Analisa Soalan
Tahun Bentuk Soalan
2001 • Kewajaran pengajaran mengakhiri cerita dalam novel
• Persoalan
2002 • Tema
• Latar Masyarakat
2003 • Persoalan
• Watak utama
2004 • Nilai kasih sayang
• Cara watak utama menyelesaikan konflik utama yang dihadapi
2005 • Dua peristiwa paling menarik
• Perbandingan satu latar tempat berdasarkan dua novel
2006 • Pengajaran
• Persoalan dalam dua novel yang dikaji
Contoh Soalan
Jawab kedua-dua soalan di bawah. Jawapan anda hendaklah berdasarkan mana-mana novel yang berikut.
(i) Terminal Tiga karya Othman Puteh
(ii) Perlumbaan Kedua karya Marwilis Hj Yusuf
(iii) Di Hadapan Pulau karya A. Samad Said
(iv) Bukit Kepong karya Ismail Johari
(v) Konserto Terakhir karya Abdullah Hussain
(vi) Seteguh Karang karya Tuan Faridah Syed Abdullah
(vii) Julia karya Abu Hassan Morad
(viii) Putera Gunung Tahan karya Ishak Hj. Muhammad
(a) Puncak cerita atau klimaks merupakan bahagian novel yang menarik perhatian pembaca.
Berikan pendapat anda berdasarkan novel yang anda kaji.
[7 markah]
(b) Jelaskan empat nilai murni yang terdapat pada watak utama dalam novel yang anda kaji.
[8 markah]
Jawapan & Ulasan
Soalan (a)
Novel Terminal Tiga
Puncak cerita atau klimaks dalam sesebuah novel menjadi perhatian pembaca kerana pada peringkat ini cerita akan berakhir atau menghampiri peleraian. Dalam novel yang saya kaji, iaitu “Terminal Tiga”, klimaksnya ialah apabila Rimpa pulang ke Kuala Lumpur setelah menemui ayahnya.
Pada peringkat klimaks ini juga watak utama, iaitu Rimpa telah berjaya dalam hidupnya. Dia berjaya bertemu dengan ayahnya. Di samping itu, dia juga telah mendapat kelulusan pinjaman pelajaran.
Semasa membaca novel pada peringkat klimaks juga, pembaca akan berasa seronok atau lega. Contohnya pembaca berasa seronok kerana masalah Rimpa untuk mencari ayahnya dan mendapatkan belanja pengajian dapat diselesaikan.
Novel Perlumbaan Kedua
Puncak cerita atau klimaks dalam sesebuah novel menjadi perhatian pembaca kerana pada peringkat ini cerita akan berakhir atau menghampiri peleraian. Dalam novel yang saya kaji, iaitu “Perlumbaan Kedua”, klimaksnya ialah apabila Tuk Kura berjaya menewaskan Sang Arnab Putih dan akhirnya Tuk Kura mendapat sanjungan.
Watak utama dalam novel ini juga beroleh kejayaan pada peringkat klimaks. Tuk Kura telah beroleh kejayaan walaupun pada hakikatnya dia berjalan dengan lebih lambat jika dibandingkan dengan Sang Arnab.
Pembaca juga akan berasa puas apabila membaca novel pada peringkat ini. Contohnya, pembaca berasa puas kerana Tuk Kura yang cerdik berjaya menewaskan Sang Arnab yang sombong.
Novel Di Hadapan Pulau
Puncak cerita atau klimaks dalam sesebuah novel menjadi perhatian pembaca kerana pada peringkat ini cerita akan berakhir atau menghampiri peleraian. Dalam novel yang saya kaji, iaitu “Di hadapan Pulau”, klimaksnya ialah apabila Mak Ketong, Aziz, dan Afidah berputus asa dalam menghadapi penderitaan hidup. Akhirnya, pihak British telah membuat serangan bom.
Pada peringkat klimaks dalam novel ini juga penderitaan mangsa perang semakin memuncak. Masalah kelaparan yang dihadapi oleh mereka tidak menemukan sebarang jalan penyelesaian.
Pembaca juga berasa sedih dan tersentuh hati semasa membaca bahagian ini. Pembaca berasa sedih kerana penderitaan yang dialami oleh watak-watak dalam novel ini berakhir dengan tragis.
Novel Bukit Kepong
Puncak cerita atau klimaks dalam sesebuah novel menjadi perhatian pembaca kerana pada peringkat ini cerita akan berakhir atau menghampiri peleraian. Dalam novel yang saya kaji, iaitu “Bukit Kepong”, klimaksnya ialah apabila 18 orang anggota polis yang bersemangat waja menentang serangan 200 orang anggota komunis.
Peringkat klimaks dalam novel ini juga menyayat hati pembaca. Pihak komunis dengan kejam telah membakar rumah pasung. Pada peringkat ini juga 23 orang anggota polis dan keluarga mereka telah terkorban dan banyak yang cedera.
Selain itu, pembaca juga berasa kagum semasa membaca peringkat klimaks ini. Pembaca berasa kagum kerana pihak polis telah berjuang habis-habisan demi mempertahankan tanah air yang tercinta.
Soalan (b)
Novel Terminal Tiga
Watak utama dalam novel yang saya kaji, iaitu “Terminal Tiga” ialah Rimpa. Nilai murni yang dimiliki oleh Rimpa ialah tidak mudah berputus asa. Rimpa misalnya tidak berputus asa mencari ayahnya yang sudah 10 tahun menghilang. Rimpa kembali ke Sabah untuk mencari ayahnya. Walaupun usahanya gagal, dia tidak berputus asa.
Rimpa juga tabah dalam menghadapi cabaran hidup. Misalnya, Rimpa sanggup meninggalkan keluarga untuk mengekar cita-citanya. Dia juga tabah menghadapi kehidupan tanpa ayah dan membantu ibunya berladang untuk menyara kehidupan keluarga.
Selain itu, Rimpa memiliki nilai bertanggung jawab. Misalnya, Rimpa sanggup bersusah payah belajar hingga ke Semenanjung untuk mempelajari ilmu penulisan. Di samping itu, dia tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap keluarga, iaitu mencari bapanya yang menghilangkan diri.
Nilai lain yang dimiliki Rimpa ialah menghormati orang lain. Rimpa amat menghormati Cikgu Ahmad Ibrahim. Semasa pertemuan di lapangan terbang, Rimpa telah menegurnya dengan baik dan menunjukkan rasa hormat seorang pelajar kepada bekas gurunya.
Novel Perlumbaan Kedua
Watak utama dalam novel yang saya kaji, iaitu “Perlumbaan Kedua” watak ialah Tuk Kura. Salah satu nilai murni yang dimiliki Tuk Kura ialah bijaksana. Misalnya, Tuk Kura dengan bijaksana telah menggunakan cangkerangnya yang keras untuk melambungkan diri dari satu batu ke satu batu untuk memenangi perlumbaan dengan sang arnab putih.
Tuk Kura juga memiliki nilai murni gigih berusaha untuk berjaya. Misalnya, Tuk Kura berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan. Dengan kegigihannya itu, Tuk Kura akhirnya berjaya menewaskan Sang Arnab.
Selain itu, Tuk Kura memiliki nilai sabar dalam menghadapi sesuatu keadaan. Tuk Kura bersikap sabar ketika didera oleh suku-sakatnya sendiri. dia telah mengasingkan diri untuk mencari ketenangan.
Nilai lain yang dimiliki oleh Tuk Kura ialah berhemah semasa memberikan nasihat. Hal ini ditunjukkan apabila Tuk Kura menasihati cucu-cucunya agar hidup berdikari dan rajin menimba ilmu untuk mencapai kesejahteraan dalam hidup.
Novel Di Hadapan Pulau
Watak utama dalam novel yang saya kaji, iaitu “Di Hadapan Pulau” ialah Aziz. Dia memiliki nilai murni suka menolong orang yang dalam kesusahan. Misalnya, Aziz telah menolong Afidah yang kelaparan mencari makanan di sebuah kubu lama.
Nilai murni lain yang dimilikinya adalah tabah dalam menghadapi dugaan hidup. Misalnya, Aziz tabah menghadapi kesukaran hidup walaupun sejak kecil dia telah kehilangan ibu dan kematian ayah. Dia juga tabah semasa tinggal di rumah ibu saudaranya yang bersuamikan kaki botol dan kaki judi.
Selain itu, Aziz memiliki nilai murni menghormati orang yang lebih tua. Misalnya, Aziz telah berhenti bermain untuk bersalam dengan Syed Fikri yang lalu berhampiran dengan tempat dia dan rakan-rakannya bermain.
Satu lagi nilai murni yang ada pada diri Aziz ialah sikap belas kasihan. Misalnya, dia amat bersimpati kepada Afidah yang kematian datuknya. Oleh itu, Aziz sentiasa mengekori Afidah yang pergi ke kubur datuknya.
Novel Bukit Kepong
Watak utama dalam novel yang saya kaji, iaitu “Bukit Kepong” ialah Othman. Nilai murni yang dimiliki oleh Othman ialah penyayang. Othman amat menyayangi isterinya, Limah. Oleh itu, dia telah membawa Limah berpindah ke Pagoh kerana tidak mahu tinggal berjauhan dengan isterinya itu.
Nilai murni lain yang dimilikinya ialah berani. Hal ini diperlihatkan oleh Othman ketika bertempur dengan komunis ketika mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong. Othman tidak mahu menyerah kalah walaupun rakan-rakannya yang lain telah terkorban.
Selain itu, Othman juga memiliki nilai murni amanah dan bertanggungjawab. Misalnya, Othman dan rakan-rakannya menjalankan tugas dengan amanah dan bertanggungjawab ketika mengadakan sekatan jalan raya.
Satu lagi nilai murni yang ada pada watak Othman adalah cinta akan tanah air. Othman telah menjadi anggota polis kerana mahu menghapuskan komunis yang mengancam keselamatan negara.
No comments:
Post a Comment