Sunday, February 13, 2011

Teknik Menjawab Karangan PMR Bahagian C

BAHAGIAN C

KARANGAN RESPONS TERBUKA

Pengenalan

- Bahagian C mengemukakan lima soalan dan calon hanya perlu memilih

satu tajuk untuk dijawab.

- Panjang karangan yang ditulis hendaklah lebih daripada 180 patah

perkataan.

- Masa yang diperuntukan untuk menulis karangan ini ialah 45 minit dan

markah yang diberi ialah 40 markah.

- Tajuk karangan yang dikemukakan terdiri daripada karangan berformat
dan tidak berformat.



Karangan Berformat

- Surat rasmi

- Surat tidak rasmi

- Ucapan / syarahan / ceramah

- Laporan

- Berita

- Dialog / wawancara / temu ramah



Karangan Tidak Berformat

- Keperihalan / gambaran / pengalaman

- Perbincangan

- Fakta

- Peribahasa

- Cereka





Teknik Menjawab

- Baca kelima-lima soalan dan kemudian fahamkan kehendak soalan.

- Pilih tajuk yang benar-benar difahami di samping mencari kata kunci soalan.

- Buat rangka karangan sebelum menulis karangan yang dipilih

selengkapnya.

- Pastikan karangan yang dibuat mengandungi

a. Pendahuluan / pengenalan

b. Isi

c. Penutup / kesimpulan

- Setiap isi yang dikemukakan ditulis dalam perenggan yang berlainan.

- Setiap isi perlu disertakan dengan huraian dan contoh-contoh yang jelas.

- Susun isi-isi mengikut keutamaan.

- Akhiri karangan dengan penutup / kesimpulan berdasarkan isi-isi yang telah

dikemukakan dalam karangan.

- Masukkan peribahasa, simpulan bahasa, kata-kata hikmah untuk

mengukuhkan huraian.

- Semak karangan yang ditulis sebelum menghantarnya kepada pengawas

peperiksaan.





Contoh Karangan:



Anda mempunyai cadangan untuk menarik minat murid-murid berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah. Tuliskan sepucuk surat kepada pengetua sekolah untuk menyatakan hasrat anda itu dengan menyatakan langkah-langkah yang sesuai bagi menyokong cadangan anda. Tulis surat tersebut selengkapnya.



Mohd. Rizman bin Mohd Rahman,

Tingkatan 3 Aman,

Maktab Sabah,

88806 Kota Kinabalu,

Sabah.

__________________________________________________________________________________



Pengetua,

Maktab Sabah,

88806 Kota Kinabalu,

Sabah. 13 FEBRUARI 2011.



Tuan,



Langkah-langkah untuk Menarik Minat Murid-murid Berkunjung ke Pusat Sumber Sekolah



Saya merupakan seorang murid di Tingkatan 3 Teguh sekolah ini berhasrat untuk mengemukakan beberapa pandangan tentang cara-cara bagi menarik minat murid-murid agar gemar berkunjung ke pusat sumber sekolah.



2. Pusat sumber sekolah kita sepatutnya terletak di tempat yang mudah dikunjungi oleh murid-murid. Sebaik-baiknya pusat sumber terletak di bahagian bawah sesebuah bangunan. Bangunan tersebut perlu dicat dengan warna yang menarik dan dihiasi dengan lukisan mural yang sesuai di bahagian luarnya. Keceriaan fizikal sesebuah pusat sumber merupakan tarikan utama murid-murid untuk melihat isi dan peralatan di dalamnya.



3. Selain itu, guru yang bertugas di pusat sumber perlu menghebahkan perkembangan terkini buku-buku baru dan perkhidmatan yang disediakan kepada murid-murid. Hebahan tersebut dapat dibuat melalui radio sekolah atau saluran yang difikirkan sesuai. Melalui cara tersebut, murid-murid dapat mengetahui maklumat terkini tentang kemudahan di pusat sumber bagi membantu pembelajaran mereka.



4. Kepelbagaian bahan sumber maklumat di pusat sumber juga perlu diberi perhatian. Bahan-bahan yang disdiakan harus merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan bersesuaian dengan mata pelajaran yang dipelajari oleh murid-murid. Bahan-bahan yang menarik itu perlu diperbanyak sebagai tarikan kepada murid-murid.



5. Sehubungan dengan itu, pembantu di pusat sumber juga perlu bersikap mesra pengguna. Sikap murni ini akan menjadi daya tarikan kepada murid-murid kerana mereka mudah mendapatkan bantuan jika memerlukannya. Oleh itu, pelantikan pembantu pusat sumber harus mengutamakan ciri-ciri yang murni.



Semoga semua cadangan saya mendapat perhatian daripada pihak tuan.



Sekian, terima kasih.



Yang benar,





Rizman

............................

(MOHD. RIZMAN BIN MOHD. RAHMAN)

1 comment: