Analisa Soalan
Soalan 1
Baca dan fahami petikan di bawah ini. Kemudian, kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang dinyatakan dalam petikan.
Sudah lima belas tahun Azlan tidak pulang ke kampungnya setelah sebegitu lama berdagang di luar negara. Kini dia ingin menetap di kampungnya itu. Kepulangannya amat kena pada tempatnya dan sangat dinanti-nantikan oleh penduduk kampung untuk memajukan Kampung Lubuk Buaya. Azlan telah merancang untuk menubuhkan Koperasi Peladang. Azlan telah menghadapi pelbagai rintangan dan dugaan. Walau bagaimanapun, hasil usaha Azlan yang tidak berputus asa, beliau akhirnya berjaya menubuhkan koperasi tersebut.
Soalan 2
Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang menggambarkan situasi yang terdapat dalam ayat tersebut.
(i) Sherin sekadar mendengar leteran ibunya tetapi tidak pernah menghiraukan kata-kata ibunya itu.
(ii) Semua kerja yang dibuat oleh Mun Chew ala kadar sahaja dan tidak dilakukannya dengan bersungguh-sungguh.
(iii) Puan Anisa selalu menceritakan keburukan jiran-jirannya, sedangkan tingkah lakunya yang buruk tidak disedarinya.
Sampel Soalan 3
Bina ayat dengan peribahasa yang diberikan.
(i) seperti abu di atas tunggul
(ii) air ditetak tidak akan putus
(iii) ayam terlepas tangan bau tahi
Pedoman untuk Menjawab Soalan
1. Soalan tentang peribahasa dalam SPM menguji tahap pemahaman anda tentang maksud peribahasa dan penggunaannya dalam situasi yang tertentu.
2. Soalan tentang peribahasa dikemukakan dalam beberapa bentuk, iaitu:
a) mengemukakan tiga peribahasa berdasarkan petikan ringkas yang diberikan;
b) mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberikan; dan
c) membina ayat dengan peribahasa yang diberikan.
Jawapan dan ulasan
Soalan 1
(i) ikan pulang ke lubuk
(ii) sirih pulang ke gagang
(iii) kalu tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Soalan 2
(i) masuk telinga kanan keluar telinga kiri
(ii) bagai melepaskan batuk di tangga
(iii) mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih
Soalan 3
(i) Kedudukan Puan Syakeena sebagai pengurus syarikat seperti abu di atas tunggul kerana penyelewengannya telah dapat dikesan.
(ii) Puan Juliana tidak menghiraukan dua orang adik-beradik yang bertengkar itu kerana menyedari bahawa air ditetak tidak akan putus.
(iii) Pemuda yang mencuri itu tertunduk malu apabila ditangkap dibawa di hadapan orang ramai dan inilah yang dikatakan ayam terlepas tangan bau tahi.
Tip Peperiksaan
1. Baca arahan soalan dengan teliti sebelum menjawab soalan ini. Kemudian, berikan jawapan berdasarkan kehendak soalan.
2. Nomborkan jawapan anda dengan tersusun untuk memudahkan penandaan.
3. Bagi soalan berbentuk situasi:
(a) baca situasi yang diberikan dengan teliti;
(b) garisi bahagian-bahagian dalam ayat yang dapat membantu anda menyatakan peribahasa yang sesuai; dan
(c) tulis peribahasa yang berkaitan dengan situasi tersebut.
4. Bagi soalan membina ayat dengan peribahasa:
(a) fahami maksud peribahasa yang diberikan;
(b) tulis ayat yang menggunakan peribahasa tersebut;
(c) garisi peribahasa yang digunakan dalam jawapan; dan
(d) semak ayat yang telah anda tulis.
5. Anda perlu banyak membuat latihan dan membaca contoh-contoh penggunaan peribahasa dengan menggunakan buku dan kamus.
No comments:
Post a Comment