KATA bilangan ialah kata yang digunakan untuk menghitung sesuatu kata nama. Fungsinya, tidak lain, menjadi penerang jumlah pada frasa, dan hadir sebelum frasa tersebut. Contohnya: dua minggu, setengah markah, dan ribuan penonton. Kata-kata dua, setengah, dan ribuan ialah kata bilangan yang hadir sebelum frasa nama, dan menerangkan frasa nama minggu, markah, dan penonton.
Kata bilangan terbahagi kepada enam jenis, iaitu:
(a) Kata bilangan tentu (satu, sepuluh, dua ratus tiga puluh, dan sebagainya)
(b) Kata bilangan tak tentu (beberapa, para, sesetengah, dan sebagainya)
(c) Kata bilangan pecahan (suku, setengah, dua pertiga, dan seterusnya)
(d) Kata bilangan pisahan (setiap, tiap-tiap, dan masing-masing)
(e) Kata bilangan himpunan (berbagai-bagai, pelbagai, kedua-dua, ribuan)
(f) Kata bilangan tingkat (pertama, kedua, ketiga, dan seterusnya)
Contoh penggunaan keenam-enam jenis kata bilangan tersebut adalah
seperti yang berikut:
1. Sekolah ditutup selama dua minggu. (kata bilangan tentu)
2. Setengah-setengah penjaga tidak menghiraukan pendidikan anak-anak mereka. (kata bilangan tak tentu)
3. Saya kehilangan setengah markah kerana kesalahan ejaan.
(kata bilangan pecahan)
4. Masing-masing mahasiswa berkenderaan sendiri ke kampus.
(kata bilangan pisahan)
5. Sudah berpuluh-puluh tahun kami menetap di sini.
(kata bilangan himpunan)
6. Rabuan Pit mendapat tempat pertama dalam perlumbaan itu
(kata bilangan tingkat)
Ada beberapa peraturan tertentu yang harus dipatuhi dalam penggunaan kata bilangan ini. Kata bilangan berbagai-bagai, setengah-setengah (sesetengah), tiap-tiap, kedua-dua dan berbulan-bulan tidak boleh disingkatkan sewenang-wenangnya menjadi *berbagai, *setengah, *tiap, *kedua, dan *berbulan. Misalnya: *berbagai ragam. (seharusnya: berbagai-bagai ragam), *setengah pelajar (seharusnya: sesetengah pelajar, atau setengah-setengah pelajar), *Tiap atlet (seharusnya tiap-tiap atlet, atau setiap atlet).
Kata bilangan para tidak boleh diulang atau digandakan menjadi para-para. Hal ini demikian kerana maksudnya berlainan, iaitu para bererti semua, manakala para-para bererti rak. Bentuk yang salah seperti: *para-para pelajar (seharusnya: para pelajar).
Kata bilangan tak tentu seperti segala, semua, banyak, sedikit mengandungi makna jamak. Oleh itu, kata nama yang mengikutinya tidak perlu diulang. Contoh kesalahan: *segala persiapan-persiapan, *semua guru-guru, *para imam-imam, *sesetengah ibu-ibu bapa, *beberapa acara-acara, *sekalian kerani-kerani, dan *seluruh penduduk-penduduk. Kesemua frasa tersebut seharusnya ditulis sebagai segala persiapan, semua guru, para imam, sesetengah ibu bapa, beberapa acara, sekalian kerani, dan seluruh penduduk.
Akhir sekali, kesalahan kerana mendekatkan kata bilangan tentu dengan kata bilangan pecahan seperti suku dan setengah untuk perhitungan. Misalnya: *Satu suku jam, dan *enam setengah ringgit, yang seharusnya ditulis satu jam suku, dan enam ringgit setengah.
Lazimnya, kata bilangan berpasangan dengan penjodoh bilangan untuk menjadi sejenis penerangan kepada kata nama yang mengikutinya. Misalnya: tiga orang banduan, empat bilah keris, lima pasang kasut, dan sebagainya.
Ada kalanya, penjodoh bilangan tidak digunakan bersama-sama dengan kata bilangan. Misalnya sekalian peserta (bukan:*sekalian orang peserta), segala binatang (bukan: *segala ekor binatang), dan seluruh negeri (bukan *seluruh buah negeri).
Penjodoh bilangan tidak juga diperlukan untuk menghitung kata nama abstrak atau mujarad. Misalnya: beberapa cara, ketiga-tiga sifat, segala pendapat, setiap aliran, suatu hal, suatu perbuatan, dan sebagainya.
Bagaimana pula halnya dengan bentuk sebuah impian, sebuah penghargaan, sebuah bangsa, dan sebuah kenangan manis? Oleh sebab, impian, penghargaan, bangsa dan kenangan manis merupakan kata nama abstrak, maka kata-kata itu tidak perlu akan penjodoh bilangan. Cukuplah kita ungkapkan sebagai suatu impian, suatu penghargaan, satu bangsa, dan satu kenangan manis sahaja.
Demikian huraian tentang kesalahan penggunaan beberapa kata bilangan dan penjodoh bilangan yang sering dapat kita temukan dalam kegiatan berbahasa. Berhati-hatilah kita menggunakan kedua-dua bentuk kata ini.
No comments:
Post a Comment