu. Terima kasih ibuku. Allahamdullillah,saat itu yang aku rindui takala aku sakit ketika ini. Aku amat merinduimu ibuku.. Allahuakbar! Semoga roh ibu dan ayahku dicucuri rahmat Allah dan tenang di alam kubur.

Syukur alhamdullillah, ibu ayah...cubitan ibu dan marah ayah selama hayat ibu ayah kepadaku suatu ketika dahulu telah menjadikan aku seorang yang berjaya dalam kerjayaku. Didikkan ibu ayah selama ini kepadaku telah mendewasakan aku mengejar ilmu sepanjang aku di alam persekolahan dan kini aku ketandusan ilmu..

Namun begitu aku amat berterima kasih kepada guru-guruku yang telah mendidikku dengan penuh kasih sayang mereka terhadap para pelajarnya tanpa rasa jemu. Terima kasih cikgu.16 Mei merupakan hari guru. Dikesempatan ini saya doakan semoga guru-guru saya sihat walafiat dan mendapat rahmat Allah sepanjang hayat mereka. Tanpa cikgu siapalah Juliah Haji Matnoor hari ini.

Tuesday, May 4, 2010

Perkongsian Ilmu

Bulan Februari yang lalu saya bertandang ke SMK Pekan Telipok Tuaran. Satu sesi perkongsian ilmu bersama murid-murid yang bakal menduduki peperiksaan awam kelak. Saya rasa teruja pabila bersama mereka, ternyata mereka seronok mengikuti ceramah tersebut. Saya berharap sangat mereka akan dapat mengaplikasikan cara jawab yang betul berdasarkan soalan yang diuji kelak. Kunjungan saya buat kali kedua di SMK Pekan Telipok Tuaran.

Selanjutnya, bulan Mac yang lalu pula satu perkongsian ilmu bersama para pelajar perdana Maktab Sabah telah diadakan iaitu tempat saya bertugas. Respon yang baik saya peroleh daripada mereka. Semoga mereka berjaya dalam peperiksaan awam kelak.

Seterusnya, bulan April yang lalu saya dipelawa ke SMK Takis Papar. Menurut salah seorang guru yang mengajar di sana,yakni hasil perkongsian ilmu bersama para pelajar di sekolah tersebut tahun lalu telah membuahkan hasil iaitu peratusan keputusan peperiksaan Bahasa Melayu meningkat.Syukur kehadrat Allah. Saya seronok bersama mereka semasa ceramah berlangsung kerana tindak balas yang baik para pelajar telah berikan kepada saya. Besarlah harapan saya agar mereka dapat menjawab peperiksaan Bahasa Melayu kelak dengan cara jawab yang betul dan cemerlang keputusan peperiksaan mereka kelak.

Pada 7 Mei 2010 bersamaan hari Jumaat jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi satu perkongsian ilmu bersama para pelajar SMK Sanzac akan berlangsung. Perkongsian ilmu buat kali pertama bersama para pelajar SMK Sanzac. Harapan saya, para pelajar SMK Sanzac dapat menerima saya seadanya. Selamat bertemu dalam perkongsian ilmu kelak.

Sunday, May 2, 2010

Bulan Mei

Pejam celik, pejam celik bulan Mei dengan gah hadir dalam kehidupan kita..Huh, banyak perkara yang belum kita sedia untuk menghadapi medan peperangan iaitu peperiksaan umum PMR,SPM,dan STPM. Para pelajar sudah bersedia untuk menghadapi peperiksaan pertengahan tahun yang akan berlangsung dalam bulan Mei ini? Saya berharap para pelajar sudah lama bersedia.

Doa saya semoga para pelajar lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan kelak.

Friday, April 30, 2010

coret-coret

Hargailah seseorang itu taklah seseorang itu masih bernafas.Kini telah kusedari mimpi tak akan bererti justeru hargailah keikhlasan dan kasih sayang seseorang serta memori bersamanya seuatu ketika dulu bukannya dilenyapkan tanpa rasa simpati...Kita hanya merancang tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya.. Namun demikin kita hendaklah menghargai cipataan-Nya dengan sebaik mungkin kerana kita ialah makhluk Tuhan yang cukup sempurna berbanding yang lain.

sekadar coretan semata-mata...hehehe

Salam semua

Saya dikejutkan oleh peminat setia saya untuk mengemaskinikan blog saya.. saya tak sangka sama sekali ada juga para pelajar saya yang cukup setia dengan blog saya yang entah apa-apa aje yang saya kongsi bersama para pelajar saya. Apa yang pasti mantan para pelajar saya mungkin mereka telah mengaplikasikan nota-nota BM dan analisis soalan yang terdapat dalam blog ini. Sehinggakan sebanyak 88 orang calon mendapat A dalam subjek Bahasa Melayu (hehe, tak kiralah A-,A,At janji sebutan A tu tetap ada)Namun demikian mereka telah berusaha untuk diri mereka sendiri kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya..Betul,betul,betul! hehe..Walaupun demikin 10 orang gagal BM dan selebihnya pula mendapat kepujian Bt hingga C serta lulus sahaja iaitu D dan E.

Tahniah para pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2009 yang lalu, maafkan saya agak terlambat mengucapkan tahniah kepada anda semua yang telah lulus dalam SPM tersebut. Anda adalah hebat justeru buktikanlah kehebatan anda di pusat pengajian tinggi kelak apabila anda melanjutkan pelajaran kelak.

Syabas! para pelajar yang layak mendapat tempat di IPTA dan Matrikulasi dalam negara Malaysia. Corak pembelajaran dan pengajaran di U amat berbeza sekali daripada sekolah menengah atas. Sungguhpun demikian anda boleh menyesuaikan diri dengan pembelajaran di IPTA apabila anda bersedia dan yakin kepada diri anda sendiri serta dapat mengawal diri ada semasa berada di perantauan orang.

Walau bagaimanapun anda yakin boleh melakukan dengan sebaik mungkin untuk mengapai impian anda selama ini seiring dengan slogan Maktab Sabah sentiasa nombor satu. Akan tetapi bagi para pelajar yang tidak berjaya, peluang anda masih terbuka luas seandainya anda tidak berputus asa untuk terus berjaya apabila ditawarakn meneruskan pengajian anda di Pra U Maktab Sabah.Saya doakan anda semua berjaya dalam hidup anda.

Bagi para pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM 2010 berusahalah dari sekarang.
Wow, satu cabaran kepada para pelajar SPM 2010 bagi mengatasi kakak-kakak dan abang-abang mereka.
wassalam.

Friday, January 1, 2010

Selamat Tahun Baru 2010

Salam tahun baru, bermula dengan situasi baru,tugas baru, pelajar baru,dan segala-galanya baru. Namun yang pasti misi kita untuk mencapai kejayaan tetap utuh di minda kita bagi melahirkan para pelajar yang cemerlang berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara. Satu tanggungjawab yang berat kita laksanakan bersama. Semoga kita dapat melaksanakan dengan semangat berpasukan dalam mencanang misi tersebut. Selamat mengajar kepada rakan-rakan setugas saya dan selamat belajar kepada para pelajar. 'Sentiasa Nombor Satu'