Tuesday, August 25, 2009

Pemahaman

Contoh Soalan
Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan berikut menggunakan perkataan anda sendiri.

Pada masa ini, sebilangan murid sekolah pada hakikatnya telah pun mempunyai telefon bimbit sama ada dibeli oleh ibu bapa masing-masing atau dibeli dengan duit simpanan sendiri. Cuma penggunaannya terbatas di luar sekolah kerana mereka dilarang menggunakannya di kawasan sekolah. Memang tidak dinafikan telefon bimbit menjadi alat hubungan yang penting namun kita perlu melihat kesan negatif kepada murid sekolah.

Kita semua sudah biasa melihat kesan buruk penggunaan telefon ini di kalangan orang dewasa. Misalnya, telefon bimbit digunakan untuk merakam gambar yang tidak senonoh. Mereka juga menggunakannya untuk menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berantai. Di samping itu, pengguna juga melanggan pelbagai perkhidmatan yang tidak penting seperti yang diiklankan di media massa. Siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa mereka tidak akan terlibat dalam perkara-perkara sedemikian?

Murid-murid juga dikhuatiri menyalahgunakan telefon bimbit semasa proses pengajaran dan pembelajaran diadakan. Antara lain, murid dikhuatiri menggunakan telefon bimbit untuk menipu dalam peperiksaan. Mereka juga mungkin leka menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pengajaran. Selain itu, tidak mustahil jika terdapat murid yang memuat turun perkara-perkara yang tidak diingini semasa di dalam kelas.

Tidak keterlaluan jika kita mengandaikan bahawa akan timbul kesan psikologi terhadap murid sekolah yang kurang mampu. Maka akan wujudlah suatu trend dalam kalangan murid sekolah bahawa telefon bimbit ialah perkara penting pada zaman persekolahan. Oleh itu, mereka akan memaksa ibu bapa membelikan telefon itu untuk mereka.

Selain itu, pemilikan telefon bimbit dalam kalangan murid dikhuatiri menimbulkan suasana hubungan sosial yang tidak baik di dalam kawasan sekolah. Hal ini demikian kerana ada murid yang mula menjadikan telefon sebagai salah satu simbol status sosial. Jika satu ketika dahulu jenama kasut, beg atau kotak pensel pun boleh digunakan sebagai simbol status sosial di kalangan murid, maka telefon bimbit juga diramal akan turut menjadi alat untuk murid menunjuk-nunjuk.

Masalah penggunaan telefon bimbit di sekolah perlu diberikan perhatian. Dengan itu, langkah melarang penggunaan telefon bimbit di sekolah dianggap wajar. Larangan ini wajar diteruskan memandangkan penggunaan telefon bimbit lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Soalan Pemahaman 2 (a)

(i) Berikan maksud rangkai kata simbol status sosial.

(ii) Bagaimanakah telefon bimbit boleh menimbulkan suasana hubungan sosial yang tidak baik?

(iii) Pada pendapat anda, apakah tindakan yang boleh diambil kepada pelajar yang menggunakan telefon bimbit di dalam kelas?




Jawapan & Ulasan

(i) Rangkai kata “simbol status sosial” bermaksud lambang taraf atau kedudukan dalam masyarakat.

(ii) Telefon bimbit boleh menimbulkan suasana hubungan sosial yang tidak baik apabila ada murid yang bersikap suka menunjuk-nunjuk. Hal yang demikian menyebabkan murid lain berasa rendah diri kerana tidak memiliki telefon bimbit atau telefon bimbitnya berharga murah.

(iii) Pada pendapat saya, tindakan yang boleh diambil kepada murid yang menggunakan telefon bimbit di dalam kelas adalah dengan merampas telefon bimbit murid tersebut dan hanya menyerahkannya kembali dengan kehadiran ibu bapa atau penjaganya. Selain itu, murid itu juga wajar dinasihati agar tidak mengulangi perbuatan tersebut.


Tip Peperiksaan

Soalan (i) Maksud rangkai kata yang diberikan tepat mengikut konteks dalam petikan dan ayatnya gramatis.

Soalan (ii) Isi bagi jawapan diambil daripada petikan dan dinyatakan dengan ayat yang gramatis. Jawapan bagi soalan ini terdapat dalam perenggan lima petikan.

Soalan (ii) Jawapan tidak diambil daripada petikan tetapi relevan dengan tugasan soalan. Ayat bagi jawapan ini juga gramatis. Terdapat dua tindakan terhadap pelajar yang menggunakan telefon bimbit di dalam kelas dalam jawapan ini.



NOTA

Panduan Umum Menjawab Soalan Pemahaman
1. Baca soalan-soalan pemahaman yang diberikan sekali lalu dan fahami kehendak soalan tersebut.

2. Baca petikan yang diberikan dan tandakan bahagian yang boleh membantu anda untuk menjawab soalan yang diberikan.

3. Tulis jawapan anda dengan mengambil sebahagian daripada soalan sebagai permulaan jawapan dan menggabungkannya dengan jawapan berdasarkan kehendak soalan.

4. Gunakanlah ayat-ayat yang ringkas tetapi menjawab soalan untuk mengelakkan kesalahan bahasa.

5. Anda boleh menulis jawapan dalam beberapa ayat. Untuk menunjukkan kesinambungan antara ayat-ayat tersebut gunakanlah penanda wacana seperti selain itu, di samping itu, sungguhpun demikian, dan sebagainya.

6. Terdapat soalan yang mengandungi dua bahagian. Oleh itu, pastikan anda menjawab kedua-dua bahagian soalan tersebut.



Panduan Umum Menjawab Soalan Mengikut Jenisnya

A. Soalan memberikan maksud perkataan, rangkai kata, dan ayat.

Contoh soalan:

• Berikan maksud rangkai kata ada semacam kekosongan dalam hidup .

Contoh jawapan:

• Rangkai kata yang diberikan bermaksud terdapat seperti suatu kekurangan dalam aktiviti seharian.

1. Baca dan cari kedudukan perkataan, rangkai kata, atau ayat dalam petikan yang diberikan.

2. Berikan maksudnya berdasarkan konteks ayat dan keseluruhan petikan.

3. Untuk memudahkan anda, bahagikan rangkai kata itu kepada beberapa bahagian sebelum diberikan makna.


B Soalan yang berkaitan dengan petikan (bertumpu)


Contoh soalan:

• Mengapakah negara yang sedang menuju ke tahap negara maju memerlukan generasi yang minat membaca?

Contoh jawapan

• Negara yang sedang menuju ke tahap negara maju memerlukan generasi yang minat membaca kerana kekuatan sebuah negara banyak bergantung pada kemampuan berfikir dan pengetahuan rakyatnya. Rakyat yang tidak minat membaca akan terpinggir daripada arus maklumat, ilmu dan juga kemajuan.

1. Baca soalan dengan teliti dan fahami kehendak soalan tersebut.

2. Baca petikan yang diberikan dengan teliti untuk mendapatkan jawapan.


C Soalan kemahiran berfikir (bercapah)


Contoh soalan:

• Pada pendapat anda, mengapakah setelah tamat zaman persekolahan, remaja tidak lagi minat membaca?

Contoh jawapan:

• Pada pendapat saya, setelah tamat zaman persekolahan, remaja tidak lagi minat membaca kerana mereka sibuk dengan pekerjaan masing-masing dan tidak menganggap amalan membaca sebagai perkara yang penting. Selain itu, kebanyakan remaja hanya membaca untuk lulus peperiksaan sahaja.

1. Baca soalan dengan teliti dan fahami kehendaknya.

2. Kemukakan jawapan dengan memberikan cadangan, pandangan, atau pendapat anda sendiri seperti yang dikehendaki oleh soalan.

No comments:

Post a Comment