Sampel Soalan SPM
Baca sajak di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
JALAN-JALAN RAYA KOTAKU
Saban waktu sepanjang perjalanan
jalan-jalan raya kotaku
lewat senja begini
tika gerimis menabur benih
menerima kehadiran warga kota
lemas dalam kesabaran
lelah meresahkan
dengan luka parah di hati.
Ketidaksabaran membengkak
kesombongan merajai setiap ruang
semakin padat dengan emosi
kebosanan menggigit pangkal rasa.
Demikian etika di perjalanan
budi luhur warga kotaku
tidak lagi berlaku
yang hadir adalah keserakahan.
Memacu menghimpun pangkal kekuatan
menghakis sopan santun
seperti banjir kilat
melanda pinggir perjalanan
fitrah sang manusia
peradaban kota masa kini.
Jalan-jalan raya kotaku
adalah gelanggang kebuasan
perlumbaan kebiadaban
para pesakit
kemanusiaan semakin mandul
pada penghujung musim.
ZAM ISMAIL
(Dipetik daripada antologi Anak Laut, Tingkatan 4, DBP)
(i) Bagaimanakah keadaan jalan raya seperti yang digambarkan dalam rangkap yang pertama?
[3 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah pengguna jalan raya di ibu kota bersikap ganas dan buas?
[3 markah ]
(iii) Nyatakan tiga persoalan yang terdapat dalam puisi di atas.
[3 markah]
Jawapan & Ulasan
Soalan (i)
Jawapan: Rangkap yang pertama menggambarkan keadaan jalan raya pada waktu senja dan ketika itu hujan gerimis. Pengguna jalan raya kelihatan gelisah dan terpaksa bersabar untuk meneruskan perjalanan.
Ulasan: Soalan ini berkaitan dengan isi sajak. Soalan ini memerlukan anda memberikan tafsiran tentang keadaan jalan raya berdasarkan rangkap yang pertama. Untuk menjawab soalan ini, anda tidak boleh menyalin ayat daripada sajak bulat-bulat.
Soalan (ii)
Jawapan : Pada pendapat saya, pengguna jalan raya di ibu kota bersikap ganas dan buas kerana mereka mengalami tekanan hidup di ibu kota. Selain itu, keadaan jalan raya yang sesak menyebabkan mereka tidak dapat bersabar lalu bertindak mengikut perasaan.
Ulasan: Soalan ini memerlukan anda memberikan pendapat dan jawapannya tidak terdapat dalam sajak. Untuk menjawab soalan ini, berikan sekurang-kurangnya dua sebab pengguna jalan raya di ibu kota bersikap buas dan ganas.
Soalan (iii)
Jawapan : Persoalan yang terdapat dalam sajak ini ialah keadaan jalan raya di ibu kota pada waktu senja. Selain itu, terdapat persoalan tentang sikap pengguna jalan raya di ibu kota yang mementingkan diri sendiri dan tidak bertoleransi. Persoalan lain yang terdapat dalam sajak adalah tentang pengguna jalan raya di ibu kota yang ganas dan tidak sabar.
Ulasan: Soalan ini berkaitan dengan aspek sastera, iaitu persoalan. Untuk menjawab soalan ini, anda perlu menyatakan tiga persoalan sajak.
TIP
Panduan Umum Menjawab Soalan
A. Soalan yang berkaitan dengan sajak (bertumpu).
1. Baca soalan yang diberikan degan teliti.
2. Baca sajak dengan teliti untuk mengesan jawapan.
B. Soalan kemahiran berfikir (bercapah).
1. Baca soalan dengan teliti dan fahami kehendak soalan tersebut.
2. Kemukakan jawapan dengan memberikan pendapat, cadangan, tafsiran dan sebagainya
berdasarkan kehendak soalan.
C. Soalan yang berkaitan dengan aspek sastera.
1. Baca soalan dengan teliti dan fahami kehendaknya.
2. Untuk menjawab soalan jenis ini, anda perlu memahami aspek sastera tersebut. Oleh itu, anda perlu mengkaji aspek sastera tersebut untuk menjawab soalan peperiksaan.
3. Jawapan anda hendaklah berdasarkan kata kunci yang terdapat dalam soalan, seperti nyatakan, jelaskan, dan huraikan.
Kata Kunci Jawapan
nyatakan Anda hanya perlu menyatakan contoh-contoh aspek sastera tersebut.
jelaskan
huraikan Anda perlu menyatakan contoh aspek sastera tersebut dan bukti berdasarkan
petikan sajak.
Ingat
Tulis jawapan dengan menggunakan ayat yang lengkap dan bukannya dalam bentuk poin.
No comments:
Post a Comment