Sunday, October 21, 2012

1 Murid 1 Sukan


1.  Kerajaan mewajibkan program 1 Murid 1 Sukan di setiap sekolah.
Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.

Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.

Bincangkan pendapat anda tentang faedah-faedah pelaksanaan dasar tersebut kepada para pelajar dan negara.

Budaya bersukan seolah-olah menjadi suatu fenomena di negara ini. Tanpa mengira siang atau malam, minat terhadap aktiviti sukan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Bukti yang amat jelas apabila terdapat sebilangan besar yang rela bersengkang mata semata-mata untuk menonton pertandingan bolak sepak di peringkat antarabangsa. Dalam negara juga, penonton akan berpusu-pusu membanjiri stadium apabila diadakan pertandingan sukan. Sungguhpun demikian, budaya menggemari sukan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mampu mengangkat imej sukan negara terutama di persada antarabangsa. Menyedari hakikat tersebut pelbagai inisiatif telah digemblengkan oleh pihak kerajaan. Salah satu inisiatif yang cukup pragmatik ialah  Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S). Memang tidak syak lagi dasar ini akan memberi banyak impak positif kepada anak-anak muda negara.

            Langkah yang pragmatik ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang berperawakan sihat dan cerdas. Hal demikian amat nyata sekali kerana sukan merupakan saluran yang terbaik untuk merangsangkan kecergasan  mental dan  fizikal.  Langkah ini dilihat amat praktikal sekali apabila semua aktiviti sukan diuruskan secara terancang dan profesional oleh pihak sekolah. Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan IMIS, sudah pasti setiap pelajar berpeluang mencuba bakat masing-masing. Oleh itu, tiada pihak yang terasa diri terabai dan disisihkan. Natijahnya, setiap individu berpeluang memperkembangkan semua potensi diri dalam aspek mental, fizikal, dan sahsiah. Sesungguhnya, inilah wajah generasi akan datang yang menjadi taruhan nusa selaras dengan kata-kata,, “Untuk melihat bangsa pada masa depan lihatlah kepada remaja pada hari ini”.
            Impak positif lain yang akan diperoleh remaja adalah dapat mengasah dan mempertajam bakat mereka sejak awal usia lagi. Bertepatan dengan maksud peribahasa, jikalau hendak melentur buluh hendaklah daripada rebungnya dan belakang parang jikalau diasah pun akan tajam, jelas menunjukkan bakat yang terpendam akan menyerlah apabila digilap sejak awal. Nyatalah bahawa dasar ini menjadi medan untuk memupuk profesional sukan. Sementara itu, bagi yang berbakat  pula, boleh membina kerjaya dalam bidang sukan. Mereka pasti teruja dengan pencapaian cemerlang jagoan-jagoan sukan seperti (masukkan nama-nama idola sukan anda). Sesungguhnya, dasar ini boleh dianggap sebagai strategi terancang untuk melahirkan lebih ramai jagoan dan tokoh sukan dalam tempoh satu dekad lagi. Sesungguhnya, dasar 1M1S ini amat bertepatan dengan falsafah Tao yang menyatakan, “Jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah gandum, jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah pokok, dan jika kamu mahu hidup selama-lamanya tanamlah manusia”.

            Signifikan yang lain pula, matlamat 1M1S adalah untuk menjadi landasan terbaik menyediakan pelapis-pelapis sukan yang terdiri daripada bakat-bakat baru. Langkah ini amat tepat pada masanya kerana sudah menjadi resam dunia bahawa yang lama akan berlalu. Oleh itu, usaha ini sangat bertepatan dengan peribahasa patah tumbuh hilang berganti maka yang pergi perlulah diganti. Melalui strategi yang terancang seperti ini persediaan awal dapat digemblengkan dalam usaha melahirkan atlit muda yang lebih kompeten. Dengan yang demikian, negara tidak ketandusan wira-wira sukan. Para wira dan  wirawati ini akan meneruskan misi menggalas tugas mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Sesungguhnya, kemampuan bersaing di arena antarabangsa bakal mengangkat martabat negara agar kita mampu  duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan gergasi-gergasi sukan dunia

            Peribahasa yang menyatakan gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa menunjukkan bahawa jasa dan bakti menjadi sebab seseorang itu diingati walaupun sesudah mati. Setiap rakyat yang berjiwa patriotik hendaklah bercita-cita untuk memahatkan nama mereka sebagai rakyat yang berjasa kepada negara sesuai dengan laungan keramat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, setiap  warganegara hendaklah menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing. Oleh itu, seseorang jagoan sukan sentiasa dijulang namanya sebagai wira yang mengharumkan nama negara. Tokoh ternama seperti Mokhtar Dahari, Dr M Jegathesan, Rabuan Pit dan ramai lagi adalah antara tokoh kesukanan yang sentiasa disebut-sebut. Di sebalik bakat dan kesungguhan mereka, jiwa patriotik begitu menyala di dalam hati dan sanubari masing-masing. Sesungguhnya, langkah memartabatkan sukan di peringkat sekolah dalam program 1M1S merupakan usaha murni untuk membentuk jiwa patriotik ketika masih di bangku sekolah lagi.
           
            “Sambil menyelam minum air”. Demikianlah peribahasa yang boleh dipetik sebagai membuktikan sesutau usaha yang dilakukan kadang-kadang boleh memberikan impak sampingan yang amat berguna. Dalam hal ini, sukan bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata, sebaliknya mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Impak positif yang turut diperoleh negara apabila sukan sudah mula beralih arah menjadi sebuah industri mahupun kerjaya ialah pulangan dalam bentuk wang ringgit. Di sebalik hadiah dan ganjaran yang lumayan, pelbagai industri hiliran yang berasaskan sukan turut terjana. Apabila mengambil kira sejumlah 20 bilion wang yang mengalir ke Afrika Selatan semasa penganjuran Bola sepak Piala Dunia pada 2010, hujah tersebut boleh mengesahkan bahawa sukan adalah antara penyumbang terpenting dalam mengisi kantung negara. Kini penganjuran seperti EPL, EURO, dan Piala Dunia adalah antara industri sukan terpenting yang berjaya mengaut keuntutngan besar. Selain itu, sukan-sukan ternama yang lain seperti golf, tenis, dan kriket turut menjadi penyumang utama seseorang jaguh cepat melonjak menjadi jutawan. Amat jelas sekali, pada era milenium kini, sukan adalah antara  industri yang mampu menjanakan pendapatan kepada sesebuah negara mahupun kepada atlit yang terlibat.

            Ibarat peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya haruslah diterapkan dengan sebenar-benarnya agar matlamat melahirkan lebih ramai jaguh sukan tercapai. Sudah terlalu banyak modal yang dibelanjakan, namun kejayaan atlit negara amatlah menyedihkan. Oleh hal yang demikian, dengan dukungan semua pihak, insya-Allah hala tuju baru oleh KPM ini boleh menatijahkan impak baru kepada dunia sukan untuk sekurang-kurangnya dalam satu dekad akan datang.

1 comment: